Saturday 21 March 2015

Analisis Hasil Karya pelajar Berasaskan Unsur Seni Jalinan

Hasil karya pelajar bertajuk Terung dan Tomato merupakan lukisan alam semula jadi dengan objek utama ialah sebiji terung dan tiga biji tomato menggunakan media krayon di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Lukisan menggambarkan buah terung dan buah tomato disusun mengikut komposisi empat segi di atas permukaan yang rata.

Tajuk: Terung dan Tomato

Lukisan bertajuk Terung dan Tomato menunjukkan pelajar memahami aplikasi jalinan ke atas permukaan buah terung dan tomato dengan menyedari kedua-dua jenis buah tersebut mempunyai jalinan yang licin. Bagi menggambarkan jalinan yang licin pelajar telah mewarna permukaan buah terung dengan warna ungu menggunakan warna krayon dengan cara melorek berulang-ulang dan sekata daripada pangkal ke hujung terung sehingga memenuhi keseluruhan rupa terung. Pelajar telah meletakkan satu tanda garis tebal berwarna putih pada bahagian yang mendapat pencahayaan menandakan buah terung mempunyai jalinan licin. Begitu juga dengan jalinan licin pada buah tomato. Pelajar telah mewarnakan permukaan tomato dengan warna jingga dengan lorekan sekata menggunakan warna krayon mengikut bentuk buah tomato, kemudian meletakkan tanda garis tebal berwarna putih pada permukaan yang mendapat pencahayaan menandakan buah tomato mempunyai jalinan yang licin.

Namun terdapat kelemahan pada arah pencahayaan apabila melihat kepada ton terung dan tomato yang menunjukkan arah pencahayaan daripada depan tetapi melihat kepada bayang-bayang terung menunjukkan arah pencahayaan adalah daripada belakang. Kelemahan juga terdapat pada ton terung dan tomato apabila meletakkan warna gelap pada bahagian tepi buah seakan satu garis tebal kerana tidak ada perjalanan warna dari gelap ke cerah menjadi ton. Pelajar tahu mewujudkan kesan jalinan licin tetapi kesan jalinan yang disokong oleh kesan pencahayaan dan kesan ton warna yang jelas masih pada tahap yang sederhana. Secara keseluruhan dalam lukisan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap sederhana dalam mengaplikasikan unsur jalinan dalam pengkaryaan.

Hasil karya pelajar bertajuk Ladybird merupakan lukisan alam semula jadi dengan objek enam ekor kumbang menggunakan media krayon di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Lukisan menggambarkan enam ekor kumbang ladybird hinggap di atas daun kayu pada posisi saling membelakang antara satu sama lain.

Tajuk: Ladybird

Lukisan bertajuk Ladybird menunjukkan pelajar menjadikan jalinan pada kumbang sebagai salah satu nilai estetika yang terdapat pada lukisan ini. Bagi tujuan itu pelajar telah mewarna hitam pada jalinan kumbang dan kelihatan bertompok-tompok hitam di atas kepak. Pada tompok hitam itu, pelajar telah mewarna jingga di sekelilingnya perlahan-lahan menjadi warna kuning ke bahagian tengah kepak menjadikan jalinan tompok hitam kelihatan menonjol. Terdapat enam ekor kumbang yang mempunyai saiz yang berbeza. Pada kumbang yang bersaiz besar, tompok hitam juga dibesarkan sebaliknya pada kumbang bersaiz kecil, tompok hitam dikecilkan. Pada daun kayu, pelajar telah mewujudkan jalinan garis-garis halus dan tebal menunjukkan urat kepada daun. Urat-urat daun telah diwarnakan biru tetapi jalinan pada daun kayu kelihatan kurang realistik dan kasar. Pelajar telah memahami bahawa setiap objek alam semula jadi mempunyai jalinan yang tersendiri untuk dijadikan salah satu nilai estetika pada lukisan tetapi tahap penguasaan pelajar untuk mewujudkan jalinan melalui olahan warna masih berada pada tahap sederhana. Secara keseluruhan dalam lukisan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap baik dalam mengaplikasikan unsur jalinan dalam pengkaryaan.


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau