Sunday 15 March 2015

Konsep Pendidikan Seni Visual dalam KBSM

 Menurut Sufean Hussin (1996), sejak tahun 1989 sekolah menengah rendah telah menggunakan sepenuhnya Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM). Dalam KBSM Pendidikan Seni Visual (PSV) ialah mata pelajaran wajib di peringkat sekolah menengah rendah bagi membentuk keperibadian generasi Malaysia yang celik budaya kesenian. Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (2002), PSV hanya menjurus kepada seni tampak sahaja dan lebih menegaskan kegiatan dalam proses penghasilan dengan melibatkan aspek pemahaman, penghayatan dan kritikan. Proses ini menyentuh perasaan estetik dan daya kreativiti individu melalui penajaman daya intuisi, persepsi, imaginasi dan konsepsi pelajar. PSV merangkumi seni halus, komunikasi visual, reka bentuk dan kraf tradisional sama ada untuk aspek estetik mahupun aspek gunaan.

PSV melibatkan tiga domain utama iaitu domain kognitif, afektif dan psikomotor. Domain Kognitif ialah ilmu yang berkaitan dengan gubahan, prosedur, sejarah dan apresiasi, estetika serta seni dalam kehidupan. Domain Afektif ialah suatu aspek yang berkaitan dengan nilai, sikap, minat, keprihatinan, mempunyai pertimbangan, menghargai warisan dan mempunyai sahsiah yang baik. Domain Psikomotor ialah menumpukan kepada pertumbuhan kemahiran dalam pergerakan atau gerak balas yang boleh terbentuk melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan kualiti koordinasi antara mata , tangan, otot dan mental. Menurut Iberahim Hassan (2006), konsep dan struktur KBSM PSV oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2002), adalah berdasarkan empat disiplin ilmu dalam Dicipline Base Art Education (DBAE) iaitu disiplin penghasilan karya, disiplin sejarah seni, disiplin kritikan seni dan disiplin estetik seni kerana DBAE telah menjadi amalan terkini di peringkat antarabangsa. Penyelidik merumuskan PSV ialah proses penghasilan karya seni dengan melibatkan aspek pemahaman, penghayatan dan kritikan berlandaskan perasaan estetik dan daya kreativiti melalui imaginasi dan konsepsi pelajar.


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau


Rujukan:

Iberahim Hassan. (2006). Pendidikan Seni Visual Berasaskan Discipline Base of Art Education (DBAE). In Mohd Johari Ab.Hamid (Ed.), Metodologi Pendidikan Seni Visual. Tanjong Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2000). Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Pendidikan Seni Visual. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.

Sufean Hussin. (1996). Pendidikan di Malaysia Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.