Thursday, 26 February 2015

Konsep Pendidikan Dalam Pendidikan Seni Visual

Pendidikan terancang dan sistematik bertujuan untuk menyampaikan ilmu pengetahuan, nilai, sikap dan kemahiran seterusnya mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Menurut Sufean Hussin (1996), pendidikan dapat didefinisikan dari segi semantik dan etimologi. Pendidikan dari segi semantik merangkumi didikan komponen intelek dan latihan gerak laku perbuatan. Pendidikan dari segi etimologi menggunakan perkataan Inggeris iaitu Education yang berasal daripada perkataan Latin Educare yang bermaksud to train. Makna pendidikan dapat difahami asas sebagai perihal mendidik, didikan, latihan dan ajaran (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005). Mengikut American Council on Education (1944), pendidikan ialah satu usaha sistematik yang disengajakan oleh sesuatu masyarakat untuk menyampaikan pengetahuan, nilai, sikap dan kemahiran kepada ahlinya. Dalam konteks P&P pendidikan adalah disiplin yang berhubung kait dengan kaedah P&P di sekolah dan persekitarannya (Education, 2011). Pendidikan dalam persepsi individu dapat difahami melalui hasil kajian Henderson-King dan Mitchell (2011), iaitu individu yang mempunyai aspirasi intrinsik yang tinggi cenderung melihat pendidikan sebagai persiapan untuk kerjaya, pengetahuan untuk masa depan, membangun hubungan sosial dan keterampilan diri. Namun secara amnya pendidikan di Malaysia adalah berasaskan kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang selaras dengan falsafah pendidikan negara sejak tahun 1989 (Sufean Hussin, 1996).

Bagi mencapai matlamat pendidikan iaitu menyampaikan pengetahuan, nilai, sikap dan kemahiran kepada ahlinya, PSV merupakan salah satu mata pelajaran yang diperkenalkan sejak zaman penjajahan British. Kewujudan PSV adalah seiring dengan perkembangan pendidikan negara kini. Dahulunya PSV dikenali sebagai subjek Lukisan dan Pertukangan Tangan kemudian ditukar menjadi mata pelajaran Pendidikan Seni (PS) dan seterusnya Pendidikan Seni Visual (PSV). Perubahan-perubahan yang dilakukan adalah atas kesedaran masyarakat terhadap kepentingan PSV dalam kehidupan (Iberahim Hassan, 2000). Kementerian Pendidikan Malaysia (2000), menyatakan PSV dalam KBSM ialah seni visual atau tampak sahaja dan merupakan salah satu bentuk seni yang wujud selain seni muzik, seni tari, seni drama dan seni bina. PSV peringkat sekolah menengah bermatlamat untuk membentuk keperibadian generasi Malaysia yang celik budaya, mempunyai nilai-nilai estetik yang tinggi, imaginatif, kritis, kreatif, inovatif dan inventif. Iberahim Hassan dan Roskang Jailani (2009), menyatakan bahawa PSV dalam konteks bersepadu bertujuan untuk membolehkan pelajar menyedari, memahami dan menghargai peranan seni sebagai satu keperluan dalam urusan hidup, hubungannya dengan kejadian alam, kaitannya dengan perkembangan sains dan teknologi, aplikasi seni dalam industri rekaan dan pembuatan.

Secara asasnya konsep seni dan ilmu seni yang diajar di sekolah mempunyai perbezaan yang jelas. Salah seorang tokoh ilmiah yang memperkatakan tentang perbezaan konsep seni dan ilmu seni ialah Jakob Sumardjo (2000). Menurut Jakob Sumardjo (2000), seni untuk dinikmati sementara ilmu seni untuk difahami. Hakikatnya dalam pendidikan di sekolah, seni dan ilmu seni saling berkait rapat dalam mencapai dan merealisasikan hasrat pendidikan negara. Menurut Zakaria Ali (1989), adalah sukar untuk memahami seni tanpa ilmu seni. Seni itu memerlukan penghayatan dan ilmu seni pula untuk membantu memahami karya-karya seni. Ahli-ahli dalam bidang ilmu kognitif berpendapat seni merupakan satu proses pemikiran yang lebih lanjut daripada seorang pengkarya kerana simbol-simbol yang diperlihatkan dalam hasil karyanya adalah hasil aktiviti otak mencerap, membuat interpretasi dan menghasilkan imaginasi terhadap alam persekitaran (Sousa, 2006). Sebab itu pemerhati mesti mengenali dan menghuraikan lambang dan corak lambang sebelum dia dapat memahami maksud sesuatu karya (Knobler, 1985). Pentingnya ilmu seni itu bukan saja kepada seorang pemerhati bahkan kepada pelajar-pelajar di sekolah. Dalam KBSM, ilmu seni dipelajari secara formal untuk membantu mereka memahami karya-karya seni. Ilmu seni itu juga membantu pelajar-pelajar  untuk menghasilkan karya-karya seni mengikut kesesuaian perkembangan kognitif, efektif dan psikomotor mereka (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2002). Menurut Ahmad Suhaimi Mohd. Noor (2000), pendedahan kepada makna dan simbol akan memberi ruang kepada pelajar untuk berfikir secara kritis dan kreatif. 


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik 
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau


Rujukan:

Sufean Hussin. (1996). Pendidikan di Malaysia Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. Didapatkan mei 31, 2011, daripada http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=pendidikan

American Council on Education. (1944). Objectives and Program of the American Education Fellowship. 22, 9. Didapatkan dari EBSCOhost

Iberahim Hassan & Roskang Jailani. (2009). Pendidikan Seni Visual dan Peranannya Abad Ke-12. Dalam Mohd. Johari Ab. Hamid (Ed.), Pendidikan Seni Visual Dan Muzik (hlm. 1-20). Tanjong Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Jakob Sumardjo. (2000). Filsafat Seni. Bandung: Penerbitan ITB.

Zakaria Ali. (1989). Pengertian Seni Halus. Dalam Seni dan Seniman Esei-esei Seni Halus (hlm. 3-11). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka & Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sousa, D. A. (2006). How The Brain Learns (ed. 3rd). Thousand Oaks, CA: Corwin Press.

Knobler, N. (1985). Dialog Seni Tampak. (Zakaria Ali, Penterjemah) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka Dengan Kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2002). Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.

Education. (2011). Encyclopedia Britannica Online. Didapatkan dari http://www.britannica.com/EBchecked/topic/179408/education

Iberahim Hassan. (2000). Pendidikan Seni Di Malaysia Dalam Arus Perkembangan Konsep Pembelajaran Seni. Dalam Kumpulan Esei Pendidikan Seni Dan Muzik (hlm. 31-45). Tanjong Malim: Penerbitan Sains Sosial dan Kesenian Universiti Pendidikan Sultan Idris.