Kesahan dalam paradigma kualitatif telah didefinisikan oleh Othman Lebar (2009) dan Chua Yan Piaw (2006). Menurut Othman Lebar (2009), kesahan dalam kajian kualitatif ialah sama ada dapatan kajian adalah benar dan pasti iaitu dapatan kajian menggambarkan dengan tepat situasi sebenar dan pasti dalam erti kata hasil kajian disokong oleh bukti dan tidak ada asas untuk meraguinya. Suatu penyelidikan kualitatif boleh dipercayai jika orang lain bersetuju bahawa mereka akan mempunyai pengalaman tersebut walaupun mereka hanya membaca laporan penyelidikan (Chua Yan Piaw, 2006).
Secara umumnya terdapat dua kategori kesahan dalam penyelidikan kualitatif iaitu kesahan dalaman dan kesahan luaran. Menurut Merriam (2001), kesahan dalaman berkait dengan kesepadanan antara dapatan kajian dengan realiti. Sementara itu, kesahan luaran berkait dengan sejauh mana dapatan kajian dapat digeneralisasikan dalam situasi lain (Othman Lebar, 2009). Bagaimanapun, Lincoln dan Guba (1985) telah menyatakan penyelidik kualitatif akan kurang memberi tumpuan kepada isu generalisasi, sebaliknya mereka menyediakan deskripsi yang terperinci tentang konteks kajian bagi membolehkan pembaca membandingkan kesesuaian dapatan dalam situasi mereka. Bagi penyelidik kualitatif, mereka mestilah cuba menghapuskan ancaman ke atas kesahan selepas sahaja penyelidikan bermula, menggunakan data dan bukti yang dikumpulkan semasa penyelidikan. Terdapat beberapa ancaman kesahan seperti data yang tidak tepat kerana penyelidik menekankan kerangka atau makna penyelidik sendiri dan memberi perhatian kepada data yang tidak sesuai (Othman Lebar, 2009).
Menurut Merriam (1998), kebolehpercayaan ialah dapatan penyelidikan itu mempunyai replikasi apabila penyelidikan dilakukan dalam situasi yang sama. Chua Yan Piaw (2006) menghuraikan kebolehpercayaan dalam sesuatu penyelidikan merujuk kepada keupayaan kajian itu untuk memperoleh nilai serupa apabila pengukuran yang sama diulangi. Akan tetapi, kebolehpercayaan adalah sukar untuk ditentukan dengan tepat dalam penyelidikan kualitatif disebabkan perlakuan manusia bukan statik meskipun dalam situasi yang sama apabila membuat replikasi atau pengulangan kajian. Justeru, dalam konteks penyelidikan kualitatif, konsep kebolehpercayaan adalah berkait dengan soal kebolehsandaran dan ketekalan data yang dikumpul (Othman Lebar, 2009). persoalannya bukan dapatan yang sama akan ditemui semula tetapi keputusan atau dapatan kajian itu adalah tekal dengan data yang dikumpul.
Bagi mengenal pasti kesahan dan kebolehpercayaan data penyelidikan ini adalah benar, pasti dan mempunyai status data yang tekal tanpa ragu, beberapa kaedah dan teknik telah dijalankan dalam penyelidikan ini seperti menggunakan kaedah triangulasi menurut Denzin (1979), analisis data menggunakan pakej perisian Nvivo, pemeriksaan oleh rakan, pemerhatian berulang-ulang terhadap fenomena yang sama dan deskripsi yang kaya dan terperinci. Triangulasi adalah proses untuk mendapatkan data sah melalui penggunaan kepelbagaian instrumen. Penggunaan kaedah triangulasi telah memperkukuhkan kesahan dan kebolehpercayaan serta memperkayakan data. Menurut Flick (1992) triangulasi adalah membawa kepada multi-perspektif dan meta-interpretasi. Menurut Denzin (1979) terdapat empat jenis triangulasi iaitu triangulasi sumber data, triangulasi kaedah, triangulasi penyelidik dan triangulasi teori. Dalam penyelidikan ini hanya menggunakan dua jenis triangulasi sahaja iaitu triangulasi sumber data dan triangulasi kaedah.
