“ Jika kanak-kanak tidak dapat belajar dengan cara kita mengajar, kita harus mengajar dengan cara mereka belajar ”
Perubahan paradigma dalam sistem pendidikan menuntut para pendidik membuat perubahan terutama dari aspek psikologi, pedagogi mahupun metadologi. Para pendidik seharusnya melihat perkembangan pendidikan sejajar dengan pendidikan kanak-kanak terutama dari aspek psikologi perkembangan kanak-kanak itu sendiri. Keyakinan untuk melahirkan warganegara yang berbudaya khususnya individu yang imaginatif, kreatif, berdaya peka, berpengetahuan dan peka terhadap ciri-ciri estetik.
Ini bermakna bahawa peranan Pendidikan Seni Visual amat penting dalam pembentukan individu yang seimbang dan bersepadu secara menyeluruh dengan mengamalkan demokrasi dalam pendidikan.
Dalam usaha untuk melahirkan insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial, maka aspek psikologi perlu diterapkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual. Ini adalah kerana pembelajaran merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia, dan ianya boleh berlaku di mana-mana sahaja samada secara formal atau tidak formal. Pembelajaran itu sebenarnya merupakan satu proses yang dinamik di mana pelajar samada perlu merangsang atau dirangsang dan dibimbing ke arah mencapai matlamat. Pembelajaran boleh dirujuk kepada proses perolehan tabiat, sikap dan pengetahuan, yang juga merupakan sebahagian daripada proses penyesuaian diri dalam keadaan atau situasi yang berbeza daripada sebelumnya.
Definisi Psikologi
Perkataan psikologi berasal dari dua perkataan iaitu psyce yang bererti jiwa dan perkataan logos membawa maksud kajian tentang sesuatu. Psikologi adalah ilmu yang mengkaji tingkahlaku dan proses berfikir manusia secara saintifik atau imperikal.
Psikologi pada hari ini wujud dalam tiga bentuk iaitu:
- Psikologi adalah satu disiplin ilmu
- Psikologi adalah satu sains – iaitu menggunakan kajian saintifik untuk mengkaji dan memahami perlakuan
- Psikologi merupakan satu profesion atau kerjaya
Menurut Gagne, R.M (1977) proses pembelajaran terdiri daripada beberapa fasa iaitu motivasi, perhatian, jangkaan, perolehan ingatan kembali, pemilihan persepsi, mengkod dan menyimpan jangka panjang, gerakbalas atau prestasi, maklumbalas dan peneguhan dan generalisasi atau pemindahan pembelajaran.
Menutur Fantino (1974), psikologi ialah kajian saintifik tentang aktiviti mental seperti ingatan, mimpi, pemikiran dan tekanan.
Piaget (1980) … tiga cara kanak-kanak mengetahui sesuatu; melalui interaksi sosial-belajar sesuatu perkara daripada orang lain, pengetahuan fizikal tentang sesuatu dan penerokaan, dan logikal matematik, konsep nombor, klasifikasi, masa, hubungan ruang dan keabadian.
Kepentingan Psikologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual
Pendidikan Seni Visual adalah satu mata pelajaran yang dapat mencungkil dan menanam minat serta memupuk dan kebolehan pelajar dalam menghasilkan atau semasa berinterkasi dengan sesuatu produk seni.
Para pendidik telah mengetahui bahawa setiap individu mempunyai cara dan keupayaan tersendiri dalam pernyataan dirinya menerusi kerja-kerja seni (art work) Laura Chapman (1978) menyatakan bahawa karya seni bukan satu mod tingkahlaku semulajadi semata-mata tetapi adalah asas kepada matlamat kematangan individu.
Pendidikan Seni Visual merupakan satu mata pelajaran yang amat mementingkan kaedah. Sebelum seseorang guru itu memilih sesuatu kaedah, mereka harus mempunyai pertimbangan-pertimbangan tertentu terhadap pelajar, kandungan pelajaran, objektif pelajaran dan persekitaran
Untuk meningkatkan perkembangan psikologi kanak-kanak semasa pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual guru seharusnya perlu menguasai teori Pelbagai Kecerdasan yang dikemukakan oleh Howard Gardner iaitu:
- Kecerdasan Berbahasa (verba/linguistic intelligence)
- Kecerdasan Logikal/Matematik (logical/matematical intelligence), seringkali digelar pemikiran saintifik (scientific thinking), melibatkan pemikiran induktif dan deduktif, penaakulan, proses pengiraan dan struktur logik
- Kecerdasan Tampak/Ruang (visual/spatial intelligence). Kecerdasan ini berkaitan dengan pengamatan tampak, menghasilkan imej mental, peka dalam gambaran pola atau corak
- Kecerdasan Kinestetik (body/kinesthetic intelligence) Kecerdasan ini berkait rapat dengan pergerakan fizikal atau psikomotor, kebebasan tubuh badan dengan melibatkan tindakbalas otak
- Kecerdasan ritma/muzik (musical/rhythmic intelligence) Kecerdasan ini memberi ruang kepada penguasaan corak ton muzik dan bunyi. Mereka amat sensitif pada bunyi dan irama atau alunan muzik.
- Kecerdasan interpersonal (interpersonal intelligence) Peranan perhubungan antara individu dari segi komunikasi. Keupayaan mempengaruhi orang lain.
- Kecerdasan intrapersonal (intrapersonal intelligence). Pemahaman pada terhadap diri sendiri, kehendak, perasaan dan kesedaran yang dimiliki.
- Kecerdasan Spiritual (Spiritual Intelligence) Suatu keupayaan diluar jangkaan manusia biasa, yang berkeupayaan bertindak atau berkomunikasi secara yang tidak lazim, mencakupi dimensi roh (ghaib) yang di luar keupayaan manusia biasa
- Kecerdasan Ekologi (Ecology Intelligence) Suatu keupayaan manusia menyesuaikan dirinya dan mengadaptasi dengan suasana dan keadaan alam persekitarannya
Kecerdasan-kecerdasan ini biasanya tidak dapat berfungsi secara bersendirian atau terasing, namun ianya akan terbukti keberkesanannya apabila berlaku gabungan dan amalan bersepadu.
“Pendidikan tidak terhad hanya pada seni mempertahankan diri, tetapi mencakupi keseluruhan cabang kehidupan: jasmaniah, akliah, akhlak, semangat, sosial dan perkembangan pentadbiran”
Clawson (1980):144
Schopenhaur (1936) seorang ahli falsafah menyatakan, hubungan seni dengan kehidupan adalah hubungan yang halus dan tepat. Seni dari segi kreativiti tampaknya adalah pengucapan langsung terhadap kemahuan yang merupakan inti kehidupan, sebab kehidupan apa yang mengalir antara keinginan dan pencapaian.
William G. Perry (1970) guru perlu mengambil kira tentang perkembangan individu seperti kreativiti, idea, persepsi dan perasaan seseorang pelajar. Sikap guru itu sendiri akan menentukan samada berjaya atau gagalnya proses pengajaran dan pembelajaran ini, dan bertindak sebagai agen utama dalam merangsang dan menggalakkan pelajar meneroka dan menimba seberapa banyak pengetahuan dan kemahiran dalam bidang seni.
Micheal (1983) dan Feldman (1970) mencadangkan agar guru menggunakan pendekatan kemanusiaan dalam pengajaran dan pembelajaran yang akan memberi peluang kepada pelajar mengenali dirinya dan hubungan dengan masyarakat dan kehidupannya. Keadaan ini akan membantu proses perkembangan mereka dari peringkat paling asas iaitu mengenali diri sendiri, mengenali seni dan kelompok-kelompok kecil di persekitaran mereka, peka tentang perasaan, memiliki konsepsi diri
Kita perlu memahami bahawa pelajar mempunyai cara pembelajaran mereka sendiri, seharusnya kita mengeksploitasi kelebihan itu di samping memberi tunjuk ajar secara berkesan dalam meningkatkan kefahaman dan penguasaan mereka dalam menguasai sesuatu kemahiran. Salah satu cara yang boleh digunakan ialah dengan menggunakan konsep pembelajaran secara konstruktivis iaitu menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran berdasarkan cara pelajar itu belajar.
Pembelajaran merupakan aktiviti mental, fizikal, atau rohani pada diri pelajar itu sendiri. Ianya merupakan satu proses yang dinamik yang mana pelajar perlu merangsang diri sendiri atau dirangsang dan dibimbing kearah mencapai matlamat. Pembelajaran memberi peluang kepada individu mengubah sikap dan tingkahlaku mereka untuk berkembang secara berterusan dan tekal serta mampu menggunakan ilmu dan kemahiran yang diperolehi untuk kemajuan diri sendiri khasnya dan masyarakat atau negara amnya. Faktor penting yang menentukan proses pengajaran terus berlaku ialah keinginan individu untuk terus berkembang di samping berminat untuk menerap dan mempraktikkannya di dalam situasi yang sesuai.
Oleh itu pembelajaran dikatakan berlaku apabila terdapat perubahan di dalam perlakuan, pemikiran (termasuklah proses dan hasil berfikir, persepsi, dan efektif (termasuk perasaan, sikap dan nilai). Perubahan tersebut pula adalah kekal dan dipengaruhi oleh perubahan di dalam saraf pusat manusia itu sendiri.
Penggunaan pendekatan Konstruktivis dalam Pendidikan Seni Visual
Pembelajaran secara konstruktivis ini memberi peluang kepada pelajar menyampaikan pendapat yang dapat dikongsi bersama dengan rakan-rakan yang lain. Pembelajaran akan berlaku secara dua hala iaitu guru-pelajar dan tentunya ini lebih menyeronokkan di samping memberi lebih banyak peluang dan manfaat kepada kedua pihak.
KESAN PSIKOLOGI DALAM PENDIDIKAN SENI VISUAL
Seni telah berkembang sejak awal ketamadunan manusia mulai zaman purba (Zaman Batu, 25,000 SM) sehingga zaman Renaissance dan Baroque-Rokoko (Abad ke 16-17) kemudiannya di abad 18-19 seni telah diklasifikasi dengan istilah `isme` seperti Kubisme, Realisme, Romantisme, Ekspresionisme dan sebagainya. Seni terawal (25,000 SM), dihasilkan atas dasar sebagai kuasa magis dan pertahanan diri, keagamaan, politik, refleksi kehidupan seharian, seni dan hubungannya dengan alam, luahan imaginasi dan fantasi serta lambang kelahiran, perkahwinan dan kematian. Kesemua faktor tersebut akan mewujudkan tiga kelompok besar penyumbang seni iaitu peranan pencipta (seniman), peranan pengguna (pengumpul seni) dan peranan pemerhati (penonton, galeri, muzium).
“Seni ialah keupayaan untuk menghasilkan sesuatu, termasuk tujuan dan sebab…”
-Aristotle
Ini secara keseluruhannya menggambarkan bahawa seni itu sangat mempengaruhi tingkah laku dan peradaban manusia sejak dari awal hingga zaman kini. Seni melalui penggunaan simbol-simbol atau menggambarkan sesuatu pernyataan adalah merupakan suatu kaedah berinteraksi secara langsung dan tidak langsung. Unsur-unsur dan prinsip seni boleh membawa makna dan perlambangan yang bersifat universal atau bersifat setempat. Sejak Zaman Batu hingga kini, perlambangan dan simbol dapat menjelaskan maksud dan makna bersesuaian dengan masa dan keadaan. Melalui pengetahuan seni, kefahaman terhadap nilai dan makna dapat dipertingkatkan.
Untuk melihat kesan psikologi pelajar menjurus kepada Pendidikan Seni Visual, kita perlu melihat perkembangan minda kanak-kanak melalui pelbagai aktiviti mereka seharian yang berkaitan perkembangan tahap kreativiti mereka. Kanak-kanak biasanya sangat suka meconteng dinding, lantai atau di mana-mana sahaja. Aktiviti-aktiviti tersebut adalah proses kreativiti dan penyuburan diri serta emosi kanak-kanak. Kecenderungan melakukan perbuatan tersebut samalah seperti kecenderungan untuk menangis atau ketawa bagi menggambarkan perasaan hati mereka. Perbuatan itu dilakukan sebagai suatu pernyataaan tentang apa yang dilihat dan dirasa mengikut persepsi mereka di samping rangsangaan tindakan biologi pembesaran dan kematangan psikomotor mereka. Ini menurut pakar psikologi kanak-kanak, Viktor Lowenfeld.
Berdasarkan aspek psikologi pelajar untuk menarik minat dalam Pendidikan Seni Visual, suatu kurikulum dan perancangan berobjektif sangat diperlukan untuk membimbing pelajar mengenali potensi diri dan mengekspresi seni yang telah sedia wujud dalam diri mereka. Selain dari perkembangan minat dan bakat, seni juga dapat mendorong dan mendidik pelajar-pelajar melahirkan idea-idea kreatif melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Mereka juga berpeluang melihat dan belajar daripada sejarah dan peradaban bangsa tentang hasilan seni kreatif tinggalan nenek moyang mereka seperti barangan kraf di samping belajar daripada sikap dan pemikiran serta persepsi mereka tentang makna kehidupan.
Peranan seni dengan jelas dapat dilihat melalui model-model kurikulum. Antaranya ialah “Discipline-Based Art Education (DBAE)”, iaitu satu model disiplin Pendidikan Seni Visual di Amerika Syarikat yang telah berjaya diketengahkan di institusi persekolahan (Greer, 1984). DBAE menggunakan empat disiplin utama seni iaitu penghasilan seni, estetik, sejarah seni dan kritikan seni di dalam struktur kurikulum dan pengajarannya. Begitu juga model kurikulum Pendidikan Seni Visual yang berteraskan objektif pencapaian dan model yang berteraskan konsep pengajaran bersepadu. Berdasarkan kepada perbandingan bagi melihat persamaan dan kelainan struktur kandungan dan oreintasi pengajaran Pendidikan Seni Visual yang di atas, terdapat beberapa persamaan yang paling signifikan bagi setiap kandungan Pendidikan Seni Visual. Antaranya seperti berikut:
- Membuat dan menghasilkan karya.
- Membuat pertimbangan estetik dan kritikan.
- Belajar melalui pengalaman sejarah seni,
- Belajar memahami tindakbalas masyarakat terhadap seni.
Selain daripada keperluan asasi seperti makan dan minum atau keperluan perlindungan dan keselamatan di peringkat sekunder, sahsiah yang sempurna, mencari sesuatu yang indah, sempurna, harmoni dan sejahtera juga telah diberi perhatian yang tinggi oleh masyarakat. Disinilah nilai-nilai estetik yang wujud dalam Pendidikan Seni Visual dapat diterapkan dan akhirnya nilai-nilai seni dapat dipertingkatkan ke tahap yang sepatutnya. Bermula dari dalam diri dan persekitaran, manusia akan menggunakan pengetahuan seni sebagai formula atau ilmu bagi menyelesaikan permasalahan nilai estetik dalam kehidupan. Sebagai contoh, kita mengadun warna baju, tali leher dan warna seluar, menyusun perabot agar kelihatan rapi dan harmoni, menyesuaikan fesyen pakaian berbanding ukuran badan, mereka bentuk kenderaan, membina bangunan luar dan dalaman dengan pelbagai bentuk dan hiasan yang menarik dan sebagainya. Secara keseluruhan, ini menggambarkan bahawa Seni adalah asas ilmu-ilmunya.
Seni adalah suatu bentuk komunikasi sejagat dengan pelbagai budaya dan peradapan sama seperti pernyataan sejarah. Seni merakamkan pencapaian manusia dan menggambarkan tentang nilai, kepercayaan dan sikap sosial. Setiap budaya mempengaruhi pemikiran, nilai dan sikap seniman melalui kajian catan, arca, seni bina, kraf dan berbagai artifek sejarah yang berkaitan dengan Seni. Seni juga membolehkan kita memahami dan mengetahui peradaban dan perkembangannya serta pengaruh antara sesuatu budaya dengan budaya yang lain. Karya seni adalah merupakan rakaman sejarah dan budaya secara tampak.
Dengan ini jelas bahawa Pendidikan Seni Visual telah memberi impak yang positif kepada proses perkembangan pelajar dari aspek fizikal mahupun emosi. Antaranya seperti:
- Pembangunan kendiri. (personal development)
- Mengenal, memperakui dan menyalurkan budaya warisan dari generasi ke generasi. (cultural heritage)
- Menyedari, memahami dan menghargai peranan dan sumbangan setiap warganegara. (roles as citizen)
APLIKASI PSIKOLOGI DALAM PENDIDIKAN SENI VISUAL
Gage dan Berliner (1989) menyatakan Psikologi ialah kajian tentang pemikiran dan tingkah laku individu dan kumpulan individu. Manakala Psikologi Pendidikan pula ialah kajian tentang pemikiran dan tingkah laku yang berkaitan dengan bagaimana kita mengajar dan belajar di sekolah. Oleh itu kepentingan psikologi pendidikan merupakan satu pendekatan yang membolehkan keberkesanan pengajaran dilaksanakan dengan mengambil kira peranan individu dan kumpulan itu sendiri.
Menurut Banks dan Thompson pula (1995) telah membahagikan definisi kepada dua bahagian iaitu definisi psikologi dan pendidikan. Pendidikan ialah satu kerjaya yang lebih membuat penelitian dan kajian metadologi ke arah pembelajaran dan pengajaran yang digunakan di sekolah. Sementara psikologi pula ialah bagaimana pendekatan pembelajaran yang harus disempurnakan di sekolah agar dapat membantu perkembangan tingkah laku manusia.
Psikologi Pendidikan mempunyai matlamat untuk memahami ( memerhati dan menerangkan tingkah laku pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia adalah amat penting di dalam pendidikan sejajar dengan perkembangan mental dan kebolehan individu.
Selain daripada itu, psikologi pendidikan ialah membolehkan guru untuk memahami tingkah laku pelajar, membantu guru untuk merancang objektif dan matlamat pembelajaran. di samping memahami tahap-tahap keupayaan murid berdasarkan perkembangan semasa.
Pendidikan Seni Visual pula bermaksud “education through art” iaitu pendidikan melalui seni, khususnya Seni Visual dan “ education in art” iaitu pendidikan di dalam bidang Seni Visual. Kedua-dua elemen ini memerlukan pendekatan pembelajaran Pendidikan Seni Visual yang lebih mantap seiring dengan keperluan psikologi manusia.
Oleh kerana Pendidikan Seni Visual adalah penghubung satu generasi ke satu generasi maka ia memerlukan satu cara menginterpretasi sesuatu idea mengikut disiplin seni tertentu yang membolehkan pelajar atau individu mengalami satu sumber kegembiraan dan keceriaan yang istimewa. Pengalaman yang menakjubkan ini lantas dapat meningkatkan lagi rasa keinsafan dan keceriaan pemikiran baru.
Kita maklumi bahawa Pendidikan Seni Visual seringkali mempunyai pendekatan yang berbeza dan melibatkan pelbagai aspek di antaranya ialah mengaitkan pengalaman manusia yang dihubungkaitkan dengan logik dan emosi bagi memperolehi kefahaman yang lengkap dengan penggunaan deria secara langsung. Umpamanya nilai estetika adalah satu disiplin yang menjadi komponen utama mengenai konsep nilai dan keindahan.
Parsons dan Blocker (1993) menyentuh beberapa nilai estetik di dalam bilik darjah yang boleh membantu peningkatan psikologi pembelajaran. Di antaranya estetik adalah satu dapatan yang dapat membantu pelajar memahami seni dengan lebih baik kerana adanya perkaitan dengan budaya lain, diintergrasikan dengan subjek lain dan adanya perbincangan pengalaman pelajar itu sendiri.
Pendekatan Pengajaran Psikologi dalam Pendidikan Seni Visual.
Pendekatan Behaviourisme
Di dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual, pendekatan Behaviorisme dapat dilaksanakan terhadap pelajar bagi membolehkan ia meresapi nilai intelektual mereka. Menurut pendekatan ini, semua gerak balas yang berlaku adalah disebabkan oleh rangsangan dan ianya boleh mempengaruhi tingkah laku pelajar. Pendekatan R-G (ransangan gerakbalas) ini telah dipelopori oleh Ivan Pavlov, Thorndike, Skinner dan John B. Watson.
Jika dilihat contoh teori oleh Edward L. Thorndike, beliau memperkenalkan bahawa pembelajaran berlaku hasil gabungan S-R iaitu Stimulation (rangsangan) dan Responses ( tindakbalas) dan ada perkaitannya dengan hukum pembelajaran kesediaan, latihan dan kesan. Hukum kesediaan ialah apabila seseorang itu bersedia untuk melakukan sesuatu maka tindakannya itu akan memberi kepuasan kepada dirinya sama ada dalam kesediaan psikomotor, afektif dan kognitif. Beliau memberi pandangan lagi dalam hukum latihan pula rangsangan dan tindakbalas akan bertambah kukuh sekirannya ada perulangan latihan. Manakala hukum kesan pula ia menjelaskan jika ada perubahan dari persekitaran dan menyeronokkan pula maka ia akan meningkatkan kesan pembelajaran itu sendiri dan begitulah juga sebaliknya.
Pendekatan yang dicadangkan tadi dapat membentuk rangsangan yang kekal bagi seseorang pelajar kerana adanya pembentukan fenomena yang menyeronokkan. Guru perlu kreatif dalam menyediakan perlaksanaan fenomena yang menyeronokkan. Penglibatan pengajaran yang menyentuh perasaan, kemahiran fizikal dan juga pemikiran perlu dipertimbangkan.
Pendekatan pembelajaran secara pemikiran yang diketengahkan oleh Graham Wallas (1926) sebenarnya adalah di antara pendekatan yang baik bagi menimbulkan nilai kreativiti di kalangan pelajar yang berhubung kait dengan pemikiran mereka. Beliau telah mengelaskan kepada empat tahap yang perlu dilalui di antaranya ialah proses persediaan pelajar untuk mengenal pasti fakta dan maklumat. Pelajar lebih dimahirkan untuk mencari idea dan juga inti pati yang bakal diserapkan di dalam pengkaryaan mereka. Kemudian ialah proses Inkubasi (pengeraman) yang membolehkan pelajar untuk cuba mendapatkan ilham dalam beberapa waktu sebelum dicetuskan dalam proses iluminasi yakni terbentuknya idea-idea asli dan baru yang dapat menyelesaikan di dalam minda dan akhirnya kebolehan untuk proses verifikasi yang mana hasil pemikiran diserlahkan ke dalam bentuk karya dan penulisan.
Menurut B.F. Skinner (1953) pula peneguhan kepada manusia akan menggalakkan satu ulangan perlakuan atau diperkuatkan. Dalam hal ini di dalam bilik darjah peneguhan yang positif akan meningkatkan tahap motivasi pelajar. Pelajar akan memperolehi satu bentuk secara berterusan seperti kata-kata pujian, menepuk bahu, memberi senyuman dan sebagainya yang membolehkan proses berkreativiti dalam diri pelajar berlaku secara positif.
Kita tahu peneguhan yang positiflah satu cara pendekatan yang menentukan mutu kerja pelajar berkualiti tinggi jika sekiranya disampaikan secara jelas dan bersistematik. Menurut Brophy (1981), ciri-ciri pujian yang memberi kesan di antaranya ialah memuji secara ikhlas, cepat, spesifik, usaha, tanpa pilih kasih dan respon yang spontan. Jelasnya kesungguhan guru untuk mengaplikasikan elemen seperti di atas merupakan satu titik tolak yang dapat memberi peneguhan yang positif kepada pencapaian pelajar.
Justeru itu, bentuk persekitaran yang berlaku akan memberikan satu pengalaman baru untuk memajukan diri mereka bagi menghasilkan sebuah karya atau ciptaan dengan baik. Bentuk galakkan ini termasuklah dengan memberi ganjaran dan juga pujian sekiranya mereka berjaya menghasilkan sesuatu karya yang kreatif dan unik dari yang lain.
Pendekatan Humanistik
Pengajaran Pendidikan Seni Visual visual amat sesuai juga untuk diterapkan dengan pendekatan humanistik. Pelopor yang terkenal seperti Abraham Maslow dan Carl Rogers berpendapat bahawa seseorang itu berfikir melalui interpretasi individu dengan pengalaman atau kejadian luar. Dengan kata lain ia adalah hasil kesedaran penyempurnaan kendiri dan tidak terkongkong oleh persekitaran luar dan bebas. Oleh itu, pelajar adalah berhak untuk mengeluarkan idea dan kreativitinya berlandaskan kepada konsep dan pengalaman yang diterima dan dilalui dalam hidupnya.
Ini tentunya memberi cabaran yang hebat kepada pelajar kerana mengadaptasikan proses pengalamannya ke bentuk visual dan juga pernyataan karya. Melalui proses tertentu , mereka harus boleh memberi keyakinan kepada penganalisis dan pengkritik akan keberkesanan mesej yang ingin disampaikan.
Apa yang dilihat dalam pendekatan humanistik ini setiap individu pelajar mempunyai pengalaman tersendiri yang tidak dapat difahami oleh orang lain. Oleh itu, pembelajaran ini adalah melalui proses kebebasan kepada pelajar untuk membuat penilaian kendiri di mana mereka mesti berada dalam keadaan tenang dan tidak tegang semasa belajar. Justeru itu Maslow ada mengatakan bahawa keperluan psikologi perlu dalam hidup manusia sebagai keperluan asas sebelum dia mencapai peringkat akhir yang akan mencapai kecemerlangan diri.
Sehubungan dengan itu jugalah pelajar mesti bersifat bertanggung jawab dengan tindakannya sendiri bagi meningkatkan potensi mereka. Apa yang perlu ialah adanya penekanan tingkatan harga kendiri yang positif terhadap diri pelajar supaya ada rasa bertimbang rasa dan penuh kasih sayang, berlakunya penekanan aspek komunikasi dan kesannya ke atas motivasi intrinsik.
Pendekatan seterusnya berhubung kait dengan psikologi penyerapan nilai motivasi. Motivasi berlaku akibat ketegangan fisilogi dan psikologi menuju ke arah pencapaian matlamat. Ini termasuklah pergantungan nilai terhadap faktor situasi, matlamat yang menarik perhatian, imbuhan dan faedah . Jika dilihat motivasi intrinsik ialah lahirnya dari jiwa dalaman manusia dan dipengaruhi oleh sikap, emosi dan tingkah laku yang akan menghala tujukan seseorang itu untuk melakukan sesuatu.
Maslow telah mementingkan unsur motivasi ini kerana ia boleh menggerakkan manusia untuk mencapai kesempurnaan kendiri apabila telah berusaha untuk mencapai keperluan asas sebelumnya. Menurut Lepper (1988), suasana kelas yang tidak ada gangguan dapat meningkatkan motivasi intrinsik pelajar untuk mengikuti pengajaran guru dengan baik. Oleh itu, bilik darjah boleh memupuk naluri ingin tahu belajar dan jauh dari rasa ketegangan.
Clifford (1990) pula telah mengatakan bahawa guru mestilah seorang yang bersifat supportive dan tidak mengkritik pelajar atas kesilapan yang mereka lakukan. Kita harus lihat kesilapan pelajar itu adalah sebagai peluang untuk mereka belajar sekaligus mengelakkan dari pendekatan yang sama sahaja.
Naluri belajar yang bermotivasi tinggi harus didorong dan dirangsangkan bagi menarik perasaan ingin tahu dan juga perhatian pelajar. Morris (1984) berkata tugas guru yang penting ialah meningkatkan naluri ingin tahu pelajar dengan menggunakan set induksi yang menarik dan mendorong pelajar pada permulaan pelajar. Amatlah berketepatan bahawa pelajar didedahkan dengan kehendak soalan yang menghairankan dan mengejutkan bagi membangkitkan perasaan ingin tahu mereka.
Banyak kajian yang menunjukkan bahawa terdapat kesan yang besar lagi positif dan berpanjangan apabila pembelajaran murid-murid mendapat sokongan dan peneguhan daripada ibubapa (Morgan dan Lyon, 1986; Honig 1982; Topping 1985; Herrison, J. 1986)
Pendekatan Pembelajaran Kolaborasi
Pembelajaran secara Kolaborasi merupakan pembelajaran yang dilakukan di dalam kumpulan. Mengikut Slavin ( 1990 ) , pembelajaran ini dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar kerana mereka lebih bantu membantu semasa mereka dan pelajar yang lemah dapat meningkatkan pencapaian kerja mereka. Dalam Pendidikan Seni Visual, pelajar yang agak sederhana tidak akan merasa tersisih ataupun disingkirkan kerana adanya kesepaduan idea dan emosi dalam membina sesuatu projek atau karya. Oleh itu mereka dapat menyampaikan mesej dengan lengkap dan spesifik. Ini disebabkan pendekatan ini akan mewujudkan aktiviti dan atmosfera menyokong dan menghormati pandangan ahli.
Ajarlah kepada mereka berkata benar, di samping mengajarkan al-Quran. Jauhkan mereka daripada orang-orang jahat, kerana orang-orang jahat itu menghindarkan perintah Tuhan dan tidak berlaku adil.
Ahmad Shalaby, 1976; ms 33
Pendekatan Teori Permodelan Bandura
Pembelajaran seni boleh menggunakan pendekatan permodelan Bandura kerana ialah lebih menjelaskan kepada pelbagai tingkah laku sosial seperti persaingan, keagresifan, peranan jantina dan sebagainya. Apa yang dapat dilihat di sini ialah pembelajaran ini diperolehi dengan aktiviti melihat, meniru dan memerhatikan tingkah laku orang lain. Oleh itu pelajar akan membuat pemerhatian gerak balas yang diketengahkan oleh orang lain supaya boleh dipelajari melalui bahasa, contoh dan teladan. Dalam Pendidikan Seni Visual visual hendaklah berupaya menyimpan hasil pemerhatiannya di dalam ingatan melalui imaginasi dan boleh menyusun maklumat.
Situasi pengalaman pemerhatian yang dilaluinya boleh disampaikan melalui penggunaan situasti realistik. Dalam pendekatan ini guru Pendidikan Seni Visual boleh menyuruh pelajar yang pandai dan pelajar yang lemah dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan. Sebagai contoh juga, pelajar yang popular dan baik dalam Pendidikan Seni Visual untuk tajuk tertentu menjadi model dalam pembentangan di hadapan kelas supaya pelajar yang lemah, malu dan takut dapat melihat dan meniru tingkah lakunya.
