Tuesday, 3 March 2015

Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran

Menurut Anthony (1963), pendekatan ialah satu set andaian yang saling berkait dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai unsur aksiomatik. Maksud aksiomatik ialah kenyataan yang dianggap benar tanpa memerlukan sebarang bukti atau alasan akan tetapi pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan teori-teori atau generalisasi yang tertentu seperti konkrit kepada abstrak, mudah kepada kompleks, keseluruhan kepada bahagian umum kepada spesifik atau deduktif, spesifik kepada umum atau induktif, dekat kepada jauh dan diketahui kepada belum diketahui. Menurut Mok Soon Sang (1992) dan Noriati A. Rashid et al. (2009), pendekatan ialah cara mendekati sesuatu, iaitu bagaimana sesuatu mata pelajaran diajar berdasarkan objektif jangka panjang atau jangka pendek. Pendekatan pengajaran merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk mendekati atau memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, sesuatu mata pelajaran atau beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran (Shahabuddin Hashim et al. (2005). Wallace (1992), dan Killen (2003), menyatakan beberapa persoalan perlu diambil kira dalam mengenal pasti pendekatan pengajaran yang efektif semasa menyediakan rancangan pengajaran seperti bagaimana pelajaran diorganisasikan dalam pengajaran, sejauh manakah penglibatan pelajar di dalam kelas yang guru kehendaki, apakah tahap respon pelajar terhadap pengajaran guru dan sejauh mana keterlibatan pelajar dalam pengajaran guru. Keupayaan guru untuk menjawab persoalan-persoalan di atas dapat membantu mengenal pasti pendekatan yang paling efektif.

Gabler dan Schoeder (2003), mengatakan secara umumnya pendekatan pengajaran dapat digolongkan secara induktif, deduktif atau kedua-duanya. Fokus kepada pendekatan induktif pula ialah melibatkan aktiviti mengumpul dan mentafsir maklumat-maklumat, kemudian membuat generalisasi atau kesimpulannya manakala pendekatan deduktif sebagai pendekatan mengajar yang bermula daripada satu atau beberapa rumus, prinsip, hukum, teorem atau peraturan diikuti dengan aplikasinya ke atas contoh-contoh yang dikhususkan. Pendekatan eklektik dinyatakan sebagai gabungan kaedah pengajaran pendekatan induktif dan deduktif.

Beberapa prinsip-prinsip penggunaan strategi pengajaran secara induktif iaitu guru harus menyediakan contoh-contoh yang sesuai, iaitu yang boleh digunakan oleh pelajar membuat generalisasi, di samping soalan-soalan haruslah disediakan untuk membimbing pelajar mendapat kesimpulan dan guru tidak akan menerangkan atau menghuraikan isi pelajaran yang berkaitan dengan kesimpulan (Gabler & Schoeder, 2003). Pelajar-pelajar harus dibimbing melalui aktiviti soal jawab untuk mendapat kesimpulan diri sendiri dan jenis contoh khusus yang diberikan haruslah dipelbagaikan, tetapi mengandungi ciri yang sama serta mudah untuk membolehkan pelajar mengenal pasti. Contoh-contoh khusus yang dipilih haruslah sesuai dan mencukupi dan setelah contoh-contoh khusus yang dikemukakan oleh guru, pelajar digalakkan memberi contoh-contoh yang serupa. Alat bantu mengajar harus disediakan untuk membantu pelajar mendapatkan kesimpulan yang berkenaan (Gabler & Schoeder, 2003).

Menurut Gabler dan Schoeder (2003), terdapat beberapa prinsip-prinsip strategi pengajaran secara deduktif seperti pada peringkat permulaan, masalah atau hipotesis harus didedahkan terlebih dahulu kepada para pelajar. Pelajar harus dibimbing mengingat kembali rumus, generalisasi, prinsip, teorem atau teori agar membolehkan pelajar menyelesaikan masalah atau hipotesis yang telah didedahkan. Generalisasi, prinsip atau teori yang digunakan untuk menyelesaikan masalah atau membuktikan hipotesis haruslah diketahui serta telah difahamkan secara mendalam. Proses menyelesaikan masalah atau untuk membuktikan hipotesis tidak terhad kepada menggunakan satu generalisasi, prinsip, rumus, hukum atau teori yang telah dipelajari. Guru sendiri tidak perlu menunjukkan cara menyelesaikan masalah atau menghuraikan cara membuktikan hipotesis, tetapi membimbing pelajar melalui aktiviti soal jawab sehingga mereka menjalankan aktiviti penyelesaian masalah sendiri (Gabler & Schoeder, 2003).

