Tuesday, 31 March 2015

Melukis menggunakan Adobe Ilustrator

Salam sejahtera para pelajar.

Kali ini saya akan tunjukkan cara melukis dengan mudah langkah demi langkah menggunakan perisian adobe ilustrator cs6 berdasarkan konsep imitasi yang disarankan oleh tokoh-tokoh ilmuan seni seperti Goergeo Vasari dan Johan Joachim Wilkelmen. Namun imitasi ini disesuaikan dengan konsep cetakan lino yang mana objek-objek dilukis dengan menonjolkan rupa dan jalinan melalui warna dan kepelbagian garisan.





Setelah subjek matter dilukis menggunakan ilustrator, seterusnya para pelajar mengarah ketajaman daya artistik impak maksima dalam menimbulkan nilai estetika dalam karya melalui cetakan lino. Berikut ialah contoh mudah lukisan menggunakan ilustrator untuk panduan para pelajar sekalian.



Langkah 1: Mendapatkan subjek matter iaitu bunga refflesia.


Langkah 2: Open Imej di atas dalam Ilustrator dan namakan layer dengan refflesia. Gunakan pen tool dan mula melukis dibahagian kelopok bunga.



Langkah 3: Habiskan melukis menggunakan pen tool keseluruhan kelopak bunga dan bahagian tengah. Apabila selesai warnakan bahagian dalam kelopak bunga dengan warna merah sahaja.


Langkah 4: Terus warnakan keseluruhan kelopak dan bahagian tengah bunga dan pada bahagian tengah bunga sila warna dengan warna gelap.


Langkah 5: Sekarang gambar asal bunga refflesia bolehlah dibuka dan tinggal hasil lukisan menggunakan pen tool yang telah diwarnakan.


Langkah 6: Inilah kedudukan layer dalam ilustrasi anda.


Langkah 7: Proses memasukkan jalinan pada kelopak bunga dimulakan mengikut kreativiti dan daya artistik anda supaya bunga refflesia kelihatan lebih nilai estetik.


Langkah 8: Beginilah gambaran bunga refflesia yang ringkas dilukis menggunakan adobe ilustrator CS6. Lukisan akan kelihatan lebih bermutu jika pelukis mempunyai daya imiginasi ruang dan penguasaan garisan dalam membuat latar belakang dan jalinan pada bunga. selepas itu boleh dijadikan cetakan lino dengan menggunakan dua warna merah dan gelap.



Saya ucapkan selamat melukis menggunakan perisian adobe ilustrator kepada para pelajar dan seterusnya menjayakan setiap kerja kursus yang diberikan. Terima kasih.

Imitasi Artistik Estetika


Ditulis Oleh:
Encik Johanes Bulot
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau


Monday, 30 March 2015

Kursus Asas Autocad

24 Mac 2015 - Kursus Asas Autocad dalam kalangan guru-guru kemahiran hidup sekolah rendah sekitar keningau telah diadakan di Makmal Komputer IPG Kampus Keningau. Kursus ini merupakan anjuran Pejabat Daerah Keningau dengan kerjasama IPG Kampus Keningau. Perasmian kursus telah disempurnakan oleh Encik Haliman Narion daripada Pejabat Pendidikan Daerah keningau. Dalam ucapannya, beliau menyeru agar guru-guru sentiasa meningkat ilmu pengetahuan dalam bidang masing-masing selaras dengan misi dan visi pendidikan bertaraf dunia. Turut serta dalam kursus ini ialah seorang pensyarah daripada Jabatan Seni Visual dan Muzik Encik Johanes Bulot@Bulat. Jabatan Seni Visual dan Muzik mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Suffian bin Saheran, pensyarah daripada Reka Bentuk dan Teknologi atas ilmu yang telah dicurahkan sewaktu kursus berlangsung selama tiga hari.



Disediakan Oleh:
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau
Sepakat dan Kolektif Menjulang Kecemerlangan

Klik Ke Artikel Johanes

Thursday, 26 March 2015

Senarai Nama

Berikut ialah senarai nama pelajar PISMP PSV ambilan Januari 2012 yang terlibat dalam kajian tindakan bagi tahun 2015.
  1. AUDREY ANN ALLEN 
  2. CHAU YIN CHING
  3. CHEW SOON FAT
  4. DATU MUHAMMAD NAZIB BIN DATU KASIM
  5. HEIDEI EDWIN
  6. JEOINA BINTI JAMIL
  7. JOEL JOSEPH
  8. LISTRA SUWIE
  9. NORMIE BINTI ANDUA
  10. RICCHE RYEND BIN ANDINGI
  11. ROSEMARIE FERNANDEZ
  12. STANLEY BIN SULIM
  13. TING YEN SHAN
  14. VALERIE KIHING
  15. WINNIE MAILLIN

Monday, 23 March 2015

Analisis Hasil Karya pelajar Berasaskan Unsur Seni Ruang

     Hasil karya pelajar bertajuk Pemandangan Di Sawah Padi merupakan lukisan alam semula jadi dengan objek sawah padi, gunung dan matahari menggunakan media krayon di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Lukisan menggambarkan pemandangan di sawah padi.

Tajuk: Pemandangan Di Sawah Padi


     Lukisan bertajuk Pemandangan Di Sawah Padi menunjukkan pelajar cuba mengaplikasikan konsep ruang berdasarkan perspektif satu titik lesap pada aras kaki langit yang tinggi ke dalam lukisan. Aplikasi kasih aras kaki langit yang tinggi menyebabkan banyak ruang pada bahagian hadapan untuk menggambarkan objek-objek sawah padi. Namun sekilas pandang perspektif yang diaplikasikan menunjukkan pelajar belum menguasai sepenuh konsep ruang menggunakan perspektif satu titik lesap. Perspektif satu titik lesap berpunca daripada satu arah jauh dan menghilang. Perubahan saiz dan warna pada objek yang digambarkan apabila objek tersebut dilihat dari jarak yang jauh dan sebaliknya jika dilihat dari jarak yang dekat objek akan kelihatan besar.

     Lukisan pemandangan di sawah padi menunjukkan terdapat empat titik lesap ke arah garisan horizontal bumi dan langit jika dilihat pada garisan yang diwakili oleh objek jalan raya dan garisan pemisah antara petak sawah padi. Objek pada bahagian depan juga tidak mengalami sebarang perbezaan dengan objek yang berada di belakang. Begitu juga dengan warna yang diaplikasikan tidak menunjukkan perbezaan warna antara bahagian depan dan belakang. Secara keseluruhan dalam lukisan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap lemah dalam mengaplikasikan unsur ruang dalam pengkaryaan.

     Hasil karya pelajar 26 bertajuk Taman Bunga merupakan lukisan alam semula jadi dengan objek bunga-bungaan dan pokok-pokok kayu menggunakan media cat poster di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Lukisan menggambarkan pemandangan di taman bunga.


     Lukisan bertajuk Taman Bunga menunjukkan pelajar memahami konsep ruang iaitu melalui jarak adanya perubahan saiz dan warna pada objek-objek antara bahagian depan dan belakang lukisan. Dalam lukisan di atas, terdapat perubahan warna melibatkan jarak antara ruang bahagian belakang dan depan yang mana bahagian belakang diwarnakan dengan kabur dan objek yang tidak jelas tetapi pada bahagian depan warna-warna yang diaplikasikan ke dalam objek adalah jelas dan terang seperti objek pokok kayu dan bunga-bungaan. Pada ruang hadapan, terdapat tiga pokok kayu yang diletakkan sepohon pokok di ruang kiri dan dua pokok sebelah ruang kanan. Tindakan pelajar meletakkan 1 pokok kayu di ruang kiri mewujudkan ruang yang sempit dan mengganggu pandangan ruang belakang. Secara keseluruhan dalam catan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap sederhana dalam mengaplikasikan unsur ruang dalam pengkaryaan.


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau

Saturday, 21 March 2015

Lawatan Penandaarasan Di IPG Kampus Perlis

11 Disember 2014 - Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau (IPG Kampus Keningau) telah mengadakan satu program lawatan penandaarasan bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis. Program ini dirangkah untuk mengenal pasti, mengamalkan dan membudayakan amalan kerja organisasi yang terbaik dan cemerlang di dalam atau di luar organisasi secara sistematik dan berterusan. Selain itu juga lawatan penandaarasan ini adalah satu tindakan untuk memperkukuh pelaksanaan dasar-dasar IPG Kampus Keningau dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan. Penandaarasan dilaksanakan dengan cara membandingkan aktiviti atau pencapaian teras organisasi di IPG Kampus keningau dengan IPG Kampus Perlis iaitu satu organisasi dalam kategori yang sama. Lawatan penandaarasan ini adalah selaras dengan satu garis panduan yang terkandung dalam Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam Bilangan 1 Tahun 1999, iaitu Garis Panduan Pelaksanaan Penandaarasan Dalam Perkhidmatan Awam. Turut serta dalam lawatan ini ialah Ketua Jabatan, Pensyarah dan Staff Pengurusan IPG Kampus Keningau. Berikut ialah gambar-gambar semasa lawatan itu berlangsung.




Disediakan Oleh:
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau
 
Sepakat dan Kolektif Menjulang Kecemerlangan

Lawatan Persatuan ke Kota Klias, Beaufort

12-13 Sept 2014- Seramai 15 orang pelajar semester 6 PISMP Pendidikan Seni Visual dari IPG Kampus Keningau telah mengadakan lawatan persatuan ke Kota Klias, beaufort, Sabah yang telah dijalankan selama 2 hari 1 malam. Kembara ini merupakan salah satu daripada subjek yang wajib dilaksanakan untuk subjek WAJ 3113 iaitu Kokurikulum Persatuan yang diketuai oleh Saudari Chau Yin Ching yang merupakan pengerusi program selaras sebagai pengurus kembara ini. Rombongan telah disertai oleh seorang pensyarah penilai dari Jabatan Seni Visual, Encik Johanes.


Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah mengambil gambar di persekiataran sungai Kota Klias, mengambil gambar flora dan fauna, fireflies cruise dan menghasilkan karya berkaitan dengan penerokaan nilai seni sejadi Kota Klias. Program ini merupakan interaksi bersama pensyarah di luar bilik kuliah disamping menambah ilmu pengetahuan tentang seni Kota Klias, mendalami rasa cinta kepada alam sekitar, meningkatkan kemahiran dalam menulis laporan dan catatan refleksi khususnya dalam pelaksanaan aktiviti sepanjang kembara dijalankan. Akhir sekali, lawatan ini memberi seribu pengalaman kepada pelatih guru dan berharap dapat memanfaatkan segala ilmu yang diperolehi.




Analisis Hasil Karya pelajar Berasaskan Unsur Seni Jalinan

Hasil karya pelajar bertajuk Terung dan Tomato merupakan lukisan alam semula jadi dengan objek utama ialah sebiji terung dan tiga biji tomato menggunakan media krayon di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Lukisan menggambarkan buah terung dan buah tomato disusun mengikut komposisi empat segi di atas permukaan yang rata.

