Showing posts with label Artikel Johanes. Show all posts
Showing posts with label Artikel Johanes. Show all posts

Sunday, 5 April 2015

Melukis Buah Kelapa Dengan Adobe Ilustrator CS6

Selamat sejahtera kepada pembaca yang budiman. Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog kami. Sesungguhnya kami amat menghargai kunjungan anda ke blog ini.

Entry kali ini ialah melukis buah kelapa langkah demi langkah menggunakan perisian adobe illustrator CS6 seperti gambarajah 1 di bawah.

Gambarajah 1

Langkah 1: Buat bulatan seperti gambarajah 2 sebagai panduan melukis buah kelapa menggunakan Ellipse Tool.

Gambarajah 2

Langkah 2: Berdasarkan bulatan yang telah dilukis itu, di bahagian bawah lukiskan rupa buah kelapa menggunakan Pen Tool seperti gambarajah 3 di bawah.

Gambarajah 3

Langkah 3: warnakan lukisan bahagian bawah buah kelapa dengan menggunakan Gradient Tool. Pilihlah warna yang bersesuaian seperti gambarajah 4 di bawah.

Gambarajah 4

Langkah 4: Lukiskan rupa bahagian atas buah kelapa yang telah dipotong menggunakan parang tajam menggunakan Pen Tool  seperti gambarajah 5 di bawah.

Gambarajah 5

Langkah 5: Warnakan rupa atas buah kelapa yang telah dilukis menggunakan Gradient Tool mengikut kesesuaian warna seperti gambarajah 6 di bawah.

Gambarajah 6

Langakah 6: Lukiskan rupa bahagian atas buah kelapa yang telah ditebuk menggunakan Pen Tool seperti gambarajah 7 di bawah.

Gambarajah 7

Langkah 7: Warnakan rupa buah kelapa yang ditebuk itu dengan warna yang bersesuian menggunakan Fill di bahagian bawah Menu Tool seperti gambarajah 8 di bawah.

Gambarajah 8

Langkah 8: Copy n Paste rupa buah kelapa yang ditebuk dan telah diwarnakan. Selaraskan kedudukan agar mendapat rupa dibahagian pandangan dalam buah kelapa seperti gambarajah 9 di bawah.

Gambarajah 9

Langkah 9: Warnakan  rupa kawasan pandangan dalam buah kelapa dengan warna putih beransur coklat menggunakan Gradient Tool seperti gambarajah 10 di bawah.

Gambarajah 10

Langkah 10: Lukiskan straw dalam kedudukan condong ke dalam buah kelapa menggunakan Pen Tool seperti gambarajah 11 di bawah.

Gambarajah 11

Langkah 11: Warnakan straw dengan warna kesukaan anda menggunakan Fill seperti gambarajah 12 di bawah.

Gambarajah 12

Langkah 12: Pada bahagian Stroke di Menu Tool, tekanlah None untuk menghilangkan semua garisan lakaran kasar berwarna hitam dan lihat hasilnya seperti gambarajah 13 di bawah.

Gambarajah 13

Teruslah mencuba melukis dengan objek-objek lain yang anda sukai sehingga mahir dalam asas melukis ini dan apabila sudah mahir bolehlah tambahkan ton dan jalinan yang lebih realistik terhadap objek-objek yang dilukis disamping aplikasi pencahayaan yang lebih nilai estetika. Sekian dan jumpa lagi.

Imitasi Artistik Estetika


Ditulis Oleh:
Johanes Bin Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau
Sabah

Saturday, 4 April 2015

Melukis dengan Adobe Ilustrator

Salam jumpa lagi dan selamat sejahtera kepada semua pembaca yang budiman. Semoga di hari anda berkunjung ke blog ini, kita semua dalam keadaan yang sihat sejahtera dan dilimpahkan rezeki daripada yang maha kuasa.

Kali ini saya cuba buat satu perkongsian demo langkah demi langkah melukis bunga raya menggunakan perisian adobe ilustrator CS6. Salah satu kelebihan melukis menggunakan ilustrator ialah terletak pada pen tool melalui ciri istimewa "anchor Point" yang mana garisan boleh diselaraskan menurut kehendak kita menggunakan "handle" yang terhasil di setiap anchor apabila diherot tanpa melepaskan tekanan sebelah kiri pada tetikus kursor. Bagi pembaca yang sudah biasa dan mahir dengan perisian adobe ilustrator istilah-istilah di atas sudah tidak asing tapi bagi pembaca yang baru berjinak-jinak dalam perisian ilustrator sila lihat gambarajah 1 di bawah bagi memudahkan pemahan tentang pen tool ini.

Gambarajah 1

Gambarajah 1 di atas ialah menunjukkan anchor point. Handle pula terhasil apabila pen tool yang menghasilkan anchor diherot tanpa melepaskan tekanan sebelah kiri tetikus kursor seterusnya menghasilkan lengkungan pada garisan.

Langkah 1: Buat bulatan seperti kedudukan di gambarajah 2 di bawah menggunakan Elippse Tool yang terdapat pada menu tool. Bulatan ini bertujuan untuk panduan kedudukan pada bunga raya.

Gambarajah 2

Langkah 2: Lukislah kelopak bunga mengikut kedudukan bulatan yang telah ditentukan lebih awal di langkah 1. Pada peringkat ini lukisan kelopak bunga adalah kasar dan belum dimurnikan kedudukan dan saiz kelopak seperti yang ditunjukkan dalam gambarajah 3 di bawah.

Gambarajah 3

Langkah 3: Proses memurnikan kelopak bunga raya dengan membuat beberapa perubahan seperti yang ditunjukkan hasilnya pada gambarajah 4 di bawah. Pada peringkat ini perubahan tool harus dilakukan daripada pen tool kepada Direct Selection Tool (DST). Klik pada anchor pada garisan yang ingin dimurnikan/seleraskan dan herotlah sehingga setiap kelopak bunga raya memperlihatkan kadar banding pada bunga raya yang sebenar dan memperlihatkan nilai artistik pada lukisan anda.

Gambarajah 4

Langkah 4: Proses mewarna pada kelopak bunga raya seperti yang ditunjukkan pada gambarajah 5 di bawah. Pada peringkat ini, anda harus menukar tool anda daripada DST kepada Gradient Tool (GT) yang terdapat dalam Menu Tool. Tentukan warna kiri kanan pada GT, sebagai contoh saya memilih merah dan kuning yang mana merah untuk kawasan yang mempunyai ke dalaman atau istilah lainnya ialah kurang mendapat pencahayaan tampak dan kuning untuk kawasan kelopak bunga raya yang mendapat pencahayaan tampak yang banyak. Harus ingat dalam mewarna pelukis harus mahir dengan konsep pencahayaan tampak yang selalunya pelukis sendiri akan tentukan. Pencahayaan akam menimbulkan bentuk pada bunga selain menimbulkan ruang dan jalinan.

Gambarajah 5

Langkah 5: Teruskan menggunakan GT dalam mewarna kelopak demi kelopak bunga yang disesuaikan dengan konsep pencahayaan tampak. Satu keistimewaan GT versi illustrator CS6 ini ialah disertakan panduan terus menentukan keselarasan warna mengikut bentuk lukisan anda pada kawasan yang diwarnakan seperti yang ditunjukkan dalam gambarajah 6 di bawah.

Gambarajah 6

Langkah 6: Akhirnya 5 kelopak pada bunga raya telah berjaya di wrnakan dengan menggunakan GT seperti yang ditunjukkan dalam gambarajah 7 di bawah. Namun biarpun telah selesai mewarna, kelihatan imej bunga raya masih lagi dalam keadaan yang kasar kerana terdapat garisan merah pada setiap tepi kelopak bunga. Anda harus ingat, konsep seni ialah halus, halus pada hasil karya halus juga pada mata memandang. Oleh itu, anda harus mengarah daya artistik dan kreativiti anda untuk menjadikan lukisan bunga raya memperlihatkan mutu estetika yang halus.

Gambarajah 7

Langkah 7: Tukarlah garisan merah disetiap tepi kelopak bunga yang berfungsi sebagai lakaran kelopak bunga raya seperti di gambarajah 2 di atas kepada warna yang terdapat pada kelopak-kelopak bunga raya mengikut pencahayaan. Daripada GT tukar dan pilih Selection Tool (ST). Klik pada garisan warna merah untuk mengaktifkan garisan tersebut. Pergi kepada GT dan satu tetingkap kecil akan dipaparkan, melalui tetingkap ini anda boleh seleraskan warna dan membuat beberapa pilihan pusingan arah jam bagi menyamakan kedudukan warna seperti yang ditunjukkan dalam gambarajah 8 di bawah.

Gambarajah 8

Rasanya saya berhenti setakat kelopak-kelopak bunga raya seperti yang ditunjukkan dalam gambarajah 8 di atas. Saya mohon maaf kerana lukisan bunga raya saya tidak lengkap dan kurang cantik. Apa yang penting anda boleh berlatih melukis menggunakan perisian adobe ilustrator sehingga mahir dahulu menggunakan beberapa tool yang terdapat pada menu tool. Sekiranya sudah mahir maka bolehlah anda tambahkan sesunggut bunga raya dan menonjolkan sedikit jalinan agar bunga raya kelihatan mempunyai nilai estetika yang tinggi hasil daripada daya artistik kreatif yang anda miliki. Sekian terima kasih kerana sudi membaca tulisan ini. Jumpa lagi. Bye..

Imitasi Artistik Kreatif Estetika

Ditulis Oleh:
Encik Johanes bin Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau

Tuesday, 31 March 2015

Melukis menggunakan Adobe Ilustrator

Salam sejahtera para pelajar.

Kali ini saya akan tunjukkan cara melukis dengan mudah langkah demi langkah menggunakan perisian adobe ilustrator cs6 berdasarkan konsep imitasi yang disarankan oleh tokoh-tokoh ilmuan seni seperti Goergeo Vasari dan Johan Joachim Wilkelmen. Namun imitasi ini disesuaikan dengan konsep cetakan lino yang mana objek-objek dilukis dengan menonjolkan rupa dan jalinan melalui warna dan kepelbagian garisan.





Setelah subjek matter dilukis menggunakan ilustrator, seterusnya para pelajar mengarah ketajaman daya artistik impak maksima dalam menimbulkan nilai estetika dalam karya melalui cetakan lino. Berikut ialah contoh mudah lukisan menggunakan ilustrator untuk panduan para pelajar sekalian.



Langkah 1: Mendapatkan subjek matter iaitu bunga refflesia.


Langkah 2: Open Imej di atas dalam Ilustrator dan namakan layer dengan refflesia. Gunakan pen tool dan mula melukis dibahagian kelopok bunga.



Langkah 3: Habiskan melukis menggunakan pen tool keseluruhan kelopak bunga dan bahagian tengah. Apabila selesai warnakan bahagian dalam kelopak bunga dengan warna merah sahaja.


Langkah 4: Terus warnakan keseluruhan kelopak dan bahagian tengah bunga dan pada bahagian tengah bunga sila warna dengan warna gelap.


Langkah 5: Sekarang gambar asal bunga refflesia bolehlah dibuka dan tinggal hasil lukisan menggunakan pen tool yang telah diwarnakan.


Langkah 6: Inilah kedudukan layer dalam ilustrasi anda.


Langkah 7: Proses memasukkan jalinan pada kelopak bunga dimulakan mengikut kreativiti dan daya artistik anda supaya bunga refflesia kelihatan lebih nilai estetik.


Langkah 8: Beginilah gambaran bunga refflesia yang ringkas dilukis menggunakan adobe ilustrator CS6. Lukisan akan kelihatan lebih bermutu jika pelukis mempunyai daya imiginasi ruang dan penguasaan garisan dalam membuat latar belakang dan jalinan pada bunga. selepas itu boleh dijadikan cetakan lino dengan menggunakan dua warna merah dan gelap.



Saya ucapkan selamat melukis menggunakan perisian adobe ilustrator kepada para pelajar dan seterusnya menjayakan setiap kerja kursus yang diberikan. Terima kasih.

Imitasi Artistik Estetika


Ditulis Oleh:
Encik Johanes Bulot
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau


Monday, 23 March 2015

Analisis Hasil Karya pelajar Berasaskan Unsur Seni Ruang

     Hasil karya pelajar bertajuk Pemandangan Di Sawah Padi merupakan lukisan alam semula jadi dengan objek sawah padi, gunung dan matahari menggunakan media krayon di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Lukisan menggambarkan pemandangan di sawah padi.

