Istilah strategi berasal daripada perkataan Greek iaitu strategia didefinisikan sebagai satu pelan atau kaedah kerja untuk mencapai satu matlamat (Freiberg & Driscoll, 2005). Menurut Schmeck (1988), istilah strategi telah digunakan dalam ketenteraan seperti yang telah dihuraikan oleh Grand Strategy (2011), iaitu sebagai peraturan-peraturan atau langkah-langkah dalam melaksanakan sesuatu rancangan operasi ketenteraan jika berlaku peperangan. Gulo (2002), menyatakan strategi ialah kegiatan yang dirancang untuk mencapai sesuatu. Secara umumnya, Kamus Dewan edisi keempat (2005), mendefinisikan strategi sebagai rancangan yang teratur untuk mencapai matlamat atau kejayaan.
Strategi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di sekolah dapat difahami dengan mengambil kira beberapa pendapat daripada tokoh-tokoh dalam bidang ilmu pedagogi. Kauchak & Eggen (2007), menyatakan strategi pengajaran sebagai satu tindakan pengajaran yang dirancang oleh guru untuk mencapai tujuan yang khusus. Menurut Shahabuddin Hashim et al. (2005), strategi P&P ialah satu perancangan, usaha mengenal pasti, memilih dan menentukan pendekatan, kaedah dan teknik yang bersesuaian dengan penuh bijaksana. Ee Ah Meng (1990), berpendapat strategi P&P digunakan oleh guru dalam pengajarannya agar pembelajaran para pelajar mencapai tahap yang maksimum. Noriati A. Rashid (2009), menyatakan bahawa strategi pengajaran sebagai suatu usaha kemahiran merancang dan mengurus kaedah dan teknik pengajaran untuk mencapai hasil pembelajaran. Pendapat Kauchak dan Eggen (2007), Shahabuddin Hashim et al. (2005) dan Ee Ah Meng (1990), adalah selari dengan definisi umum mengenai strategi oleh Kamus Dewan edisi keempat (2005), iaitu usaha guru untuk mengenal pasti, memilih, menentukan, merancang dan mengurus terhadap pendekatan, kaedah, teknik dan aktiviti akan memudahkan P&P di dalam kelas.
Menurut Aspaugh dan Ezel (1994), serta Mager (2009), strategi akan memudahkan P&P di dalam kelas. Aspaugh dan Ezel (1994), mendefinisikan strategi P&P sebagai pendekatan atau aktiviti yang bertujuan untuk memudahkan pembelajaran pelajar sehingga mencapai kefahaman isi pelajaran ke tahap yang maksimum. Tujuan pengajaran adalah untuk memudahkan pembelajaran supaya pelajar dapat belajar di dalam kelas (Mager, 2009). Menurut Koh Boh Boon dan Chua Tee Tee (1982), P&P di dalam kelas melibatkan dua pihak iaitu guru dan pelajar kerana guru yang mengajar dan pelajar yang belajar. Guru perlu memahami konsep pengajaran dalam melaksanakan P&P. Freiberg dan Driscoll (2005), menyatakan pengajaran sebagai satu tindakan menunjukkan, menjelaskan, mengarahkan dan membimbing. Menurut Mok Soon Sang (2009), pengajaran akan menyebabkan penyebaran ilmu pengetahuan dan kemahiran. Noriati A. Rashid et al. (2009), menyatakan pengajaran sebagai menyediakan pelajar-pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan. Menurut Shahabuddin Hashim et al. (2003), pengajaran sebagai aktiviti-aktiviti bermatlamat yang dirancang oleh guru secara sengaja dan disedari oleh pelajar.
Justeru, setelah merangkumkan pendapat Freiberg dan Driscoll (2005), Mok Soon Sang (2009), Noriati A. Rashid et al. (2009), dan Shahabuddin Hashim et al. (2003), pengajaran dapat difahami sebagai aktiviti-aktiviti bermatlamat yang dirancang oleh guru secara sengaja dan disedari oleh pelajar seperti tindakan menunjukkan, menjelaskan, mengarahkan dan membimbing yang menyebabkan penyebaran ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi tujuan menyediakan pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan. Bagi pihak pelajar, Lindgren (1972), menyatakan pelajar ialah individu atau kumpulan individu yang mewakili program pendidikan yang diwujudkan atau dijalankan. Hasil program pendidikan bagi pihak pelajar ialah pembelajaran. Menurut Gagne (2001), pembelajaran sebagai perubahan tingkah laku yang kekal akibat pengalaman atau latihan yang diteguhkan. Shahabuddin Hashim et al. (2006), menyatakan pembelajaran ialah proses pemerolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat, serta pembentukan sikap dan kepercayaan.
