Thursday, 5 March 2015

Spesifikasi Standard Logo Institut Pendidikan Guru Malaysia

Sesungguhnya kita sering terdedah dengan imej logo yang ada dipersekitaran kita. Sebagai contoh, logo TV1, TV2, TV3 dan logo syarikat siaran berbayar Astro yang mana sudah tidak asing lagi di serata tempat. Selain itu, logo juga biasa kita lihat pada dinding bangunan, kenderaan, iklan, poster, bungkusan serta bahan-bahan bercetak seperti sampul surat, kertas surat, invois, kulit depan, faks, memo dan resit. Bagi sesetengah syarikat yang ternama, logo bukan sahaja wujud pada segala hasil pengeluaran, bahkan juga pada kad nama dan pakaian kakitangan serta pekerjanya. Berdasarkan contoh-contoh logo di atas, dapat kita fahami bahawa fungsi logo ialah sebagai satu simbol atau tanda pengenalan bagi satu pertubuhan, persatuan, kelab, barangan komersial, syarikat, perkhidmatan, kempen dan pameran. Demikian juga logo Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau (IPGK Keningau), logo yang berfungsi sebagai simbol dan tanda mercu kegemilangan menjulang ilmu dan peradaban dalam melahirkan guru-guru yang terbilang dalam negara Malaysia amnya dan negeri Sabah Khususnya.

Perkataan logo sebenarnya adalah singkatan daripada ‘Logogram’. Logo merupakan satu gubahan ringkas yang membawa makna dan mesej tertentu. Proses kelahiran sesuatu logo biasanya memerlukan kekuatan artistik dan kehalusan tangan dalam mengolah motif menjadi sesuatu yang bermakna kepada satu kelompok masyarakat yang diwakilinya, sebagai contoh logo Institut Perndidikan Guru Malaysia seperti gambar rajah 1 di bawah. Pada hari ini, proses penciptaan logo dimudakan lagi dengan kemajuan teknologi pembangunan perisian komputer seperti perisian adobe ilustrator dan adobe photosop. Terdapat tiga jenis logo iaitu logo huruf, logo representasi dan logo simbol. Sementara itu, ciri-ciri gubahan logo yang bermutu ialah corak logo asli, unik dan bermakna. Bentuk logo jelas dipandang dan mudah difahami. Logo mempunyai mesej yang mudah diingati. Pilihan warna yang sesuai dan berkesan. Ciptaan logo mempunyai kaitan dengan tajuk dan tema. Jika huruf digunakan, huruf asalnya dapat dikesan.

Makna Logo IPGM
Gambar rajah 1

Namun sering kali logo yang telah melalui proses kelahiran yang jitu dan bermutu mengalami kecacatan pandangan mata baik disedari atau tidak disedari oleh kita sehari-hari. Tidak dapat dinafikan bahawa kecacatan sesuatu logo itu adalah disebabkan oleh kesilapan-kesilapan pada penggunaan logo tersebut. Menggambil contoh pada logo Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), beberapa kecacatan telah dikenalpasti seperti pada gambara rajah 2 di bawah.

Kesilapan-kesilapan pada logo IPGM
Gambar rajah: 2

Berdasarkan gambar rajah 2 di atas, antara kesilapan-kesilapan yang kerap pada penggunaan logo IPGM, ialah seperti pernyataan di bawah.

1. Globe/bumi hanya ada peta Malaysia dan tiada 3 garisan/jalur putih.

2. Kawasan di sekitar globe/bumi dan huruf "IPG" seharusnya ruang kosong dan bukan putih.

3. Tiada garisan/jalur putih, globe/bumi ditimbulkan rata dan tidak berbentuk sfera.

4. Memutar belit rupa dan logo sehingga kelihatan nipis/kurus.

5. Tiada 3 garisan jalur putih, rupa dan bentuk, logo diherotkan sehingga kelihatan tebal/gemuk.

6. Tiada 3 garisan jalur putih, rupa dan bentuk logo diputarbelitkan sehingga kelihatan bujur.

7. Logo IPGM seharusnya tiada kotak atau latar belakang putih kecuali latar belakang keseluruhan reka bentuk adalah putih.

8. Memutarbelit imej logo seperti di atas secara etikanya tidak dibenarkan kerana tidak menghormati lambang IPGM.

9. Ketiga-tiga garisan/jalur putih pada logo tiada atau tidak dibuat, yang ada hanya garis biru pucat pada luar rupa (shape) logo tersebut. Huruf "fa" (satu titik) pada tulisan jawi seharusnya digantikan dengan "pa"(tiga titik)

Aplikasi logo yang betul mengikut spesifikasi standard IPGM adalah seperti pernyataan di bawah ini.

1. Logo IPGM mesti lengkap dengan 3 garisan/jalur putih dengan globe/bumi berbentuk sfera dan bulat bukan bujur.

2. Semua bahagian boleh ditimbulkan supaya kelihatan 2 dimensi kecuali globe/bumi dibiarkan berbentuk sfera.

3. Ketiga-tiga garisan/jalur putih jelas kelihatan walaupun bahagian lain ditambah 'glow' berwarna biru pucat.

4. Huruf "fa" (satu titik) diganti dengan huruf "pa" (tiga titik).

Harapan kita bersama, semoga dengan sedikit panduan mengenai spesifikasi logo IPGM Yang Standard ini, dapatlah kita menggunakan logo dengan cara yang betul pada dinding bangunan, kenderaan, iklan, poster, bungkusan serta bahan-bahan bercetak seperti sampul surat, kertas surat, invois, kulit depan, faks, memo dan resit.


Oleh:
Ahmad Mohd. Yasin
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.