Pendekatan Pembelajaran Gagne
Teori pembelajaran Gagne yang memperkenalkan teori pemprosesan data dan maklumat melalui penggunaan deria dan organ manusia boleh diaplikasikan di dalam Pendidikan Seni Visual itu sendiri. Menurut Gagne, organisma menerima pelbagai jenis rangsangan daripada persekitarannya secara sedar dan tidak sedar. Apa yang dilihat ialah berlakunya proses daripada mudah kepada yang paling kompleks dan secara berperingkat-peringkat untuk meninterpretasikan maklumat. Menurut Gagne( 1968 ) lagi, kemahiran intelek atau kebolehan kognitif adalah sebagai tingkah laku yang dipelajari. Individu berkembang dari satu tahap ke satu tahap dalam mencapai sesuatu matlamat.
Di dalam pengajaran Pendidikan Seni Visual Visual , pelajar akan melibatkan penggunaan prinsip, rumus, generalisasi, konsep dan hokum untuk menyelesaikan masalah dalam sesuatu situasi baru. Mereka akan menggunakan kaedah penemuan dan membuat penyelesaian sendiri di mana berlakunya langkah-langkah spesifik dalam proses penyelesaian masalah seperti mengenal masalah, mencari maklumat, membuat hipotesi, memilih cara menyelesaikan masalah, menguji hipotesi dan membuat rumusan.
Pendekatan ini juga turut membantu pelajar untuk mendapatkan konsep dengan mudah dan jelas. Mengikut Tennyson dan Cocciarella ( 1986 ), terdapat empat langkah dalam pengajaran konsep iaitu:-
• menghuraikan sesuatu konsep dan memberikan cirri utama dan penting
• menghuraikan istilah penting dan definisi konsep
• memberi contoh positif dan negatif untuk menghuraikan cirri utama
• menghuraikan contoh-contoh tadi mengikut pengelasan tertentu.
Oleh itu, dalam pembelajaran seni visual itu sendiri, guru memberikan situasi masalah yang perlu diatasi oleh pelajar di samping adanya proses bimbingan mengenai hukum dan konsep.
Pendekatan Pembelajaran Bruner
Teori Bruner mementingkan pembelajaran melalui penemuan bebas atau penemuan berpandu, atau latihan penyiasatan. Justeru itu terdapatlah pendekatan seperti cara manusia berinteraksi dengan persekitaran, perkembangan mental manusia dan pemikiran, pemikiran logikal, penggunaan istilah untuk memahami susunan, pemikiran analisis dan intuitif, pembelajaran induktif menguasai konsep dan pemikiran metakognitif.
Dalam pembelajaran Pendidikan Seni Visual Visual, pelajar boleh diajar cara melihat dunia iaitu melalui peringkat enaktif, ikonik dan simbolik. Oleh itu, pengalaman pelajar secara meneroka, memegang, mencium dan merasa dapat menyediakan pelajar untuk menggunakan pengalamannya di dalam projek dan pengkaryaan. Keupayaan pelajar untuk melakukan aktiviti sedemikian akan mendorong pelajar untuk melihat perkaitan antara konsep dengan idea-idea yang tergolong di dalamnya. Seterusnya akan berlaku pemikiran intuitif penting yang dapat mendorong pelajar melihata pertalian antara ransangan yang berlainan.
Apa yang menarik ialah pendekatan ini juga membantu pengamatan dan penanggapan pelajar jika mereka terlibat dalam pembelajaran kajian luar yang membolehkan belajar banyak konsep, perkaitannya dan boleh mengubahsuaikan kaedah dan strategi pengajaran mengikut tahap dan kebolehan pelajar. Oleh itu guru perlu memberi banyak contoh semasa pengajaran dan pembelajaran supaya pelajar boleh membentuk konsep, membuat kategori dan membuat perbandingan di antara konsep-konsep.
IMPLIKASINYA DALAM PENGAJARAN PENDIDIKAN SENI VISUAL
Implikasi dalam konteks kertas kerja ini membawa maksud yang merujuk kepada akibat atau kesan positif yang terjadi berikutan penggunaan psikologi dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual Visual.
1. Guru lebih sensitif terhadap perkembangan psikologi pelajarnya.
Pelajar-pelajar didalam kelas mempunyai tahap perkembangan psikologi yang berbeza dan pelbagai. Terdapat dikalangan mereka yang terlalu aktif dan agresif ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang berjalan. Kecergasan (aktif) positif ketika menjalankan sesuatu aktiviti kelas PSV adalah suatu kelebihan kepada guru untuk melakukan proses pengajaran dengan lebih teratur dan menarik. Keaktifan yang melampau biasanya menyebabkan hasil pembelajaran menjadi sebaliknya, yang mana pelajar yang terlalu aktif berkemungkinan akan menyimpang dari objektif pembelajaran, manakala pelajar yang pasif akan jauh ketinggalan dan akan bertambah lemah kefahamannya.
Keprihatinan guru dalam memahami perbezaan-perbezaan ini, melalui pemerhatian dan penyelidikan sangat ditekankan agar membantu guru meningkatkan prestasi pengajarannya. Menurut Charles, C.B., (1976), Dapatan-dapatan daripada kajian-kajian tersebut dapat digunakan untuk meningkatkan lagi pembelajaran dan pengajaran. Lazimnya, pelajar juga akan sensitif dan prihatin terhadap usaha guru, lalu bersungguh-sungguh memperbaiki kelemahan dan kesilapannya atau berusaha melakukan sesuatu aktiviti dengan lebih baik. Dengan cara ini perasaan saling hormat menghormati dan faham memahami akan sentiasa berbunga mekar dikalangan guru dan anak-anak didiknya. Inilah kunci dorongan untuk mencapai kecemerlangan dimasa akan datang.
2. Perhubungan baik guru dan pelajar.
Memahami tingkahlaku kemanusiaan akan membentuk persefahaman yang baik diantara guru dan pelajar. Guru yang cenderung dan berempati dengan pelajar akan bertambah baik hubungan mereka. Pelajar akan lebih menghormati guru sebagai pendidik, pembimbing dan penasihat mereka. Sikap suka menyusahkan tugas guru tidak terlintas difikiran mereka, malahan akan sentiasa membantu dan bekerjasama dalam sebarang permasalahan. Ini dibuktikan dengan keringanan tulang, membuat tugasan mengikut masa yang ditetapkan, sentiasa bekerjasama dan sentiasa menjaga nama baiknya, gurunya dan sekolahnya. Jasmani, emosi, mental, intelek dan sahsiah (Jeris) pelajar yang seimbang dan harmonis bakal melahirkan warganegara yang cemerlang akademik dan cemerlang akhlaknya.
