Sunday 8 March 2015

Kerangka Teoritikal Dalam Kajian Kualitatif

Pentingnya Kerangka teoritikal dalam penyelidikan disebabkan oleh kerangka teoritikal juga menjadi sebahagian daripada faktor penting dalam pembentukan persoalan kajian dalam penyelidikan. Ia menjadi panduan bagi menentukan orientasi penyelidikan yang akan dilakukan. Kerangka teoritikal membentuk konsep, terma, definisi, model dan teori yang menjadi asas dan orientasi disiplin bagi kajian yang hendak dilaksanakan. Seterusnya akan membentuk "masalah" bagi kajian, soalan kajian, pengumpulan data dan analisis serta bagaimana hendak mentafsir data. Ini bermakna, semua aspek kajian akan mendapat impak daripada kerangka teoritikal yang akan dibentuk. Berikut ialah perkongsian tentang  kerangka teoritikal dalam penyelidikan yang pernah dijayakan oleh penulis ketika menjalankan penyelidikan.

Kerangka teoritikal kajian ini adalah menggunakan kerangka Model Discipline and Multi Discipline in Visual Art Education yang dipetik daripada Shukor Hashim dan Solihin Osman (2000). Model ini sesuai kerana meliputi pelbagai disiplin ilmu sebagai sandaran atau sokongan kepada empat disiplin utama yang terdapat dalam Discipline Based Art Education (DBAE). Menurut Dobbs (1998), amalan P&P melalui DBAE, mencakupi empat disiplin seni iaitu disiplin penghasilan karya, disiplin sejarah seni, disiplin kritikan seni dan disiplin estetik seni.

Dalam disiplin penghasilan produk seni, ianya lebih menekankan mengenai tatacara, kaedah, teknik dalam proses menghasilkan karya. Melalui disiplin sejarah seni, ianya merupakan sumber pengetahuan tentang teknik dan gaya penghasilan karya oleh seniman-seniman agung masa lalu dan masa kini sebagai satu bentuk motivasi. Disiplin kritikan seni memfokuskan kepada persepsi, deskripsi, analisa, interpretasi dan penilaian terhadap sesebuah karya dari sudut Asas Seni Reka (ASR) melalui aktiviti pemerhatian, penganalisisan dan penilaian karya-karya seni. Akhir sekali mengenai disiplin estetik seni, ianya mengenai kefahaman dan penguasaan asas-asas teori untuk menilai kualiti sesuatu kesenian yang terdapat di persekitaran. Menurut Iberahim Hassan (2006), DBAE sesuai dipraktikkan di sekolah kerana mempunyai struktur yang kukuh dan sesuai dengan matlamat PSV serta selari dengan matlamat pendidikan kebangsaan. Walau bagaimanapun, penyelidik telah membuat pengubahsuaian kepada model ini supaya menepati bentuk kajian yang telah dilaksanakan.


Berdasarkan Rajah 1.1 di atas, penyelidik cuba melihat dan memahami bagaimana empat disiplin dasar yang terkandung dalam DBAE yang mempunyai empat komponen penting dalam penyelidikan ini. Komponen pertama ialah guru PSV yang menjadi nadi dan penggerak utama kepada pengajaran dan pembelajaran (P&P) Pendidikan Seni Visual (PSV) di dalam kelas atau bilik seni. Komponen yang kedua ialah strategi P&P iaitu pengetahuan guru tentang pendekatan, kaedah, dan teknik P&P agar dapat melaksanakan P&P PSV dengan berkesan. Komponen ketiga ialah ASR yang mana terbahagi kepada dua bahagian iaitu unsur-unsur seni dan prinsip-prinsip rekaan. Komponen yang keempat ialah pelajar yang akan dilibatkan secara intensif dalam pelbagai aktiviti P&P oleh guru seni dengan produk akhirnya ialah hasil karya sama ada dalam bentuk karya dua dimensi atau karya tiga dimensi.

Komponen pertama ialah guru seni yang melaksanakan proses P&P di sekolah ialah mereka yang telah mendapat latihan keguruan secara intensif dan terancang. Menurut Isahak Haron (1982), profesion keguruan memerlukan asas pengetahuan yang luas mengenai sesuatu bidang ilmu dan juga memerlukan latihan dan kemahiran dalam menjalankan amalan pengajaran. Latihan keguruan ini diprogramkan mengikut bidang atau pengkhususan mata pelajaran yang ditawarkan sama ada di maktab-maktab perguruan atau institusi pendidikan tinggi (Mohd. Sahandari Gani b. Hamzah et al., 2002). Justeru itu, guru-guru seni yang bertauliah mampu menggerakkan keupayaan pengalaman profesion keguruannya dalam membina konsep amalan pendidikan di sekolah berteraskan konsep DBAE.

