Strategi P&P merupakan satu pendekatan atau aktiviti-aktiviti yang dirancang oleh guru bagi tujuan memudahkan pembelajaran para belajar di dalam kelas sehingga mencapai kefahaman isi pelajaran ke tahap yang maksimum (David J. Aspaugh & Gene Ezel, 1994). Menurut Koh Boh Boon dan Chua Tee Tee (1982) memudahkan pembelajaran para pelajar adalah tugas utama seorang guru. Bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran para pelajar di dalam kelas, Ting Len Siong dan Muhamad Sidek Said (2007) mengatakan sebelum mengajar guru harus menyediakan bahan pelajaran, menentukan objektif pelajaran, merancang ringkasan mengajar dan menyediakan alat bantu mengajar. Menurut Shuki Osman dan Rahmad Sukor Ab Samad (2009) setelah guru mempunyai bahan dan idea tentang analogi dan contoh bagi menjelaskan isi kandungan yang akan diajar, guru perlu menetapkan bagaimana hendak menyampaikan isi kandungan tersebut kepada pelajar, iaitu tentang strategi pengajaran, kaedah mengajar serta kemahiran mengajar yang akan digunakan. Guru perlu merangka rancangan pengajaran di peringkat awal dengan menentukan pendekatan, memilih kaedah, dan menetapkan teknik-teknik yang sesuai untuk pelajar dengan bijaksana (Shahabuddin Hashim et al., 2005).
Beberapa strategi P&P boleh diaplikasikan dalam pengajaran guru iaitu sama ada guru akan mengaplikasikan strategi pengajaran langsung atau pengajaran tidak langsung atau pendekatan interaktif atau belajar sendiri (independent study), atau pembelajaran menerusi pengalaman "experiential learning" (Shuki Osman & Rahmad Sukor Ab Samad, 2009). Jika guru memilih strategi pengajaran langsung, guru akan menggunakan kaedah kuliah, latih tubi, demonstrasi atau kaedah penyoalan guru. Jika guru memilih strategi tidak langsung, guru akan menggunakan kaedah inkuiri, kajian kes, pembelajaran konsep atau kaedah penyelesaian masalah. Sekiranya pendekatan interaktif dipilih, kaedah perbahasan, perbincangan, main peranan, sumbang saran atau kaedah pembelajaran koperatif akan digunakan. Jika guru memilih pendekatan pembelajaran kendiri, kaedah pengajaran akan berbantukan komputer, penulisan esei atau kerja rumah. Pembelajaran melalui pengalaman melibatkan sama ada kerja lapangan, lawatan sambil belajar, simulasi, mainan atau melakukan kajian.
Noriati A. Rashid et al. (2009) menyenaraikan beberapa strategi P&P yang berfokus kepada pendekatan, kaedah dan teknik. Pendekatan merangkumi pendekatan deduktif, induktif, eklektik dan tematik. Terdapat empat jenis strategi pengajaran iaitu strategi berpusatkan pelajar, berpusatkan guru, berpusatkan bahan atau sumber dan strategi berasaskan aktiviti atau tugasan. Pelbagai kaedah dan teknik pengajaran digunakan untuk menyampaikan pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar yang merangkumi teknik sumbang saran, bercerita, demonstrasi, perbincangan dan penyelesaian masalah.
Guru seni seringkali berhadapan dengan faktor pemilihan dari segi kesesuaian strategi yang akan digunakan dalam P&P PSV di sekolah. Sewaktu berhadapan dengan pelajar di dalam kelas atau bilik seni, guru seni mempunyai pelbagai pilihan strategi yang boleh digunakan. Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (2002) guru-guru seni hendaklah menggunakan strategi P&P PSV di sekolah dengan cara menyesuaikan isi kandungan pengajaran bagi tujuan memupuk minat pelajar. Pemilihan dan penentuan strategi P&P PSV hendaklah yang terdekat dengan para pelajar dari segi pengalaman, imaginasi, alat dan bahan serta mewujudkan kegiatan yang mencetus idea melalui aktiviti penerokaan sama ada secara manual atau berbantukan komputer. Jika guru seni memperkenalkan sesuatu projek menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (2002) hendaklah mengambil kira beberapa aspek penting dalam diri pelajar seperti kesediaan, kemampuan, kebolehan, penumpuan, pengalaman dan pemerhatian pelajar.