Menurut Schunk (1996), pembelajaran juga melibatkan proses-proses pengekodan, motivasi, tanggapan terhadap tugasan pembelajaran dan juga tanggapan terhadap kejayaan. Kolb (2007), memperihalkan pembelajaran sebagai proses menjana dan memindahkan ilmu pengetahuan melalui pengalaman. Pembelajaran dapat difahami sebagai proses menjana dan memindahkan ilmu pengetahuan seperti pemerolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat, serta pembentukan sikap dan kepercayaan, pengekodan, motivasi, tanggapan terhadap tugasan pembelajaran dan juga tanggapan terhadap kejayaan yang mana akan menyebabkan perubahan tingkah laku yang agak kekal dalam kalangan pelajar (Lindgren 1972, Gagne 2001, Shahabuddin Hashim et al. 2006, Schunk 1996, Kolb 2007).
Pendapat Aspaugh dan Ezel (1994), serta Mager (2009), yang mengatakan strategi sebagai memudahkan P&P di dalam kelas telah dipersetujui oleh Koh Boh Boon dan Chua Tee Tee (1982). Bagi memudahkan P&P, beberapa komponen utama dalam P&P haruslah bijak diaplikasikan di dalam pengajaran iaitu setelah guru mempunyai bahan dan idea tentang analogi dan contoh bagi menjelaskan isi kandungan yang akan diajar, guru perlu menetapkan bagaimana hendak menyampaikan isi kandungan tersebut kepada pelajar dengan merancang pengajaran pada peringkat awal dengan memilih metodologi yang sesuai. Guru harus menyediakan bahan pelajaran dan alat bantu mengajar. Guru juga perlu menyedari bahawa pemilihan aktiviti-aktiviti hendaklah selaras dengan objektif jangka pendek dan jangka panjang yang telah hendak dicapai dalam bentuk pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai (Shuki Osman & Rahmad Sukor Ab Samad 2009, Yap Yee Khiong et al. 1985, Ting Len Siong & Muhamad Sidek Said 2007, Mok Soon Sang 1992, Rahil Mahyuddin et al. 2000).
Johanes Bulot&Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau
Rujukan:
Freiberg, H.J., & Driscoll, A. (2005). Universal
Teaching Strategies. Boston: Pearson Education, Inc.
Grand Strategy. (2011). Encyclopedia Britannica
Online. Didapatkan dari
http://www.britannica.com/EBchecked/topic/241447/grand-strategy
Gulo W. (2002). Strategi Belajar Mengajar.
Jakarta: Gramedia Widiasarana.
Schmeck, R. R. (1988). Strategies and Styles of
learning. Dalam R. R. Schmeck (Ed.), Learning Strategies and Learning Style.
New York: Plenum Press.
Kauchak, P.D., & Eggen, P.D. (2007). Learning
and Teaching Research-Based Methods. Boston: Allyn And Bacon.
Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub & Mohd. Zohir
Ahmad. (2005). Pedagogi Strategi Dan Teknik Mengajar Dengan Berkesan.
Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing.
Ee Ah Meng. (1990). Pedagogi Satu Pendekatan
Bersepadu. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti.
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah
Fakhriah Syed Ahmad. (2009). Murid dan Alam Belajar. Shah Alam: Oxford
Fajar.
Kauchak, P.D., & Eggen, P.D. (2007). Learning
and Teaching Research-Based Methods. Boston: Allyn And Bacon.
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Pusat Rujukan
Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. Didapatkan Februari
26, 2011, daripada http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=strategi
Aspaugh, D.J. & Eze, L.G. (1994). Teaching
Today's Health in Middle and Secondary School. New York: Macmillan
Publishing Company.
Mager, R. F. (2009). Menyediakan objektif
Pengajaran: Alat Penting Untuk Mengembangkan Pengajaran Dengan Berkesan.
(Razman Man, Penterjemah) Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia dan
Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Koh Boh Boon & Chua Tee Tee. (1982).
Keadan-keadaan Bagi Pembelajaran. Dalam Asas-asas Dalam Amalan Pedagogi.
Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors .
Mok Soon Sang. (1992). Pedagogi 2: Strategi
Pengajaran Pembelajaran Mikro. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.