Tajuk: Pemandangan Di Sawah Padi


     Lukisan bertajuk Pemandangan Di Sawah Padi menunjukkan pelajar cuba mengaplikasikan konsep ruang berdasarkan perspektif satu titik lesap pada aras kaki langit yang tinggi ke dalam lukisan. Aplikasi kasih aras kaki langit yang tinggi menyebabkan banyak ruang pada bahagian hadapan untuk menggambarkan objek-objek sawah padi. Namun sekilas pandang perspektif yang diaplikasikan menunjukkan pelajar belum menguasai sepenuh konsep ruang menggunakan perspektif satu titik lesap. Perspektif satu titik lesap berpunca daripada satu arah jauh dan menghilang. Perubahan saiz dan warna pada objek yang digambarkan apabila objek tersebut dilihat dari jarak yang jauh dan sebaliknya jika dilihat dari jarak yang dekat objek akan kelihatan besar.

     Lukisan pemandangan di sawah padi menunjukkan terdapat empat titik lesap ke arah garisan horizontal bumi dan langit jika dilihat pada garisan yang diwakili oleh objek jalan raya dan garisan pemisah antara petak sawah padi. Objek pada bahagian depan juga tidak mengalami sebarang perbezaan dengan objek yang berada di belakang. Begitu juga dengan warna yang diaplikasikan tidak menunjukkan perbezaan warna antara bahagian depan dan belakang. Secara keseluruhan dalam lukisan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap lemah dalam mengaplikasikan unsur ruang dalam pengkaryaan.

     Hasil karya pelajar 26 bertajuk Taman Bunga merupakan lukisan alam semula jadi dengan objek bunga-bungaan dan pokok-pokok kayu menggunakan media cat poster di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Lukisan menggambarkan pemandangan di taman bunga.


     Lukisan bertajuk Taman Bunga menunjukkan pelajar memahami konsep ruang iaitu melalui jarak adanya perubahan saiz dan warna pada objek-objek antara bahagian depan dan belakang lukisan. Dalam lukisan di atas, terdapat perubahan warna melibatkan jarak antara ruang bahagian belakang dan depan yang mana bahagian belakang diwarnakan dengan kabur dan objek yang tidak jelas tetapi pada bahagian depan warna-warna yang diaplikasikan ke dalam objek adalah jelas dan terang seperti objek pokok kayu dan bunga-bungaan. Pada ruang hadapan, terdapat tiga pokok kayu yang diletakkan sepohon pokok di ruang kiri dan dua pokok sebelah ruang kanan. Tindakan pelajar meletakkan 1 pokok kayu di ruang kiri mewujudkan ruang yang sempit dan mengganggu pandangan ruang belakang. Secara keseluruhan dalam catan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap sederhana dalam mengaplikasikan unsur ruang dalam pengkaryaan.


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau

Saturday, 21 March 2015

Analisis Hasil Karya pelajar Berasaskan Unsur Seni Jalinan

Hasil karya pelajar bertajuk Terung dan Tomato merupakan lukisan alam semula jadi dengan objek utama ialah sebiji terung dan tiga biji tomato menggunakan media krayon di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Lukisan menggambarkan buah terung dan buah tomato disusun mengikut komposisi empat segi di atas permukaan yang rata.

Tajuk: Terung dan Tomato

Lukisan bertajuk Terung dan Tomato menunjukkan pelajar memahami aplikasi jalinan ke atas permukaan buah terung dan tomato dengan menyedari kedua-dua jenis buah tersebut mempunyai jalinan yang licin. Bagi menggambarkan jalinan yang licin pelajar telah mewarna permukaan buah terung dengan warna ungu menggunakan warna krayon dengan cara melorek berulang-ulang dan sekata daripada pangkal ke hujung terung sehingga memenuhi keseluruhan rupa terung. Pelajar telah meletakkan satu tanda garis tebal berwarna putih pada bahagian yang mendapat pencahayaan menandakan buah terung mempunyai jalinan licin. Begitu juga dengan jalinan licin pada buah tomato. Pelajar telah mewarnakan permukaan tomato dengan warna jingga dengan lorekan sekata menggunakan warna krayon mengikut bentuk buah tomato, kemudian meletakkan tanda garis tebal berwarna putih pada permukaan yang mendapat pencahayaan menandakan buah tomato mempunyai jalinan yang licin.

Namun terdapat kelemahan pada arah pencahayaan apabila melihat kepada ton terung dan tomato yang menunjukkan arah pencahayaan daripada depan tetapi melihat kepada bayang-bayang terung menunjukkan arah pencahayaan adalah daripada belakang. Kelemahan juga terdapat pada ton terung dan tomato apabila meletakkan warna gelap pada bahagian tepi buah seakan satu garis tebal kerana tidak ada perjalanan warna dari gelap ke cerah menjadi ton. Pelajar tahu mewujudkan kesan jalinan licin tetapi kesan jalinan yang disokong oleh kesan pencahayaan dan kesan ton warna yang jelas masih pada tahap yang sederhana. Secara keseluruhan dalam lukisan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap sederhana dalam mengaplikasikan unsur jalinan dalam pengkaryaan.

Hasil karya pelajar bertajuk Ladybird merupakan lukisan alam semula jadi dengan objek enam ekor kumbang menggunakan media krayon di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Lukisan menggambarkan enam ekor kumbang ladybird hinggap di atas daun kayu pada posisi saling membelakang antara satu sama lain.

Tajuk: Ladybird

Lukisan bertajuk Ladybird menunjukkan pelajar menjadikan jalinan pada kumbang sebagai salah satu nilai estetika yang terdapat pada lukisan ini. Bagi tujuan itu pelajar telah mewarna hitam pada jalinan kumbang dan kelihatan bertompok-tompok hitam di atas kepak. Pada tompok hitam itu, pelajar telah mewarna jingga di sekelilingnya perlahan-lahan menjadi warna kuning ke bahagian tengah kepak menjadikan jalinan tompok hitam kelihatan menonjol. Terdapat enam ekor kumbang yang mempunyai saiz yang berbeza. Pada kumbang yang bersaiz besar, tompok hitam juga dibesarkan sebaliknya pada kumbang bersaiz kecil, tompok hitam dikecilkan. Pada daun kayu, pelajar telah mewujudkan jalinan garis-garis halus dan tebal menunjukkan urat kepada daun. Urat-urat daun telah diwarnakan biru tetapi jalinan pada daun kayu kelihatan kurang realistik dan kasar. Pelajar telah memahami bahawa setiap objek alam semula jadi mempunyai jalinan yang tersendiri untuk dijadikan salah satu nilai estetika pada lukisan tetapi tahap penguasaan pelajar untuk mewujudkan jalinan melalui olahan warna masih berada pada tahap sederhana. Secara keseluruhan dalam lukisan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap baik dalam mengaplikasikan unsur jalinan dalam pengkaryaan.


