Monday, 23 March 2015

Analisis Hasil Karya pelajar Berasaskan Unsur Seni Ruang

     Hasil karya pelajar bertajuk Pemandangan Di Sawah Padi merupakan lukisan alam semula jadi dengan objek sawah padi, gunung dan matahari menggunakan media krayon di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Lukisan menggambarkan pemandangan di sawah padi.

Tajuk: Pemandangan Di Sawah Padi


     Lukisan bertajuk Pemandangan Di Sawah Padi menunjukkan pelajar cuba mengaplikasikan konsep ruang berdasarkan perspektif satu titik lesap pada aras kaki langit yang tinggi ke dalam lukisan. Aplikasi kasih aras kaki langit yang tinggi menyebabkan banyak ruang pada bahagian hadapan untuk menggambarkan objek-objek sawah padi. Namun sekilas pandang perspektif yang diaplikasikan menunjukkan pelajar belum menguasai sepenuh konsep ruang menggunakan perspektif satu titik lesap. Perspektif satu titik lesap berpunca daripada satu arah jauh dan menghilang. Perubahan saiz dan warna pada objek yang digambarkan apabila objek tersebut dilihat dari jarak yang jauh dan sebaliknya jika dilihat dari jarak yang dekat objek akan kelihatan besar.

     Lukisan pemandangan di sawah padi menunjukkan terdapat empat titik lesap ke arah garisan horizontal bumi dan langit jika dilihat pada garisan yang diwakili oleh objek jalan raya dan garisan pemisah antara petak sawah padi. Objek pada bahagian depan juga tidak mengalami sebarang perbezaan dengan objek yang berada di belakang. Begitu juga dengan warna yang diaplikasikan tidak menunjukkan perbezaan warna antara bahagian depan dan belakang. Secara keseluruhan dalam lukisan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap lemah dalam mengaplikasikan unsur ruang dalam pengkaryaan.

     Hasil karya pelajar 26 bertajuk Taman Bunga merupakan lukisan alam semula jadi dengan objek bunga-bungaan dan pokok-pokok kayu menggunakan media cat poster di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Lukisan menggambarkan pemandangan di taman bunga.


     Lukisan bertajuk Taman Bunga menunjukkan pelajar memahami konsep ruang iaitu melalui jarak adanya perubahan saiz dan warna pada objek-objek antara bahagian depan dan belakang lukisan. Dalam lukisan di atas, terdapat perubahan warna melibatkan jarak antara ruang bahagian belakang dan depan yang mana bahagian belakang diwarnakan dengan kabur dan objek yang tidak jelas tetapi pada bahagian depan warna-warna yang diaplikasikan ke dalam objek adalah jelas dan terang seperti objek pokok kayu dan bunga-bungaan. Pada ruang hadapan, terdapat tiga pokok kayu yang diletakkan sepohon pokok di ruang kiri dan dua pokok sebelah ruang kanan. Tindakan pelajar meletakkan 1 pokok kayu di ruang kiri mewujudkan ruang yang sempit dan mengganggu pandangan ruang belakang. Secara keseluruhan dalam catan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap sederhana dalam mengaplikasikan unsur ruang dalam pengkaryaan.


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau