Thursday 26 February 2015

Asas Seni Reka

     Teori-teori yang menerangkan sesuatu fenomena tidak akan wujud tanpa ada seseorang yang memulakan usaha ke arah kelahiran teori-teori yang diperkenalkan ke dalam kelompok masyarakat.  Demikian juga Asas Seni Reka (ASR) yang menjadi salah satu cabang ilmu dalam mengungkap nilai estetika sesuatu karya dan alat pedagogi dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) Pendidikan Seni Visual (PSV) pada masa kini. Menurut Bates (2000), ilmu seni yang digunakan untuk memahami karya-karya seni telah dicipta oleh Arthur Wesley Dow. Ilmu seni itu merupakan gagasan teori yang dikenali sebagai ASR. Duncum (2010), menyatakan ASR dicipta pada awal abad ke-20 sebagai pedagogi pengajaran untuk memahami karya-karya catan pada masa itu.

     Penulis dan pengkaji bidang seni tampak seperti Bates (2000), Wenham (2003), Mittler dan Ragans (2005), dan Duncum (2010), sependapat bahawa pada asasnya ASR terbahagi kepada dua kelompok dasar iaitu unsur-unsur seni dan prinsip-prinsip rekaan. Kedua-dua kelompok dasar ASR itu akan bersatu dalam hasil karya tampak apabila diolah oleh seorang seniman atau pengkarya dengan kesedaran nilai estetika yang tinggi. Justeru itu, unsur-unsur seni dan prinsip-prinsip rekaan saling bekerjasama dan saling berhubung kait di antara satu sama lain apabila berfungsi sebagai alat seni untuk diaplikasikan ke dalam sesatu karya yang bersifat dua dimensi ataupun tiga dimensi. Unsur-unsur seni memerlukan prinsip-prinsip rekaan sebagai pengatur caranya dan prinsip-prinsip rekaan pula memerlukan unsur-unsur seni sebagai subjeknya. ASR yang telah dijadikan salah satu cabang ilmu dalam PSV oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2000), pada masa kini adalah terdiri daripada beberapa gabungan unsur-unsur seni dan prinsip-prinsip rekaan seperti yang telah dinyatakan Wenham (2003), Bersson (2004), Mittler dan Ragans (2005), serta Lazzari dan Schlesier (2005). Unsur-unsur seni terdiri daripada garisan, warna, jalinan, rupa, bentuk, dan ruang sementara prinsip-prinsip rekaan terdiri daripada pergerakan, imbangan, harmoni, kontra, penegasan, kepelbagaian dan kesatuan. Elemen-elemen unsur-unsur seni dan prinsip-prinsip rekaan turut disenaraikan dalam Visual Arts Glossary (2003).

     Menurut Wenham (2003), di dalam seni tampak, garisan ialah tanda yang dihasilkan oleh  pergerakan atau goresan alat lukis di atas sesuatu permukaan yang rata. Garisan terdapat di mana-mana sahaja sama ada yang terhasil secara semula jadi atau dihasilkan oleh manusia. Garisan mempunyai pelbagai jenis sifat dan identiti yang tersendiri serta memberi pengertian yang berbeza-beza. Jenis-jenis garisan ini juga merujuk kepada sifat-sifat fizikal sesuatu garisan itu seperti kasar, halus, panjang, pendek, lurus, bengkok, terang, gelap, tebal, putus dan sebagainya. Garisan juga mampu menyatakan sesuatu idea atau perasaan. Ia boleh bersifat statik atau aktif. Garisan menjelaskan secara visual sesuatu objek. Aplikasi pelbagai jenis garisan yang bersesuaian dapat mencipta rupa, jalinan, ton dan corak serta menimbulkan bentuk, ruang dan pergerakan (Wenham, 2003).