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau

Thursday, 19 March 2015

Analisis Hasil Karya Pelajar Berasaskan Unsur Seni Bentuk

Hasil karya pelajar bertajuk Alatan Ke Sekolah merupakan lukisan alam benda dengan objek beg galas, buku dan bekas menggunakan media pensel di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Lukisan menggambarkan alatan ke sekolah disusun mengikut komposisi tiga segi di atas satu permukaan pada aras mata memandang dengan arah pencahayaan daripada sudut sebelah kanan.

Tajuk: Alatan Ke Sekolah

Lukisan bertajuk Alatan Ke Sekolah menunjukkan terdapat beg galas, bekas botol air plastik dan buku sebagai bentuk ilusi yang telah dilukis di atas permukaan kertas lukisan melalui proses imitasi daripada bentuk konkrit. Objek dilukis pada paras mata memandang. Berdasarkan paparan lukisan yang telah dihasilkan, secara asasnya pelajar mengetahui beberapa teknik untuk mencipta bentuk ilusi pada permukaan dua dimensi menggunakan media pensel seperti membuat beberapa contengan garisan mewujudkan bentuk dan memasukkan beberapa lorekan muda untuk menampakkan kesan ton. Namun melihat kepada objek-objek yang telah dilukis, pelajar masih berada pada tahap yang lemah untuk melukis bentuk yang mempunyai nilai estetika berdasarkan bentuk konkrit kepada bentuk ilusi ke atas permukaan 2 dimensi.

Aplikasi jenis dan fungsi garisan dalam objek-objek pada lukisan telah menunjukkan pelajar lemah dalam lakaran tangan bebas bagi mewujudkan bentuk seperti bentuk kuboid untuk beg galas dan bentuk silinder untuk bekas botol air. Tidak ada tekanan yang berat atau ringan pada garisan. Jenis-jenis garisan seperti garisan halus, garisan tebal, garisan beralun yang kemas tidak diwujudkan untuk menjadi bentuk ilusi yang sempurna. Kesan lorekan untuk mewujudkan ton yang menarik juga kelihatan sangat lemah. Lorekan pensel gelap tidak menunjukkan perjalanan ton daripada gelap perlahan-lahan menjadi cerah di kawasan yang mendapat cahaya. Akhir sekali ialah kesan ton memperlihatkan arah cahaya daripada sudut yang berbeza iaitu kesan bayang pada objek menunjukkan arah cahaya daripada belakang manakala kesan ton menunjukkan arah cahaya daripada kanan telah menyebabkan bentuk mengalami kesan yang bercelaru selain objek-objek kelihatan terapung di angkasa kerana tidak ada permukaan yang menyokong daripada bawah. Secara keseluruhan dalam lukisan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap sederhana dalam mengaplikasikan unsur bentuk dalam pengkaryaan.

Hasil karya pelajar bertajuk Kon merupakan lukisan alam benda dengan objek sebuah kon menggunakan media krayon di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Lukisan menggambarkan sebuah kon di atas permukaan berlapiskan kain berlatar dinding yang mempunyai jalinan beberapa posisi garisan berulang-ulang secara menegak, melintang dan mendatar.

Tajuk: Kon

Lukisan bertajuk kon menunjukkan pelajar mempunyai daya interaksi antara pandangan mata dengan pergerakan tangan untuk mewujudkan bentuk ilusi kon di atas permukaan dua dimensi. Pelajar mempunyai pengetahuan tentang garisan, jalinan, ruang dan warna. Pelajar memahami bagaimana mengaplikasikan garisan, jalinan, ruang dan warna ke dalam bentuk-bentuk asas menggunakan media krayon. Pelajar dapat melukis bentuk asas dengan baik seperti bentuk kon. Dalam lukisan bertajuk Kon, bentuk kon digambarkan dengan teliti dan kemas menggunakan garisan melengkung pada kaki kon, garisan lurus pada kiri dan kanan menuju ke puncak bertemu menjadi bucu. Bentuk ilusi pada kon kelihatan tiga dimensi apabila diwarnakan dengan warna harmoni daripada kumpulan warna jingga mengikut ton arah pencahayaan daripada sudut sebelah kanan kertas lukisan. Pada kawasan yang kurang mendapat cahaya diwarnakan gelap perlahan-lahan cerah pada kawasan yang mendapat cahaya lebih mengikut bentuk kon dari bucu ton adalah kecil perlahan-lahan membesar menuju ke kaki kon. Pencahayaan disempurnakan dengan meletakkan bayang-bayang pada bahagian belakang kon yang terlindung daripada cahaya pada kadar warna yang sederhana dengan menggunakan warna biru. Pelajar juga bijak meletakkan garisan-garisan halus pada kawasan yang cerah sebagai jalinan halus pada bentuk kon. Secara keseluruhan dalam lukisan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap baik dalam mengaplikasikan unsur bentuk dalam pengkaryaan.

Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau

Monday, 16 March 2015

Satu Tinjauan Anyaman Kolobon Di Kg. Minawo Laut Keningau.

Masyarakat Dusun dan Murut dikatakan masyarakat yang pertama sekali tiba di Borneo Utara atau sekarang ini dikenali sebagai negeri Sabah, dari Tanah Besar Asia. Mohamad Nazri Ahmad ada menyentuh secara ringkas tentang sejarah kedatangan kedua-dua masyarakat ini ke negeri Sabah dan bagaimana mereka membawa bersama-sama kebudayaan yang tetap terpelihara keasliannya seperti di bawah:

Mereka tiba dari Tanah Besar Asia; Annam melalui kepulauan Filipina. Masyarakat ini membawa bersama-sama warisan kebudayaan yang tetap terpelihara keasliannya. Di antara kebudayaan itu ialah kemahiran dan keindahan menenun pakaian dan menganyam.1

Fokus kepada masyarakat Dusun sahaja, pernyataan di atas membuktikan bahawa seni kraf tangan dalam masyarakat Dusun merupakan perkembangan dan persambungan dari kepercayaan awal serta terus diamalkan pada zaman berikutnya. Nilai tradisi ini juga merupakan ciri budaya hasil dari pengalaman dan kelangsungan hidup serta sejarah masyarakat Dusun itu sendiri. Sejarah perkembangan seni kraf tangan ini berterusan dari satu generasi ke satu generasi.