Komponen yang kedua ialah pengetahuan guru tentang pendekatan, kaedah dan teknik P&P. Terdapat pelbagai pendekatan, kaedah, strategi dan teknik dalam melaksanakan P&P PSV di sekolah yang bersesuaian dengan konsep DBAE. Pada guru seni diletakkan tanggungjawab untuk memilih pendekatan, kaedah, strategi dan teknik ini agar menghasilkan impak pembelajaran yang berkesan di pihak pelajar. Pendekatan dalam P&P PSV seperti pendekatan proses dan produk, pendekatan Chapman (1998) iaitu pemerhatian, penerokaan, penghasilan dan apresiasi. Kaedah dalam P&P PSV seperti kaedah simulasi, sumbangsaran, projek, akses kendiri dan lawatan. Strategi dalam P&P PSV seperti mengenal konsep, kajian masa depan, kepelbagaian kecerdasan, teknologi maklumat dan komunikasi, pembelajaran kontekstual, pendekatan konstruktivisme, kemahiran berfikir dan pembelajaran masteri. Teknik dalam P&P PSV seperti teknik soal jawab, teknik memberi arahan, teknik tunjuk cara, teknik tindak balas, teknik bercerita, kawalan kelas, menggunakan sumber bahan P&P, teknik penerangan menggunakan contoh, ilustrasi dan sumber P&P serta teknik penutup. Menurut Suria Baba (2007), kesepaduan dan kesesuaian pendekatan, kaedah, strategi dan teknik P&P akan membantu mewujudkan pembenaman ilmu pengetahuan yang jitu dalam minda pelajar.

Komponen ketiga ialah penyelidik mengemukakan pengetahuan kurikulum yang difokuskan kepada ASR. Komponen ketiga ini bertepatan sekali dengan konsep DBAE sebagai salah satu model kurikulum yang menjadi rujukan asas dalam pembinaan kurikulum, yang mana menekankan keperluan untuk memahami dan mengaplikasi ASR dalam penghasilan karya seni. ASR itu terbahagi kepada dua kumpulan iaitu unsur-unsur seni dan prinsip-prinsip rekaan. ASR ini wajib dikuasai oleh para pelajar di peringkat menengah rendah seperti yang termaktub dalam kurikulum PSV menengah rendah sebagai mata pelajaran teras. Menurut Iberahim Hassan (2000), pada dasarnya, P&P pendidikan seni adalah untuk mendidik pelajar menggunakan kefahaman dalam ASR untuk mengaplikasikan idea kreatif mereka melalui media. Keperluan utama untuk ASR ini disampaikan kepada pihak pelajar dengan berkesan ialah kebijaksanaan guru-guru seni memanipulasi dan mengaplikasikan pendekatan, kaedah, strategi dan teknik dalam P&P, selari dengan objektif rancangan pengajaran yang hendak disampaikan. Menurut Mohd Fauzi Bin Sedon @ M. Dom (2009), salah satu aspek penting yang menjadi persoalan utama yang mendasari setiap penghasilan karya seni itu ialah aspek formalistik.

Komponen keempat ialah pelajar yang akan dilibatkan secara aktif dalam pelbagai aktiviti P&P oleh guru seni dengan produk akhirnya ialah hasil karya sama ada dalam bentuk karya dua dimensi atau karya tiga dimensi seperti yang dihasratkan oleh DBAE. Bagi mencapai maksud tersebut pelajar akan didedahkan dengan kemahiran ASR secara teori kemudian diikuti oleh aktiviti gerak kerja dalam bentuk penghasilan karya sebagai kerja amali. Hakikatnya, pelajar-pelajar di dalam kelas atau bilik seni adalah terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza dan ini pastinya akan menimbulkan masalah jika guru tidak bijaksana menyesuaikan dengan strategi P&P yang bersesuaian dengan latar belakang pelajar. Perbezaan yang ketara ialah kebolehan membuat gambaran secara visual (Gardner, 1993). Satu daripada cara untuk mengurangkan masalah yang timbul akibat perbezaan ini adalah dengan mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran (Esah Sulaiman, 2003).


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau
Rujukan:

Chapman, L. H. (1998). Approaches to Art in Education. New York: Harcourt Brace Jovanovich.

Dobbs, S. M. (1998). A Guide to Discipline-Based Art Education: Learning in and through Art. Los Angeles: Getty Publications.

Gardner, H. (1993). Multiple Intelligence : The Theory in Practice. New York: Basic Books.

Iberahim Hassan. (2006). Pendidikan Seni Visual Berasaskan Discipline Base of Art Education (DBAE). In Mohd Johari Ab.Hamid (Ed.), Metodologi Pendidikan Seni Visual. Tanjong Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Isahak Haron. (1982). Keguruan dan Perguruan: Ke Arah Satu Profesion. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributor Sdn. Bhd.

Md. Nasir Ibrahim & Iberahim Hassan. (2003). Pendidikan Seni untuk Maktab dan Universiti. Betong Pahang Darul Makmur: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Mohd. Sahandari Gani b. Hamzah, Hafidah bt. Mohamed, Abdullah b. Mohd. Noor & Lilia bt. Halim. (2002). Analisis Pemikiran Guru Cemerlang: Ke Arah Melahirkan Guru Berpotensi. Jurnal Penyelidikan Pendidikan, Jilid 4, 130-143.

Shukor Hashim & Solihin Osman. (2000). Model "Discipline and Multiple Discipline in Visual Art Education" Untuk Pengajaran dan Pembelajaran Seni Di Peringkat Institusi Pengajian Tinggi. Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Seni Visual (pp. 51-55). Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sidek Mohd Noah. (2002). Reka Bentuk Penyelidikan: Falsafah, Teori dan Pratis. Serdang: Universiti Putra Malayysia.

Suria bt Baba. (2007). Pelaksanaan Aktiviti Prapenulisan Bahasa Melayu Dilandasi Oleh Teori Pembelajaran Berasaskan Otak. Jurnal Penyelidikan Pendidikan Guru, Vol.3, 21-44.