Sunday, 1 March 2015

Analisis Karya Pelajar Berdasarkan Unsur Seni Garisan.

Salam sejahtera kepada semua pembaca yang budiman. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa anda untuk melawat ke blog Jabatan Seni Visual dan Muzik IPG Kampus Keningau. Semoga perkongsian yang dipaparkan dalam laman blog ini, dapat memberikan input pengetahuan kepada kita.

Entry kali ini ialah berkaitan analisis hasil karya pelajar berdasarkan teori Asas Seni Reka (ASR). Tumpuan analisis difokuskan kepada unsur seni garisan yang mana merupakan salah satu unsur seni yang penting untuk dikuasai oleh para pelajar di sekolah. Penguasaan unsur-unsur seni dalam kalangan pelajar sekolah dapat dikesan oleh guru PSV melalui ujian sumatif atau formatif hasil daripada pelaksanaan P&P PSV yang terancang seperti yang terkandung dalam kurikulum PSV secara teori dan amali.

Hasil karya pelajar adalah bukti kepada aplikasi unsur-unsur seni dalam pengkaryaan di dalam bilik darjah sewaktu guru menjalankan P&P PSV secara amali. Penulis akan memberikan dua contoh hasil karya pelajar yang telah dianalisis berdasarkan unsur seni garisan. Analisis karya pelajar seperti yang dikongsikan ini boleh juga diaplikasikan dalam kajian tindakan sewaktu para siswa siswi PISMP PSV menjayakan kajian tindakan di sekolah apabila mula menganalisi hasil karya pelajar untuk menjawab persoalan kajian.

Analisis Unsur Seni Garisan Hasil Karya Pelajar 1
Hasil karya pelajar 1 bertajuk Bunga Matahari merupakan lukisan alam semula jadi dengan objek utama ialah 3 kuntum bunga matahari menggunakan media pen dan pen maker mata bulat di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Karya ini adalah hasil pelajar tingkatan satu. Lukisan menggambarkan tiga kuntum bunga matahari yang sedang kembang mekar dikelilingi oleh beberapa ekor kumbang dan rama-rama.



Lukisan bertajuk Bunga Matahari ini telah menunjukkan terdapat aplikasi jenis-jenis garisan ke dalam objek seperti garisan halus pada kelopak bunga dan rama-rama, garisan tebal pada daun bunga dan kumbang, garisan beralun pada batang bunga, garisan berbiji pada daun, garisan putus-putus pada batang bunga dan garisan bergerigi pada rumput. Pelajar juga menguasai asas garisan menggunakan pen dan pen maker mata bulat yang bermula dari suatu titik permulaan merentasi sesuatu kawasan hingga terbina satu objek seperti objek bunga matahari, kumbang, rama-rama dan awan. Pelajar kreatif untuk meletakkan jenis-jenis garisan pada bahagian-bahagian rupa objek. Kebanyakan garisan dicipta menggunakan lakaran tangan bebas seperti garisan beralun pada batang bunga dan beberapa bahagian menggunakan alatan seperti garisan halus berulang pada bahagian tengah kelopak bunga. Terdapat variasi pada tekanan garisan pada lakaran bebas walaupun menggunakan media pen dan pen maker mata bulat seperti pada garisan putus-putus. Kesan garisan yang ditinggalkan di atas kertas lukisan adalah kemas menunjukkan pelajar berkeyakinan tinggi dalam membuat lakaran.

Dalam lukisan bunga matahari ini juga telah menggambarkan pelajar kurang menguasai fungsi garisan ke dalam objek seperti garisan menghasilkan jalinan pada sayap rama-rama, garisan menimbulkan bentuk pada kuntum bunga dan garisan mewujudkan ton pada batang bunga. Kualiti garisan tidak menimbulkan ilusi ruang sama ada ruang hadapan atau belakang pada objek-objek. Pelajar tidak dapat membezakan garisan yang terdapat pada alam semula jadi dan alam benda kerana terdapat garisan lurus dan bersudut geometri pada bahagian tengah tiga kuntum bunga matahari. Secara keseluruhan lukisan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap sederhana dalam mengaplikasikan garisan dalam pengkaryaan.

Analisis Unsur Seni Garisan Hasil Karya Pelajar 2

Hasil karya pelajar 2 bertajuk Pintu Pagar merupakan lukisan alam benda dengan objek utama ialah sebuah pintu pagar menggunakan media krayon dan pen mata bulat di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Karya ini adalah hasil pelajar tingkatan satu. Lukisan menggambarkan sebuah pintu pagar dengan dua daun pintu pagar terbuka sedikit. Dua daun pintu pagar disokong oleh dua tiang pagar di kiri dan kanan yang diperbuat daripada batu bata.


Melalui lukisan bertajuk Pintu Pagar, pelajar telah mengaplikasikan jenis-jenis garisan ke dalam lukisan seperti garisan halus, garisan tebal, garisan berlingkar dan garisan memancar. Pelajar memahami garisan yang hendak ditonjolkan adalah garisan lurus, garisan tebal dan garisan menegak untuk menimbulkan kesan teguh dan kukuh pada objek daun pintu dan tiang pagar, sebab itu garisan dihasilkan menggunakan alatan. Pelajar memahami bahawa garisan beralun, garisan berlingkar dan garisan memancar perlu diaplikasikan pada daun pintu pagar sebagai hiasan untuk itu garisan dihasilkan menggunakan lakaran tangan bebas. Garisan berlingkar, garisan memancar diulang-ulang menimbulkan kesan harmoni pada daun pintu. Tekanan garisan menggunakan alatan adalah sekata untuk menggambarkan objek buatan manusia. Pelajar memaparkan garisan pada daun pintu sebelah kiri dan kanan mempunyai pertentangan balikkan cermin. Pada tiang pagar telah menunjukkan aplikasi garisan menimbulkan bentuk. Selain kesan garisan daripada pen mata bulat terdapat juga kesan garisan daripada warna krayon pada daun pintu. Kesan garisan yang ditinggalkan di atas kertas lukisan adalah kemas. Ini menunjukkan pelajar berkeyakinan dalam membuat lakaran menggunakan media pen.

Dalam lukisan pintu pagar, pelajar kurang penguasaan pada garisan untuk mewujudkan bentuk. Objek pintu pagar adalah benda buatan manusia yang teguh dan kukuh. Keteguhan dan kekukuhan bentuk pada tiang pagar sekadar digambarkan dengan kesan garisan tebal tetapi kesan bentuk bata adalah nipis untuk menyokong daun pintu yang berjisim berat. Begitu juga dengan keseluruhan pada daun pintu digambarkan dengan garisan-garisan bentuk rupa sahaja. Secara keseluruhan lukisan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap sederhana dalam mengaplikasikan garisan dalam pengkaryaan.


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau