Teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Anthony (1963) mengatakan bahawa teknik ialah kemahiran guru yang digunakan untuk pengelolaan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti P&P. Menurut Azman Wan Chik (1987), teknik ialah apa yang dilihat dalam bilik darjah. Kamarudin Husin dan Siti Hajar Abdul Aziz (1998) berpendapat bahawa teknik pengajaran ialah pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah di mana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif.
Berdasarkan pendapat tokoh-tokoh ilmiah dalam ilmu pedagogi di atas, dapat disimpulkan bahawa teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah P&P yang mana menjadi kemahiran guru untuk mengelola dan melaksanakan kaedah pengajaran dalam sesuatu aktiviti P&P di dalam bilik darjah. Justeru itu, guru hendaklah melaksanakan teknik pengajaran sebagai suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah bagi mencapai sesuatu objektif yang dirancang. Jika seseorang guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik yang ada pada sesuatu kaedah maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan tidak berhasil. Teknik dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) adalah terdiri daripada teknik syarahan, teknik demonstrasi, teknik penyoalan, teknik perbincangan, teknik latihan terbimbing, teknik latihan terbuka, teknik berkumpulan, teknik bermain, teknik simulasi dan teknik inkuiri penemuan.
Sementara itu, menyentuh tentang hubungan kaedah P&P dalam pencapaian pelajar, Cage dalam Noraini Idris (2009), menyatakan bahawa terdapat hubungan positif antara kaedah pengajaran dan tahap pencapaian pelajar. Kaedah pengajaran yang bersesuaian dengan kandungan isi pelajaran dan kemahiran-kemahiran yang hendak disampaikan oleh guru adalah salah satu faktor yang berkesan untuk mempengaruhi pelajar mencapai kejayaan. Dapatan kajian itu juga mendapati bahawa keputusan guru memilih kaedah pengajaran mempengaruhi tingkah laku pelajar, malah tingkah laku dan sifat peribadi guru juga dikenal pasti mempunyai kesan terhadap pencapaian pelajar. Dalam kajian Supramani (2006), ke atas soalan-soalan guru dan respon pelajar, beliau mendapati bahawa kebanyakan guru lebih kecenderungan mengemukakan soalan kognitif pada aras rendah berbanding soalan kognitif pada aras tinggi. Kecenderungan guru menyoal pada aras rendah telah menyebabkan pelajar-pelajar hanya mengingati semula apa yang mereka baca sahaja manakala penyoalan pada aras tinggi telah menyebabkan pelajar-pelajar rasa tercabar, menggalakkan para pelajar mengemukakan pendapat, menjana idea baru, mencari penyelesaian sesuatu masalah serta mula berfikir secara kritis dan kreatif.
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau
Rujukan:
Anthony, E. M. (1963). English Language Teaching. Approach, Method and Technique(17), 63-57.
Azman Wan Chik. (1987). Kaedah Hayati Amali. Kuala Lumpur: Karya Bistari .
Kamarudin Husin & Siti Hajar Abdul Aziz. (1998). Pengajaran Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.
Noraini Idris. (2009). Isu dan Cabaran dalam Pengajaran dan Pembelajaran. dlm. Pengajaran Dan Pembelajaran Teori dan Praktis. Kuala Lumpur: McGraw Hill Education.
Supramani, S. (2006). Penyoalan Guru: Pemangkin Aras Tinggi murid. Jurnal Pendidikan, 225-248.