Orang-orang Dusun telah lama menetap di kawasan-kawasan pergunungan yang jauh di pedalaman Sabah. Pernyataan di bawah, menunjukkan bahawa masyarakat Dusun telah lama memulakan kehidupan mereka di sepanjang banjaran Crocker.

As our interest in them depend, and we look around the house in which they all sat talking, we found it impossible not to wonder how they lane to settled in this remote valley or hilltop, from where they came and by what routes. Where and how did they designs, their skill, originate many years ago?2

Masyarakat ini mendirikan kawasan perkampungan di kaki-kaki bukit dengan rumah yang diperbuat daripada bambu dan atap rumbia. Kawasan perkampungan dengan keadaan alam sekeliling masyarakat Dusun telah menyediakan kemudahan untuk mendapatkan bahan-bahan mentah bagi menghasilkan kraf tangan yang berbagai-bagai mengikut fungsinya.

Pada zaman dahulu dalam masyarakat Dusun, hasil kraf tangan adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan seharian seperti perlindungan, pakaian dan kehidupan. Contohnya atap yang dianyam dapat melindungi dari panas dan hujan, tikar sebagai alas duduk dan alas tempat tidur, bakul untuk mengisi padi atau beras dan ikan, terendak untuk berlindung dari panas bila ke kebun. Ini bermakna, Pada peringkat awal hasil kraf tangan dalam masyarakat Dusun itu lebih dianggap sebagai barang keperluan harian dengan mengutamakan kegunaannya dari nilai estetika seperti yang diungkapkan dalam petikan di bawah:

Pada peringkat awal, kraf tangan anyaman berkembang tanpa menerima sebarang pengaruh luar. Penciptaan alat-alat anyaman adalah amat sederhana, tanpa didasari dengan nilai estetika. Keadaan ini bersesuaian dengan konsep penciptaan seni tradisi yang tidak berkaitan secara langsung dengan seni halus.3

Salah satu kraf tangan tradisi yang terdapat dalam masyarakat Dusun ialah seni anyaman. Bidang anyaman merupakan satu daripada bidang pekerjaan kerajinan tangan. Tidak dapat dibuktikan dengan jelas siapakah pencipta pertama seni anyaman dalam masyarakat Dusun kerana ianya menjadi milik yang diwariskan dan dikagumi hingga ke hari ini.

Terdapat berbagai-bagai jenis anyaman dalam masyarakat Dusun sebagai satu warisan nenek moyang masa lalu itu hingga ke hari ini. Masyarakat Dusun masih lagi membawa kemahiran-kemahiran menganyam ini seperti kemahiran menganyam Kolobon, Sirung, Wakid, Barait, Saging, Sopilon, Boungon, dan Balatak. Hasil-hasil anyaman ini amat berfungsi dalam kehidupan masyarakat Dusun seharian, selaras dengan pekerjaan mereka sebagai petani.

Budaya ini telah dibawa dan berterusan di kalangan masyarakat Dusun di kampung Menawo Laut, Keningau. Kemahiran memproses hingga ke hasil anyaman masih terdapat di kampung ini tetapi kemahiran-kemahiran ini hanya ada pada golongan tua sahaja, sedangkan golongan muda tidak lagi berminat untuk meneruskan kemahiran-kemahiran memproses dan menganyam yang diwarisi dari nenek moyang di Tanah Besar Asia; Annam, ke Borneo Utara melalui kepulauan Filipina dan membuat penempatan asal di sekitar banjaran Crocker itu yang kaya dengan bahan mentah untuk menghasilkan kraf tangan. Hal ini ditegaskan oleh Elizabert dan John Alma seperti di bawah:

At the moment, in many of these villages a few older craftsman remain – but the younger members are not preparing to carry on.4

Salah satu kemahiran memproses bahan mentah dan menganyam yang semakin dilupakan oleh generasi muda di kampung Menawo Laut ialah proses membuat anyaman Kolobon iaitu sejenis tikar daripada isi buluh yang digunakan untuk menjemur padi.5 Menghasilkan Anyaman Kolobon sememangnya mudah kerana bahan-bahan yang diperlukan terdapat berhampiran dengan tempat kediaman iaitu disekitar perkampungan tersebut.

Penyumbang utama kepada kepupusan ini bukan sahaja faktor ketiadaan minat golongan generasi muda untuk mengekalkan anyaman Kolobon sebagai satu budaya warisan yang mesti dikekalkan dalam masyarakat Dusun tetapi faktor perubahan persekitaran turut menjadi menyumbang. Pada hari ini terdapat berbagai barangan moden yang mampu mengambil alih fungsi Kolobon, di mana barangan moden seperti karung guni lebih mudah didapati di kedai-kedai dengan harga yang murah sebagai alas menjemur padi.

Penggunaan anyaman Kolobon ini terhad di kampung sahaja iaitu sebagai alas menjemur padi dan boleh juga digunakan dalam beberapa kegiatan yang berkaitan dengan pertanian padi seperti alas penyimpan padi, alas sewaktu memisahkan padi dari tangkainya dan alas mengumpul padi sebelum padi itu di simpan. Keterbatasan kegunaannya kepada aktiviti pertanian padi di kampung sahaja menyebabkan proses membuat anyaman Kolobon tidak dilakukan dengan intensif.

Anyaman Kolobon ini dihasilkan apabila masyarakat Dusun di kampung Menawo Laut selesai menanam padi dan sementara menunggu padi boleh dituai. Ini bermakna anyaman Kolobon ini dihasilkan dalam waktu tertentu sahaja. Penghasilan yang bermusim ini, menghadkan penghasilan Kolobon kerana proses membuatnya dilakukan sekali dalam setahun mengikut keperluan.