Pusat Perkembangan Kurikulum (2002) memperkenalkan strategi P&P PSV di sekolah selaras dengan visi dan misi pendidikan yang berhasrat untuk menyempurnakan falsafah pendidikan kebangsaan. Strategi P&P PSV di sekolah itu meliputi teori kecerdasan pelbagai, kajian masa depan, pembelajaran kontekstual, konstruktivisme, pembelajaran akses kendiri, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, belajar cara belajar, dan pembelajaran masteri.
Menurut Coombs (1995) dan Zol Azlan Hamidin (2000) tiada satu kaedah yang lebih baik digunakan berbanding kaedah yang lain walaupun pada keadaan tertentu penggunaan sesuatu kaedah mungkin mendatangkan hasil pembelajaran. Tiada bukti yang mengatakan hanya suatu pendekatan sahaja yang terbaik dan dapat menyelesaikan semua masalah pembelajaran (Shahabuddin Hashim et al., 2005). Menurut Coombs (1995) tugas guru adalah satu cabaran dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada para pelajar dan salah satu cabaran itu ialah guru perlu mengetahui secara mendalam segala langkah dan prosedur yang perlu diikuti dalam menetapkan strategi-strategi P&P di dalam kelas. Sesuatu pendekatan yang dipilih dan strategi dirancang mungkin tidak sesuai kepada semua pelajar, tetapi segolongan sahaja. Seharusnya strategi P&P yang dipilih adalah berpotensi merangsang para pelajar belajar secara aktif, mampu membantu menganalisis konsep atau idea dan berupaya menarik hati pelajar serta dapat menghasilkan pembelajaran ke tahap yang optimum (Jensen, 2009).
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPGK Keningau
Rujukan:
Ting Len Siong & Muhamad Sidek Said. (2007). Ingin Menjadi Guru. Puchong Selangor: Ilmu Media Trade.
Koh Boh Boon & Chua Tee Tee. (1982). Keadan-keadaan Bagi Pembelajaran. (dlm) Asas-asas Dalam Amalan Pedagogi. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Koh Boh Boon. (1982). Asas-asas Dalam Amalan Pedagogi. (I. H. Boon, Ed.) Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributor Sdn. Bhd.
Shuki Osman & Rahmad Sukor Ab Samad. (2009). Menterjemah Kurikulum Kepada Pengajaran dan Pembelajaran Bilik Darjah. In Pengajaran Dan Pembelajaran Teori Dan Praktis. Kuala Lumpur: McGraw Hill Education.
Pusat Perkembangan Kurikulum. (2002). Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Coombs, B. (1995). Successful Teaching. Jordan Hill Oxford: Heinmann Publishers.
Jensen, E. (2009). Super Teaching Over 1000 Practical Strategies. Sage: Thousand Oak, California.
Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub & Mohd. Zohir Ahmad. (2005). Pedagogi Strategi Dan Teknik Mengajar Dengan Berkesan. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Zol Azlan Hamidin. (2000). Strategi Pengajaran Pendekatan Sains Teknologi Masyarakat. Petaling Jaya: Prentice Hall.
Koh Boh Boon. (1982). Asas-asas Dalam Amalan Pedagogi. (I. H. Boon, Ed.) Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributor Sdn. Bhd.
Shuki Osman & Rahmad Sukor Ab Samad. (2009). Menterjemah Kurikulum Kepada Pengajaran dan Pembelajaran Bilik Darjah. In Pengajaran Dan Pembelajaran Teori Dan Praktis. Kuala Lumpur: McGraw Hill Education.
Pusat Perkembangan Kurikulum. (2002). Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Coombs, B. (1995). Successful Teaching. Jordan Hill Oxford: Heinmann Publishers.
Jensen, E. (2009). Super Teaching Over 1000 Practical Strategies. Sage: Thousand Oak, California.
Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub & Mohd. Zohir Ahmad. (2005). Pedagogi Strategi Dan Teknik Mengajar Dengan Berkesan. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Zol Azlan Hamidin. (2000). Strategi Pengajaran Pendekatan Sains Teknologi Masyarakat. Petaling Jaya: Prentice Hall.