Thursday 26 February 2015

Latar Belakang Strategi Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual Di Sekolah

Nadi kepada proses pendidikan ialah keteguhan kurikulum yang menjadi struktur, falsafah, kandungan dan tujuan untuk membawa perubahan kepada setiap insan yang bergelar pelajar. Keteguhan sesuatu kurikulum akan menyemarakkan lagi aliran pendidikan (Mat Desa Mat Rodzi, 2000). Bagi menyemarakkan aliran pendidikan dalam negara kita, salah satu mata pelajaran yang awal diperkenalkan ialah mata pelajaran seni. Ini dapat dibuktikan dengan pembukaan Penang Free School di Pulau Pinang pada tahun 1816 yang telah menjadikan seni sebagai salah satu mata pelajaran yang diajar. Dalam kurikulumnya, lukisan dan catan telah diperkenalkan kepada pelajar-pelajar melalui pengajaran formal di bilik darjah.

Kandungan kurikulum seni di peringkat awal ini dipengaruhi oleh sistem pendidikan barat. Menurut Shukor Hashim dan Solihin Osman (2000), pengaruh seni lukis barat dan nilai budayanya bermula apabila pengajaran seni secara formal di sekolah-sekolah di Malaysia yang diperkenalkan oleh penjajah Inggeris seperti Kitab Pedoman Guru Penggal I pada tahun 1928 (Dussek & Muhammad Hashim Talib, 1928), dan disusuli dengan Kitab Pedoman Guru Penggal II pada tahun 1929 (Dussek & Muhammad HashimTalib, 1929). Kedua-dua buku ini telah menggariskan beberapa kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dirancang daripada isi pelajaran yang mudah kepada yang lebih susah seperti langkah-langkah asas menggunakan pensel, pemadam dan pembaris diikuti oleh melakar bentuk-bentuk asas seperti bulat, empat segi, segi tiga dan seterusnya melakar objek bunga dan binatang berasaskan kepada bentuk-bentuk geometri. Ahmad Suhaimi Mohd. Noor (2007), mengatakan bahawa dunia visual negara sentiasa terikat dengan cara dan gaya dunia visual barat sama ada penulisan mahupun lukisan.

Pada awal kemerdekaan strategi P&P bagi mata pelajaran Pendidikan Seni (PS) di negara kita dinyatakan melalui Kurikulum Lama Sekolah Menengah (KLSM) dan menurut Michael (1983), pada peringkat awal strategi pengajaran seni banyak mengamalkan kaedah pengajaran yang tidak di struktur dan kaedah diktator. Kaedah yang tidak distrukturkan dikenali sebagai The Laisseiz-Faire Method dan kaedah diktator dikenali sebagai The Authoritarian-Dictatorial Method. Kaedah tidak distrukturkan menggalakkan P&P secara semula jadi yang mana guru memainkan peranan sebagai pembimbing kepada pelajar dalam kelas manakala kaedah diktator menitik beratkan kaedah penerangan dalam memberikan maklumat dan aktiviti P&P dikawal oleh guru (Michael, 1983).


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik 
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPGK Keningau



Rujukan:

Mat Desa Mat Rodzi. (2000). Kurikulum Pendidikan Seni Visual Sekolah Menengah: Antara Perancangan, Pelaksanaan dan Harapan. Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Seni Visual (hlm. 56-68). Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Shukor Hashim & Solihin Osman. (2000). Model "Discipline and Multiple Discipline in Visual Art Education" Untuk Pengajaran dan Pembelajaran Seni Di Peringkat Institusi Pengajian Tinggi. Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Seni Visual (hlm. 51-55). Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dussek, O.T. & Muhammad Hashim Talib. (1928). Kitab Pedoman Guru Penggal yangPpertama : Bagi
Pergunaan Guru-guru di Sekolah-sekolah Melayu. (Pejabat Karang Mengarang Sultan Idris Training 
College, Penterjemah) Singapore: Malaya Publishing House.

Dussek, O.T. & Muhammad HashimTalib. (1929). Kitab Pedoman Guru : Penggal yang Kedua. (Pejabat Karang Mengarang Sultan Idris Training College, Penterjemah) Singapore: Malaya Publishing House. 

Ahmad Suhaimi Mohd. Noor. (2007). Sejarah Kesedaran Visual di Malaya. Tanjong Malim : Universiti 
Pendidikan Sultan Idris.