Mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh KBSM, biasanya bilangan pelajar adalah antara 35 hingga 45 orang dalam sebuah kelas sahaja, akan tetapi di sesetengah sekolah bilangan pelajar dalam sesebuah kelas adalah lebih ramai lagi (Mohd. Salleh Abu & Tan Wee Chuen, 2001). Pelajar mempunyai latar belakang, sikap dan aras kecekapan yang berbeza-beza iaitu ada pelajar dapat menguasai apa yang diajar guru manakala ada sebilangan pelajar yang mungkin tidak dapat memahaminya dan memerlukan lebih banyak tunjuk ajar untuk mencapai perubahan tingkah laku yang diingini (Yap Yee Khiong at al., 1985). Sekiranya guru tidak mengambil tahu mengenai strategi P&P yang bermakna dan guru terus kepada aktiviti pengajaran sahaja akan menyebabkan pelajar menjadi kurang tumpuan dan suasana kelas akan menjadi tidak terkawal. Menurut Chua Yan Piaw dan Sharifah Md Nor (1999), pengajaran yang tidak mengambil kira strategi yang bermakna akan menghalang perkembangan potensi pelajar.
Justeru itu, sebelum guru seni memilih sesuatu strategi P&P, guru seni perlu mempunyai pertimbangan-pertimbangan tertentu tentang pelajar, kandungan pelajaran, objektif pelajaran dan persekitaran pelajar. Menurut Iberahim Hassan dan Roskang Jailani (2009), semua elemen itu penting dan amat mempengaruhi bagi menjayakan proses P&P yang berkesan di dalam kelas. Pertimbangan guru daripada pihak pelajar biasanya tentang aspek kesediaan pelajar dari segi kognitif, afektif, dan psikomotor. Ini selari dengan tuntutan Kementerian Pendidikan Malaysia (2000), iaitu jika guru seni memperkenalkan sesuatu projek hendaklah mengambil kira beberapa aspek penting seperti kesediaan, kemampuan, kebolehan, penumpuan, pengalaman dan pemerhatian pelajar.
Selain daripada kriteria-kriteria yang dinyatakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2000), di atas, Ornstein et al. (2005), menyenaraikan lima prinsip dalam pemilihan strategi P&P iaitu pengajaran yang bersifat fleksibel, proses penilaian yang berterusan, mewujudkan kepelbagaian aktiviti dalam kumpulan, aktiviti yang dirancang melibatkan semua pelajar dan pengajaran berbentuk kolaborasi antara pelajar dengan guru. Ee Ah Meng (1990), juga ada menyenaraikan beberapa kriteria dalam pemilihan strategi P&P yang efektif dengan mengambil kira faktor kesediaan pelajar, strategi yang menggalakkan pemindahan pembelajaran, strategi yang mewujudkan motivasi, strategi yang mengekalkan ingatan, strategi yang meningkatkan pengamatan dan penanggapan, strategi yang menggalakkan pemikiran dan strategi yang memupuk nilai serta sikap yang positif.
Pemilihan strategi P&P yang efektif dapat dilihat pada gaya pembelajaran pelajar. Menurut kajian Mitchell (2005), memahami tentang gaya pembelajaran pelajar dapat membantu guru untuk membina gaya pengajaran yang efektif. Pengajaran yang efektif dapat diwujudkan dengan mengambil kira pendekatan, kaedah, strategi dan teknik P&P secara amnya dan khususnya pengajaran efektif ke atas mata pelajaran PSV. Kriteria pemilihan strategi P&P memberikan petunjuk kepada kualiti dan kredibiliti P&P guru di dalam kelas. Ting Len Siong dan Muhamad Sidek Said (2007), menyatakan gabungan beberapa kaedah dan teknik P&P menunjukkan kepakaran guru dalam menguasai strategi P&P. Strategi P&P yang melibatkan pelajar secara aktif, memberi rangsangan dan menarik minat pelajar adalah menunjukkan aplikasi bahan bantu mengajar (BBM) yang disesuaikan dengan isi kandungan P&P. Penggunaan masa yang berkesan dalam P&P menunjukkan guru bijak menggunakan teknik penggunaan BBM. Strategi P&P yang mempunyai teknik komunikasi dan interaksi dua hala memberi petunjuk kepada sikap guru sebagai pembimbing. P&P yang berkesan menunjukkan pengetahuan guru terhadap perbezaan kecerdasan pelajar untuk dikategorikan dalam kumpulan-kumpulan kecil mengikut kecerdasan pelajar agar mencapai impak pembelajaran dalam masa yang ditetapkan (Ting Len Siong & Muhamad Sidek Said, 2007). Kesimpulannya terdapat beberapa faktor yang menentukan penggunaan strategi dan kaedah P&P yang berkesan, iaitu faktor guru, pelajar, sumber dan masa. Strategi yang baik ialah menggunakan masa, tenaga dan kos yang paling minimum tetapi menghasilkan kesan P&P di dalam kelas yang paling maksimum.
Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau
Rujukan:
Mohd. Salleh Abu dan Tan Wee Chuen. (2001). Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Menangani Masalah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik. Jurnal Pendidikan UTM, 7, 100-108.
Yap Yee Khiong, Wan Chwee Seng & Ismail Abu Bakar. (1985). Pengukuran dan Penilaian dalam Pendidikan. Petaling Jaya: Longman Malaysia.
Chua Yan Piaw & Sharifah Md Nor. (1999). Penilaian Guru Pendidikan Seni Terhadap Kreativiti Catan Pelajar. Jurnal Kurikulum Pusat Perkembangan Kurikulum, 92-117.
Iberahim Hassan & Roskang Jailani. (2009). Pendidikan Seni Visual dan Peranannya Abad Ke-12. Dalam Mohd. Johari Ab. Hamid (Ed.), Pendidikan Seni Visual Dan Muzik (hlm. 1-20). Tanjong Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Ee Ah Meng. (1990). Pedagogi Satu Pendekatan Bersepadu. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti.
Mitchell, M. G. (2005). The Essentials Of Teaching in Secondary Classrooms A Basic Guide for New Teachers. New Jersey: Pearson Merril Prentice Hall.
Ting Len Siong & Muhamad Sidek Said. (2007). Ingin Menjadi Guru. Selangor: Ilmu Media Trade.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2002). Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.
Ornstein A. C., Lasley T.J. & Mindes G. (2005). Seondary and Middle School Methods. Boston: Allyn and Bacon.