Seni kraf lain yang terdapat dalam masyarakat kaum Dusun di kampung Menawo Laut, seperti anyaman Balatak iaitu bakul bimbit daripada buluh dan rotan atau bemban, anyaman Barait iaitu bakul sikut daripada rotan dan Sirung iaitu penutup kepala berbentuk kon yang dianyam daripada rotan atau buluh, mempunyai prospek pasaran yang luas, dengan itu proses membuat anyaman seni kraf di atas sentiasa terpelihara, berbanding dengan anyaman Kolobon yang mempunyai pasaran yang terhad kerana belum di ketengahkan sepenuhnya. Dengan itu, proses anyaman Kolobon kurang diambil perhatian oleh penggemar seni anyaman. Penggemar seni anyaman lebih menumpukan perhatian mereka kepada seni kraf yang mempunyai pasaran yang luas.

Generasi yang tidak berminat untuk mempelajari proses membuat anyaman Kolobon, barangan moden yang mampu mengambil alih peranan Kolobon dalam aktiviti pertanian, keterbatasan penggunaan dan penghasilan serta prospek pasaran yang terhad menjadikan anyaman Kolobon semakin kurang diambil perhatian sebagai satu seni kraf yang perlu dikekalkan dalam masyarakat kaum Dusun di Kampung Menawo Laut. Ini merupakan satu kerugian yang besar kepada masyarakat Dusun itu sendiri sekaligus membawa implikasi yang sama kepada negara kita.

Oleh:
Johanes Bin Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau

1. Mohamad Nazri Ahmad, Seni Anyaman di Sabah, (Selangor Darul Ehsan: Pustaka Mawar, 2000)

2. Elizabert & John Alma, Handcraft in Sabah, (Kuching, East Malaysia: Borneo Literature Bureau,  1963) 6.

3. Mohamad Nazri Ahmad, Seni Anyaman, ( Selangor Darul Ehsan: Pustaka Mawar, 2000) 2.

4. Elizabert & John Alma, Handcraft in Sabah, (Kuching, East Malaysia: Borneo Literature Bureau, 1963) 6.

5. Glosari Budaya Malaysia: Seni Anyaman (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia, 1995) 105.

Sunday, 15 March 2015

Konsep Pendidikan Seni Visual dalam KBSM

 Menurut Sufean Hussin (1996), sejak tahun 1989 sekolah menengah rendah telah menggunakan sepenuhnya Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM). Dalam KBSM Pendidikan Seni Visual (PSV) ialah mata pelajaran wajib di peringkat sekolah menengah rendah bagi membentuk keperibadian generasi Malaysia yang celik budaya kesenian. Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (2002), PSV hanya menjurus kepada seni tampak sahaja dan lebih menegaskan kegiatan dalam proses penghasilan dengan melibatkan aspek pemahaman, penghayatan dan kritikan. Proses ini menyentuh perasaan estetik dan daya kreativiti individu melalui penajaman daya intuisi, persepsi, imaginasi dan konsepsi pelajar. PSV merangkumi seni halus, komunikasi visual, reka bentuk dan kraf tradisional sama ada untuk aspek estetik mahupun aspek gunaan.

PSV melibatkan tiga domain utama iaitu domain kognitif, afektif dan psikomotor. Domain Kognitif ialah ilmu yang berkaitan dengan gubahan, prosedur, sejarah dan apresiasi, estetika serta seni dalam kehidupan. Domain Afektif ialah suatu aspek yang berkaitan dengan nilai, sikap, minat, keprihatinan, mempunyai pertimbangan, menghargai warisan dan mempunyai sahsiah yang baik. Domain Psikomotor ialah menumpukan kepada pertumbuhan kemahiran dalam pergerakan atau gerak balas yang boleh terbentuk melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan kualiti koordinasi antara mata , tangan, otot dan mental. Menurut Iberahim Hassan (2006), konsep dan struktur KBSM PSV oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2002), adalah berdasarkan empat disiplin ilmu dalam Dicipline Base Art Education (DBAE) iaitu disiplin penghasilan karya, disiplin sejarah seni, disiplin kritikan seni dan disiplin estetik seni kerana DBAE telah menjadi amalan terkini di peringkat antarabangsa. Penyelidik merumuskan PSV ialah proses penghasilan karya seni dengan melibatkan aspek pemahaman, penghayatan dan kritikan berlandaskan perasaan estetik dan daya kreativiti melalui imaginasi dan konsepsi pelajar.


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau


Rujukan:

Iberahim Hassan. (2006). Pendidikan Seni Visual Berasaskan Discipline Base of Art Education (DBAE). In Mohd Johari Ab.Hamid (Ed.), Metodologi Pendidikan Seni Visual. Tanjong Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2000). Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Pendidikan Seni Visual. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.

Sufean Hussin. (1996). Pendidikan di Malaysia Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sunday, 8 March 2015

Kerangka Teoritikal Dalam Kajian Kualitatif

Pentingnya Kerangka teoritikal dalam penyelidikan disebabkan oleh kerangka teoritikal juga menjadi sebahagian daripada faktor penting dalam pembentukan persoalan kajian dalam penyelidikan. Ia menjadi panduan bagi menentukan orientasi penyelidikan yang akan dilakukan. Kerangka teoritikal membentuk konsep, terma, definisi, model dan teori yang menjadi asas dan orientasi disiplin bagi kajian yang hendak dilaksanakan. Seterusnya akan membentuk "masalah" bagi kajian, soalan kajian, pengumpulan data dan analisis serta bagaimana hendak mentafsir data. Ini bermakna, semua aspek kajian akan mendapat impak daripada kerangka teoritikal yang akan dibentuk. Berikut ialah perkongsian tentang  kerangka teoritikal dalam penyelidikan yang pernah dijayakan oleh penulis ketika menjalankan penyelidikan.

Kerangka teoritikal kajian ini adalah menggunakan kerangka Model Discipline and Multi Discipline in Visual Art Education yang dipetik daripada Shukor Hashim dan Solihin Osman (2000). Model ini sesuai kerana meliputi pelbagai disiplin ilmu sebagai sandaran atau sokongan kepada empat disiplin utama yang terdapat dalam Discipline Based Art Education (DBAE). Menurut Dobbs (1998), amalan P&P melalui DBAE, mencakupi empat disiplin seni iaitu disiplin penghasilan karya, disiplin sejarah seni, disiplin kritikan seni dan disiplin estetik seni.