     Lazzari dan Schlesier (2005), mengatakan rupa ialah sesuatu imejan yang bersifat rata. Permukaannya adalah kosong dan ini menjadikannya bersifat dua dimensi. Rupa ialah hasil pertemuan hujung garisan dengan permulaannya. Rupa mempunyai garisan luar dan sempadan yang mengelilinginya. Ianya dapat dikategorikan kepada rupa geometri dan organik. Rupa geometri lebih kepada rupa yang mempunyai sudut dan penjuru. Rupa organik pula yang mempunyai rupa bebas dan tidak terikat pada bentuk yang khusus. Rupa juga terdiri daripada rupa positif dan rupa negatif. Mittler dan Ragans (2005), mengatakan imejan ataupun objek yang bersifat tiga dimensi dikenali sebagai bentuk. Bentuk ialah lanjutan daripada pemahaman rupa. Bentuk mempunyai keluasan, ketinggian, jisim dan mempunyai lebih daripada satu permukaan. Bentuk mempunyai struktur dalaman. Bentuk terbahagi kepada bentuk dua dimensi, tiga dimensi dan pelbagai dimensi. Bentuk adalah terdiri daripada dua jenis iaitu bentuk konkrit dan bentuk ilusi (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2002).

     Menurut Lazzari dan Schlesier (2005), jalinan ialah sifat fizikal yang terdapat pada permukaan bahan atau objek. Jalinan dapat menunjukkan kesan rasa dan ekspresi sesuatu objek. Jalinan terbahagi kepada dua iaitu jalinan sentuh dan jalinan tampak. Jalinan sentuh ialah jalinan yang dapat dirasai melalui sentuhan. Jalinan tampak pula jenis jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasa melalui sentuhan. Di dalam seni tampak, kesan jalinan dapat menimbulkan jisim pada bentuk. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2002), ruang ialah jarak di antara objek yang wujud di dalam alam nyata dan juga dalam karya seni visual yang mana objek yang berada di hadapan lebih jelas dan lebih besar berbanding dengan objek sama saiz yang berada di bahagian belakang. Ruang merupakan kawasan yang dikelilingi oleh garisan, atau kawasan kosong di sekeliling objek, atau jarak antara dua objek. Manakala dalam karya seni visual, ruang diwujudkan melalui kekuatan gubahan warna, jalinan, rupa dan bentuk. Terdapat dua jenis ruang dalam seni tampak iaitu ruang nyata dan ruang ilusi (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2002).

     Menurut Bersson (2004), warna ialah pigmen pewarna kimia yang bertindak balas pada sesuatu permukaan. Warna terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu warna asas, warna sekunder dan warna tertier. Warna asas atau warna primer merupakan warna dasar sesebuah warna dan tidak boleh dibuat daripada campuran warna lain tetapi boleh menghasilkan warna kedua dan ketiga. Warna-warna asas terdiri daripada warna-warna biru, merah, dan kuning. Warna-warna sekunder dihasilkan melalui campuran dua jenis warna utama. Warna sekunder terdiri daripada warna jingga, ungu dan hijau. Sekiranya satu warna utama dicampurkan dengan warna sekunder, maka terhasil warna tertier yang terdiri daripada biru ungu, biru hijau, kuning jingga, kuning hijau, merah jingga dan merah ungu. Warna-warna penggenap merujuk kepada hubungan antara warna utama dengan warna sekunder. Terdapat warna harmoni, nilai warna, sewarna, kroma warna, dan suhu warna (Bersson, 2004).

     Menurut Mittler dan Ragans (2005), prinsip pergerakan ialah kesan tampak yang ditimbulkan daripada susunan unsur-unsur seni secara berulang-ulang atau berlapis-lapis. Imbangan ialah keadaan yang sebanding atau tidak berat sebelah. Karya-karya dua dimensi seperti lukisan dan catan mempunyai imbangan dari segi tampak. Dalam seni tampak, harmoni dapat didefinisikan sebagai gabungan unsur-unsur seni yang sesuai dalam sesuatu gubahan untuk melahirkan karya yang menyenangkan dari segi tampak (Bersson, 2004). Kontra wujud apabila terdapatnya unsur yang bertentangan dalam sesuatu gubahan (Mittler & Ragans (2005). Unsur yang bertentangan itu boleh terdiri daripada satu unit ataupun beberapa unit. Penegasan menonjolkan satu idea ataupun tema di dalam sesuatu reka bentuk itu supaya ia menjadi daya tarikan utama. Dengan menggunakan unsur-unsur seni atau idea-idea yang berbagai dalam sesuatu gubahan, prinsip kepelbagaian dapat dihasilkan. Bersson (2004), menyatakan kesatuan ialah gabung jalin antara semua komponen seni yang berlainan dalam reka bentuk untuk membentuk satu idea. Dalam konsep seni tampak, kesatuan merupakan prinsip yang muktamad dalam semua reka bentuk.

