Thursday 19 March 2015

Analisis Hasil Karya Pelajar Berasaskan Unsur Seni Bentuk

Hasil karya pelajar bertajuk Alatan Ke Sekolah merupakan lukisan alam benda dengan objek beg galas, buku dan bekas menggunakan media pensel di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Lukisan menggambarkan alatan ke sekolah disusun mengikut komposisi tiga segi di atas satu permukaan pada aras mata memandang dengan arah pencahayaan daripada sudut sebelah kanan.

Tajuk: Alatan Ke Sekolah

Lukisan bertajuk Alatan Ke Sekolah menunjukkan terdapat beg galas, bekas botol air plastik dan buku sebagai bentuk ilusi yang telah dilukis di atas permukaan kertas lukisan melalui proses imitasi daripada bentuk konkrit. Objek dilukis pada paras mata memandang. Berdasarkan paparan lukisan yang telah dihasilkan, secara asasnya pelajar mengetahui beberapa teknik untuk mencipta bentuk ilusi pada permukaan dua dimensi menggunakan media pensel seperti membuat beberapa contengan garisan mewujudkan bentuk dan memasukkan beberapa lorekan muda untuk menampakkan kesan ton. Namun melihat kepada objek-objek yang telah dilukis, pelajar masih berada pada tahap yang lemah untuk melukis bentuk yang mempunyai nilai estetika berdasarkan bentuk konkrit kepada bentuk ilusi ke atas permukaan 2 dimensi.

Aplikasi jenis dan fungsi garisan dalam objek-objek pada lukisan telah menunjukkan pelajar lemah dalam lakaran tangan bebas bagi mewujudkan bentuk seperti bentuk kuboid untuk beg galas dan bentuk silinder untuk bekas botol air. Tidak ada tekanan yang berat atau ringan pada garisan. Jenis-jenis garisan seperti garisan halus, garisan tebal, garisan beralun yang kemas tidak diwujudkan untuk menjadi bentuk ilusi yang sempurna. Kesan lorekan untuk mewujudkan ton yang menarik juga kelihatan sangat lemah. Lorekan pensel gelap tidak menunjukkan perjalanan ton daripada gelap perlahan-lahan menjadi cerah di kawasan yang mendapat cahaya. Akhir sekali ialah kesan ton memperlihatkan arah cahaya daripada sudut yang berbeza iaitu kesan bayang pada objek menunjukkan arah cahaya daripada belakang manakala kesan ton menunjukkan arah cahaya daripada kanan telah menyebabkan bentuk mengalami kesan yang bercelaru selain objek-objek kelihatan terapung di angkasa kerana tidak ada permukaan yang menyokong daripada bawah. Secara keseluruhan dalam lukisan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap sederhana dalam mengaplikasikan unsur bentuk dalam pengkaryaan.

Hasil karya pelajar bertajuk Kon merupakan lukisan alam benda dengan objek sebuah kon menggunakan media krayon di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Lukisan menggambarkan sebuah kon di atas permukaan berlapiskan kain berlatar dinding yang mempunyai jalinan beberapa posisi garisan berulang-ulang secara menegak, melintang dan mendatar.

Tajuk: Kon

Lukisan bertajuk kon menunjukkan pelajar mempunyai daya interaksi antara pandangan mata dengan pergerakan tangan untuk mewujudkan bentuk ilusi kon di atas permukaan dua dimensi. Pelajar mempunyai pengetahuan tentang garisan, jalinan, ruang dan warna. Pelajar memahami bagaimana mengaplikasikan garisan, jalinan, ruang dan warna ke dalam bentuk-bentuk asas menggunakan media krayon. Pelajar dapat melukis bentuk asas dengan baik seperti bentuk kon. Dalam lukisan bertajuk Kon, bentuk kon digambarkan dengan teliti dan kemas menggunakan garisan melengkung pada kaki kon, garisan lurus pada kiri dan kanan menuju ke puncak bertemu menjadi bucu. Bentuk ilusi pada kon kelihatan tiga dimensi apabila diwarnakan dengan warna harmoni daripada kumpulan warna jingga mengikut ton arah pencahayaan daripada sudut sebelah kanan kertas lukisan. Pada kawasan yang kurang mendapat cahaya diwarnakan gelap perlahan-lahan cerah pada kawasan yang mendapat cahaya lebih mengikut bentuk kon dari bucu ton adalah kecil perlahan-lahan membesar menuju ke kaki kon. Pencahayaan disempurnakan dengan meletakkan bayang-bayang pada bahagian belakang kon yang terlindung daripada cahaya pada kadar warna yang sederhana dengan menggunakan warna biru. Pelajar juga bijak meletakkan garisan-garisan halus pada kawasan yang cerah sebagai jalinan halus pada bentuk kon. Secara keseluruhan dalam lukisan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap baik dalam mengaplikasikan unsur bentuk dalam pengkaryaan.

Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau