Mereka tiba dari Tanah Besar Asia; Annam melalui kepulauan Filipina. Masyarakat ini membawa bersama-sama warisan kebudayaan yang tetap terpelihara keasliannya. Di antara kebudayaan itu ialah kemahiran dan keindahan menenun pakaian dan menganyam.1
Fokus kepada masyarakat Dusun sahaja, pernyataan di atas membuktikan bahawa seni kraf tangan dalam masyarakat Dusun merupakan perkembangan dan persambungan dari kepercayaan awal serta terus diamalkan pada zaman berikutnya. Nilai tradisi ini juga merupakan ciri budaya hasil dari pengalaman dan kelangsungan hidup serta sejarah masyarakat Dusun itu sendiri. Sejarah perkembangan seni kraf tangan ini berterusan dari satu generasi ke satu generasi.
Orang-orang Dusun telah lama menetap di kawasan-kawasan pergunungan yang jauh di pedalaman Sabah. Pernyataan di bawah, menunjukkan bahawa masyarakat Dusun telah lama memulakan kehidupan mereka di sepanjang banjaran Crocker.
As our interest in them depend, and we look around the house in which they all sat talking, we found it impossible not to wonder how they lane to settled in this remote valley or hilltop, from where they came and by what routes. Where and how did they designs, their skill, originate many years ago?2
Masyarakat ini mendirikan kawasan perkampungan di kaki-kaki bukit dengan rumah yang diperbuat daripada bambu dan atap rumbia. Kawasan perkampungan dengan keadaan alam sekeliling masyarakat Dusun telah menyediakan kemudahan untuk mendapatkan bahan-bahan mentah bagi menghasilkan kraf tangan yang berbagai-bagai mengikut fungsinya.
Pada zaman dahulu dalam masyarakat Dusun, hasil kraf tangan adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan seharian seperti perlindungan, pakaian dan kehidupan. Contohnya atap yang dianyam dapat melindungi dari panas dan hujan, tikar sebagai alas duduk dan alas tempat tidur, bakul untuk mengisi padi atau beras dan ikan, terendak untuk berlindung dari panas bila ke kebun. Ini bermakna, Pada peringkat awal hasil kraf tangan dalam masyarakat Dusun itu lebih dianggap sebagai barang keperluan harian dengan mengutamakan kegunaannya dari nilai estetika seperti yang diungkapkan dalam petikan di bawah:
Pada peringkat awal, kraf tangan anyaman berkembang tanpa menerima sebarang pengaruh luar. Penciptaan alat-alat anyaman adalah amat sederhana, tanpa didasari dengan nilai estetika. Keadaan ini bersesuaian dengan konsep penciptaan seni tradisi yang tidak berkaitan secara langsung dengan seni halus.3
Salah satu kraf tangan tradisi yang terdapat dalam masyarakat Dusun ialah seni anyaman. Bidang anyaman merupakan satu daripada bidang pekerjaan kerajinan tangan. Tidak dapat dibuktikan dengan jelas siapakah pencipta pertama seni anyaman dalam masyarakat Dusun kerana ianya menjadi milik yang diwariskan dan dikagumi hingga ke hari ini.
Terdapat berbagai-bagai jenis anyaman dalam masyarakat Dusun sebagai satu warisan nenek moyang masa lalu itu hingga ke hari ini. Masyarakat Dusun masih lagi membawa kemahiran-kemahiran menganyam ini seperti kemahiran menganyam Kolobon, Sirung, Wakid, Barait, Saging, Sopilon, Boungon, dan Balatak. Hasil-hasil anyaman ini amat berfungsi dalam kehidupan masyarakat Dusun seharian, selaras dengan pekerjaan mereka sebagai petani.
Budaya ini telah dibawa dan berterusan di kalangan masyarakat Dusun di kampung Menawo Laut, Keningau. Kemahiran memproses hingga ke hasil anyaman masih terdapat di kampung ini tetapi kemahiran-kemahiran ini hanya ada pada golongan tua sahaja, sedangkan golongan muda tidak lagi berminat untuk meneruskan kemahiran-kemahiran memproses dan menganyam yang diwarisi dari nenek moyang di Tanah Besar Asia; Annam, ke Borneo Utara melalui kepulauan Filipina dan membuat penempatan asal di sekitar banjaran Crocker itu yang kaya dengan bahan mentah untuk menghasilkan kraf tangan. Hal ini ditegaskan oleh Elizabert dan John Alma seperti di bawah:
At the moment, in many of these villages a few older craftsman remain – but the younger members are not preparing to carry on.4
Salah satu kemahiran memproses bahan mentah dan menganyam yang semakin dilupakan oleh generasi muda di kampung Menawo Laut ialah proses membuat anyaman Kolobon iaitu sejenis tikar daripada isi buluh yang digunakan untuk menjemur padi.5 Menghasilkan Anyaman Kolobon sememangnya mudah kerana bahan-bahan yang diperlukan terdapat berhampiran dengan tempat kediaman iaitu disekitar perkampungan tersebut.