Cara pengajaran pendidikan Pendidikan Seni Visual visual tidak sama dengan pengajaran matematik, sains dan lain-lainnya, meskipun matlamatnya sama. Menurut Highet, G., (1968), pengertian pengajaran adalah tidak lengkap jika dianggap sebagai sains sahaja. Sebaliknya, pengajaran boleh dianggap sebagai satu seni kerana ia melibatkan emosi dan nilai-nilai manusia. Pengajaran seni tidaklah sama dengan tindak balas kimia; ia lebih merupakan tindakan menghasilkan suatu lukisan, mencipta sesuatu yang baru (inovasi), memahami bahasa tampak, menghasilkan bahan kreatif dan pelbagai lagi, yang memerlukan kemantapan mental, kemahiran psikomoto berkualiti yang tidak boleh dicapai melalui teori atau formula sahaja. Seni adalah sesuatu yang subjektif dan infiniti, objektifnya luas, aktivitinya bebas (tapi terancang)
Kebolehan berkomunikasi secara terus dan telus menyebabkan guru akan mengetahui setakat mana kemampuan pelajar membuat penghasilan. Cara membetulkan kesilapan (contoh; melukis) seorang demi seorang pelajar akan membuatkan pelajar merasa diberi perhatian dan dihargai. Rangsangan dan motivasi seperti ini jarang terdapat dalam mata pelajaran lain, yang hanya membetulkan kesilapan diatas papan tulis lalu diikuti oleh semua pelajar.
Interaksi dua hala sangat diutamakan terutamanya dalam mata pelajaran PSV. Objektif pengajaran akan dapat dicapai dengan lebih mudah dan berkesan, yang mana diakhir pengajaran dan pembelajaran, guru dan pelajar akan berpuas hati dan bersedia untuk objektif yang seterusnya pada masa akan datang.
Dengan interaksi dua pembolehubah ini, persepsi pelajar terhadap guru adalah positif dan menggalakkan. Pelajar akan merasakan gurunya seorang yang baik hati, bertanggung jawab, berkebolehan dan professional. Perasaan demikian boleh meyakinkan pelajar akan kemampuan guru membantunya menyelesaikan masalah pembelajaran dan sebagainya.
3. Disiplin pelajar terkawal tanpa tekanan atau paksaan.
Melalui pengalaman didalam kelas PSV seseorang pelajar sepatutnya mengawal emosi dan tindak tanduknya untuk mengelakkan konflik dengan guru dan rakan sekelasnya. Pengawalan dan pengawasan tingkah laku akan lebih mudah dan berkesan. Kelakuan agresif dan negatif boleh dikawal melalui peraturan-peraturan yang tidak terlalu rigid atau ketat. Pelajar akan sentiasa berwaspada dan berhati-hati akan tingkahlakunya untuk mengelakkan prasangka serta pandangan negatif rakan dan guru terhadapnya. Guru dapat mewujudkan kelas dengan situasi yang ceria dan kondusif, tanpa paksaan atau tekanan. Situasi menggalakkan seperti ini sentiasa diingini oleh setiap guru dan pelajar. Ianya adalah kepuasan dalam pengajaran dan pembelajaran. Melalui latihan dan amalan mengikut peraturan dengan ikhlas, pelajar dengan sendirinya akan terlatih mematuhi peraturan-peraturan lain. Dadanya rasa lapang dengan fikiran terbuka, rasional, sabar, yakin dan tenang menimba ilmu. Disiplin, tingkahlaku serta emosinya terkawal dengan baik. Pembelajarannya menyeronokkan dan mencapai objektif sebagaimana yang disasarkan oleh guru.
Disiplin bermula dari pelajar mula melangkah masuk kedalam kelas atau bengkel Pendidikan Seni Visual, tidak berebut-rebut dan tidak terlalu memilih tempat duduk. Mendengar dan mengikuti dengan teliti pengajaran yang disampaikan guru, jika kurang jelas dan perlukan penerangan bertanyalah dengan sopan. Jika ada tugasan, lakukan dengan sebaiknya terutama semasa menggunakan alat dan bahan yang disediakan guru, gunakan dengan betul dan tidak membazir. Setelah selesai, kemas dan bersihkan alat-alat dan pulangkan semula kepada guru secukupnya. Bilik seni perlu dibersihkan, kembalikan kepada keadaan asal. Jika proses ini berjalan dengan lancar, sudah tentu guru dan pelajar akan berpuashati dan bersedia untuk P&P seterusnya minggu akan datang. Pelajar dan guru tidak tertekan malah menghasilkan kesan psikologi yang positif kepada kedua-duanya (guru dan pelajar)
Persefahaman seperti ini perlu wujud berterusan demi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar dan berkesan. Menurut Maher, (1961), Seseorang itu boleh melahirkan tindak balas emosi akibat proses pembelajaran yang lalu. Jika sesuatu aspek negatif berlaku dalam pembelajaran yang lepas, ianya memberi kesan psikologi yang memakan masa panjang untuk pulih, malahan ada yang terus tidak dapat dipulihkan. (Root (1992) dalam Rohany, 2001) Beberapa peristiwa atau kejadian yang mengejutkan, menakutkan, memalukan dan sebagainya, membawa kesan trauma dan mengganggu kehidupan individu yang terlibat dengan kejadian itu, samada rakan-rakannya dan mungkin keluargannya. Sesungguhnya kesederhanaan dalam banyak hal membantu perkembangan psikologi seseorang kearah yang positif, seimbang dan harmonis selaras hasrat Falsafah Penddikan Negara.
4. Kejayaan dan kecemerlangan.
Untuk mencapai kejayaan, seseorang pelajar memerlukan guru yang berdedikasi dan bertanggung jawab mendidik mereka dengan kesungguhan dan iltizam yang tinggi, di samping keinginan dan kesungguhan pelajar itu sendiri untuk mencapai matlamat dalam pembelajarannya.
Kejayaan dan kecemerlangan adalah cita-cita seseorang pelajar, tidak kira samada dikalangan mereka yang rajin atau malas, bijak atau lemah, bersemangat atau sebaliknya, malahan yang tidak pernah mengulangkaji pun ada yang bercita-cita sedemikian. Sebab itulah guru perlu memainkan peranan untuk menyuntik dan menyemai semangat ingin berjaya kepada pelajarnya dalam setiap masa. Pengukuhan dan ganjaran, walaupun hanya kata-kata sangat penting sebagai motivasi kepada pelajar.
Natijahnya, pelajar yang sentiasa mendapat dorongan guru, akan lebih bersedia untuk mendengar, bertanya, mengikut arahan dan jarang yang menimbulkan masalah. Pelajar yang begini sikapnya akan cepat memahami dan menghayati dengan baik setiap pengajaran yang disampaikan oleh gurunya. Kejayaan demi kejayaan akan dapat diraihnya bermula di sekolah, kolej atau di institusi pengajian tinggi, akhirnya ia keluar sebagai graduan dan selepas itu akan menjadi penjawat awam atau swasta dengan tahap profesional yang boleh dibanggakan.
Kesimpulan
Great creative energy exists in every child. This must find an outlet In expression or repression will result. Children should be allowed to draw what they wish, that they see in their minds, eyes, not that which others thik they ought to draw. Lanier : 1975:81
Pendidikan Seni Visual adalah disiplin ilmu yang melibatkan ketiga-tiga domain manusia iaitu domain kognitif, afektif dan psikomotor yang boleh memberi sumbangan untuk membantu proses memajukan perkembangan dan pertumbuhan seseorang dari aspek jasmani, rohani, emosi dan intelektual. Melaluinya kita dapat memperkembangkan bakat, potensi, diri individu untuk menjadi anggota masyarakat yang memiliki nilai-nilai halus dan menggunakannya berlandaskan iman.
Adalah jelas menunjukkan bahawa keupayaan dan kesediaan kanak-kanak dalam menghasilkan kerja-kerja seni adalah berbeza antara satu sama lain berdasarkan umur, kebolehan fizikal, emosi dan kebolehan inteleknya. Kemahiran kanak-kanak amat bergantung kepada latar belakang pendidikan yang diterima menerusi corak pengajaran guru Pendidikan Seni Visual yang lepas. Menurut Gaitskell (1982), guru-guru yang mengamalkan kaedah diktator akan menghalang perkembangan kreativiti kanak-kanak berbanding dengan guru-guru yang mengamalkan kaedah yang lebih demokratik yang lebih berpusatkan kanak-kanak atau murid iaitu seperti kaedah orientasi murid berdasarkan tajuk, kaedah berorientasikan media, kaedah panduan fasilitator atau kaedah laissez-faire.
Peranan guru adalah untuk membantu kanak-kanak berfikir untuk dirinya dan bukan mengarah kanak-kanak melakukan kerja-kerja untuk memenuhi kehendaknya. Mereka perlu menyediakan peluang yang lebih mencabar kepada kanak-kanak supaya pengalaman mereka bertambah dari masa ke semasa.
Bibliografi:
Ahmad Shalaby. (1976). Sejarah Pendidikan Islam, Pustaka Nasional Singapura.
Boon Pong Ying & Ragbir Kaur. (1998). Psikologi II. Fajar Bakti Sdn.Bhd. Shah Alam.
Chapman, Laura, H. (1988). Approaches to Art in Education, Harcourt Brace Jovanovich Inc. New York
Christine Marme Thompson, (1995). The Visual Art and Early Childhood learning, The National Art Education, Association 1916 Association Drive, Reston Virginia.
Clawson, J.G. (1980). Mentoring in Managerial Greers. In C.B. Derr (Ed), Work, Family and Career (pp.144-165). New York Praeger.
Geoggry Petty.(1997). How to be better at Creativity. Kogan Page Limited. London.
Hassan Langgulung.(1997). Kreativiti Dan Pendidikan. Suatu Kajian Psikologi dan Falsafah. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Howard Gardner (1993). Multiple Intelligence : The Theory in Practice. USA, The Getty Center of Education In The Art
Herrison, J. (1986). The Long term effectiveness of parental involvement in reading: A following to the Harringgey Reading project. British journal of Educational Psychology, Vol. 58 Part 2, 1986: 184- 190
Honig, A.S. (1982). Parental Involvement in early childhood education. In Spodek B. (ed) Handbook of research in early childhood education. New York: The Free Press, 426-455
John A Micheal. (1983). Art and Adolescene: Teaching Art at Secondary Level, Miami University
Lansing, Kenneth, M. (1971). Art, Artist and Art Education. NY. Mc Graw Hill Book Co.
Leonard M S Yong. Creatvity. A Study of Malaysian Students. Faculty Education. University of Malaya. Kuala Lumpur.
Morgan, R. & Lyon, E. (1979). Paired Reading – a preliminary report on a technique for parental tuition of reading retarded . Journal Child Psychol. Psychist., 20, 151-160.
Orlich. Harder. Callaham, Kauchak.Gibson. (1994). Teaching Strategies. A guide to Better Instruction.D.C. Heath And Company. Lexington, Massachusetts, Toronto.
Ramlah Jantan & Mahani Razali.(2002). Psikologi Pendidikan. Pendekatan Kontemporari. Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Read, Herbert. (1996). (New Edition) Education Through Art, Faber and Faber, London.
Rod Taylor.(1986). Educating for Art. Critical response and development. Longman. Hong Kong.
Shaharuddin Hashim, Dr. RohizaniYaakub. (2003). Psikologi Pembelajaran dan Personaliti. PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd. Pahang Darul Makmur
Sharifah Alwiah Alsagoff. (1987). Psikologi Pendidikan 1. Konsep-konsep Asas Psikologi dan Psikologi Pendidikan, Psikologi Perkembangan. Longman.Selangor.
Topping, K. (1985). An Introduction to paired reading in Topping, K & Wolfendale, S. (ed). Parental involvement in Children reading. Bechanham: Croom Helm.
Viktor Lowenfeld & W. Lambert Brittain. (1993). Creative and Mental Growth, Mc Millan Publishing, New York.
__________. 1999. Prosiding Seminar Pendidikan Seni.Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Berkualiti dalam Pendidikan Seni. Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.