Saturday 4 April 2015

Melukis dengan Adobe Ilustrator

Salam jumpa lagi dan selamat sejahtera kepada semua pembaca yang budiman. Semoga di hari anda berkunjung ke blog ini, kita semua dalam keadaan yang sihat sejahtera dan dilimpahkan rezeki daripada yang maha kuasa.

Kali ini saya cuba buat satu perkongsian demo langkah demi langkah melukis bunga raya menggunakan perisian adobe ilustrator CS6. Salah satu kelebihan melukis menggunakan ilustrator ialah terletak pada pen tool melalui ciri istimewa "anchor Point" yang mana garisan boleh diselaraskan menurut kehendak kita menggunakan "handle" yang terhasil di setiap anchor apabila diherot tanpa melepaskan tekanan sebelah kiri pada tetikus kursor. Bagi pembaca yang sudah biasa dan mahir dengan perisian adobe ilustrator istilah-istilah di atas sudah tidak asing tapi bagi pembaca yang baru berjinak-jinak dalam perisian ilustrator sila lihat gambarajah 1 di bawah bagi memudahkan pemahan tentang pen tool ini.

Gambarajah 1

Gambarajah 1 di atas ialah menunjukkan anchor point. Handle pula terhasil apabila pen tool yang menghasilkan anchor diherot tanpa melepaskan tekanan sebelah kiri tetikus kursor seterusnya menghasilkan lengkungan pada garisan.

Langkah 1: Buat bulatan seperti kedudukan di gambarajah 2 di bawah menggunakan Elippse Tool yang terdapat pada menu tool. Bulatan ini bertujuan untuk panduan kedudukan pada bunga raya.

Gambarajah 2

Langkah 2: Lukislah kelopak bunga mengikut kedudukan bulatan yang telah ditentukan lebih awal di langkah 1. Pada peringkat ini lukisan kelopak bunga adalah kasar dan belum dimurnikan kedudukan dan saiz kelopak seperti yang ditunjukkan dalam gambarajah 3 di bawah.

Gambarajah 3

Langkah 3: Proses memurnikan kelopak bunga raya dengan membuat beberapa perubahan seperti yang ditunjukkan hasilnya pada gambarajah 4 di bawah. Pada peringkat ini perubahan tool harus dilakukan daripada pen tool kepada Direct Selection Tool (DST). Klik pada anchor pada garisan yang ingin dimurnikan/seleraskan dan herotlah sehingga setiap kelopak bunga raya memperlihatkan kadar banding pada bunga raya yang sebenar dan memperlihatkan nilai artistik pada lukisan anda.

Gambarajah 4

Langkah 4: Proses mewarna pada kelopak bunga raya seperti yang ditunjukkan pada gambarajah 5 di bawah. Pada peringkat ini, anda harus menukar tool anda daripada DST kepada Gradient Tool (GT) yang terdapat dalam Menu Tool. Tentukan warna kiri kanan pada GT, sebagai contoh saya memilih merah dan kuning yang mana merah untuk kawasan yang mempunyai ke dalaman atau istilah lainnya ialah kurang mendapat pencahayaan tampak dan kuning untuk kawasan kelopak bunga raya yang mendapat pencahayaan tampak yang banyak. Harus ingat dalam mewarna pelukis harus mahir dengan konsep pencahayaan tampak yang selalunya pelukis sendiri akan tentukan. Pencahayaan akam menimbulkan bentuk pada bunga selain menimbulkan ruang dan jalinan.

Gambarajah 5

Langkah 5: Teruskan menggunakan GT dalam mewarna kelopak demi kelopak bunga yang disesuaikan dengan konsep pencahayaan tampak. Satu keistimewaan GT versi illustrator CS6 ini ialah disertakan panduan terus menentukan keselarasan warna mengikut bentuk lukisan anda pada kawasan yang diwarnakan seperti yang ditunjukkan dalam gambarajah 6 di bawah.

Gambarajah 6

Langkah 6: Akhirnya 5 kelopak pada bunga raya telah berjaya di wrnakan dengan menggunakan GT seperti yang ditunjukkan dalam gambarajah 7 di bawah. Namun biarpun telah selesai mewarna, kelihatan imej bunga raya masih lagi dalam keadaan yang kasar kerana terdapat garisan merah pada setiap tepi kelopak bunga. Anda harus ingat, konsep seni ialah halus, halus pada hasil karya halus juga pada mata memandang. Oleh itu, anda harus mengarah daya artistik dan kreativiti anda untuk menjadikan lukisan bunga raya memperlihatkan mutu estetika yang halus.

Gambarajah 7

Langkah 7: Tukarlah garisan merah disetiap tepi kelopak bunga yang berfungsi sebagai lakaran kelopak bunga raya seperti di gambarajah 2 di atas kepada warna yang terdapat pada kelopak-kelopak bunga raya mengikut pencahayaan. Daripada GT tukar dan pilih Selection Tool (ST). Klik pada garisan warna merah untuk mengaktifkan garisan tersebut. Pergi kepada GT dan satu tetingkap kecil akan dipaparkan, melalui tetingkap ini anda boleh seleraskan warna dan membuat beberapa pilihan pusingan arah jam bagi menyamakan kedudukan warna seperti yang ditunjukkan dalam gambarajah 8 di bawah.

Gambarajah 8

Rasanya saya berhenti setakat kelopak-kelopak bunga raya seperti yang ditunjukkan dalam gambarajah 8 di atas. Saya mohon maaf kerana lukisan bunga raya saya tidak lengkap dan kurang cantik. Apa yang penting anda boleh berlatih melukis menggunakan perisian adobe ilustrator sehingga mahir dahulu menggunakan beberapa tool yang terdapat pada menu tool. Sekiranya sudah mahir maka bolehlah anda tambahkan sesunggut bunga raya dan menonjolkan sedikit jalinan agar bunga raya kelihatan mempunyai nilai estetika yang tinggi hasil daripada daya artistik kreatif yang anda miliki. Sekian terima kasih kerana sudi membaca tulisan ini. Jumpa lagi. Bye..

Imitasi Artistik Kreatif Estetika

Ditulis Oleh:
Encik Johanes bin Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.