Saturday 28 February 2015

Analisis Data Kualitatif

Salam sejahtera kepada semua pembaca yang budiman. Terima kasih kerana sudi melawat ke blog Jabatan seni visual dan muzik IPG Kampus Keningau.

Entry kali ini ialah berkaitan dengan analisis data kualitatif. Semoga Entry ini dapat membantu para pembaca memahami bagaimana data hasil pungutan di lapangan dianalisis dengan betul. Pengetahuan ini juga diharap dapat membantu para pelajar PISMP PSV dalam menjayakan penulisan kajian tindakan. Kepada rakan-rakan kerja dan staf, penulisan ini juga mungkin dapat membantu di masa akan datang apabila bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana ataupun kedoktoran dengan memilih kaedah kualitatif dalam melaksanakan penyelidikan kelak.

Analisis yang hendak dibincangkan ialah Analisis Model Interaktif (AMI) seperti yang dicadangkan oleh Miles dan Huberman (1994). AMI adalah terdiri daripada komponen pengumpulan data, komponen reduksi data, komponen sajian data dan komponen kesimpulan. AMI menurut Miles & Huberman (1994) digambarkan dalam rajah di bawah:


Berdasarkan rajah di atas iaitu AMI mengikut Miles & Huberman (1994), Komponen reduksi data ialah proses memilih dan menyederhanakan data kasar seperti catatan-catatan yang ditulis semasa di lapangan. Reduksi data merupakan suatu bentuk analisis yang memperincikan, menggolongkan, mengarahkan, membuang yang tidak perlu dan mengorganisasikan data tersebut. Proses ini akan berterusan selagi penyelidikan berlangsung.

Komponen penyajian data ialah sekumpulan data-data yang dipersembahkan dalam bentuk teks naratif dan tersusun mengikut tema yang telah diorganisasikan hasil daripada proses reduksi data. Data-data tersebut akan memberi pengetahuan dan kefahaman kepada penyelidik untuk dibuat kesahihan ke dalam kesimpulan. Komponen kesimpulan menurut Miles & Huberman (1994) ialah kesimpulan pada peringkat permulaan itu adalah masih belum jelas dan masih terbuka untuk dimurnikan, kemudian kesimpulan itu akan mengarah kepada perincian sehingga benar-benar jelas dan kukuh. Kesimpulan itu akan sentiasa melalui proses penilaian atau verifikasi dari aspek kebenaran, kesesuaian dan kesahihan kesimpulan selama penyelidikan itu dijalankan.

Aplikasi analisis data ke dalam penyelidikan ini melibatkan beberapa langkah mengikut aturan AMI. Langka pertama yang dilakukan adalah memperoleh dan mengumpul data primer yang mencakupi data deskriptif, audio, video dan gambar-gambar hasil daripada pemerhatian, temu bual, rakaman video, rakaman audio dan rakam gambar mengenai P&P PSV dan hasil-hasil karya pelajar.

Langkah kedua ialah penyelidik akan membuat reduksi data primer itu dengan memperhalus, menggolongkan, mengarahkan dan membuang data yang tidak relevan. Penyelidik akan mengorganisasikan data primer itu untuk di bawah kepada penyajian data.

Langkah ketiga ialah penyelidik akan meletakkan data primer ke dalam penyajian data, dengan tindakan menyusun kod, kategori-kategori dan jadual. langkah terakhir dalam AMI ini ialah penyelidik akan melakukan kesimpulan di peringkat awal menuju kepada peringkat kesimpulan sebenar dengan sentiasa membuat verifikasi data.

Tiga komponen AMI iaitu reduksi data, sajian data dan kesimpulan atau verifikasi itu akan dilakukan dalam bentuk interaktif dengan proses pengumpulan data sebagai sebuah proses kitaran. Justeru itu, semasa proses pengumpulan data berlangsung di lapangan dan setelah proses pengumpulan data berlaku, penyelidik tetap bergerak di antara tiga komponen AMI iaitu penyelidik akan mereduksikan data, membuat penyajian data dan kesimpulan atau verifikasi.


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau.

Rujukan:

Miles & Huberman, 1994, Qualitative Data Analysis (2nd Ed.). Thousand Oaks, Ca: Sage