Triangulasi sumber data ialah menguji kredibiliti data dilakukan dengan cara memeriksa data yang telah diperoleh melalui beberapa sumber seperti pemerhatian, temu bual dan analisis dokumen. Penyelidik membandingkan data hasil wawancara dengan data hasil pemerhatian, hasil data temu bual dengan hasil data analisis dokumen. Perbandingan sumber-sumber data tersebut dapat menemukan kesamaan atau perbezaan data. Triangulasi kaedah ialah penggunaan pelbagai kaedah untuk menyelidiki sesuatu hal. Dalam penyelidikan ini, penyelidik menggunakan pelbagai kaedah seperti temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen untuk mengumpulkan sebanyak mungkin data primer. Melalui kaedah ini penyelidik telah memungut data primer melalui pemerhatian dengan disusuli dengan sesi temu bual dengan peserta kajian terhadap aktiviti P&P PSV di dalam kelas atau bilik seni dan seterusnya membuat pungutan hasil-hasil karya pelajar sebagai dokumen untuk dianalisis menggunakan pakej perisian Nvivo. Sekiranya kesimpulan bagi setiap kaedah yang digunakan adalah sama maka kesahan dapat diwujudkan.
Lincoln dan Guba (1985) menyatakan bahawa prosedur pemeriksaan oleh rakan merupakan teknik yang paling penting dalam membina kredibiliti data dan dapatan kajian. Prosedur ini melibatkan data dan interpretasi dirujuk kembali kepada peserta kajian untuk dikaji dan diperiksa bagi membolehkan peserta kajian mengesahkan ketepatan dan kebenaran maklumat dan laporan kajian. Justeru, dalam penyelidikan ini, ppemeriksaan oleh rakan ialah penyelidik memohon jasa baik peserta kajian untuk memastikan ketepatan data yang dipungut.
Menurut Othman Lebar (2009) berada di lapangan dalam tempoh yang panjang memberi peluang kepada penyelidik mengadakan pemerhatian yang berulang kali, membina kepercayaan peserta kajian kepada penyelidik, membina hubungan yang baik supaya peserta kajian selesa memberikan maklumat. Bermakna, pemerhatian berulang-ulang terhadap fenomena yang sama akan meningkatkan kesahan data dalam penyelidikan ini. Oleh itu, penyelidik telah berada di lapangan selama sebulan dan telah memberi peluang kepada penyelidik mengadakan pemerhatian berulang kali, membina kepercayaan peserta kajian kepada penyelidik dan menjalin hubungan yang baik supaya peserta kajian selesa memberikan maklumat.
Menurut Denzin (1979) deskripsi yang tebal merupakan deskripsi yang mendalam, padat dan terperinci akan tetapi deskripsi yang nipis adalah kurang terperinci dan hanya melaporkan fakta. Melalui deskripsi yang kaya dan terperinci seperti yang dinyatakan oleh Denzin (1979) penyelidik meletakkan pembaca kepada situasi P&P PSV di sekolah. Deskripsi yang mendalam tentang P&P PSV di sekolah membolehkan pembaca membuat keputusan sama ada kebolehgunaan dapatan kajian kes ini kepada kajian kes yang serupa di tempat yang lain. Kesimpulannya, untuk meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan dalam penyelidikan ini, penyelidik perlu mempunyai minda terbuka yang dapat memahami data kajian dengan jelas dan berupaya menghuraikannya secara tepat dengan tidak terpengaruh oleh perasaan serta pandangan diri yang subjektif.
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau
Rujukan:
Denzin, N.K. (1979). The Research Act: A theoretical Introduction to Sociological Methods. New York: McGraw Hill.
Flick, U. (1992). Triangulation Revisited - Strategy of or Alternative to Validation of Quali-tative Data. Journal for the Theory of Social Behaviour, 2/1992, 175-197.
Lincoln, Y. S. & Guba, E. G. (1985). Naturalistic inquiry. Beverly Hills, CA: Sage Publications, Inc.
Merriam, S. B. (1998). Qualitative Research and Case Study Applications in Education. San Francisco: Jossey-Bass.
Merriam, S. B. (2001). Qualitative Research and Case Study Applications in Education. San Francisco: Jossey-Bass Pub.
Othman Lebar. (2009). Penyelidikan Kualitatif Pengenalan Kepada Teori dan Method. Tanjong Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.