Menurut Noriati A. Rashid at al., (2009), pengajaran tematik memerlukan guru mengenal pasti tema-tema yang hendak dijadikan idea utama pengajaran bagi suatu jangka masa. Tema-tema yang dipilih perlulah sesuai dengan peringkat umur pelajar. Daripada tema yang dipilih, guru perlu menyenaraikan beberapa tajuk kecil yang berkaitan dengan tema tersebut. Berdasarkan topik-topik kecil tersebut, guru-guru merancang aktiviti-aktiviti yang spesifik pada hari atau minggu yang ditetapkan. Tema yang mudah hendaklah diperkenalkan terlebih dahulu sebagai persediaan kepada pelajar sebelum menerima tema yang lebih rumit dan mencabar. Walaupun tema-tema kecil dirancang lebih awal tetapi guru boleh mengubah turutannya mengikut kesesuaian kelasnya. Tujuan dijalankan pengajaran bertema adalah memberikan beberapa pengalaman yang berkaitan kepada pelajar supaya pembelajaran tersebut menjadi lebih bermakna (Noriati A. Rashid at el., 2009).

Ketika menjalankan pengajaran tematik guru perlu tahu beberapa ciri iaitu mempunyai tajuk umum yang boleh dikembangkan kepada topik-topik kecil. Aktiviti pembelajaran berasaskan topik kecil dan semuanya ada kaitan dengan topik umum atau tema (Noriati A. Rashid et al., 2009). Aktiviti pembelajaran boleh merangkumi berbagai-bagai bidang kurikulum. Terdapat penggabungjalinan pelbagai kemahiran semasa pelajar-pelajar menjalani aktiviti. Pemilihan tema hendaklah merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupan seharian pelajar. Sebaik-baiknya pilihlah tema yang dekat dengan pelajar seperti diri, keluarga, sekolah dan sebagainya membawa kepada tema-tema yang lebih abstrak dan mencabar. Yang perlu diberi perhatian ialah aktiviti yang dirancang itu dapat mencerminkan kesinambungan di antara tema supaya mesej yang khusus dapat disampaikan kepada pelajar (Noriati A. Rashid at al., 2009).

Terdapat berbagai pendekatan P&P yang boleh diaplikasikan oleh guru untuk mengajar mata pelajaran PSV. Menurut Md. Nasir Ibrahim dan Iberahim Hassan (2003), dua pendekatan yang sering digunakan ialah pendekatan behaviourisme dan pendekatan kognitif. Pendekatan behaviourisme ialah pendekatan pembelajaran yang melihat kepada perubahan tingkah laku apabila berlakunya ransangan dan perubahan tingkah laku itu perlu diteguhkan secara positif atau negetif. Pendekatan kognitif ialah berkaitan dengan keupayaan mental untuk memproses maklumat dalam ingatan jangka pendek sebelum maklumat itu dihantar ke ingatan jangka panjang. Kedua-dua pendekatan ini menghasilkan impak P&P yang berkesan dan sesuai diaplikasikan dalam P&P PSV (Md. Nasir Ibrahim & Iberahim Hassan, 2003).

Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau


Rujukan:

Anthony, E. M. (1963). English Language Teaching. Approach, Method and Technique(17), 63-57.

Gabler, I. & Schoeder, M. (2003). Constructivist Method for the Secondary Classromm: Engaged Minds. Boston: Allyn & Bacon.

Killen, R. (2003). Effective Teaching Strategies Lessons from Research and Practice. South Melbourne, Victoria, Australia: Thomson Social Science Press.

Md. Nasir Ibrahim & Iberahim Hassan. (2003). Pendidikan Seni untuk Maktab dan Universiti. Betong Pahang Darul Makmur: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Md. Nasir Ibrahim. (2006). Estetika dalam Pendidikan Seni Visual "Sedikit-sedikit Lama-lama Menjadi Bukit". In Metodologi Pendidikan Seni Visual. Tanjong Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Mok Soon Sang. (1992). Pedagogi 2: Strategi Pengajaran Pembelajaran Mikro. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009). Murid dan Alam Belajar. Shah Alam: Oxford Fajar.

Shahabuddin Hashim, M. R. (2006). Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: PTS Professional.

Shahabuddin Hashim, Mahani Razali & Ramlah Jantan. (2003). Psikologi Pendidikan. Bentong: PTS Publications & Distributor.

Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub & Mohd. Zohir Ahmad. (2005). Pedagogi Strategi Dan Teknik Mengajar Dengan Berkesan. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing.

Wallace, P. R. (1992). A proposed reconciliation of conservative and liberal approaches to instructional design. Australian Journal of Educational Technology, 13-26.