Semasa P&P PSV berlangsung, pelajar akan melalui dua proses penting dalam pengkaryaan iaitu proses kreativiti dan proses artistik. Dalam proses kreativiti pelajar akan melalui empat proses kreativiti iaitu persediaan, inkubasi, iluminasi dan pengesahan manakala proses artistik melibatkan kemahiran mengaplikasikan elemen-elemen seni dan prinsip-prinsip rekaan semasa berkarya dengan menggunakan peralatan, media dan teknik. Mendasari proses penghasilan karya ialah proses melakar. Menurut Muliyadi Mahamood (2004), melakar adalah sebahagian daripada proses pengkaryaan yang diamalkan oleh pelukis sebelum menghasilkan sesuatu karya. Meskipun melakar itu sering dianggap sebagai proses, ada pelukis yang menjadikan lakaran sebagai atau lukisan karya akhir.
Fokus kepada penghasilan karya seni dalam kalangan pelajar sekolah menengah rendah adalah menitik beratkan ilmu pengetahuan tentang ASR yang terdiri daripada unsur-unsur seni dan prinsip-prinsip rekaan manakala konsep penghasilan seni visual adalah tertakluk kepada sukatan mata pelajaran KBSM PSV oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2002). Terdapat empat bidang seni visual yang diperkenalkan dalam KBSM PSV peringkat sekolah menengah rendah iaitu bidang seni halus, komunikasi visual, reka bentuk dan kraf tradisional. Dalam bidang seni halus pelajar akan menghasilkan karya dalam bentuk dua dimensi atau tiga dimensi seperti lukisan, catan, seni cetak dan arca. Dalam bidang komunikasi visual pelajar akan menghasilkan karya seperti poster, simbol, logo, maskot, tipografi, papan iklan, ilustrasi dan pembungkusan. Dalam reka bentuk industri, pelajar-pelajar akan menghasilkan karya seperti produk industri, landskap dan hiasan dalaman. Akhir sekali bidang kraf tradisional, pelajar-pelajar akan menghasilkan karya seperti tembikar, anyaman, ukiran kayu, batik dan tekat. Kebanyakan hasil karya pelajar yang dihasilkan adalah menggunakan alatan, media dan teknik konvensional yang mana kurang menggunakan bantuan teknologi.
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau
Rujukan:
Kementerian Pendidikan Malaysia. (1976). Sukatan Pelajaran Sekolah Menengah, Seni Lukis dan Pertukangan Tangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muliyadi Mahamood. (2004). Segerak Yusof Ghani. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors .
Rujukan:
Eisner, E.W.
(1972). Educating Artistic Vision. New York: Macmillan.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (1976). Sukatan Pelajaran Sekolah Menengah, Seni Lukis dan Pertukangan Tangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muliyadi Mahamood. (2004). Segerak Yusof Ghani. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors .