Hurwitz dan Day (2001) telah merumuskan peringkat perkembangan artis kanak-kanak kepada tiga bahagian utama. Peringkat-peringkat ini dikenali sebagai peringkat manipulatif, peringkat membuat simbol serta peringkat pra-remaja. Stages of artistic development are useful norms that can enlighten the teacher, but they should not be considered as goals for education (Hurwitz & Day, 2001).
Zaman Awal Kanak-kanak (2 hingga 4 Tahun)
Pada peringkat ini, kanak-kanak tidak mempunyai kawalan pada pergerakan tangan kerana usia mereka yang masih muda, selalunya di dalam lingkungan umur dua hingga lima tahun. Lukisan yang dihasilkan juga selalunya tidak terkawal dan banyak terdapat di dinding, di atas meja dan kertas lukisan dengan menggunakan pelbagai jenis bahan dan media seperti krayon, pensel serta bahan-bahan lain. Penghasilan karya pada usia ini tidak bersifat realistik dan banyak menggunakan lukisan garisan bagi menggambarkan sesuatu imej. Pada usia ini, kanak-kanak lebih gemar untuk mencuba dan membuat eksperimentasi dengan pelbagai jenis garisan yang boleh dihasilkan melalui pelbagai media. Secara umumnya terdapat empat peringkat contengan pada peringkat manipulatif iaitu contengan garisan tidak terkawal, contengan garisan terkawal, contengan rupa terkawal dan contengan rupa. Contengan garisan tidak terkawal berlaku kerana kanak-kanak tidak mempunyai daya kawalan dan garisan yang dihasilkan biasanya berulang-ulang. Di peringkat contengan garisan terkawal pula garisan yang dihasilkan lebih menampakkan kawalan yang matang dibandingkan dengan peringkat pertama. Sementara itu, contengan rupa terkawal memperlihatkan kebolehan kanak-kanak yang mula melukis rupa dan mengulanginya mengikut kehendak mereka. Akhir sekali adalah contengan rupa, di mana pada peringkat ini kanak-kanak berupaya mengenal pasti rupa dan menyebut rupa yang dihasilkan. Pada peringkat ini juga lukisan yang dihasilkan adalah lebih kepada kepuasan dan keseronokan kerana mereka diberi peluang untuk melukis dan menggunakan alatan melukis seperti pen dan pensel. Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah cara kanak-kanak memegang alatan untuk melukis. Pada usia ini alatan tulis yang dipegang adalah mengikut keupayaan cara dan gaya yang disukai oleh mereka. Keupayaan menconteng sangat bergantung kepada keupayaan otot dan keselarasan koordinasi di antara mata dan tangan. Fokus imej yang dihasilkan pada peringkat ini adalah lukisan garisan yang pelbagai.
Peringkat Membuat Simbol (6 hingga 9 Tahun)
Daripada peringkat lukisan contengan, kanak-kanak mula beralih ke peringkat menghasilkan simbol. Peringkat penghasilan simbol bermula pada umur empat sehingga kanak-kanak berumur lapan tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak sangat terpengaruh dengan keadaan sekelilingnya. Persekitaran memainkan pengaruh besar dan lukisan yang biasa dihasilkan adalah seperti rumah, kereta, bunga, alat permainan dan sebagainya. Imejan dalam lukisan figura merupakan imej yang paling dominan. Simbol dan imejan yang dilukis oleh kanak-kanak ini biasanya didahului dengan imej mereka sendiri, kemudian diikuti dengan keluarga terdekat seperti ibu bapa diikuti rakan-rakan. Pada peringkat ini juga, simbol yang dihasilkan oleh kanak-kanak mudah untuk dikenal pasti kerana kanak-kanak mempunyai kawalan yang seimbang dan teratur dari segi pergerakan tangan. Di peringkat awal penghasilan imej simbolisme, imej-imej yang dihasilkan melalui lukisan terdiri daripada pelbagai saiz. Umumnya, seseorang yang penting di dalam kehidupan kanak-kanak tersebut digambarkan lebih besar saiznya berbanding dengan imej figura yang lain. Sebagai contoh, bapa digambarkan lebih besar daripada imej ahli keluarga yang lain melambangkan kekuasaan dan kekuatan yang di miliki oleh bapa selaku ketua keluarga. Dalam sesetengah keadaan, imej diri kanak-kanak itu juga mempunyai saiz yang lebih besar berbanding dengan imej figura yang lain. Pada permulaan peringkat pertama simbolisme ini, penggunaan warna terhadap imej tidak menjadi fokus utama dan tidak ketara. Pada peringkat kedua pula, penggunaan warna ke atas imej mula diperlihatkan. Sebagai contoh, imej langit dikaitkan dengan warna biru, warna kuning untuk matahari dan warna hijau bagi menggambarkan rumput atau tumbuhan. Pada peringkat ketiga simbolisme, lukisan yang dihasilkan lebih menumpukan kepada imej yang konkrit iaitu imej yang dilihat berbanding dengan imej yang mereka tahu.
Pra-Remaja (10 hingga 13 Tahun)
Peringkat Pra-remaja dikatakan peringkat transisi zaman kanak-kanak ke zaman remaja. Terdapat percubaan untuk melukis figura dengan saiz yang betul. Lukisan figura pula mula dilukis dengan menitikberatkan daya saiz sebenar objek. Sebagai contoh, figura manusia mula dilukis dengan melihat kadar banding pada objek tersebut tanpa membuat penambahan. Lukisan pada peringkat ini dikatakan lebih rasional kerana selain daripada kedudukan dan saiz figura yang betul, mereka juga telah mula mementingkan warna yang tepat selain dari memasukkan bayang-bayang pada objek supaya imej yang dihasilkan seolah-olah nampak realistik. Pada peringkat ini juga, mereka mula menggunakan kaedah perspektif bagi membezakan saiz imej di mana mereka cuba memahami konsep ruang iaitu objek yang jauh bersaiz lebih kecil berbanding dengan objek yang lebih dekat.
Pernyataan terhadap teori perkembangan artistik kanak-kanak oleh Lowenfeld dan Britain (1982), serta Hurwitz dan Day (2001), mempunyai persamaan dalam kalangan kanak-kanak berkarya. Dilihat dari sudut penguasaan ASR kanak-kanak pada peringkat pseudo naturalistic dan pra remaja mula melukis dengan mengutamakan konsep kadar banding, konsep bayang, konsep mewarna dan konsep ruang yang betul agar lukisan mereka lebih realistik. Jika guru mengatur strategi dengan menerapkan ASR dalam proses artistik kanak-kanak semasa P&P PSV, kanak-kanak lebih yakin dengan hasil karya mereka terutama semasa melukis lukisan figura atau lukisan-lukisan yang lebih realistik. Menurut Koster (2001), kanak-kanak perlu dirangsang dengan aktiviti yang dirancang rapi dan tersusun supaya tindak balas semula jadi estetik yang dimiliki oleh kanak-kanak selari dengan peningkatan umur mereka. Bagaimana pun pengkaryaan dalam kalangan pelajar sekolah menegah rendah tertakluk kepada bidang penghasilan seni visual yang ditetapkan dalam sukatan pelajaran KBSM PSV. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2000), bidang penghasilan seni visual meliputi ASR, seni halus, komunikasi visual, reka bentuk dan kraf tradisional serta dimensi baru. Justeru, pelajar-pelajar akan menggarap karya mereka mengikut bidang penghasilan seni visual mengikut rancangan P&P PSV.
Kajian Lowenfeld dan Britain (1982), dan Hurwitz dan Day (2001), terhad dalam bidang seni halus dan kurang fokus kepada bidang komunikasi visual, reka bentuk dan kraf tradisional dan dimensi baru. Implikasinya kepada guru permulaan akan kurang mendapat input awal terhadap proses artistik dalam kalangan pelajar menengah rendah di sekolah semasa mengaplikasikan strategi P&P PSV. Bagi guru yang sudah lama dalam profesion perguruan implikasi itu bukan menjadi halangan utama kerana pengalaman mereka mengatur strategi P&P PSV telah disokong oleh pengalaman lepas terhadap pemerhatian estetika dalam kalangan pelajar. Menurut Md. Nasir Ibrahim (2006), estetika adalah suatu cara melihat dan memikirkan fenomena tentang sesuatu perkara. Kesimpulannya PSV dapat difahami sebagai pendidikan yang memfokuskan kepada proses penghasilan karya seni dengan melibatkan aspek pemahaman, penghayatan dan kritikan mengenai perasaan estetik dan daya kreativiti melalui imaginasi dan konsepsi pelajar.
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Akademik
IPGK Keningau
Rujukan:
Hurwitz, A. & Day, M. (2001). Children and
Their Art : Methods for the Elementary School (ed. 7th). Fort Worth, TX:
Harcourt College Publishers.
Lowenfeld, V. & Brittain, W.L. (1982). Creative
and Mental Growth (ed. 7th). New York: Macmillan.
Koster, J. B. (2001). Bringing Art into the
Elementary Classroom. Belmont, CA: Wadsworth.
Md. Nasir Ibrahim. (2006). Estetika dalam Pendidikan
Seni Visual "Sedikit-sedikit Lama-lama Menjadi Bukit". Dalam Metodologi
Pendidikan Seni Visual. Tanjong Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan
Sultan Idris.