Thursday, 26 February 2015

Teori Perkembangan Artistik Kanak-kanak oleh Lowenfeld dan Britain

Lowenfeld dan Britain (1982) telah memperkenalkan teori perkembangan artistik kanak-kanak yang merangkumi peringkat umur dari 2 hingga 14 tahun. Lima peringkat perkembangan artistik yang diperkenalkan oleh Lowenfeld dan Britain (1982) ialah peringkat scribbling, peringkat preschematic, peringkat schematic, peringkat dawning realism, peringkat pseudo naturalistic dan peringkat adolescent art.

Peringkat Scribbling (2 hingga 4 Tahun)

Pada peringkat ini kanak-kanak menghasilkan contengan secara rawak dan tidak terkawal. Proses menconteng menyebabkan pergerakan badan dan membangunkan koordinasi otot motor tangan. Apabila kanak-kanak telah mampu menguasai pergerakan tangan dan badan mereka mula melukis dari peringkat contengan kepada lukisan garisan lurus dan melintang kepada melukis bulatan.

Peringkat Preschematic (4 hingga 7 Tahun)

Peringkat ini memperlihatkan peningkatan daripada contengan bulatan kepada percubaan pertama untuk melukis objek yang terdapat di sekelilingnya dengan menggunakan garisan. Sebagai contoh ibu bapa dan orang yang rapat dengan mereka dilukis dengan mempunyai karakter tangan dan kaki dan dilukis seolah-olah terapung dan dengan saiz imej yang berbeza-beza.

Peringkat Schematic (7 hingga 9 Tahun)

Pada peringkat ini kanak-kanak kurang cenderung untuk melukis imej objek berbanding pada peringkat awal tadi. Lukisan mula dihasilkan mengikut skema atau konsep tertentu. Penekanan lebih diberikan kepada cara penyusunan objek dalam imej selain daripada imej manusia dan objek yang terdapat di sekelilingnya. Sebagai contoh, kanak-kanak mula membuat percubaan dengan membahagikan ruang pada kertas lukisan kepada dua bahagian iaitu satah udara dan tanah. Bagi pemandangan satah bawah objek disusun secara melintang dan sama manakala objek udara pula dibiarkan kosong. Selain itu, lukisan yang dihasilkan adalah spontan, bebas dan berskala besar. Tidak peka dengan karya mereka sendiri dan tidak kisah dengan lukisan yang dihasilkan oleh rakan sebaya mereka dan gemar untuk berkongsi.

Peringkat Dawning Realism (9 hingga 12 Tahun)

Pada peringkat ini, kanak-kanak terus melukis dengan mengekalkan konsep dan skema tertentu. Perubahan pada peringkat ini adalah terhadap imej yang dilukis secara realistik dan teliti. Imej lukisan mula mengecil dari segi saiz dan kanak-kanak mula menunjukkan sifat kritikal dengan hasil karya sendiri. Mereka mula membandingkan karya dengan karya rakan sebaya dan ini menjadikan mereka berhati-hati dan sedikit individualistik serta menitikberatkan kualiti karya yang dihasilkan.

Peringkat Pseudo naturalistic (12 hingga 14 Tahun)

Pada peringkat ini, kanak-kanak mula peka dengan konsep realistik di dalam menghasilkan lukisan. Mereka menitikberatkan konsep kedudukan dan saiz rasional imej. Mereka lebih gemar untuk melukis melalui konsep peniruan atau melalui objek di hadapan mata berbanding dengan lukisan menerusi imaginasi. Lukisan yang dihasilkan jarang dikongsi bersama dengan rakan sebaya dan perasaan malu dan rendah diri akan timbul sekiranya lukisan yang dihasilkan tidak menarik.

Peringkat Period If Decision (14 hingga 17 Tahun)

Peringkat ini merupakan peringkat penekanan terhadap proses penghasilan karya seni dan penciptaan objek. Peringkat ini memperlihatkan kematangan di dalam membuat keputusan dan pemilihan bahan yang sesuai untuk menghasilkan karya seni.



Oleh: 
Johanes Bin Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau

Rujukan:

Lowenfeld, V. & Brittain, W.L. (1982). Creative and Mental Growth (ed. 7th). New York: Macmillan.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.