Dalam disiplin penghasilan produk seni, ianya lebih menekankan mengenai tatacara, kaedah, teknik dalam proses menghasilkan karya. Melalui disiplin sejarah seni, ianya merupakan sumber pengetahuan tentang teknik dan gaya penghasilan karya oleh seniman-seniman agung masa lalu dan masa kini sebagai satu bentuk motivasi. Disiplin kritikan seni memfokuskan kepada persepsi, deskripsi, analisa, interpretasi dan penilaian terhadap sesebuah karya dari sudut Asas Seni Reka (ASR) melalui aktiviti pemerhatian, penganalisisan dan penilaian karya-karya seni. Akhir sekali mengenai disiplin estetik seni, ianya mengenai kefahaman dan penguasaan asas-asas teori untuk menilai kualiti sesuatu kesenian yang terdapat di persekitaran. Menurut Iberahim Hassan (2006), DBAE sesuai dipraktikkan di sekolah kerana mempunyai struktur yang kukuh dan sesuai dengan matlamat PSV serta selari dengan matlamat pendidikan kebangsaan. Walau bagaimanapun, penyelidik telah membuat pengubahsuaian kepada model ini supaya menepati bentuk kajian yang telah dilaksanakan.


Berdasarkan Rajah 1.1 di atas, penyelidik cuba melihat dan memahami bagaimana empat disiplin dasar yang terkandung dalam DBAE yang mempunyai empat komponen penting dalam penyelidikan ini. Komponen pertama ialah guru PSV yang menjadi nadi dan penggerak utama kepada pengajaran dan pembelajaran (P&P) Pendidikan Seni Visual (PSV) di dalam kelas atau bilik seni. Komponen yang kedua ialah strategi P&P iaitu pengetahuan guru tentang pendekatan, kaedah, dan teknik P&P agar dapat melaksanakan P&P PSV dengan berkesan. Komponen ketiga ialah ASR yang mana terbahagi kepada dua bahagian iaitu unsur-unsur seni dan prinsip-prinsip rekaan. Komponen yang keempat ialah pelajar yang akan dilibatkan secara intensif dalam pelbagai aktiviti P&P oleh guru seni dengan produk akhirnya ialah hasil karya sama ada dalam bentuk karya dua dimensi atau karya tiga dimensi.

Komponen pertama ialah guru seni yang melaksanakan proses P&P di sekolah ialah mereka yang telah mendapat latihan keguruan secara intensif dan terancang. Menurut Isahak Haron (1982), profesion keguruan memerlukan asas pengetahuan yang luas mengenai sesuatu bidang ilmu dan juga memerlukan latihan dan kemahiran dalam menjalankan amalan pengajaran. Latihan keguruan ini diprogramkan mengikut bidang atau pengkhususan mata pelajaran yang ditawarkan sama ada di maktab-maktab perguruan atau institusi pendidikan tinggi (Mohd. Sahandari Gani b. Hamzah et al., 2002). Justeru itu, guru-guru seni yang bertauliah mampu menggerakkan keupayaan pengalaman profesion keguruannya dalam membina konsep amalan pendidikan di sekolah berteraskan konsep DBAE.

Komponen yang kedua ialah pengetahuan guru tentang pendekatan, kaedah dan teknik P&P. Terdapat pelbagai pendekatan, kaedah, strategi dan teknik dalam melaksanakan P&P PSV di sekolah yang bersesuaian dengan konsep DBAE. Pada guru seni diletakkan tanggungjawab untuk memilih pendekatan, kaedah, strategi dan teknik ini agar menghasilkan impak pembelajaran yang berkesan di pihak pelajar. Pendekatan dalam P&P PSV seperti pendekatan proses dan produk, pendekatan Chapman (1998) iaitu pemerhatian, penerokaan, penghasilan dan apresiasi. Kaedah dalam P&P PSV seperti kaedah simulasi, sumbangsaran, projek, akses kendiri dan lawatan. Strategi dalam P&P PSV seperti mengenal konsep, kajian masa depan, kepelbagaian kecerdasan, teknologi maklumat dan komunikasi, pembelajaran kontekstual, pendekatan konstruktivisme, kemahiran berfikir dan pembelajaran masteri. Teknik dalam P&P PSV seperti teknik soal jawab, teknik memberi arahan, teknik tunjuk cara, teknik tindak balas, teknik bercerita, kawalan kelas, menggunakan sumber bahan P&P, teknik penerangan menggunakan contoh, ilustrasi dan sumber P&P serta teknik penutup. Menurut Suria Baba (2007), kesepaduan dan kesesuaian pendekatan, kaedah, strategi dan teknik P&P akan membantu mewujudkan pembenaman ilmu pengetahuan yang jitu dalam minda pelajar.

Komponen ketiga ialah penyelidik mengemukakan pengetahuan kurikulum yang difokuskan kepada ASR. Komponen ketiga ini bertepatan sekali dengan konsep DBAE sebagai salah satu model kurikulum yang menjadi rujukan asas dalam pembinaan kurikulum, yang mana menekankan keperluan untuk memahami dan mengaplikasi ASR dalam penghasilan karya seni. ASR itu terbahagi kepada dua kumpulan iaitu unsur-unsur seni dan prinsip-prinsip rekaan. ASR ini wajib dikuasai oleh para pelajar di peringkat menengah rendah seperti yang termaktub dalam kurikulum PSV menengah rendah sebagai mata pelajaran teras. Menurut Iberahim Hassan (2000), pada dasarnya, P&P pendidikan seni adalah untuk mendidik pelajar menggunakan kefahaman dalam ASR untuk mengaplikasikan idea kreatif mereka melalui media. Keperluan utama untuk ASR ini disampaikan kepada pihak pelajar dengan berkesan ialah kebijaksanaan guru-guru seni memanipulasi dan mengaplikasikan pendekatan, kaedah, strategi dan teknik dalam P&P, selari dengan objektif rancangan pengajaran yang hendak disampaikan. Menurut Mohd Fauzi Bin Sedon @ M. Dom (2009), salah satu aspek penting yang menjadi persoalan utama yang mendasari setiap penghasilan karya seni itu ialah aspek formalistik.

