Thursday 26 February 2015

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Berpusat Murid


Di bawah strategi berpusatkan murid ini, murid memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran. Mengikut strategi ini, murid digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran mereka. Di dalam bilik darjah, guru merupakan seorang pemimpin yang memandu murid menjalankan aktiviti pembelajaran, sama ada secara kumpulan ataupun individu. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, lebih banyak masa akan diperuntukkan kepada aktiviti pembelajaran murid. Kaedah kumpulan, lawatan, bermain, simulasi atau main peranan dan pengajaran individu adalah kaedah yang menjadi pertimbangan semasa menggunakan strategi pemusatan murid terutamanya murid di dalam kelas.

Ciri-Ciri Strategi Pemusatan Murid

Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, murid memainkan peranan yang penting sedangkan peranan guru merupakan pemimpin yang membimbing murid menjalankan aktiviti pembelajaran.
Komunikasi dan interaksi di antara guru dan murid adalah secara dua hala.
Ciri kepimpinan guru bersifat demokratik. Murid digalakkan memberi pendapat mereka.
Strategi pengajaran dan pembelajaran lebih mengutamakan pencapaian objektif pembelajaran murid.
Peluang interaksi di antara murid adalah banyak dan sifat-sifat sosial yang positif seperti tolong-menolong, berkerjasama dan bertolak ansur jelas dapat dipupuk. Strategi ini mementingkan pengelolaan kaedah kumpulan. Perbezaan murid dari segi kebolehan dan minat diberikan perhatian. Di bawah strategi pemusatan murid, lazimnya murid menunjukkan sifat kreatif dan berinisiatif.


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.