Menurut
Turner-Bisset (2005), guru yang baik ialah guru yang mempunyai pengetahuan yang
meluas mengenai subjek yang diajarnya dan memiliki teknik serta kemahiran dalam
bidang pengajaran itu. Strategi P&P dapat diumpamakan sebagai suatu susunan
pendekatan, kaedah dan teknik untuk mencapai sesuatu matlamat (Goldman et al., 2006). Secara umumnya, terdapat empat jenis strategi
P&P iaitu strategi berpusatkan pelajar, berpusatkan guru, berpusatkan bahan
atau sumber dan strategi berasaskan aktiviti atau tugasan. Kementerian
Pendidikan Malaysia (2009), menggalakkan guru-guru seni mengaplikasikan
strategi P&P seperti mengenal konsep, kajian masa depan, kepelbagaian
kecerdasan, teknologi maklumat dan komunikasi, pembelajaran kontekstual,
pendekatan konstruktivisme, kemahiran berfikir dan pembelajaran masteri.
Menurut Bates (2000),
dua pendekatan yang sering digunakan dalam pengajaran seni ialah pendekatan
induktif dan deduktif. Chapman (1998), mengemukakan pendekatan pemerhatian,
penerokaan, penghasilan dan apresiasi seni ke dalam pengajaran seni. Selain itu,
pendekatan proses dan produk juga amat sesuai sebagai satu pendekatan dalam
merancang P&P. Michael (1983), dan Feldman (1970), mencadangkan pendekatan
kemanusiaan dalam P&P. Bagaimana pun seorang guru seni juga harus melihat
pendekatan behaviorisme, sosial, kognitif dan konstruktivisme dapat
dimanfaatkan sebagai satu pendekatan pada semua peringkat P&P PSV. Guru ialah seharusnya memahami
keperluan pelajar, dapat berkomunikasi dengan baik dan berilmu pengetahuan
dalam bidangnya (Elliott, 2005).
Secara umumnya kaedah
demonstrasi, penyoalan, bimbingan, projek, dan lawatan sering dirujuk sebagai
kaedah dalam P&P PSV. Namun secara khususnya kaedah-kaedah P&P PSV yang
disarankan oleh Michael (1985), perlu dipertimbangkan oleh guru seni di sekolah
iaitu kaedah studio, kaedah artis profesional, kaedah media baru dan kaedah
apresiasi. Teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang
terdapat dalam sesuatu kaedah. Jika seseorang guru seni tidak dapat menguasai
teknik-teknik yang ada pada sesuatu kaedah maka kemungkinan besar matlamat
kaedah itu akan tidak berhasil (Kamarudin Husin & Siti Hajar Abdul Aziz,
1998) .
Kesimpulannya ialah kurikulum
menentukan struktur, falsafah, kandungan dan tujuan kepada pendidikan untuk
guru sampaikan kepada pelajar di sekolah. Bagaimana kurikulum itu disampaikan
kepada para pelajar adalah ditentukan oleh pengetahuan guru seni dalam
mengaplikasikan strategi, pendekatan, kaedah dan teknik yang akan memudahkan P&P
di dalam kelas atau bilik seni.
Johanes Bin Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau
Rujukan:
Cochran, K.F. (1997, Januari 14). Pedagogical Content Knowledge: Teachers' Intergration of Subject Matter, Pedagogy, Students, and Learning Enviroments. Didapatkan dari
http://www.narst.org/publications/research/pck.cfm
Bates, J. K. (2000). Becoming an Art Teacher. Belmont, CA: Wadsworth Thomson Learning.
Wenham, M. (2003). Understanding Art A Guide for Teachers. London: Paul Chapman Publishing.
Gardner, H. (1993). Multiple Intelligence : The Theory in Practice. New York: Basic Books.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.