Meneliti
kandungan kurikulum pendidikan seni oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2000), Asas Seni Reka (ASR) adalah terdiri daripada unsur-unsur seni dan prinsip-prinsip rekaan.
Unsur-unsur seni terdiri daripada garisan, warna, jalinan, rupa, bentuk, dan
ruang. Prinsip-prinsip rekaan pula terdiri daripada pergerakan, imbangan,
harmoni, kontra, penegasan, kepelbagaian, dan kesatuan. Unsur-unsur inilah yang
merupakan asas untuk semua reka bentuk dicipta. Namun jika hanya dengan
unsur-unsur seni itu sahaja, tidak akan dapat membentuk sebuah karya yang baik
tanpa diorganisasikan mengikut prinsip-prinsip rekaan. Gabungan unsur-unsur
seni dan prinsip-prinsip rekaan mewujudkan ASR dan menjadikan sesuatu hasil
karya lengkap dan mempunyai nilai estetika yang tinggi (Wallschlaeger &
Busic-Snyder, 1992).
Setiap hasil kerja
seni tampak walau semudah mana pun mengandungi sekurang-kurangnya dua unsur
seni (Chang Hoon Woon, 1997). Akan tetapi, untuk mewujudkan dan menegakkan
sesuatu karya seni itu memerlukan prinsip-prinsip
seni berfungsi di dalam karya biarpun sedikit secara tersirat atau tersurat
agar objek seni itu dapat dibincangkan secara ilmiah. Oleh itu, seni mesti
bertunjang kepada ilmu kerana tanpa ilmu kesenian sesuatu objek itu sukar untuk
diinterpretasikan (Zakaria Ali, 1989). Kesukaran untuk menginterpretasikan
sebuah karya bertambah rumit apabila adanya makna tertentu di sebalik bentuk
seni yang pada masa ini di luar kemampuan peminat seni untuk memahaminya
(Knobler, 1985). Menurut Nateman (1993), penghayatan imej tampak memerlukan
deskripsi terhadap pemerhatian inventori pada imej-imej tampak. Kadangkala
karya seni itu bersifat ekspresif dan unik dari pengalaman-pengalaman pengkarya
dan untuk membahaskan karya seni di peringkat ini memerlukan pengamatan
prinsip-prinsip seni secara intuitif dan subjektif (Ocvirk et al., 2006).
Menurut Michael (1983),
terdapat lapan kepentingan penguasaan ASR dalam kalangan pelajar harus
dikuasai. Lapan kepentingan itu ialah seni visual sebagai alat komunikasi, seni
visual sebagai ekspresif, seni visual sebagai kepekaan pengamatan, seni visual
sebagai meningkatkan kesedaran estetik, seni visual sebagai pengetahuan dan
kefahaman, seni visual sebagai kreativiti, seni visual sebagai kemahiran dan
seni visual sebagai keseimbangan hidup dan pendidikan. Memandangkan adanya
penekanan ASR yang meluas dalam peringkat menengah rendah dan lapan kepentingan
penguasaan ASR seperti yang dinyatakan oleh Michael (1983), adalah jelas ASR
memerlukan ilmu pedagogi yang tepat khususnya dari aspek strategi, pendekatan,
kaedah dan teknik daripada guru-guru seni untuk disampaikan kepada pelajar
semasa proses P&P PSV berlangsung di dalam kelas atau bilik seni.
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau
Rujukan:
Kementerian Pendidikan Malaysia. (1976). Sukatan Pelajaran Sekolah Menengah, Seni Lukis dan Pertukangan Tangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Knobler, N. (1985). Dialog Seni Tampak. (Zakaria Ali, Trans.) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka Dengan Kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia.
Michael, J. A. (1983). Art and Adolenssence-Teaching Art At The Secondary School Level. New York: Teachers College Press.
Nateman, D. S. (1993). Introduction of Art. USA: McGraw Hill.
Ocvirk, O. G., Stinson, R. E., Wigg, P.R., Bone, R.O. & Cayton, D.L. (2006). Art Fundementals Theory and Practice (Tenth ed.). New York: McGraw Hill.
Wallschlaeger, c. & Snyder, C.B. (1992). Basic Visual Concepts and Pronciples for Artists, Architects and Designers. Iowa, USA: McGraw-Hill Companies.
Zakaria Ali. (1989). Pengertian Seni Halus. In Seni dan Seniman Esei-esei Seni Halus (pp. 3-11). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka & Kementerian Pendidikan Malaysia.