Tajuk: Terung dan Tomato

Lukisan bertajuk Terung dan Tomato menunjukkan pelajar memahami aplikasi jalinan ke atas permukaan buah terung dan tomato dengan menyedari kedua-dua jenis buah tersebut mempunyai jalinan yang licin. Bagi menggambarkan jalinan yang licin pelajar telah mewarna permukaan buah terung dengan warna ungu menggunakan warna krayon dengan cara melorek berulang-ulang dan sekata daripada pangkal ke hujung terung sehingga memenuhi keseluruhan rupa terung. Pelajar telah meletakkan satu tanda garis tebal berwarna putih pada bahagian yang mendapat pencahayaan menandakan buah terung mempunyai jalinan licin. Begitu juga dengan jalinan licin pada buah tomato. Pelajar telah mewarnakan permukaan tomato dengan warna jingga dengan lorekan sekata menggunakan warna krayon mengikut bentuk buah tomato, kemudian meletakkan tanda garis tebal berwarna putih pada permukaan yang mendapat pencahayaan menandakan buah tomato mempunyai jalinan yang licin.

Namun terdapat kelemahan pada arah pencahayaan apabila melihat kepada ton terung dan tomato yang menunjukkan arah pencahayaan daripada depan tetapi melihat kepada bayang-bayang terung menunjukkan arah pencahayaan adalah daripada belakang. Kelemahan juga terdapat pada ton terung dan tomato apabila meletakkan warna gelap pada bahagian tepi buah seakan satu garis tebal kerana tidak ada perjalanan warna dari gelap ke cerah menjadi ton. Pelajar tahu mewujudkan kesan jalinan licin tetapi kesan jalinan yang disokong oleh kesan pencahayaan dan kesan ton warna yang jelas masih pada tahap yang sederhana. Secara keseluruhan dalam lukisan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap sederhana dalam mengaplikasikan unsur jalinan dalam pengkaryaan.

Hasil karya pelajar bertajuk Ladybird merupakan lukisan alam semula jadi dengan objek enam ekor kumbang menggunakan media krayon di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Lukisan menggambarkan enam ekor kumbang ladybird hinggap di atas daun kayu pada posisi saling membelakang antara satu sama lain.

Tajuk: Ladybird

Lukisan bertajuk Ladybird menunjukkan pelajar menjadikan jalinan pada kumbang sebagai salah satu nilai estetika yang terdapat pada lukisan ini. Bagi tujuan itu pelajar telah mewarna hitam pada jalinan kumbang dan kelihatan bertompok-tompok hitam di atas kepak. Pada tompok hitam itu, pelajar telah mewarna jingga di sekelilingnya perlahan-lahan menjadi warna kuning ke bahagian tengah kepak menjadikan jalinan tompok hitam kelihatan menonjol. Terdapat enam ekor kumbang yang mempunyai saiz yang berbeza. Pada kumbang yang bersaiz besar, tompok hitam juga dibesarkan sebaliknya pada kumbang bersaiz kecil, tompok hitam dikecilkan. Pada daun kayu, pelajar telah mewujudkan jalinan garis-garis halus dan tebal menunjukkan urat kepada daun. Urat-urat daun telah diwarnakan biru tetapi jalinan pada daun kayu kelihatan kurang realistik dan kasar. Pelajar telah memahami bahawa setiap objek alam semula jadi mempunyai jalinan yang tersendiri untuk dijadikan salah satu nilai estetika pada lukisan tetapi tahap penguasaan pelajar untuk mewujudkan jalinan melalui olahan warna masih berada pada tahap sederhana. Secara keseluruhan dalam lukisan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap baik dalam mengaplikasikan unsur jalinan dalam pengkaryaan.


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau

Friday, 20 March 2015

PPISMP PSV Jun 2014 Belajar Asas Photografi

Pelajar-pelajar Persediaan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pendidikan Seni Visual (PPISMP PSV) ambilan jun 2014 kini telah pun berada di semester dua dan merupakan semester akhir daripada dua semester yang ditawarkan kepada mereka sebelum melangkah kaki ke Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pendidikan Seni Visual (PISMP PSV). Salah satu kursus yang ditawarkan kepada para pelajar PPISMP PSV dalam semester dua ialah Kursus Asas Photografi jenis kamera Digital Single Lense Reflex (DSLR). Selain daripada belajar asas-asas photografi, para pelajar juga berpeluang belajar asas kemahiran suntingan gambar menggunakan perisian Adobe Photoshop semasa di dalam kelas. Berikut ialah gambar-gambar para pelajar semasa proses pembelajaran berlangsung.





Disediakan Oleh:
Ahmad Mohd. Yasin
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau


Video Kenangan 1

Minggu penyiapan karya pertama pelajar PPISMP PSV 2014
Disediakan Oleh:
Laura Lajim
PPISMP PSV Ambilan 2014


Thursday, 19 March 2015

Analisis Hasil Karya Pelajar Berasaskan Unsur Seni Bentuk

Hasil karya pelajar bertajuk Alatan Ke Sekolah merupakan lukisan alam benda dengan objek beg galas, buku dan bekas menggunakan media pensel di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Lukisan menggambarkan alatan ke sekolah disusun mengikut komposisi tiga segi di atas satu permukaan pada aras mata memandang dengan arah pencahayaan daripada sudut sebelah kanan.

Tajuk: Alatan Ke Sekolah

Lukisan bertajuk Alatan Ke Sekolah menunjukkan terdapat beg galas, bekas botol air plastik dan buku sebagai bentuk ilusi yang telah dilukis di atas permukaan kertas lukisan melalui proses imitasi daripada bentuk konkrit. Objek dilukis pada paras mata memandang. Berdasarkan paparan lukisan yang telah dihasilkan, secara asasnya pelajar mengetahui beberapa teknik untuk mencipta bentuk ilusi pada permukaan dua dimensi menggunakan media pensel seperti membuat beberapa contengan garisan mewujudkan bentuk dan memasukkan beberapa lorekan muda untuk menampakkan kesan ton. Namun melihat kepada objek-objek yang telah dilukis, pelajar masih berada pada tahap yang lemah untuk melukis bentuk yang mempunyai nilai estetika berdasarkan bentuk konkrit kepada bentuk ilusi ke atas permukaan 2 dimensi.

Aplikasi jenis dan fungsi garisan dalam objek-objek pada lukisan telah menunjukkan pelajar lemah dalam lakaran tangan bebas bagi mewujudkan bentuk seperti bentuk kuboid untuk beg galas dan bentuk silinder untuk bekas botol air. Tidak ada tekanan yang berat atau ringan pada garisan. Jenis-jenis garisan seperti garisan halus, garisan tebal, garisan beralun yang kemas tidak diwujudkan untuk menjadi bentuk ilusi yang sempurna. Kesan lorekan untuk mewujudkan ton yang menarik juga kelihatan sangat lemah. Lorekan pensel gelap tidak menunjukkan perjalanan ton daripada gelap perlahan-lahan menjadi cerah di kawasan yang mendapat cahaya. Akhir sekali ialah kesan ton memperlihatkan arah cahaya daripada sudut yang berbeza iaitu kesan bayang pada objek menunjukkan arah cahaya daripada belakang manakala kesan ton menunjukkan arah cahaya daripada kanan telah menyebabkan bentuk mengalami kesan yang bercelaru selain objek-objek kelihatan terapung di angkasa kerana tidak ada permukaan yang menyokong daripada bawah. Secara keseluruhan dalam lukisan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap sederhana dalam mengaplikasikan unsur bentuk dalam pengkaryaan.

Hasil karya pelajar bertajuk Kon merupakan lukisan alam benda dengan objek sebuah kon menggunakan media krayon di atas kertas lukisan bersaiz 28cmX37cm. Lukisan menggambarkan sebuah kon di atas permukaan berlapiskan kain berlatar dinding yang mempunyai jalinan beberapa posisi garisan berulang-ulang secara menegak, melintang dan mendatar.

Tajuk: Kon

Lukisan bertajuk kon menunjukkan pelajar mempunyai daya interaksi antara pandangan mata dengan pergerakan tangan untuk mewujudkan bentuk ilusi kon di atas permukaan dua dimensi. Pelajar mempunyai pengetahuan tentang garisan, jalinan, ruang dan warna. Pelajar memahami bagaimana mengaplikasikan garisan, jalinan, ruang dan warna ke dalam bentuk-bentuk asas menggunakan media krayon. Pelajar dapat melukis bentuk asas dengan baik seperti bentuk kon. Dalam lukisan bertajuk Kon, bentuk kon digambarkan dengan teliti dan kemas menggunakan garisan melengkung pada kaki kon, garisan lurus pada kiri dan kanan menuju ke puncak bertemu menjadi bucu. Bentuk ilusi pada kon kelihatan tiga dimensi apabila diwarnakan dengan warna harmoni daripada kumpulan warna jingga mengikut ton arah pencahayaan daripada sudut sebelah kanan kertas lukisan. Pada kawasan yang kurang mendapat cahaya diwarnakan gelap perlahan-lahan cerah pada kawasan yang mendapat cahaya lebih mengikut bentuk kon dari bucu ton adalah kecil perlahan-lahan membesar menuju ke kaki kon. Pencahayaan disempurnakan dengan meletakkan bayang-bayang pada bahagian belakang kon yang terlindung daripada cahaya pada kadar warna yang sederhana dengan menggunakan warna biru. Pelajar juga bijak meletakkan garisan-garisan halus pada kawasan yang cerah sebagai jalinan halus pada bentuk kon. Secara keseluruhan dalam lukisan ini menunjukkan pelajar berada pada tahap baik dalam mengaplikasikan unsur bentuk dalam pengkaryaan.

Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau

Tuesday, 17 March 2015

Penggunaan Sumber Pembelajaran

Mengajar merupakan tugas seseorang guru dan penggunaan sumber pembelajaran sangat penting untuk membantu pemahaman dan pencapaian pelajar. Ia melihatkan segala aktiviti yang disampaikan melalui bahasa. Oleh itu, pelajar akan mendengar dan melihat apa yang disampaikan, dan mentafsir apa yang dipelajari dalam bentuk akan terlibat ketika proses pembelajaran berlaku.

Penggunaan sumber pembelajaran semestinya dapat membantu pelajar dan bukan untuk keperluan guru mengajar sahaja. Dalam erti kata lain, penggunaan sumber pembelajaran adalah difokuskan ke­pada pelajar yang bertujuan memudahkan aktiviti pembelajaran dan mencapai tahap kefahaman yang tinggi dalam sesi pembelajaran.

Penggunaan sumber pembelajaran memudahkan pelajar membentuk konsep yang betul dan menerima pelajaran dengan cepat. Matlamat penting dalam penggunaan sumber pembelajaran ialah untuk membantu pelajar menajamkan deria mereka yang me­bolehkan pencapaian pembelajaran secara berkesan. Dalam setiap pengajaran, pelbagai penggunaan sumber pengajaran boleh diguna­kan dan ia dijangka dapat mempertingkatkan daya penghayatan dan ingatan secara berkesan. Pelajar dapat mendalami bahan-bahan yang tersurat dan tersirat, dan dapat menanamkan minat pelajar terhadap mata pelajaran tersebut.

Klasifikasi Sumber Pembelajaran

Setelah melihat definisi dan kepentingannya, sumber pembelajaran itu dapat dikelaskan kepada empat jenis iaitu:

  1. Sumber asas seperti papan tulis, buku teks, buku kerja dan guru sendiri sebagai model.
  2. Sumber bukan elektronik seperti objek, buku, papan flanel model, patung, gambar, lukisan, carta gambar rajah, graf, poster, glob, kartun.
  3. Sumber elektronik seperti filem jalur dan slaid, radio, televisyen, perakam pita, vedio, projector overhead makmal bahasa, gramator, alat pemain piring hitam dan pembesar suara.
  4. Sumber yang bercorak pengalaman seperti lakonan, pantomin, lawatan, projek pameran dan bahan dari alam sekitar.

Prinsip Umum yang menentukan Penggunaan Sumber Visual yang berkesan

Berikut adalah prinsip yang membolehkan guru menggunakan sumber visual dengan seimbang dan berkesan.

  1. Penggunaan sebarang jenis sumber visual seharusnya dapat menjelaskan maksud yang hendak disampaikan.
  2. Alat visual seharusnya digunakan untuk mempamerkan imej, objek tempat manusia dan apa sahaja yang berkaitan dengan tajuk atau masalah yang dipelajari. Ini bertujuan supaya segala yang dapat dilihat boleh memberi kefahaman yang jelas kepada pelajar.
  3. Sumber visual seharusnya tidak digunakan apabila pelajar mempunyai latar belakang pengalaman yang cukup untuk meng­interpretasi dan mengimaginasi sesuatu yang berkaitan dengan pembelajaran.
  4. Sumber visual seharusnya digunakan apabila memerlukan rangsangan untuk menarik minat dan tumpuan pelajar. Dalam sesetengah kes, terdapat sedikit sahaja sumber yang baik daripada sumber yang banyak itu. Ini bermakna penggunaan sumber ini adalah untuk menarik perhatian yang spontan dan minat di samping pelajar dapat memberi tumpuan terhadap pembelajaran.
  5. Sumber visual bertujuan untuk rnengisahkan dan mendapatkan pandangan tentang perkara yang berkaitan yang telah dipelajari. Jenis sumber sepatutnya bersesuaian dan diubahsuai untuk sesuatu jenis aktiviti yang dilakukan.
  6. Ia sangat sesuai untuk mengajar pelajar cara menggunakan sesuatu jenis alat ilustrasi. Mereka sepatutnya tahu untuk melihat apa dan bagaimana untuk menginterpretasikan benda tersebut. Lazimnya bahan seperti carta, peta gambar rajah, graf yang terdapat dalam buk teks memerlukan pelajar mentafsir apa yang telah dilihat dan difahami.
  7. Sesetengah jenis perlalatan visual patut disediakan terlebih dahulu untuk mengelakkan pembaziran masa dalam kelas.
  8. Penggunaan sesetengah jenis peralatan visual seharusnya disemak untuk memastikan sama ada sesuai digunakan untuk pembelajaran. Bagi seseorang guru, sepatutnya mereka tidak megambil sikap ambil mudah bahawa pelajarnya akan memahami apa yang ditayangkan pada kali pertama. Maklum balas mesti diperolehi untuk memastikan pelajar memahami maksud yang dilihatnya.
  9. Pelajar sepatutnya digalakkan menggunakan alat visual dalam proses pembelajaran dan juga aktiviti dalam kelas, termasuk apa yang telah dibincangkan di atas. Semua sumber pembelajaran yang telah dikumpulkan itu akan dapat memberi kefahaman dan daya fikir seseorangt pelajar.
Kreteria Memilih Sumber

Tujuan
Seseorang guru seharusnya mempunyai objektif yang jelas dan memikirkan bila penggunaan sumber itu sesuai digunakan . Sumber pembelajaran mestilah yang menarik dan jelas untuk menimbulkan minat pelajar.

Kesesuaian

a. Masa

Sumber seharusnya diperkenalkan pada masa yang difikirkakn akan memberi kesan ke atas pembelajaran pelajar.

b. Tempat

Sumber yang akan digunakan itu seharusnya bersesuaian dengan tempat dan aktiviti pembelajaran dijalankan.

c. Kesukaran Pengendalian

Ini merujuk kepada guru dan pelajar. Pelajar mempunyai berbagai-bagai peringkat Kemahiran. Oleh itu, penggunaan sumber yang komplikated dan kecil tidak sesuai digunakan. Manakala seseorang guru yang kurang mahir dalam penggunaan bahan sumber ini akan membazirkan masa dan pengajaran akan menjadi tidak berkesan. Misalnya Projektor Overhead.

d. Jumlah

Ini bermakna jumlah bahan yang digunakan hendaklah bersesuaian dengan jumlah pelajar, dan bilangannya juga sesuai dengan masa aktiviti yang digunakan dalam aktiviti.

e. Tahap dan Fungsi Pengetahuan Lepas

Ini merujuk kepada pengetahuan lepas pelajar yang boleh dipindahkan dalam penggunaan sepenuhnya sumber yang digunakan itu. Ini boleh digunakan pada semua peringkat umur dan tahap pendidikan, contohnya buku sangat bermanafaat jika pelajar boleh membacanya.

f. Saiz

Saiz sumber itu mestilah sesuai dengan saiz kelas

g. Penjagaan

Bahan/sumber mestilah dijaga dengan sempurna supaya dapat digunakan secara berterusan. Bilik khas perlulah diadakan dengan dikelolakan oleh guru yang bertanggungjawab.

Kemudahan Memperoleh

Sumber yang digunakan di sekolah mestilah bahan yang senang diperoleh. Setengah-setengah sekolah tidak mempunyai kemudahan seperti televisyen, projector overhead, atau radio. Oleh itu, sumber yang bersesuaian dan senang diperoleh boleh digunakan, umpamanya keratan akhbar, bahan maujud dan lain-lain.

Kepentingan Sumber Pembelajaran

Penggunaan alat Bantu mengajar dapat mengawal serta mengatasi masalah seperti berikut:
  1. Masalah kekurangan tenaga pelajar
  2. Masalah kekurangan masa
  3. Masalah mengadakan pengajaran untuk kumpulan yang sangat besar.
Edgar Dale, dalam bukunya Audio-Visual Methods in Teaching, 1963 telah menyenaraikan nilai penting tentang penggunaan alan batu mengajar :

  1. Ia merangsang minat yang tinggi di kalangan pelajar dan minat ini adalah satu factor yang penting dalam pembelajarana mereka.
  2. Ia menyediakan satu dasar kukuh untuk perkembangan kefahaman dan corak pemkiran. Oleh itu, mengurangkan pelbagai gerak balas lisan daripada pelajar.
  3. Ia membekalkan satu dasar untuk perkembangan pembelajaran pelajar, dan oleh itu menjadikan pembelajaran mereka lebih kekal.
  4. Ia menyediakan pengalaman yang tidak dapat diperolehi dengan mudahnya melalui cara lain. Oleh yang demikian ia menolong menjadikan pembelajaran pelajar lebih mendalam dan.
  5. Ia menolong dalam kefahaman dan oleh itu mempercepatkan perkembangan perbendaharaan kata.
  6. Ia menawarkan pengalaman yang sebenar dan dengan yang demikian merangsangkan kegiatan.
  7. Ia mendorong pelajar untuk menyiasat dan dengan yang demikian menambahkan minat membaca.
Daripada keterangan di atas, jelaslah bahawa alat Bantu mengajar mempunyai dua tujuan utama :
  1. Memberi rangsangan
  2. Menjelaskan penerangan
Selain itu, ada tiga lagi tujuan menggunakan alat Bantu mengajar yang perlu dibincangkan dengan jelas :
  1. Menjimatkan masa
  2. Memepelbagaikan kegiatan
  3. Menyeronokan pelajar
Menjimatkan Masa

Guru boleh menjimatkan masa dengan menggunakan alatan mengajar dengan dua cara. Cara yang pertama ialah berhubung dengan tujuan menjadikan penerangan lebih jelas. Dalam pengajaran, jika pelajar cepat memahami bahan yang diajarkan, sudah tentu ini akan menjimatkan masa dan penagajaran seterusnya boleh dijalankan. Cara yang kedua pula ialah masa dapat diselamatkan jika guru dapat menyediakan bahan pengajarannya terlebih dahulu. Guru tidaka perlu membuang masa menuliskan bahan pengajarannya di papan hitam. Bahan yang telah sedia tertulis di papan gulung, di kad manila, di kert as siklostil misalnya dapat menjimatkan masa guru.

Mempelbagaiakan Kegiatan

Pelajar-pelajar daripada pelbagai rangsangan ( daripada pelbagai pengalaman ). Semakin banyak kegiatan yang kita pelbagaikan untuk mereka, semakin mudahlah mereka mengikuti pelajaran. Dalam mengajarkan ceramah misalnya, guru boleh menggunakan pita rakaman untuk memperdengarkan kepada mereka. Pelajar pula diminta meneliti sebuatan, gaya, intonasi, atau suara dari ceramah tersebut. Kemudian mereka diberikan kertas edaran atau papan gulung yang mengandungi ceramah tersebut. Pelajar Kemudiannya diminta mengkaji pemilihan perkataan yang sesuai yang digunakan penggunaan ayat dan sebagainya. Alat Bantu mengajar dapat menolong guru mempelbagaikan kegiatan dalam pengajaran mereka. Ini menghasilkan pembelajaran yang berkesan.

Menyeronokan Pelajar.

Manusia umumnya memerlukan keragaman dalan kehidupan untuk memecahkan kebosanan. Alat Bantu mengajar yang digunkan adalah untuk menyokong kegiatan dalam kelas yang kita cuba pelbagaikan itu. Secara tidak lanagsung peranan sampingan alat Bantu mengajar berubah meojadi peranan utama dalam menyingkirkan kebosanan dan seterusnya memberikan keseronokan kepada pelajar dalam pembelajaran mereka.

Cara Menggunakan Sumber Pembelajaran

Penggunaan sumber pembelajaran mestilah bertepatan dengan situasi pembelajaran. Ini bertujuan untuk mengelakkan penggunaan sumber yang tidak bermakna dan berkesan. Semua sumber pembelajaran mestilah dirancang oleh seorang guru supaya objektif pengajaran mencapai matlamat yang diharapkan. Guru mesti membuat penyelesaian dengan setiap sumber yang hendak digunakan dengan kelas yang diajar. Untuk memenuhi keperluan pelajar, guru perlu mengkaji teknik dan cara yang sesuai menggunakan sumber tersebut. Ini dpat dilihat satu persatu yang boleh digunkan iaitu :

Sumber Papan Tulis

Penggunaan papan tulis yang baik akan menarik perhatian pelajar kerana teknik ini adalah satu kemudahan yang telah disediakan di dalam setiap kelas. Guru harus merancang dan bijak inenggunakan papan tulis agar kemas dan teratur supaya pelajar dapat melihat dan membaca apa yang tertera pada papan tulis

Penggunaan Papan Flanel

Sumber yang dipamerkan pada papan mestilah sesuatu yang ringan. Bahan yang boleh diperlihatkan itu seperti perkataan, simbol huruf atau gambarajah. Daripada sumber ini pelajar diminta membuat interpretasi dan huraian tentang apa yang dihhat. Biasanya papan flanel ini digunakan untuk mendapat maklum balas.

Penggunaan Objek, Spesimen, Dan Model

Semua bahan ini sangat berkesan dalam pengajaran kerana pelajar cuba mendapatkan kefahaman tentang bahan sebenar daripada sampel.

Penggunaan Gambar, Poster Dan Kartun

Sumber ini juga telah digunakan dalam pengajaran. Melalui bahan ini, pelajar boleh diminta uniuk menghasilkan kreativiti.

Penggunaan Sumber Melalui Lawatan Dan Kerja Lapangan

Kaedah ini membolehkan pelajar menghayati dunia luar atau persekitaran yang berkaitan dengan pembelajarannya di sekolah. Sekali-sekala pelajar perlu didedahkan dengan kegiatan seperti ini untuk membuka dan meluaskan pandangan mereka. Aktiviti ini biasanya mendapat respon pelajar tetapi terhad pada musim tertentu dan tidak semua pelajar boleh terlibat kerana keadaan tempat adalah terhad. Kaedah ini boleh digunakan sebagai sumber pembelajaran dengan meminta pelajar mencatatkan peristiwa yang berlaku, masa dan tempat yang dikunjungi.

Kesimpulan

Setelah dilihat secara mendalam setiap aspek yang berkaitan dengan pengurusan bahan pengajaran, dapatlah disimpulkan bahawa bahan-bahan pengajaran adalah sesuatu yang harus, berkaitan dengan kehidupan manusia. Kita akan dapat menikmati bahan-bahan tersebut melalui bahasa yang digunakan dan melalui pancaindera yang ada. Kita akan dapat menggarapkan segala isi dan cita rasa melaluinya dan menikmati, menghayati apa yang tersurat adan tersirat. Walaupun peralatan dianggap tidak penting bagi sesetengah pihak, tetapi sebagai seorang guru, ia harus dapat mempelbagaikan teknik dan kaedah penyampaiannya supaya mengajar menjadi sesuatu yang menarik dan seronok untuk diikuti.

Disediakan Oleh:
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau
Sepakat dan Kolektif Menjulang Kecemerlangan

Psikologi Dalam Pendidikan Seni Visual

Pendahuluan

“ Jika kanak-kanak tidak dapat belajar dengan cara kita mengajar, kita harus mengajar dengan cara mereka belajar ”

Perubahan paradigma dalam sistem pendidikan menuntut para pendidik membuat perubahan terutama dari aspek psikologi, pedagogi mahupun metadologi. Para pendidik seharusnya melihat perkembangan pendidikan sejajar dengan pendidikan kanak-kanak terutama dari aspek psikologi perkembangan kanak-kanak itu sendiri. Keyakinan untuk melahirkan warganegara yang berbudaya khususnya individu yang imaginatif, kreatif, berdaya peka, berpengetahuan dan peka terhadap ciri-ciri estetik.

Ini bermakna bahawa peranan Pendidikan Seni Visual amat penting dalam pembentukan individu yang seimbang dan bersepadu secara menyeluruh dengan mengamalkan demokrasi dalam pendidikan.

Dalam usaha untuk melahirkan insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial, maka aspek psikologi perlu diterapkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual. Ini adalah kerana pembelajaran merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia, dan ianya boleh berlaku di mana-mana sahaja samada secara formal atau tidak formal. Pembelajaran itu sebenarnya merupakan satu proses yang dinamik di mana pelajar samada perlu merangsang atau dirangsang dan dibimbing ke arah mencapai matlamat. Pembelajaran boleh dirujuk kepada proses perolehan tabiat, sikap dan pengetahuan, yang juga merupakan sebahagian daripada proses penyesuaian diri dalam keadaan atau situasi yang berbeza daripada sebelumnya.

Definisi Psikologi
Perkataan psikologi berasal dari dua perkataan iaitu psyce yang bererti jiwa dan perkataan logos membawa maksud kajian tentang sesuatu. Psikologi adalah ilmu yang mengkaji tingkahlaku dan proses berfikir manusia secara saintifik atau imperikal.

Psikologi pada hari ini wujud dalam tiga bentuk iaitu:
  1. Psikologi adalah satu disiplin ilmu
  2. Psikologi adalah satu sains – iaitu menggunakan kajian saintifik untuk mengkaji dan memahami    perlakuan
  3. Psikologi merupakan satu profesion atau kerjaya
Charles, C.B, (1976) mengatakan bahawa psikologi boleh didefinisikan sebagai satu kajian tentang tingkahlaku. Dapatan-dapatan daripada kajian tersebut dapat digunakan untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran

Menurut Gagne, R.M (1977) proses pembelajaran terdiri daripada beberapa fasa iaitu motivasi, perhatian, jangkaan, perolehan ingatan kembali, pemilihan persepsi, mengkod dan menyimpan jangka panjang, gerakbalas atau prestasi, maklumbalas dan peneguhan dan generalisasi atau pemindahan pembelajaran.

Menutur Fantino (1974), psikologi ialah kajian saintifik tentang aktiviti mental seperti ingatan, mimpi, pemikiran dan tekanan.

Piaget (1980) … tiga cara kanak-kanak mengetahui sesuatu; melalui interaksi sosial-belajar sesuatu perkara daripada orang lain, pengetahuan fizikal tentang sesuatu dan penerokaan, dan logikal matematik, konsep nombor, klasifikasi, masa, hubungan ruang dan keabadian.

Kepentingan Psikologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual

Pendidikan Seni Visual adalah satu mata pelajaran yang dapat mencungkil dan menanam minat serta memupuk dan kebolehan pelajar dalam menghasilkan atau semasa berinterkasi dengan sesuatu produk seni.

Para pendidik telah mengetahui bahawa setiap individu mempunyai cara dan keupayaan tersendiri dalam pernyataan dirinya menerusi kerja-kerja seni (art work) Laura Chapman (1978) menyatakan bahawa karya seni bukan satu mod tingkahlaku semulajadi semata-mata tetapi adalah asas kepada matlamat kematangan individu.

Pendidikan Seni Visual merupakan satu mata pelajaran yang amat mementingkan kaedah. Sebelum seseorang guru itu memilih sesuatu kaedah, mereka harus mempunyai pertimbangan-pertimbangan tertentu terhadap pelajar, kandungan pelajaran, objektif pelajaran dan persekitaran

Untuk meningkatkan perkembangan psikologi kanak-kanak semasa pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual guru seharusnya perlu menguasai teori Pelbagai Kecerdasan yang dikemukakan oleh Howard Gardner iaitu:

  1. Kecerdasan Berbahasa (verba/linguistic intelligence)
  2. Kecerdasan Logikal/Matematik (logical/matematical intelligence), seringkali digelar pemikiran saintifik (scientific thinking), melibatkan pemikiran induktif dan deduktif, penaakulan, proses pengiraan dan struktur logik
  3. Kecerdasan Tampak/Ruang (visual/spatial intelligence). Kecerdasan ini berkaitan dengan pengamatan tampak, menghasilkan imej mental, peka dalam gambaran pola atau corak
  4. Kecerdasan Kinestetik (body/kinesthetic intelligence) Kecerdasan ini berkait rapat dengan pergerakan fizikal atau psikomotor, kebebasan tubuh badan dengan melibatkan tindakbalas otak
  5. Kecerdasan ritma/muzik (musical/rhythmic intelligence) Kecerdasan ini memberi ruang kepada penguasaan corak ton muzik dan bunyi. Mereka amat sensitif pada bunyi dan irama atau alunan muzik.
  6. Kecerdasan interpersonal (interpersonal intelligence) Peranan perhubungan antara individu dari segi komunikasi. Keupayaan mempengaruhi orang lain.
  7. Kecerdasan intrapersonal (intrapersonal intelligence). Pemahaman pada terhadap diri sendiri, kehendak, perasaan dan kesedaran yang dimiliki.
  8. Kecerdasan Spiritual (Spiritual Intelligence) Suatu keupayaan diluar jangkaan manusia biasa, yang berkeupayaan bertindak atau berkomunikasi secara yang tidak lazim, mencakupi dimensi roh (ghaib) yang di luar keupayaan manusia biasa
  9. Kecerdasan Ekologi (Ecology Intelligence) Suatu keupayaan manusia menyesuaikan dirinya dan mengadaptasi dengan suasana dan keadaan alam persekitarannya
Setiap individu yang normal seharusnya memiliki kesembilan-sembilan kecerdasan yang dinyatakan tetapi mengikut aras kekuatan atau kelebihan yang berbeza-beza. Kecerdasan tersebut boleh dipelajari dan dikuasai. Setiap kecerdasan itu boleh digunakan dalam menyelesaikan masalah individu dan untuk mencapai tujuan, dengan menilai membuat refleksi dan menyelesaikan masalah dengan pelbagai cara dengan cara yang berbeza-beza.

Kecerdasan-kecerdasan ini biasanya tidak dapat berfungsi secara bersendirian atau terasing, namun ianya akan terbukti keberkesanannya apabila berlaku gabungan dan amalan bersepadu.

“Pendidikan tidak terhad hanya pada seni mempertahankan diri, tetapi mencakupi keseluruhan cabang kehidupan: jasmaniah, akliah, akhlak, semangat, sosial dan perkembangan pentadbiran”
Clawson (1980):144

Schopenhaur (1936) seorang ahli falsafah menyatakan, hubungan seni dengan kehidupan adalah hubungan yang halus dan tepat. Seni dari segi kreativiti tampaknya adalah pengucapan langsung terhadap kemahuan yang merupakan inti kehidupan, sebab kehidupan apa yang mengalir antara keinginan dan pencapaian.

William G. Perry (1970) guru perlu mengambil kira tentang perkembangan individu seperti kreativiti, idea, persepsi dan perasaan seseorang pelajar. Sikap guru itu sendiri akan menentukan samada berjaya atau gagalnya proses pengajaran dan pembelajaran ini, dan bertindak sebagai agen utama dalam merangsang dan menggalakkan pelajar meneroka dan menimba seberapa banyak pengetahuan dan kemahiran dalam bidang seni.

Micheal (1983) dan Feldman (1970) mencadangkan agar guru menggunakan pendekatan kemanusiaan dalam pengajaran dan pembelajaran yang akan memberi peluang kepada pelajar mengenali dirinya dan hubungan dengan masyarakat dan kehidupannya. Keadaan ini akan membantu proses perkembangan mereka dari peringkat paling asas iaitu mengenali diri sendiri, mengenali seni dan kelompok-kelompok kecil di persekitaran mereka, peka tentang perasaan, memiliki konsepsi diri

Kita perlu memahami bahawa pelajar mempunyai cara pembelajaran mereka sendiri, seharusnya kita mengeksploitasi kelebihan itu di samping memberi tunjuk ajar secara berkesan dalam meningkatkan kefahaman dan penguasaan mereka dalam menguasai sesuatu kemahiran. Salah satu cara yang boleh digunakan ialah dengan menggunakan konsep pembelajaran secara konstruktivis iaitu menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran berdasarkan cara pelajar itu belajar.

Pembelajaran merupakan aktiviti mental, fizikal, atau rohani pada diri pelajar itu sendiri. Ianya merupakan satu proses yang dinamik yang mana pelajar perlu merangsang diri sendiri atau dirangsang dan dibimbing kearah mencapai matlamat. Pembelajaran memberi peluang kepada individu mengubah sikap dan tingkahlaku mereka untuk berkembang secara berterusan dan tekal serta mampu menggunakan ilmu dan kemahiran yang diperolehi untuk kemajuan diri sendiri khasnya dan masyarakat atau negara amnya. Faktor penting yang menentukan proses pengajaran terus berlaku ialah keinginan individu untuk terus berkembang di samping berminat untuk menerap dan mempraktikkannya di dalam situasi yang sesuai.

Oleh itu pembelajaran dikatakan berlaku apabila terdapat perubahan di dalam perlakuan, pemikiran (termasuklah proses dan hasil berfikir, persepsi, dan efektif (termasuk perasaan, sikap dan nilai). Perubahan tersebut pula adalah kekal dan dipengaruhi oleh perubahan di dalam saraf pusat manusia itu sendiri.

Penggunaan pendekatan Konstruktivis dalam Pendidikan Seni Visual
Pembelajaran secara konstruktivis ini memberi peluang kepada pelajar menyampaikan pendapat yang dapat dikongsi bersama dengan rakan-rakan yang lain. Pembelajaran akan berlaku secara dua hala iaitu guru-pelajar dan tentunya ini lebih menyeronokkan di samping memberi lebih banyak peluang dan manfaat kepada kedua pihak.

KESAN PSIKOLOGI DALAM PENDIDIKAN SENI VISUAL

Seni telah berkembang sejak awal ketamadunan manusia mulai zaman purba (Zaman Batu, 25,000 SM) sehingga zaman Renaissance dan Baroque-Rokoko (Abad ke 16-17) kemudiannya di abad 18-19 seni telah diklasifikasi dengan istilah `isme` seperti Kubisme, Realisme, Romantisme, Ekspresionisme dan sebagainya. Seni terawal (25,000 SM), dihasilkan atas dasar sebagai kuasa magis dan pertahanan diri, keagamaan, politik, refleksi kehidupan seharian, seni dan hubungannya dengan alam, luahan imaginasi dan fantasi serta lambang kelahiran, perkahwinan dan kematian. Kesemua faktor tersebut akan mewujudkan tiga kelompok besar penyumbang seni iaitu peranan pencipta (seniman), peranan pengguna (pengumpul seni) dan peranan pemerhati (penonton, galeri, muzium).

“Seni ialah keupayaan untuk menghasilkan sesuatu, termasuk tujuan dan sebab…”
-Aristotle

Ini secara keseluruhannya menggambarkan bahawa seni itu sangat mempengaruhi tingkah laku dan peradaban manusia sejak dari awal hingga zaman kini. Seni melalui penggunaan simbol-simbol atau menggambarkan sesuatu pernyataan adalah merupakan suatu kaedah berinteraksi secara langsung dan tidak langsung. Unsur-unsur dan prinsip seni boleh membawa makna dan perlambangan yang bersifat universal atau bersifat setempat. Sejak Zaman Batu hingga kini, perlambangan dan simbol dapat menjelaskan maksud dan makna bersesuaian dengan masa dan keadaan. Melalui pengetahuan seni, kefahaman terhadap nilai dan makna dapat dipertingkatkan.

Untuk melihat kesan psikologi pelajar menjurus kepada Pendidikan Seni Visual, kita perlu melihat perkembangan minda kanak-kanak melalui pelbagai aktiviti mereka seharian yang berkaitan perkembangan tahap kreativiti mereka. Kanak-kanak biasanya sangat suka meconteng dinding, lantai atau di mana-mana sahaja. Aktiviti-aktiviti tersebut adalah proses kreativiti dan penyuburan diri serta emosi kanak-kanak. Kecenderungan melakukan perbuatan tersebut samalah seperti kecenderungan untuk menangis atau ketawa bagi menggambarkan perasaan hati mereka. Perbuatan itu dilakukan sebagai suatu pernyataaan tentang apa yang dilihat dan dirasa mengikut persepsi mereka di samping rangsangaan tindakan biologi pembesaran dan kematangan psikomotor mereka. Ini menurut pakar psikologi kanak-kanak, Viktor Lowenfeld.

Berdasarkan aspek psikologi pelajar untuk menarik minat dalam Pendidikan Seni Visual, suatu kurikulum dan perancangan berobjektif sangat diperlukan untuk membimbing pelajar mengenali potensi diri dan mengekspresi seni yang telah sedia wujud dalam diri mereka. Selain dari perkembangan minat dan bakat, seni juga dapat mendorong dan mendidik pelajar-pelajar melahirkan idea-idea kreatif melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Mereka juga berpeluang melihat dan belajar daripada sejarah dan peradaban bangsa tentang hasilan seni kreatif tinggalan nenek moyang mereka seperti barangan kraf di samping belajar daripada sikap dan pemikiran serta persepsi mereka tentang makna kehidupan.

Peranan seni dengan jelas dapat dilihat melalui model-model kurikulum. Antaranya ialah “Discipline-Based Art Education (DBAE)”, iaitu satu model disiplin Pendidikan Seni Visual di Amerika Syarikat yang telah berjaya diketengahkan di institusi persekolahan (Greer, 1984). DBAE menggunakan empat disiplin utama seni iaitu penghasilan seni, estetik, sejarah seni dan kritikan seni di dalam struktur kurikulum dan pengajarannya. Begitu juga model kurikulum Pendidikan Seni Visual yang berteraskan objektif pencapaian dan model yang berteraskan konsep pengajaran bersepadu. Berdasarkan kepada perbandingan bagi melihat persamaan dan kelainan struktur kandungan dan oreintasi pengajaran Pendidikan Seni Visual yang di atas, terdapat beberapa persamaan yang paling signifikan bagi setiap kandungan Pendidikan Seni Visual. Antaranya seperti berikut:

  1. Membuat dan menghasilkan karya. 
  2. Membuat pertimbangan estetik dan kritikan.
  3. Belajar melalui pengalaman sejarah seni,
  4. Belajar memahami tindakbalas masyarakat terhadap seni.
Melalui proses mempelajari seni, pelajar-pelajar dapat dididik ke arah pembinaan pemikiran yang kritis, kreatif dan inovatif serta belajar menghargai sumbangan masyarakat dalam tamadun manusia. Melalui aktiviti-aktiviti seni yang kreatif, pelajar-pelajar berpeluang belajar mempertajamkan daya persepsi, membuat penilaian estetik dan membuat penakulan terhadap alam sekitar dan sosial. Prosedur aktiviti seni secara berproses melalui proses rekaan dan proses kreativiti menggalakkan penampilan sahsiah yang seimbang dan bersistematik serta penuh dengan penerapan nilai-nilai yang positif.

Selain daripada keperluan asasi seperti makan dan minum atau keperluan perlindungan dan keselamatan di peringkat sekunder, sahsiah yang sempurna, mencari sesuatu yang indah, sempurna, harmoni dan sejahtera juga telah diberi perhatian yang tinggi oleh masyarakat. Disinilah nilai-nilai estetik yang wujud dalam Pendidikan Seni Visual dapat diterapkan dan akhirnya nilai-nilai seni dapat dipertingkatkan ke tahap yang sepatutnya. Bermula dari dalam diri dan persekitaran, manusia akan menggunakan pengetahuan seni sebagai formula atau ilmu bagi menyelesaikan permasalahan nilai estetik dalam kehidupan. Sebagai contoh, kita mengadun warna baju, tali leher dan warna seluar, menyusun perabot agar kelihatan rapi dan harmoni, menyesuaikan fesyen pakaian berbanding ukuran badan, mereka bentuk kenderaan, membina bangunan luar dan dalaman dengan pelbagai bentuk dan hiasan yang menarik dan sebagainya. Secara keseluruhan, ini menggambarkan bahawa Seni adalah asas ilmu-ilmunya.

Seni adalah suatu bentuk komunikasi sejagat dengan pelbagai budaya dan peradapan sama seperti pernyataan sejarah. Seni merakamkan pencapaian manusia dan menggambarkan tentang nilai, kepercayaan dan sikap sosial. Setiap budaya mempengaruhi pemikiran, nilai dan sikap seniman melalui kajian catan, arca, seni bina, kraf dan berbagai artifek sejarah yang berkaitan dengan Seni. Seni juga membolehkan kita memahami dan mengetahui peradaban dan perkembangannya serta pengaruh antara sesuatu budaya dengan budaya yang lain. Karya seni adalah merupakan rakaman sejarah dan budaya secara tampak.

Dengan ini jelas bahawa Pendidikan Seni Visual telah memberi impak yang positif kepada proses perkembangan pelajar dari aspek fizikal mahupun emosi. Antaranya seperti:

  1. Pembangunan kendiri. (personal development)
  2. Mengenal, memperakui dan menyalurkan budaya warisan dari generasi ke generasi. (cultural heritage)
  3. Menyedari, memahami dan menghargai peranan dan sumbangan setiap warganegara. (roles as citizen)
Walaupun kesan psikologi dalam Pendidikan Seni Visual menjurus kepada kebaikan atau positif tetapi masih wujud kesan negatif yang perlu diatasi. Antaranya adalah faktor guru itu sendiri yang mana cara dan teknik pengajaran guru yang kurang berkesan (aspek pedagogi). Emosi pelajar juga dilihat sebagai faktor negatifnya seperti rasa rendah diri bila gagal menghasilkan karya seni yang baik, sifat malu apabila dikritik juga timbul perasaan bosan untuk menghasilkan tugasan yang diberi atas sebab tekanan dari rakan dan guru.

APLIKASI PSIKOLOGI DALAM PENDIDIKAN SENI VISUAL

Gage dan Berliner (1989) menyatakan Psikologi ialah kajian tentang pemikiran dan tingkah laku individu dan kumpulan individu. Manakala Psikologi Pendidikan pula ialah kajian tentang pemikiran dan tingkah laku yang berkaitan dengan bagaimana kita mengajar dan belajar di sekolah. Oleh itu kepentingan psikologi pendidikan merupakan satu pendekatan yang membolehkan keberkesanan pengajaran dilaksanakan dengan mengambil kira peranan individu dan kumpulan itu sendiri.

Menurut Banks dan Thompson pula (1995) telah membahagikan definisi kepada dua bahagian iaitu definisi psikologi dan pendidikan. Pendidikan ialah satu kerjaya yang lebih membuat penelitian dan kajian metadologi ke arah pembelajaran dan pengajaran yang digunakan di sekolah. Sementara psikologi pula ialah bagaimana pendekatan pembelajaran yang harus disempurnakan di sekolah agar dapat membantu perkembangan tingkah laku manusia.

Psikologi Pendidikan mempunyai matlamat untuk memahami ( memerhati dan menerangkan tingkah laku pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia adalah amat penting di dalam pendidikan sejajar dengan perkembangan mental dan kebolehan individu.

Selain daripada itu, psikologi pendidikan ialah membolehkan guru untuk memahami tingkah laku pelajar, membantu guru untuk merancang objektif dan matlamat pembelajaran. di samping memahami tahap-tahap keupayaan murid berdasarkan perkembangan semasa.

Pendidikan Seni Visual pula bermaksud “education through art” iaitu pendidikan melalui seni, khususnya Seni Visual dan “ education in art” iaitu pendidikan di dalam bidang Seni Visual. Kedua-dua elemen ini memerlukan pendekatan pembelajaran Pendidikan Seni Visual yang lebih mantap seiring dengan keperluan psikologi manusia.

Oleh kerana Pendidikan Seni Visual adalah penghubung satu generasi ke satu generasi maka ia memerlukan satu cara menginterpretasi sesuatu idea mengikut disiplin seni tertentu yang membolehkan pelajar atau individu mengalami satu sumber kegembiraan dan keceriaan yang istimewa. Pengalaman yang menakjubkan ini lantas dapat meningkatkan lagi rasa keinsafan dan keceriaan pemikiran baru.

Kita maklumi bahawa Pendidikan Seni Visual seringkali mempunyai pendekatan yang berbeza dan melibatkan pelbagai aspek di antaranya ialah mengaitkan pengalaman manusia yang dihubungkaitkan dengan logik dan emosi bagi memperolehi kefahaman yang lengkap dengan penggunaan deria secara langsung. Umpamanya nilai estetika adalah satu disiplin yang menjadi komponen utama mengenai konsep nilai dan keindahan.

Parsons dan Blocker (1993) menyentuh beberapa nilai estetik di dalam bilik darjah yang boleh membantu peningkatan psikologi pembelajaran. Di antaranya estetik adalah satu dapatan yang dapat membantu pelajar memahami seni dengan lebih baik kerana adanya perkaitan dengan budaya lain, diintergrasikan dengan subjek lain dan adanya perbincangan pengalaman pelajar itu sendiri.

Pendekatan Pengajaran Psikologi dalam Pendidikan Seni Visual.

Pendekatan Behaviourisme

Di dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual, pendekatan Behaviorisme dapat dilaksanakan terhadap pelajar bagi membolehkan ia meresapi nilai intelektual mereka. Menurut pendekatan ini, semua gerak balas yang berlaku adalah disebabkan oleh rangsangan dan ianya boleh mempengaruhi tingkah laku pelajar. Pendekatan R-G (ransangan gerakbalas) ini telah dipelopori oleh Ivan Pavlov, Thorndike, Skinner dan John B. Watson.

Jika dilihat contoh teori oleh Edward L. Thorndike, beliau memperkenalkan bahawa pembelajaran berlaku hasil gabungan S-R iaitu Stimulation (rangsangan) dan Responses ( tindakbalas) dan ada perkaitannya dengan hukum pembelajaran kesediaan, latihan dan kesan. Hukum kesediaan ialah apabila seseorang itu bersedia untuk melakukan sesuatu maka tindakannya itu akan memberi kepuasan kepada dirinya sama ada dalam kesediaan psikomotor, afektif dan kognitif. Beliau memberi pandangan lagi dalam hukum latihan pula rangsangan dan tindakbalas akan bertambah kukuh sekirannya ada perulangan latihan. Manakala hukum kesan pula ia menjelaskan jika ada perubahan dari persekitaran dan menyeronokkan pula maka ia akan meningkatkan kesan pembelajaran itu sendiri dan begitulah juga sebaliknya.

Pendekatan yang dicadangkan tadi dapat membentuk rangsangan yang kekal bagi seseorang pelajar kerana adanya pembentukan fenomena yang menyeronokkan. Guru perlu kreatif dalam menyediakan perlaksanaan fenomena yang menyeronokkan. Penglibatan pengajaran yang menyentuh perasaan, kemahiran fizikal dan juga pemikiran perlu dipertimbangkan.

Pendekatan pembelajaran secara pemikiran yang diketengahkan oleh Graham Wallas (1926) sebenarnya adalah di antara pendekatan yang baik bagi menimbulkan nilai kreativiti di kalangan pelajar yang berhubung kait dengan pemikiran mereka. Beliau telah mengelaskan kepada empat tahap yang perlu dilalui di antaranya ialah proses persediaan pelajar untuk mengenal pasti fakta dan maklumat. Pelajar lebih dimahirkan untuk mencari idea dan juga inti pati yang bakal diserapkan di dalam pengkaryaan mereka. Kemudian ialah proses Inkubasi (pengeraman) yang membolehkan pelajar untuk cuba mendapatkan ilham dalam beberapa waktu sebelum dicetuskan dalam proses iluminasi yakni terbentuknya idea-idea asli dan baru yang dapat menyelesaikan di dalam minda dan akhirnya kebolehan untuk proses verifikasi yang mana hasil pemikiran diserlahkan ke dalam bentuk karya dan penulisan.

Menurut B.F. Skinner (1953) pula peneguhan kepada manusia akan menggalakkan satu ulangan perlakuan atau diperkuatkan. Dalam hal ini di dalam bilik darjah peneguhan yang positif akan meningkatkan tahap motivasi pelajar. Pelajar akan memperolehi satu bentuk secara berterusan seperti kata-kata pujian, menepuk bahu, memberi senyuman dan sebagainya yang membolehkan proses berkreativiti dalam diri pelajar berlaku secara positif.

Kita tahu peneguhan yang positiflah satu cara pendekatan yang menentukan mutu kerja pelajar berkualiti tinggi jika sekiranya disampaikan secara jelas dan bersistematik. Menurut Brophy (1981), ciri-ciri pujian yang memberi kesan di antaranya ialah memuji secara ikhlas, cepat, spesifik, usaha, tanpa pilih kasih dan respon yang spontan. Jelasnya kesungguhan guru untuk mengaplikasikan elemen seperti di atas merupakan satu titik tolak yang dapat memberi peneguhan yang positif kepada pencapaian pelajar.

Justeru itu, bentuk persekitaran yang berlaku akan memberikan satu pengalaman baru untuk memajukan diri mereka bagi menghasilkan sebuah karya atau ciptaan dengan baik. Bentuk galakkan ini termasuklah dengan memberi ganjaran dan juga pujian sekiranya mereka berjaya menghasilkan sesuatu karya yang kreatif dan unik dari yang lain.

Pendekatan Humanistik

Pengajaran Pendidikan Seni Visual visual amat sesuai juga untuk diterapkan dengan pendekatan humanistik. Pelopor yang terkenal seperti Abraham Maslow dan Carl Rogers berpendapat bahawa seseorang itu berfikir melalui interpretasi individu dengan pengalaman atau kejadian luar. Dengan kata lain ia adalah hasil kesedaran penyempurnaan kendiri dan tidak terkongkong oleh persekitaran luar dan bebas. Oleh itu, pelajar adalah berhak untuk mengeluarkan idea dan kreativitinya berlandaskan kepada konsep dan pengalaman yang diterima dan dilalui dalam hidupnya.

Ini tentunya memberi cabaran yang hebat kepada pelajar kerana mengadaptasikan proses pengalamannya ke bentuk visual dan juga pernyataan karya. Melalui proses tertentu , mereka harus boleh memberi keyakinan kepada penganalisis dan pengkritik akan keberkesanan mesej yang ingin disampaikan.

Apa yang dilihat dalam pendekatan humanistik ini setiap individu pelajar mempunyai pengalaman tersendiri yang tidak dapat difahami oleh orang lain. Oleh itu, pembelajaran ini adalah melalui proses kebebasan kepada pelajar untuk membuat penilaian kendiri di mana mereka mesti berada dalam keadaan tenang dan tidak tegang semasa belajar. Justeru itu Maslow ada mengatakan bahawa keperluan psikologi perlu dalam hidup manusia sebagai keperluan asas sebelum dia mencapai peringkat akhir yang akan mencapai kecemerlangan diri.

Sehubungan dengan itu jugalah pelajar mesti bersifat bertanggung jawab dengan tindakannya sendiri bagi meningkatkan potensi mereka. Apa yang perlu ialah adanya penekanan tingkatan harga kendiri yang positif terhadap diri pelajar supaya ada rasa bertimbang rasa dan penuh kasih sayang, berlakunya penekanan aspek komunikasi dan kesannya ke atas motivasi intrinsik.

Pendekatan seterusnya berhubung kait dengan psikologi penyerapan nilai motivasi. Motivasi berlaku akibat ketegangan fisilogi dan psikologi menuju ke arah pencapaian matlamat. Ini termasuklah pergantungan nilai terhadap faktor situasi, matlamat yang menarik perhatian, imbuhan dan faedah . Jika dilihat motivasi intrinsik ialah lahirnya dari jiwa dalaman manusia dan dipengaruhi oleh sikap, emosi dan tingkah laku yang akan menghala tujukan seseorang itu untuk melakukan sesuatu.

Maslow telah mementingkan unsur motivasi ini kerana ia boleh menggerakkan manusia untuk mencapai kesempurnaan kendiri apabila telah berusaha untuk mencapai keperluan asas sebelumnya. Menurut Lepper (1988), suasana kelas yang tidak ada gangguan dapat meningkatkan motivasi intrinsik pelajar untuk mengikuti pengajaran guru dengan baik. Oleh itu, bilik darjah boleh memupuk naluri ingin tahu belajar dan jauh dari rasa ketegangan.

Clifford (1990) pula telah mengatakan bahawa guru mestilah seorang yang bersifat supportive dan tidak mengkritik pelajar atas kesilapan yang mereka lakukan. Kita harus lihat kesilapan pelajar itu adalah sebagai peluang untuk mereka belajar sekaligus mengelakkan dari pendekatan yang sama sahaja.

