Sunday 1 March 2015

Definisi Konsep Strategi Pengajaran dan Pembelajaran PSV

Kurikulum memberi tumpuan utama kepada apa yang hendak diajar manakala pengajaran memberi fokus kepada bagaimana hendak mengajar (Snelbecker, 1974). Fokus kepada kurikulum Pendidikan Seni Visual (PSV) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2000), adalah disusun berdasarkan dua bidang utama iaitu bidang penghasilan seni visual serta sejarah dan apresiasi seni visual. Dua bidang inilah yang menjadi tanggungjawab guru seni untuk disampaikan kepada tiga komponen dalam P&P yang saling berkait iaitu pelajar, subjek dan masyarakat (Eisner, 1972). Bagi menyampaikan isi kandungan kurikulum mengikut objektif yang telah ditetapkan kepada subjeknya, guru seni memerlukan cara-cara pengendalian sesuatu aktiviti P&P dengan sistematik yang dikenali sebagai strategi pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Dalam konteks P&P, strategi ialah kebijaksanaan dan kecekapan guru memilih pendekatan, kaedah dan teknik untuk mencapai objektif-objektif P&P yang telah ditetapkan. Strategi yang efektif dalam P&P ialah proses memilih pendekatan diikuti oleh kaedah dan teknik mengikut kesesuaian aktiviti dan objektif P&P yang dirancang. Pendekatan ialah cara-cara guru mendekati para pelajar di dalam P&P dengan merujuk kepada beberapa teori yang berkaitan dengan sifat-sifat semula jadi pelajar seperti pendekatan induktif, deduktif dan eklektik. Kaedah ialah peringkat di mana sesuatu teori pengajaran dipraktikkan dan dikelolakan dalam P&P seperti kaedah menyoal, bimbingan dan demonstrasi. Teknik ialah kemahiran guru dalam mengelola dan menjalankan langkah-langkah dalam aktiviti P&P seperti teknik menyoal, teknik bimbingan dan teknik demonstrasi.

Strategi P&P dapat dikelompokkan dalam empat pemusatan iaitu strategi berpusat guru, pelajar, bahan dan tugasan. Strategi berpusat guru ialah guru mengawal dan menguasai segala aktiviti pembelajaran, yang mana guru banyak berperanan di dalam bilik darjah dan pelajar pula lebih bertindak sebagai penonton sahaja. Pemusatan ini lebih bersifat autokratik. Strategi berpusat pelajar ialah pelajar lebih banyak berperanan dan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti pembelajaran secara aktif, sementara itu guru hanya bertindak sebagai pembimbing di dalam bilik darjah. Strategi berpusat bahan ialah penggunaan bahan bantu mengajar secara realistik seperti benda-benda maujud dan konkrit dalam P&P. strategi berpusat tugasan ialah guru merancang aktiviti seperti melukis dan mencatan dan pelajar akan memainkan peranan dalam menjayakan aktiviti yang telah dirancang. Terdapat dua situasi tugasan yang selalu diberikan oleh guru iaitu tugasan dalam kelas semasa P&P berjalan dan tugasan kerja rumah. Hasil daripada aplikasi strategi dalam P&P maka berlakulah perubahan yang relatif kekal dalam tingkah laku atau pengetahuan hasil daripada pengalaman. Perubahan merupakan suatu penambahan yang baru, pengukuhan dan pengubahsuaian yang berlaku dalam diri pelajar.


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau


Rujukan:

Eisner, E.W. (1972). Educating Artistic Vision. New York: Macmillan.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (1976). Sukatan Pelajaran Sekolah Menengah, Seni Lukis dan Pertukangan Tangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Snelbecker, G. (1974). Learning Theory, Instructional Theory, and Psychoeducational Design. New York: McGraw Hill.