Penyumbang utama kepada kepupusan ini bukan sahaja faktor ketiadaan minat golongan generasi muda untuk mengekalkan anyaman Kolobon sebagai satu budaya warisan yang mesti dikekalkan dalam masyarakat Dusun tetapi faktor perubahan persekitaran turut menjadi menyumbang. Pada hari ini terdapat berbagai barangan moden yang mampu mengambil alih fungsi Kolobon, di mana barangan moden seperti karung guni lebih mudah didapati di kedai-kedai dengan harga yang murah sebagai alas menjemur padi.
Penggunaan anyaman Kolobon ini terhad di kampung sahaja iaitu sebagai alas menjemur padi dan boleh juga digunakan dalam beberapa kegiatan yang berkaitan dengan pertanian padi seperti alas penyimpan padi, alas sewaktu memisahkan padi dari tangkainya dan alas mengumpul padi sebelum padi itu di simpan. Keterbatasan kegunaannya kepada aktiviti pertanian padi di kampung sahaja menyebabkan proses membuat anyaman Kolobon tidak dilakukan dengan intensif.
Anyaman Kolobon ini dihasilkan apabila masyarakat Dusun di kampung Menawo Laut selesai menanam padi dan sementara menunggu padi boleh dituai. Ini bermakna anyaman Kolobon ini dihasilkan dalam waktu tertentu sahaja. Penghasilan yang bermusim ini, menghadkan penghasilan Kolobon kerana proses membuatnya dilakukan sekali dalam setahun mengikut keperluan.
Seni kraf lain yang terdapat dalam masyarakat kaum Dusun di kampung Menawo Laut, seperti anyaman Balatak iaitu bakul bimbit daripada buluh dan rotan atau bemban, anyaman Barait iaitu bakul sikut daripada rotan dan Sirung iaitu penutup kepala berbentuk kon yang dianyam daripada rotan atau buluh, mempunyai prospek pasaran yang luas, dengan itu proses membuat anyaman seni kraf di atas sentiasa terpelihara, berbanding dengan anyaman Kolobon yang mempunyai pasaran yang terhad kerana belum di ketengahkan sepenuhnya. Dengan itu, proses anyaman Kolobon kurang diambil perhatian oleh penggemar seni anyaman. Penggemar seni anyaman lebih menumpukan perhatian mereka kepada seni kraf yang mempunyai pasaran yang luas.
Generasi yang tidak berminat untuk mempelajari proses membuat anyaman Kolobon, barangan moden yang mampu mengambil alih peranan Kolobon dalam aktiviti pertanian, keterbatasan penggunaan dan penghasilan serta prospek pasaran yang terhad menjadikan anyaman Kolobon semakin kurang diambil perhatian sebagai satu seni kraf yang perlu dikekalkan dalam masyarakat kaum Dusun di Kampung Menawo Laut. Ini merupakan satu kerugian yang besar kepada masyarakat Dusun itu sendiri sekaligus membawa implikasi yang sama kepada negara kita.
Rujukan:
1. Mohamad Nazri Ahmad, Seni Anyaman di Sabah, (Selangor Darul Ehsan: Pustaka Mawar, 2000)
2. Elizabert & John Alma, Handcraft in Sabah, (Kuching, East Malaysia: Borneo Literature Bureau, 1963) 6.
3. Mohamad Nazri Ahmad, Seni Anyaman, ( Selangor Darul Ehsan: Pustaka Mawar, 2000) 2.
4. Elizabert & John Alma, Handcraft in Sabah, (Kuching, East Malaysia: Borneo Literature Bureau, 1963) 6.
5. Glosari Budaya Malaysia: Seni Anyaman (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia, 1995) 105.
5. Glosari Budaya Malaysia: Seni Anyaman (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia, 1995) 105.