Naluri belajar yang bermotivasi tinggi harus didorong dan dirangsangkan bagi menarik perasaan ingin tahu dan juga perhatian pelajar. Morris (1984) berkata tugas guru yang penting ialah meningkatkan naluri ingin tahu pelajar dengan menggunakan set induksi yang menarik dan mendorong pelajar pada permulaan pelajar. Amatlah berketepatan bahawa pelajar didedahkan dengan kehendak soalan yang menghairankan dan mengejutkan bagi membangkitkan perasaan ingin tahu mereka.

Banyak kajian yang menunjukkan bahawa terdapat kesan yang besar lagi positif dan berpanjangan apabila pembelajaran murid-murid mendapat sokongan dan peneguhan daripada ibubapa (Morgan dan Lyon, 1986; Honig 1982; Topping 1985; Herrison, J. 1986)

Pendekatan Pembelajaran Kolaborasi 

Pembelajaran secara Kolaborasi merupakan pembelajaran yang dilakukan di dalam kumpulan. Mengikut Slavin ( 1990 ) , pembelajaran ini dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar kerana mereka lebih bantu membantu semasa mereka dan pelajar yang lemah dapat meningkatkan pencapaian kerja mereka. Dalam Pendidikan Seni Visual, pelajar yang agak sederhana tidak akan merasa tersisih ataupun disingkirkan kerana adanya kesepaduan idea dan emosi dalam membina sesuatu projek atau karya. Oleh itu mereka dapat menyampaikan mesej dengan lengkap dan spesifik. Ini disebabkan pendekatan ini akan mewujudkan aktiviti dan atmosfera menyokong dan menghormati pandangan ahli.

Ajarlah kepada mereka berkata benar, di samping mengajarkan al-Quran. Jauhkan mereka daripada orang-orang jahat, kerana orang-orang jahat itu menghindarkan perintah Tuhan dan tidak berlaku adil.

Ahmad Shalaby, 1976; ms 33

Pendekatan Teori Permodelan Bandura

Pembelajaran seni boleh menggunakan pendekatan permodelan Bandura kerana ialah lebih menjelaskan kepada pelbagai tingkah laku sosial seperti persaingan, keagresifan, peranan jantina dan sebagainya. Apa yang dapat dilihat di sini ialah pembelajaran ini diperolehi dengan aktiviti melihat, meniru dan memerhatikan tingkah laku orang lain. Oleh itu pelajar akan membuat pemerhatian gerak balas yang diketengahkan oleh orang lain supaya boleh dipelajari melalui bahasa, contoh dan teladan. Dalam Pendidikan Seni Visual visual hendaklah berupaya menyimpan hasil pemerhatiannya di dalam ingatan melalui imaginasi dan boleh menyusun maklumat.

Situasi pengalaman pemerhatian yang dilaluinya boleh disampaikan melalui penggunaan situasti realistik. Dalam pendekatan ini guru Pendidikan Seni Visual boleh menyuruh pelajar yang pandai dan pelajar yang lemah dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan. Sebagai contoh juga, pelajar yang popular dan baik dalam Pendidikan Seni Visual untuk tajuk tertentu menjadi model dalam pembentangan di hadapan kelas supaya pelajar yang lemah, malu dan takut dapat melihat dan meniru tingkah lakunya.

Pendekatan Pembelajaran Gagne

Teori pembelajaran Gagne yang memperkenalkan teori pemprosesan data dan maklumat melalui penggunaan deria dan organ manusia boleh diaplikasikan di dalam Pendidikan Seni Visual itu sendiri. Menurut Gagne, organisma menerima pelbagai jenis rangsangan daripada persekitarannya secara sedar dan tidak sedar. Apa yang dilihat ialah berlakunya proses daripada mudah kepada yang paling kompleks dan secara berperingkat-peringkat untuk meninterpretasikan maklumat. Menurut Gagne( 1968 ) lagi, kemahiran intelek atau kebolehan kognitif adalah sebagai tingkah laku yang dipelajari. Individu berkembang dari satu tahap ke satu tahap dalam mencapai sesuatu matlamat.

Di dalam pengajaran Pendidikan Seni Visual Visual , pelajar akan melibatkan penggunaan prinsip, rumus, generalisasi, konsep dan hokum untuk menyelesaikan masalah dalam sesuatu situasi baru. Mereka akan menggunakan kaedah penemuan dan membuat penyelesaian sendiri di mana berlakunya langkah-langkah spesifik dalam proses penyelesaian masalah seperti mengenal masalah, mencari maklumat, membuat hipotesi, memilih cara menyelesaikan masalah, menguji hipotesi dan membuat rumusan.

Pendekatan ini juga turut membantu pelajar untuk mendapatkan konsep dengan mudah dan jelas. Mengikut Tennyson dan Cocciarella ( 1986 ), terdapat empat langkah dalam pengajaran konsep iaitu:-
• menghuraikan sesuatu konsep dan memberikan cirri utama dan penting
• menghuraikan istilah penting dan definisi konsep
• memberi contoh positif dan negatif untuk menghuraikan cirri utama
• menghuraikan contoh-contoh tadi mengikut pengelasan tertentu.

Oleh itu, dalam pembelajaran seni visual itu sendiri, guru memberikan situasi masalah yang perlu diatasi oleh pelajar di samping adanya proses bimbingan mengenai hukum dan konsep.

Pendekatan Pembelajaran Bruner

Teori Bruner mementingkan pembelajaran melalui penemuan bebas atau penemuan berpandu, atau latihan penyiasatan. Justeru itu terdapatlah pendekatan seperti cara manusia berinteraksi dengan persekitaran, perkembangan mental manusia dan pemikiran, pemikiran logikal, penggunaan istilah untuk memahami susunan, pemikiran analisis dan intuitif, pembelajaran induktif menguasai konsep dan pemikiran metakognitif.

Dalam pembelajaran Pendidikan Seni Visual Visual, pelajar boleh diajar cara melihat dunia iaitu melalui peringkat enaktif, ikonik dan simbolik. Oleh itu, pengalaman pelajar secara meneroka, memegang, mencium dan merasa dapat menyediakan pelajar untuk menggunakan pengalamannya di dalam projek dan pengkaryaan. Keupayaan pelajar untuk melakukan aktiviti sedemikian akan mendorong pelajar untuk melihat perkaitan antara konsep dengan idea-idea yang tergolong di dalamnya. Seterusnya akan berlaku pemikiran intuitif penting yang dapat mendorong pelajar melihata pertalian antara ransangan yang berlainan.

Apa yang menarik ialah pendekatan ini juga membantu pengamatan dan penanggapan pelajar jika mereka terlibat dalam pembelajaran kajian luar yang membolehkan belajar banyak konsep, perkaitannya dan boleh mengubahsuaikan kaedah dan strategi pengajaran mengikut tahap dan kebolehan pelajar. Oleh itu guru perlu memberi banyak contoh semasa pengajaran dan pembelajaran supaya pelajar boleh membentuk konsep, membuat kategori dan membuat perbandingan di antara konsep-konsep.

IMPLIKASINYA DALAM PENGAJARAN PENDIDIKAN SENI VISUAL

Implikasi dalam konteks kertas kerja ini membawa maksud yang merujuk kepada akibat atau kesan positif yang terjadi berikutan penggunaan psikologi dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual Visual.

1. Guru lebih sensitif terhadap perkembangan psikologi pelajarnya.

Pelajar-pelajar didalam kelas mempunyai tahap perkembangan psikologi yang berbeza dan pelbagai. Terdapat dikalangan mereka yang terlalu aktif dan agresif ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang berjalan. Kecergasan (aktif) positif ketika menjalankan sesuatu aktiviti kelas PSV adalah suatu kelebihan kepada guru untuk melakukan proses pengajaran dengan lebih teratur dan menarik. Keaktifan yang melampau biasanya menyebabkan hasil pembelajaran menjadi sebaliknya, yang mana pelajar yang terlalu aktif berkemungkinan akan menyimpang dari objektif pembelajaran, manakala pelajar yang pasif akan jauh ketinggalan dan akan bertambah lemah kefahamannya.

Keprihatinan guru dalam memahami perbezaan-perbezaan ini, melalui pemerhatian dan penyelidikan sangat ditekankan agar membantu guru meningkatkan prestasi pengajarannya. Menurut Charles, C.B., (1976), Dapatan-dapatan daripada kajian-kajian tersebut dapat digunakan untuk meningkatkan lagi pembelajaran dan pengajaran. Lazimnya, pelajar juga akan sensitif dan prihatin terhadap usaha guru, lalu bersungguh-sungguh memperbaiki kelemahan dan kesilapannya atau berusaha melakukan sesuatu aktiviti dengan lebih baik. Dengan cara ini perasaan saling hormat menghormati dan faham memahami akan sentiasa berbunga mekar dikalangan guru dan anak-anak didiknya. Inilah kunci dorongan untuk mencapai kecemerlangan dimasa akan datang.

2. Perhubungan baik guru dan pelajar.

Memahami tingkahlaku kemanusiaan akan membentuk persefahaman yang baik diantara guru dan pelajar. Guru yang cenderung dan berempati dengan pelajar akan bertambah baik hubungan mereka. Pelajar akan lebih menghormati guru sebagai pendidik, pembimbing dan penasihat mereka. Sikap suka menyusahkan tugas guru tidak terlintas difikiran mereka, malahan akan sentiasa membantu dan bekerjasama dalam sebarang permasalahan. Ini dibuktikan dengan keringanan tulang, membuat tugasan mengikut masa yang ditetapkan, sentiasa bekerjasama dan sentiasa menjaga nama baiknya, gurunya dan sekolahnya. Jasmani, emosi, mental, intelek dan sahsiah (Jeris) pelajar yang seimbang dan harmonis bakal melahirkan warganegara yang cemerlang akademik dan cemerlang akhlaknya.

Cara pengajaran pendidikan Pendidikan Seni Visual visual tidak sama dengan pengajaran matematik, sains dan lain-lainnya, meskipun matlamatnya sama. Menurut Highet, G., (1968), pengertian pengajaran adalah tidak lengkap jika dianggap sebagai sains sahaja. Sebaliknya, pengajaran boleh dianggap sebagai satu seni kerana ia melibatkan emosi dan nilai-nilai manusia. Pengajaran seni tidaklah sama dengan tindak balas kimia; ia lebih merupakan tindakan menghasilkan suatu lukisan, mencipta sesuatu yang baru (inovasi), memahami bahasa tampak, menghasilkan bahan kreatif dan pelbagai lagi, yang memerlukan kemantapan mental, kemahiran psikomoto berkualiti yang tidak boleh dicapai melalui teori atau formula sahaja. Seni adalah sesuatu yang subjektif dan infiniti, objektifnya luas, aktivitinya bebas (tapi terancang)

Kebolehan berkomunikasi secara terus dan telus menyebabkan guru akan mengetahui setakat mana kemampuan pelajar membuat penghasilan. Cara membetulkan kesilapan (contoh; melukis) seorang demi seorang pelajar akan membuatkan pelajar merasa diberi perhatian dan dihargai. Rangsangan dan motivasi seperti ini jarang terdapat dalam mata pelajaran lain, yang hanya membetulkan kesilapan diatas papan tulis lalu diikuti oleh semua pelajar.