     Menurut Ahmad Suhaimi Mohd Noor (2000), ASR merupakan terminologi seni yang dianggap sebagai laras bahasa tampak yang mesti difahami dan dikuasai oleh pelajar. ASR yang diistilahkan sebagai laras bahasa tampak itu adalah merupakan pernyataan tanpa kata, ia mempunyai tata dan laras bahasanya yang tersendiri yang bersifat sejagat. Menurut Mittler dan Ragans (2005), bahasa tampak tidak mengandungi sejumlah perbendaharaan sebab itu bahasa tampak adalah istimewa dalam seni yang mana terdiri daripada simbol-simbol. Simbol-simbol akan hanya mengandungi makna-makna apabila siap diolah menjadi sebuah karya (Bates, 2000). Oleh yang demikian, makna bahasa tampak akan hanya dapat dimengerti dan difahami sepenuhnya oleh para pelajar apabila berkarya dan mengaplikasikan unsur-unsur seni dan prinsip-prinsip rekaan untuk memberi makna.


     Secara amnya, ASR inilah yang perlu dikuasai sebagai ilmu pengetahuan mengenai seni dalam kalangan pelajar dan khususnya dalam kalangan pelajar menengah rendah. Menurut Wenham (2003), kejayaan pelajar menghasilkan karya dipengaruhi oleh penguasaan mereka terhadap ASR. Lantaran itu, penerapan ASR dalam setiap P&P PSV bagi meningkatkan penguasaan ASR dalam kalangan pelajar adalah satu strategi untuk mendorong pelajar berjaya menghasilkan karya yang kreatif dengan memperlihatkan kematangan estetika. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), penerapan membawa bermaksud perihal menerapkan atau perbuatan mempraktikkan. Mempraktikkan  ASR sama ada secara langsung atau tidak langsung di dalam aktiviti P&P PSV, akan memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan kefahaman dalam penghasilan kerja seni berdasarkan ASR dengan pelbagai alat dan bahan serta teknik (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2009). Penerapan ASR ke dalam pengkaryaan semasa guru seni mengajar adalah selari dengan kehendak dan matlamat KBSM yang menggalakkan guru membuat penggabungjalinan dalam atau antara mata pelajaran secara bersepadu (Abu Bakar Nordin, 1993).


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPGK Kampus Keningau
Rujukan:


Bates, J. K. (2000). Becoming an Art Teacher. Belmont, CA: Wadsworth Thomson Learning.

Duncum, P. (2010). 7 SEVEN PRINCIPLES for Visual Culture Education. Art Education, Vol. 63, Iss. 1, 6-10. Didapatkan October 13, 2010, daripada Academic Research Library. (Document ID: 1936599401)

Lazzari, M. & Schlesier, D. (2005). Exploring Art A Global, Thematic Approach. Belmont, CA: Thomson Wadsworth.

Mittler, G. & Ragans, R. (2005). Understanding Art. Woodland Hills, CA: McGraw-Hill.

Ahmad Suhaimi Mohd Noor. (2000). Keberkesanan Pengajaran Dalam Konteks Pendidikan Seni. Dalam Kumpulan Esei Pilihan Pendidikan Seni Dan Muzik (hlm. 58-71). Tanjong Malim: Penerbitan Fakulti Sains Sosial Dan Kesenian Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Ahmad Suhaimi Mohd. Noor. (2007). Sejarah Kesedaran Visual di Malaya. Tanjong Malim : Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Bersson, R. (2004). Responding to Art: Form, Content, and Context. New York: McGraw-Hill.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.