Friday 27 February 2015

Pengendalian Kajian kualitatif

salam sejahtera.

Berikut ini ialah contoh pengendalian kajian kualitatif yang pernah dilalui sendiri oleh penulis semasa menjalankan kajian di lapangan. Dalam kajian tindakan, pengendalian kajian perlu diorganisasikan dengan teracang dan teratur agar kajian anda mencapai sasaran kerja dan sasaran masa yang telah ditetapkan oleh anda sendiri. Pengendalian kajian amatlah penting untuk dinyatakan dengan jelas dalam penulisan agar pembaca atau penyelia anda tidak mengalami masalah memahami sebahagian besar perjalanan kajian anda di sekolah. Seterusnya perenggan di bawah ialah contoh pengandalian kajian oleh penulis sendiri.

Selamat membaca dan maju jaya.

Penyelidikan ini telah melalui tiga fasa penting dalam pengendalian kajian. Fasa pertama ialah penyelidik telah membuat permohonan kepada Education Planning and Research Department (EPRD) KPM setelah mendapat surat kebenaran daripada Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Setelah menerima surat kelulusan daripada EPRD, surat berkenaan telah dipanjangkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Selangor untuk memohon surat kebenaran menjalankan kajian di sekolah-sekolah yang dipilih dalam kajian ini. Surat kelulusan dari JPN telah dihantar kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk memperoleh surat kebenaran supaya kajian boleh dijalankan di sekolah-sekolah berkenaan.

Setelah selesai berurusan dengan pihak EPRD, JPN dan PPD, maka surat kelulusan menjalankan kajian telah dikemukakan kepada pengetua sekolah untuk mendapatkan kebenaran menjalankan kajian di sekolah berkenaan. Pemilihan dan penetapan peserta kajian akan ditentukan oleh penyelidik sendiri atas sebab peserta kajian dapat memenuhi tujuan dan persoalan penyelidikan ini. Peserta kajian telah diberikan penerangan yang jelas mengenai prinsip-prinsip etika penyelidikan. Penyelidik dan peserta kajian telah membuat perbincangan bagi menetapkan tarikh dan masa melaksanakan kajian supaya tiada sebarang gangguan berlaku ke atas aktiviti sekolah.

Fasa kedua ialah tindakan pungutan data ke atas P&P PSV semasa di lapangan. Perincian aktiviti semasa pungutan data di lapangan secara menyeluruh telah dibina seperti Jadual 3.2 di bawah.


Berdasarkan Jadual 3.2 merupakan jangka masa pungutan data-data primer semasa P&P PSV di sekolah iaitu mengambil masa selama sebulan bermula dari minggu pertama berakhir pada minggu keempat. Pada setiap minggu, pungutan data dua kali seminggu telah dijalankan pada hari Selesa dan Khamis atas faktor memberikan peserta kajian keselesaan persediaan P&P PSV dan tidak terganggu dengan kehadiran penyelidik. Analisis data secara komprehensif dan holistik telah dilakukan pada hari Rabu dan Khamis. Tidak ada aktiviti di lapangan pada hari Isnin kerana mengambil kira Jadual aktiviti hari pertama dalam minggu persekolahan yang padat dan pada hari Jumaat mengambil kira mod kerja peserta kajian.

Fasa ketiga ialah data-data mentah yang telah dikumpul melalui pemerhatian, sesi temu bual dan analisis dokumen yang masih mentah, bertindan tindih, tidak teratur dalam bentuk transkrip teks selama sebulan di lapangan telah dianalisis untuk difahami sepenuhnya iaitu melibatkan aplikasi strategi, pendekatan, kaedah dan teknik P&P PSV oleh peserta-peserta kajian dan seterusnya ke peringkat proses pelaporan data-data.


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPGK Keningau