Interaksi dua hala sangat diutamakan terutamanya dalam mata pelajaran PSV. Objektif pengajaran akan dapat dicapai dengan lebih mudah dan berkesan, yang mana diakhir pengajaran dan pembelajaran, guru dan pelajar akan berpuas hati dan bersedia untuk objektif yang seterusnya pada masa akan datang.

Dengan interaksi dua pembolehubah ini, persepsi pelajar terhadap guru adalah positif dan menggalakkan. Pelajar akan merasakan gurunya seorang yang baik hati, bertanggung jawab, berkebolehan dan professional. Perasaan demikian boleh meyakinkan pelajar akan kemampuan guru membantunya menyelesaikan masalah pembelajaran dan sebagainya.

3. Disiplin pelajar terkawal tanpa tekanan atau paksaan. 

Melalui pengalaman didalam kelas PSV seseorang pelajar sepatutnya mengawal emosi dan tindak tanduknya untuk mengelakkan konflik dengan guru dan rakan sekelasnya. Pengawalan dan pengawasan tingkah laku akan lebih mudah dan berkesan. Kelakuan agresif dan negatif boleh dikawal melalui peraturan-peraturan yang tidak terlalu rigid atau ketat. Pelajar akan sentiasa berwaspada dan berhati-hati akan tingkahlakunya untuk mengelakkan prasangka serta pandangan negatif rakan dan guru terhadapnya. Guru dapat mewujudkan kelas dengan situasi yang ceria dan kondusif, tanpa paksaan atau tekanan. Situasi menggalakkan seperti ini sentiasa diingini oleh setiap guru dan pelajar. Ianya adalah kepuasan dalam pengajaran dan pembelajaran. Melalui latihan dan amalan mengikut peraturan dengan ikhlas, pelajar dengan sendirinya akan terlatih mematuhi peraturan-peraturan lain. Dadanya rasa lapang dengan fikiran terbuka, rasional, sabar, yakin dan tenang menimba ilmu. Disiplin, tingkahlaku serta emosinya terkawal dengan baik. Pembelajarannya menyeronokkan dan mencapai objektif sebagaimana yang disasarkan oleh guru.

Disiplin bermula dari pelajar mula melangkah masuk kedalam kelas atau bengkel Pendidikan Seni Visual, tidak berebut-rebut dan tidak terlalu memilih tempat duduk. Mendengar dan mengikuti dengan teliti pengajaran yang disampaikan guru, jika kurang jelas dan perlukan penerangan bertanyalah dengan sopan. Jika ada tugasan, lakukan dengan sebaiknya terutama semasa menggunakan alat dan bahan yang disediakan guru, gunakan dengan betul dan tidak membazir. Setelah selesai, kemas dan bersihkan alat-alat dan pulangkan semula kepada guru secukupnya. Bilik seni perlu dibersihkan, kembalikan kepada keadaan asal. Jika proses ini berjalan dengan lancar, sudah tentu guru dan pelajar akan berpuashati dan bersedia untuk P&P seterusnya minggu akan datang. Pelajar dan guru tidak tertekan malah menghasilkan kesan psikologi yang positif kepada kedua-duanya (guru dan pelajar)

Persefahaman seperti ini perlu wujud berterusan demi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar dan berkesan. Menurut Maher, (1961), Seseorang itu boleh melahirkan tindak balas emosi akibat proses pembelajaran yang lalu. Jika sesuatu aspek negatif berlaku dalam pembelajaran yang lepas, ianya memberi kesan psikologi yang memakan masa panjang untuk pulih, malahan ada yang terus tidak dapat dipulihkan. (Root (1992) dalam Rohany, 2001) Beberapa peristiwa atau kejadian yang mengejutkan, menakutkan, memalukan dan sebagainya, membawa kesan trauma dan mengganggu kehidupan individu yang terlibat dengan kejadian itu, samada rakan-rakannya dan mungkin keluargannya. Sesungguhnya kesederhanaan dalam banyak hal membantu perkembangan psikologi seseorang kearah yang positif, seimbang dan harmonis selaras hasrat Falsafah Penddikan Negara.

4. Kejayaan dan kecemerlangan. 

Untuk mencapai kejayaan, seseorang pelajar memerlukan guru yang berdedikasi dan bertanggung jawab mendidik mereka dengan kesungguhan dan iltizam yang tinggi, di samping keinginan dan kesungguhan pelajar itu sendiri untuk mencapai matlamat dalam pembelajarannya.

Kejayaan dan kecemerlangan adalah cita-cita seseorang pelajar, tidak kira samada dikalangan mereka yang rajin atau malas, bijak atau lemah, bersemangat atau sebaliknya, malahan yang tidak pernah mengulangkaji pun ada yang bercita-cita sedemikian. Sebab itulah guru perlu memainkan peranan untuk menyuntik dan menyemai semangat ingin berjaya kepada pelajarnya dalam setiap masa. Pengukuhan dan ganjaran, walaupun hanya kata-kata sangat penting sebagai motivasi kepada pelajar.

Natijahnya, pelajar yang sentiasa mendapat dorongan guru, akan lebih bersedia untuk mendengar, bertanya, mengikut arahan dan jarang yang menimbulkan masalah. Pelajar yang begini sikapnya akan cepat memahami dan menghayati dengan baik setiap pengajaran yang disampaikan oleh gurunya. Kejayaan demi kejayaan akan dapat diraihnya bermula di sekolah, kolej atau di institusi pengajian tinggi, akhirnya ia keluar sebagai graduan dan selepas itu akan menjadi penjawat awam atau swasta dengan tahap profesional yang boleh dibanggakan.

Kesimpulan

Great creative energy exists in every child. This must find an outlet In expression or repression will result. Children should be allowed to draw what they wish, that they see in their minds, eyes, not that which others thik they ought to draw. Lanier : 1975:81

Pendidikan Seni Visual adalah disiplin ilmu yang melibatkan ketiga-tiga domain manusia iaitu domain kognitif, afektif dan psikomotor yang boleh memberi sumbangan untuk membantu proses memajukan perkembangan dan pertumbuhan seseorang dari aspek jasmani, rohani, emosi dan intelektual. Melaluinya kita dapat memperkembangkan bakat, potensi, diri individu untuk menjadi anggota masyarakat yang memiliki nilai-nilai halus dan menggunakannya berlandaskan iman.

Adalah jelas menunjukkan bahawa keupayaan dan kesediaan kanak-kanak dalam menghasilkan kerja-kerja seni adalah berbeza antara satu sama lain berdasarkan umur, kebolehan fizikal, emosi dan kebolehan inteleknya. Kemahiran kanak-kanak amat bergantung kepada latar belakang pendidikan yang diterima menerusi corak pengajaran guru Pendidikan Seni Visual yang lepas. Menurut Gaitskell (1982), guru-guru yang mengamalkan kaedah diktator akan menghalang perkembangan kreativiti kanak-kanak berbanding dengan guru-guru yang mengamalkan kaedah yang lebih demokratik yang lebih berpusatkan kanak-kanak atau murid iaitu seperti kaedah orientasi murid berdasarkan tajuk, kaedah berorientasikan media, kaedah panduan fasilitator atau kaedah laissez-faire.

Peranan guru adalah untuk membantu kanak-kanak berfikir untuk dirinya dan bukan mengarah kanak-kanak melakukan kerja-kerja untuk memenuhi kehendaknya. Mereka perlu menyediakan peluang yang lebih mencabar kepada kanak-kanak supaya pengalaman mereka bertambah dari masa ke semasa.

Bibliografi:

Ahmad Shalaby. (1976). Sejarah Pendidikan Islam, Pustaka Nasional Singapura.

Boon Pong Ying & Ragbir Kaur. (1998). Psikologi II. Fajar Bakti Sdn.Bhd. Shah Alam.

Chapman, Laura, H. (1988). Approaches to Art in Education, Harcourt Brace Jovanovich Inc. New York

Christine Marme Thompson, (1995). The Visual Art and Early Childhood learning, The National Art Education, Association 1916 Association Drive, Reston Virginia.

Clawson, J.G. (1980). Mentoring in Managerial Greers. In C.B. Derr (Ed), Work, Family and Career (pp.144-165). New York Praeger.

Geoggry Petty.(1997). How to be better at Creativity. Kogan Page Limited. London.

Hassan Langgulung.(1997). Kreativiti Dan Pendidikan. Suatu Kajian Psikologi dan Falsafah. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Howard Gardner (1993). Multiple Intelligence : The Theory in Practice. USA, The Getty Center of Education In The Art

Herrison, J. (1986). The Long term effectiveness of parental involvement in reading: A following to the Harringgey Reading project. British journal of Educational Psychology, Vol. 58 Part 2, 1986: 184- 190

Honig, A.S. (1982). Parental Involvement in early childhood education. In Spodek B. (ed) Handbook of research in early childhood education. New York: The Free Press, 426-455

John A Micheal. (1983). Art and Adolescene: Teaching Art at Secondary Level, Miami University

Lansing, Kenneth, M. (1971). Art, Artist and Art Education. NY. Mc Graw Hill Book Co.


Leonard M S Yong. Creatvity. A Study of Malaysian Students. Faculty Education. University of Malaya. Kuala Lumpur.

Morgan, R. & Lyon, E. (1979). Paired Reading – a preliminary report on a technique for parental tuition of reading retarded . Journal Child Psychol. Psychist., 20, 151-160.

Orlich. Harder. Callaham, Kauchak.Gibson. (1994). Teaching Strategies. A guide to Better Instruction.D.C. Heath And Company. Lexington, Massachusetts, Toronto.

Ramlah Jantan & Mahani Razali.(2002). Psikologi Pendidikan. Pendekatan Kontemporari. Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Read, Herbert. (1996). (New Edition) Education Through Art, Faber and Faber, London.

Rod Taylor.(1986). Educating for Art. Critical response and development. Longman. Hong Kong.

Shaharuddin Hashim, Dr. RohizaniYaakub. (2003). Psikologi Pembelajaran dan Personaliti. PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd. Pahang Darul Makmur

Sharifah Alwiah Alsagoff. (1987). Psikologi Pendidikan 1. Konsep-konsep Asas Psikologi dan Psikologi Pendidikan, Psikologi Perkembangan. Longman.Selangor.

Topping, K. (1985). An Introduction to paired reading in Topping, K & Wolfendale, S. (ed). Parental involvement in Children reading. Bechanham: Croom Helm.

Viktor Lowenfeld & W. Lambert Brittain. (1993). Creative and Mental Growth, Mc Millan Publishing, New York.

__________. 1999. Prosiding Seminar Pendidikan Seni.Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Berkualiti dalam Pendidikan Seni. Universiti Malaya. Kuala Lumpur.