Komponen keempat ialah pelajar yang akan dilibatkan secara aktif dalam pelbagai aktiviti P&P oleh guru seni dengan produk akhirnya ialah hasil karya sama ada dalam bentuk karya dua dimensi atau karya tiga dimensi seperti yang dihasratkan oleh DBAE. Bagi mencapai maksud tersebut pelajar akan didedahkan dengan kemahiran ASR secara teori kemudian diikuti oleh aktiviti gerak kerja dalam bentuk penghasilan karya sebagai kerja amali. Hakikatnya, pelajar-pelajar di dalam kelas atau bilik seni adalah terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza dan ini pastinya akan menimbulkan masalah jika guru tidak bijaksana menyesuaikan dengan strategi P&P yang bersesuaian dengan latar belakang pelajar. Perbezaan yang ketara ialah kebolehan membuat gambaran secara visual (Gardner, 1993). Satu daripada cara untuk mengurangkan masalah yang timbul akibat perbezaan ini adalah dengan mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran (Esah Sulaiman, 2003).


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau
Rujukan:

Chapman, L. H. (1998). Approaches to Art in Education. New York: Harcourt Brace Jovanovich.

Dobbs, S. M. (1998). A Guide to Discipline-Based Art Education: Learning in and through Art. Los Angeles: Getty Publications.

Gardner, H. (1993). Multiple Intelligence : The Theory in Practice. New York: Basic Books.

Iberahim Hassan. (2006). Pendidikan Seni Visual Berasaskan Discipline Base of Art Education (DBAE). In Mohd Johari Ab.Hamid (Ed.), Metodologi Pendidikan Seni Visual. Tanjong Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Isahak Haron. (1982). Keguruan dan Perguruan: Ke Arah Satu Profesion. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributor Sdn. Bhd.

Md. Nasir Ibrahim & Iberahim Hassan. (2003). Pendidikan Seni untuk Maktab dan Universiti. Betong Pahang Darul Makmur: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Mohd. Sahandari Gani b. Hamzah, Hafidah bt. Mohamed, Abdullah b. Mohd. Noor & Lilia bt. Halim. (2002). Analisis Pemikiran Guru Cemerlang: Ke Arah Melahirkan Guru Berpotensi. Jurnal Penyelidikan Pendidikan, Jilid 4, 130-143.

Shukor Hashim & Solihin Osman. (2000). Model "Discipline and Multiple Discipline in Visual Art Education" Untuk Pengajaran dan Pembelajaran Seni Di Peringkat Institusi Pengajian Tinggi. Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Seni Visual (pp. 51-55). Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sidek Mohd Noah. (2002). Reka Bentuk Penyelidikan: Falsafah, Teori dan Pratis. Serdang: Universiti Putra Malayysia.

Suria bt Baba. (2007). Pelaksanaan Aktiviti Prapenulisan Bahasa Melayu Dilandasi Oleh Teori Pembelajaran Berasaskan Otak. Jurnal Penyelidikan Pendidikan Guru, Vol.3, 21-44.

Friday, 6 March 2015

Konsep Teknik dan Hubungan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Pencapaian Pelajar

Teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Anthony (1963) mengatakan bahawa teknik ialah kemahiran guru yang digunakan untuk pengelolaan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti P&P. Menurut Azman Wan Chik (1987), teknik ialah apa yang dilihat dalam bilik darjah. Kamarudin Husin dan Siti Hajar Abdul Aziz (1998) berpendapat bahawa teknik pengajaran ialah pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah di mana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif.

Berdasarkan pendapat tokoh-tokoh ilmiah dalam ilmu pedagogi di atas, dapat disimpulkan bahawa teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah P&P yang mana menjadi kemahiran guru untuk mengelola dan melaksanakan kaedah pengajaran dalam sesuatu aktiviti P&P di dalam bilik darjah. Justeru itu, guru hendaklah melaksanakan teknik pengajaran sebagai suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah bagi mencapai sesuatu objektif yang dirancang. Jika seseorang guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik yang ada pada sesuatu kaedah maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan tidak berhasil. Teknik dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) adalah terdiri daripada teknik syarahan, teknik demonstrasi, teknik penyoalan, teknik perbincangan, teknik latihan terbimbing, teknik latihan terbuka, teknik berkumpulan, teknik bermain, teknik simulasi dan teknik inkuiri penemuan.

Sementara itu, menyentuh tentang hubungan kaedah P&P dalam pencapaian pelajar, Cage dalam Noraini Idris (2009), menyatakan bahawa terdapat hubungan positif antara kaedah pengajaran dan tahap pencapaian pelajar. Kaedah pengajaran yang bersesuaian dengan kandungan isi pelajaran dan kemahiran-kemahiran yang hendak disampaikan oleh guru adalah salah satu faktor yang berkesan untuk mempengaruhi pelajar mencapai kejayaan. Dapatan kajian itu juga mendapati bahawa keputusan guru memilih kaedah pengajaran mempengaruhi tingkah laku pelajar, malah tingkah laku dan sifat peribadi guru juga dikenal pasti mempunyai kesan terhadap pencapaian pelajar. Dalam kajian Supramani (2006), ke atas soalan-soalan guru dan respon pelajar, beliau mendapati bahawa kebanyakan guru lebih kecenderungan mengemukakan soalan kognitif pada aras rendah berbanding soalan kognitif pada aras tinggi. Kecenderungan guru menyoal pada aras rendah telah menyebabkan pelajar-pelajar hanya mengingati semula apa yang mereka baca sahaja manakala penyoalan pada aras tinggi telah menyebabkan pelajar-pelajar rasa tercabar, menggalakkan para pelajar mengemukakan pendapat, menjana idea baru, mencari penyelesaian sesuatu masalah serta mula berfikir secara kritis dan kreatif.

Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau


Rujukan:

Anthony, E. M. (1963). English Language Teaching. Approach, Method and Technique(17), 63-57.

Azman Wan Chik. (1987). Kaedah Hayati Amali. Kuala Lumpur: Karya Bistari .

Kamarudin Husin & Siti Hajar Abdul Aziz. (1998). Pengajaran Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.

Noraini Idris. (2009). Isu dan Cabaran dalam Pengajaran dan Pembelajaran. dlm. Pengajaran Dan Pembelajaran Teori dan Praktis. Kuala Lumpur: McGraw Hill Education.

Supramani, S. (2006). Penyoalan Guru: Pemangkin Aras Tinggi murid. Jurnal Pendidikan, 225-248.