Salam Hormat kepada semua siswa siswi PISMP PSV IPGK Keningau.
Kali ini penulis paparkan bagaimana kaedah pengumpulan data kualitatif berdasarkan pengalaman penulis sendiri mengumpul data di lapangan. Pendedahan ini diharap dapat membantu para pelajar memahami dengan jelas bagaimana pungutan data di lapangan seterusnya disesuaikan ke dalam penyelidikan tindakan anda. Pelajar perlu ingat bahawa dalam kajian tindakan, anda akan menyelasaikan satu masalah yang anda dihadapi sendiri semasa melaksanakan amalan P&P PSV di dalam bilik darjah dan seterusnya memilih satu tindakan penyelasaian sebagai memperbaiki amalan P&P PSV di dalam bilik darjah itu. Langkah berikutnya ialah para pelajar akan membuat beberapa siri intervensi bagi membuktikan tindakan yang anda telah tetapkan benar-benar dapat menjawab persoalan kajian anda.
Berbeza dengan konsep penyelidikan konvensional, penyelidik menguji satu teori dalam penyelidikan. Namun sesungguhnya kaedah pengumpulan data tetap mempunyai persamaan yang jelas. Cuma dalam kajian tindakan anda, pelajar hanya akan membuat pemerhatian pada peserta kajian iaitu murid-murid yang menerima kesan amalan P&P PSV di bilik darjah. Para pelajar akan mengumpul data melalui pemerhatian perubahan tingkahlaku murid, membuat temu bual pada beberapa orang murid seterusnya menganalisis hasil karya murid yang terpilih. Semua ini harus anda jayakan semasa para pelajar melaksanakan praktikum di sekolah kelak.
Berikut ini ialah contoh kaedah pengumpulan data semasa penulis menjalankan penyelidikan kualitatif.
Dalam
kajian ini, penyelidik telah mengumpul sumber data dengan menggunakan teknik
pemerhatian, temu bual dan analisis dokumen. Pengumpulan data melibatkan
penyelidik berada di tempat kajian untuk membuat pemerhatian secara langsung,
temu bual mendalam dan analisis dokumen (Othman
Lebar, 2009). Data yang dipungut akan dapat menjawab persoalan kajian (Creswell, 2008).
Penyelidik telah
membina satu jadual matriks yang menunjukkan sumber dan teknik pengumpulan data
dalam penyelidikan ini seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3.1 di bawah yang
mana penyelidik telah mendapatkan data
primer melalui dua sumber di lapangan iaitu guru seni dan pelajar. Sumber data primer pertama telah diperoleh
apabila guru melaksanakan P&P PSV dalam kalangan pelajar menengah rendah di
sekolah. Sumber data primer kedua telah didapati melalui hasil-hasil karya yang
diperlihatkan melalui penguasaan ASR dalam kalangan pelajar setelah tindakan
P&P PSV selesai dilaksanakan oleh guru seni.
Perolehan data
primer pertama daripada guru seni telah menggunakan empat teknik pengumpulan
data iaitu pemerhatian, rakaman video, temu bual dan rakaman audio. Bagi teknik
pengumpulan data pemerhatian, penyelidik telah membuat pemerhatian dari aspek strategi,
pendekatan, kaedah, dan teknik yang telah diaplikasikan dalam P&P PSV di dalam
kelas atau bilik seni. Penyelidik telah merekod apa yang diperhatikan dengan
mengambil nota sepanjang P&P PSV berlangsung. Melalui pemerhatian dalam
bilik darjah, maklumat yang lebih berobjektif dapat diperoleh berbanding
pengakuan subjek semata-mata (Gay et al., 2006). Perolehan data primer pertama
melalui teknik rakaman video telah diadakan untuk merekod secara digital
P&P PSV di kelas atau bilik seni. Rakaman video digital ini adalah
dokumentasi berteknologi tinggi sebagai sokongan kepada teknik pengumpulan data
melalui pemerhatian. Selain dapat memberi gambaran secara menyeluruh dan
terperinci proses P&P PSV kepada penyelidik apabila diulang tayang, rakaman
video digital ini juga sebagai bahan rujukan penyelidik apabila timbul keraguan
dan keciciran pada nota semasa pemerhatian dibuat ketika proses P&P PSV
berlangsung.
Perolehan data
primer pertama melalui teknik temu bual iaitu penyelidik telah mengadakan sesi temu
bual jenis semi struktur. Penyelidik memilih temu bual semi struktur atas
sifatnya yang fleksibel yang mana penyelidik telah menyoal berpandukan kepada
skrip tetapi idea atau isu menarik boleh dibincangkan secara mendalam. Justeru,
penyelidik mendapat maklumat lanjut daripada informan berkaitan dengan aplikasi
strategi, pendekatan, kaedah dan teknik dalam P&P PSV. Sesi temu bual telah
diadakan selepas guru selesai menjalankan P&P PSV di dalam kelas atau bilik
seni atas sebab kaedah ini menyediakan
peluang kepada penyelidik untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada subjek
(Stake, 1995). Perolehan data primer pertama melalui teknik rakaman audio telah
digunakan serentak pada masa sesi temu bual dijalankan. Semasa sesi temu bual
dengan guru berlangsung, penyelidik telah merakamkan perbualan antara
penyelidik dengan informan menggunakan alat perakam. Dengan itu, semua
perbualan dapat direkodkan dalam bentuk audio digital secara terperinci dan
hasil rakaman telah ditranskripsikan ke dalam bentuk teks.
Berdasarkan
Jadual 3.1, perolehan data primer kedua melalui hasil karya pelajar telah
menggunakan dua teknik pengumpulan data iaitu analisis dokumen dan rakaman
gambar. Bagi teknik pengumpulan data analisis dokumen, penyelidik telah membuat
pungutan hasil-hasil karya pelajar dengan kebenaran guru dan pelajar setelah P&P PSV selesai dilaksanakan. Tujuan
analisis dokumen adalah untuk menyokong dapatan yang sedia ada. Data daripada
dokumen telah diperoleh dengan menggunakan borang senarai semak yang
mengandungi unsur-unsur seni yang terdiri daripada garisan, rupa, bentuk,
jalinan, ruang dan warna. Maklumat yang diperoleh daripada dokumen-dokumen tersebut dapat menambah dan menjelaskan data
dan maklumat yang diperoleh dan yang dianalisis melalui pemerhatian dan temu
bual (Othman Lebar, 2009). Teknik pengumpulan data pertama ini telah disusuli
dengan teknik pungutan data kedua iaitu rakaman gambar digital semua rakaman
gambar telah disimpan dalam folder internal
hardisc komputer dalam bentuk file jpeg bagi tujuan analisis
komprehensif berkaitan penguasaan ASR
dalam kalangan pelajar hasil proses P&P PSV oleh guru seni.
Johanes Bin Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik / Penyelaras Kajian Tindakan
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPGK Keningau
Rujukan:
Creswell, J. W. (1994). Research Design, Qualitative & Quantitative Approaches.Thousand Oaks, CA: Sage.
Creswell, J. W. (2003). Research Design: Qualitative, Quantitative, and Mixed Methods Approaches. Thousand Oaks, CA: Sage.
Creswell, J. W. (2008). Educational Research Planning, Conducting, and Evaluating Quantitative and Qualitative Research. Upper Saddle River, NJ: Pearson Education International.
Chua Yan Piaw. (2006). Kaedah dan Statistik Penyelidikan: Kaedah Penyelidikan Buku 1.Kuala Lumpur: McGraw-Hill ( Malaysia ) Sdn. Bhd.
Lofland, J & Lofland, L. H. (1995). Analyzing social settings (ed. 3rd ). Belmont, CA: Wadsworth.
Othman Lebar. (2009). Penyelidikan Kualitatif Pengenalan Kepada Teori dan Method.Tanjong Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Sabitha Marican. (2005). Kaedah Penyelidikan Sains Sosial. Petaling Jaya: Pearson Prentice Hall.
Miles, M.B & Huberman, A. M. (1994). Qualitative data analysis: An expanded sourcebook. Thousand Oaks, CA: Sage.
Gay, L. R., Mills, G. E. & Airasian, P. W. (2006). Educational Research: Competencies for Analysis and Applications (ed. 8). Upper Saddle River, NJ: Prentice Hall.
Patton, M. Q. (2002). Qualitative Research & Evaluation Method. London: Sage.
Merriam, S. B. (1998). Qualitative Research and Case Study Applications in Education.San Francisco: Jossey-Bass.
Stake, R. E. (1995). The Art of Case Study Research. Thousands Oaks, CA: Sage.