Menterjemahkan kurikulum dalam P&P bukan hanya
memerlukan seseorang guru seni berpengetahuan dan berilmu tinggi dalam mata
pelajaran yang diajarnya akan tetapi guru seni juga diharuskan mempunyai
pengetahuan yang meluas dalam ilmu keguruan misalnya ilmu pedagogi seperti yang
disarankan oleh Shulman (1987), iaitu pengetahuan isi kandungan untuk mengajar atau pedagogical content knowledge.
Pengetahuan ilmu pedagogi inilah yang membezakan guru seni dengan seorang
seniman kerana seorang guru seni mempunyai pengetahuan seni dan pengetahuan ilmu
pedagogi. Menurut Cochran (1997), guru akan menghubungkan pengetahuannya tentang
pengajaran dengan pengetahuan isi kandungan pengajaran. Ini bermakna guru seni berkemahiran
untuk memilih strategi P&P dan mentafsir pemikiran pelajar tentang isi
kandungan yang akan diajar pada peringkat sekolah menengah rendah, isi
kandungan utama yang perlu disampaikan oleh guru ialah Asas Seni Reka (ASR) yang sentiasa
ditekan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Pendidikan Seni Visual (PSV) seperti disarankan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia (2002).
Menurut Bates
(2000),
strategi pengajaran khusus kepada ASR yang mana berkonsepkan strategi berpusat
pelajar melalui aktiviti penerokaan seperti penerokaan terhadap media dan
proses telah digunakan oleh guru seni sejak dahulu lagi. Strategi berpusat pelajar memberi peluang
kepada pelajar mengembangkan penguasaan ASR
pada tahap kemampuan mereka sendiri. Dalam beberapa kes guru menggunakan pendekatan studio dalam pengajaran ASR
akan tetapi pendekatan studio kurang sesuai kerana kadangkala aktiviti akan
condong kepada penerokaan media. Semasa di dalam studio pelajar-pelajar tidak
dapat menumpukan perhatian kepada aplikasi ASR sepenuhnya kerana tanpa disedari
pelajar-pelajar akan membuat manipulasi terhadap media (Bates, 2000).
Bates
(2000) mencadangkan agar
pengajaran seni menggunakan strategi yang lebih bersifat akademik. Garis panduan kurikulum menunjukkan seni
mempunyai kekuatan dalam membentuk isi kandungan dan konsep yang spesifik.
Strategi P&P berpusatkan pelajar memberikan pengalaman belajar seni
mengikut kesesuaian umur. Pendidik seni berpusatkan subjek menyediakan
pandangan mengenai isi kandungan tentang seni dan bagaimana menyampaikannya
secara konseptual. Menurut Wenham (2003),
pengalaman kali pertama pelajar terhadap sebuah karya seni lebih
cenderung untuk bertindak balas secara holistik, intuitif bahkan secara emosional tetapi dengan strategi
P&P yang berkesan, pelajar dapat berfikir dengan lebih analitik dan dapat
memahami sebuah karya seni secara berperingkat-peringkat dari sudut ASR.
Menurut Wenham (2003),
pelajar yang berbeza kecerdasan akan menggunakan strategi pengajaran berbeza
dengan tujuan memudahkan pelajar menguasai ASR dengan baik. Kebanyakan pelajar
sering kali menghadapi masalah dalam mengikuti aktiviti P&P ASR pada
peringkat awal seperti memahami dan membuat eksperimen berkaitan ASR. Strategi pengajaran
guru seni yang menunjukkan beberapa demonstrasi menghasilkan karya di hadapan
pelajar di samping mengajukan soalan-soalan yang berkaitan ASR dapat membantu
pelajar membina dan memahami seterusnya mencipta kerangka konseptual ASR dalam
minda pelajar. Wenham (2003), memberikan contoh aktiviti pengajaran berkaitan ASR
iaitu mencampur warna. Aktiviti mencampur warna mempunyai objektif akhirnya ialah
pelajar dapat mengenali sifat dan potensi warna. Bagi mencapai objektif dalam
aktiviti mencampur warna dengan berkesan, guru akan mengadaptasi beberapa
strategi P&P yang berbeza mengikut kecerdasan pelajar di dalam kelas secara
berperingkat-peringkat.
Teori pelbagai
kecerdasan telah dikemukakan oleh Howard Gardner (1983). Beliau mengemukakan
lapan kecerdasan manusia yang dapat diperkembangkan sepanjang hayat. Menurut
Gardner, manusia mempunyai kesemua lapan kecerdasan. Beliau telah membuat
kajian terhadap pelbagai lapisan masyarakat termasuklah kanak-kanak biasa dan
istimewa, juga kelompok penduduk yang mempunyai kriteria yang istimewa. Gardner
juga mengatakan bahawa kecerdasan bukanlah semata-mata diwarisi. Jika kedua-dua
ibu bapa dikategorikan sebagai lemah daya ingatan mengikut ukuran intelligence quotient (IQ), tidak
semestinya anak-anak mereka juga lemah dalam daya ingatan dan begitulah juga
sebaliknya. Kajian terhadap kanak-kanak istimewa mendapati ada di antara pelajar-pelajar
yang lemah daya ingatannya adalah dilahirkan oleh ibu bapa yang kedua-duanya
adalah profesional. Bagi mengendalikan perbezaan pelajar dalam aspek kebolehan
mental, percubaan telah diadakan di sekolah-sekolah dan di kelas-kelas khusus,
berbagai program pengajaran dan pembelajaran disediakan bagi membolehkan
pelajar-pelajar mencapai sesuatu yang bersesuaian dengan kemampuan mereka. Bagi
mengendalikan perbezaan pencapaian pelajar dalam pelajaran, sekolah cuba
mengumpulkan pelajar-pelajar dalam kumpulan yang sama berdasarkan pencapaian
mata pelajaran (Musa Daia, 1992).
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPGK Kampus Keningau
Rujukan:
Cochran, K.F. (1997, Januari
14). Pedagogical Content Knowledge: Teachers' Intergration of Subject
Matter, Pedagogy, Students, and Learning Enviroments. Didapatkan dari
http://www.narst.org/publications/research/pck.cfm
Bates, J. K. (2000). Becoming an Art Teacher.
Belmont, CA: Wadsworth Thomson Learning.
Wenham, M. (2003). Understanding Art A Guide for
Teachers. London: Paul Chapman Publishing.
Gardner, H. (1993). Multiple Intelligence : The
Theory in Practice. New York: Basic Books.
Musa Daia. (1992). Kaedah dan Teknik Pengajaran.
Johor Baru: Badan Bookstore.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.