Salam Sejahtera kepada siswa siswi PISMP PSV IPGK Keningau.
Penulisan kali ini memfokuskan kepada apakah instrument kajian menurut kaedah penyelidikan kualitatif. Saya berharap para pelajar dapat memahami dengan jelas apakah persediaan instrument kajian apabila anda memilih metodologi kajian mengikut pradigma penyelidikan kualitatif. Semoga penulisan ini juga dapat membantu anda dalam menjayakan penyelidikan kajian tindakan anda dengan jayanya.
Menurut
Creswell
(1994) dalam kajian kualitatif penyelidik
bertindak sebagai instrumen kajian. Dalam penyelidikan, penyelidik adalah
instrumen utama yang bertindak untuk memungut data secara pemerhatian, temu
bual dan analisis data di lapangan seterusnya menganalisis data. Justeru, penyelidik
perlu berada dalam situasi yang dikaji, contohnya mendengar dan memerhati sendiri fenomena yang menjadi persoalan utama dalam kajian. Penyelidik mempunyai
tanggungjawab menganalisis peristiwa-peristiwa yang berlaku di persekitaran
ketika menjalankan kutipan data. Kutipan data dijalankan adalah secara
berterusan.
Penyelidik menggunakan
alat-alat bantu untuk mengumpulkan data seperti panduan pemerhatian, panduan
temu bual, borang pemerhatian dan borang temu bual. Panduan pemerhatian
digunakan agar penyelidik dapat melakukan penyelidikan sesuai dengan tujuan
kajian. Panduan temu bual digunakan agar temu bual yang dilakukan tidak
menyimpang dari tujuan penyelidikan ini. Panduan-panduan ini disusun
berdasarkan tujuan penyelidikan. Borang pemerhatian dan borang temu bual
digunakan untuk merekod hasil pemerhatian dan temu bual. Penyelidik juga
menggunakan rakaman video digital, rakaman audio digital dan kamera digital. Penggunaan
alat-alat bantu sangat penting untuk merakam peristiwa-peristiwa di
persekitaran ketika menjalankan kutipan data agar dapat menjadi rujukan penting
jika berlaku kekeliruan dan keciciran data ketika di lapangan (Chua Yan Piaw,
2006) .
Lofland
& Lofland (1995) mencadangkan bahawa jika nota-nota lapangan
diperlengkap dengan pita rakaman, penyelidik sepatutnya menyalin nota lapangan
secepatnya agar lebih banyak masa ditumpukan kepada analisis data.
Menurut Othman Lebar (2009) dan Sabitha Marican (2005), penyelidik sebagai instrumen utama dalam
penyelidikan ini memiliki beberapa kelebihan dan kelemahan. Antara kelebihannya
ialah penyelidik dapat melihat, merasakan, dan mengalami apa yang terjadi pada
subjek yang diselidiknya. Oleh itu, penyelidik akan memahami makna-makna
realiti yang dilihat, dirasakan dan dialami. Penyelidik mampu menentukan bila
penyimpulan data telah mencukupi, data telah jenuh dan penelitian dihentikan.
Penyelidik dapat melakukan pengumpulan data, menganalisisnya, melakukan
refleksi secara terus menerus dan membangun pemahaman yang menyeluruh tentang
sesuatu fenomena yang dikaji (Miles & Huberman, 1994). Sementara beberapa kelemahan penyelidik
sebagai instrumen ialah penyelidik secara tidak sedar mencampuradukkan antara
data lapangan hasil tinjauan dengan pemikirannya sendiri. Penyelidik sangat dipengaruhi
oleh kemampuan menyelidik dalam menulis, menganalisis, dan melaporkan hasil
penelitian (Othman Lebar, 2009) . Penyelidik juga harus
memiliki kesabaran untuk mengikuti dan mencatat perubahan-perubahan yang
terjadi pada subjek yang diselidiknya.
Penyelidik sebagai
instrumen melalui proses pemerhatian adalah suatu proses mengumpul maklumat
primer secara terbuka melalui pemerhatian individu di tempat kajian (Creswell, 2008). Menurut Merriam (1998) seorang pemerhati yang bertindak
sebagai orang luar akan dapat mengesan sesuatu yang menjadi rutin kepada subjek
dan perkara yang boleh membawa kepada pemahaman konteks. Pemerhatian mempunyai
kelebihan untuk merekod maklumat sebenar tentang apa yang berlaku dalam
persekitaran untuk mengkaji tingkah laku sebenar (Creswell, 2003). Penyelidik mencatat nota lapangan semasa
pemerhatian kerana ia adalah cara terbaik untuk mengumpul dan mendokumentasikan
perkara yang diperhatikan (Gay et al., 2006). Patton
(2002) menyatakan terdapat tiga jenis teknik temu bual iaitu temu bual
berstruktur, semi struktur dan tidak berstruktur. Dalam kajian ini, penyelidik
telah menggunakan temu bual semi struktur.
Menurut Merriam (1998) dan Stake (1995), temu
bual semi berstruktur menyediakan peluang untuk penyelidik mendapatkan maklumat
lanjut daripada subjek. Tujuan penyelidik membuat analisis dokumen adalah untuk
menyokong data yang diperoleh melalui pemerhatian dan temu bual (Othman Lebar, 2009) . Menurut Lofland dan Lofland (1995), sumber data utama dalam penyelidikan kualitatif ialah kata-kata
dan tindakan, selebihnya adalah data tambahan seperti dokumen dan lain-lain.
Pensyarah Akademik / Penyelaras Kajian Tindakan
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPGK Keningau
Rujukan:
Creswell, J. W. (1994). Research Design,
Qualitative & Quantitative Approaches. Thousand Oaks, CA: Sage.
Creswell, J. W. (2003). Research Design:
Qualitative, Quantitative, and Mixed Methods Approaches. Thousand Oaks, CA:
Sage.
Creswell, J. W. (2008). Educational Research
Planning, Conducting, and Evaluating Quantitative and Qualitative Research.
Upper Saddle River, NJ: Pearson Education International.
Chua Yan Piaw. (2006). Kaedah dan Statistik
Penyelidikan: Kaedah Penyelidikan Buku 1. Kuala Lumpur: McGraw-Hill (
Malaysia ) Sdn. Bhd.
Lofland, J & Lofland, L. H. (1995). Analyzing
social settings (ed. 3rd ). Belmont, CA: Wadsworth.
Othman Lebar. (2009). Penyelidikan Kualitatif
Pengenalan Kepada Teori dan Method. Tanjong Malim: Penerbitan Universiti
Pendidikan Sultan Idris.
Sabitha Marican. (2005). Kaedah Penyelidikan Sains
Sosial. Petaling Jaya: Pearson Prentice Hall.
Miles, M.B & Huberman, A. M. (1994). Qualitative
data analysis: An expanded sourcebook. Thousand Oaks, CA: Sage.
Gay, L. R., Mills, G. E. & Airasian, P. W. (2006).
Educational Research: Competencies for Analysis and Applications (ed.
8). Upper Saddle River, NJ: Prentice Hall.
Patton, M. Q. (2002). Qualitative Research &
Evaluation Method. London: Sage.
Merriam, S. B. (1998). Qualitative Research and Case
Study Applications in Education. San Francisco: Jossey-Bass.
Stake, R. E. (1995). The Art of Case Study
Research. Thousands Oaks, CA: Sage.