Saturday, 28 February 2015

Analisis Data Kualitatif

Salam sejahtera kepada semua pembaca yang budiman. Terima kasih kerana sudi melawat ke blog Jabatan seni visual dan muzik IPG Kampus Keningau.

Entry kali ini ialah berkaitan dengan analisis data kualitatif. Semoga Entry ini dapat membantu para pembaca memahami bagaimana data hasil pungutan di lapangan dianalisis dengan betul. Pengetahuan ini juga diharap dapat membantu para pelajar PISMP PSV dalam menjayakan penulisan kajian tindakan. Kepada rakan-rakan kerja dan staf, penulisan ini juga mungkin dapat membantu di masa akan datang apabila bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana ataupun kedoktoran dengan memilih kaedah kualitatif dalam melaksanakan penyelidikan kelak.

Analisis yang hendak dibincangkan ialah Analisis Model Interaktif (AMI) seperti yang dicadangkan oleh Miles dan Huberman (1994). AMI adalah terdiri daripada komponen pengumpulan data, komponen reduksi data, komponen sajian data dan komponen kesimpulan. AMI menurut Miles & Huberman (1994) digambarkan dalam rajah di bawah:


Berdasarkan rajah di atas iaitu AMI mengikut Miles & Huberman (1994), Komponen reduksi data ialah proses memilih dan menyederhanakan data kasar seperti catatan-catatan yang ditulis semasa di lapangan. Reduksi data merupakan suatu bentuk analisis yang memperincikan, menggolongkan, mengarahkan, membuang yang tidak perlu dan mengorganisasikan data tersebut. Proses ini akan berterusan selagi penyelidikan berlangsung.

Komponen penyajian data ialah sekumpulan data-data yang dipersembahkan dalam bentuk teks naratif dan tersusun mengikut tema yang telah diorganisasikan hasil daripada proses reduksi data. Data-data tersebut akan memberi pengetahuan dan kefahaman kepada penyelidik untuk dibuat kesahihan ke dalam kesimpulan. Komponen kesimpulan menurut Miles & Huberman (1994) ialah kesimpulan pada peringkat permulaan itu adalah masih belum jelas dan masih terbuka untuk dimurnikan, kemudian kesimpulan itu akan mengarah kepada perincian sehingga benar-benar jelas dan kukuh. Kesimpulan itu akan sentiasa melalui proses penilaian atau verifikasi dari aspek kebenaran, kesesuaian dan kesahihan kesimpulan selama penyelidikan itu dijalankan.

Aplikasi analisis data ke dalam penyelidikan ini melibatkan beberapa langkah mengikut aturan AMI. Langka pertama yang dilakukan adalah memperoleh dan mengumpul data primer yang mencakupi data deskriptif, audio, video dan gambar-gambar hasil daripada pemerhatian, temu bual, rakaman video, rakaman audio dan rakam gambar mengenai P&P PSV dan hasil-hasil karya pelajar.

Langkah kedua ialah penyelidik akan membuat reduksi data primer itu dengan memperhalus, menggolongkan, mengarahkan dan membuang data yang tidak relevan. Penyelidik akan mengorganisasikan data primer itu untuk di bawah kepada penyajian data.

Langkah ketiga ialah penyelidik akan meletakkan data primer ke dalam penyajian data, dengan tindakan menyusun kod, kategori-kategori dan jadual. langkah terakhir dalam AMI ini ialah penyelidik akan melakukan kesimpulan di peringkat awal menuju kepada peringkat kesimpulan sebenar dengan sentiasa membuat verifikasi data.

Tiga komponen AMI iaitu reduksi data, sajian data dan kesimpulan atau verifikasi itu akan dilakukan dalam bentuk interaktif dengan proses pengumpulan data sebagai sebuah proses kitaran. Justeru itu, semasa proses pengumpulan data berlangsung di lapangan dan setelah proses pengumpulan data berlaku, penyelidik tetap bergerak di antara tiga komponen AMI iaitu penyelidik akan mereduksikan data, membuat penyajian data dan kesimpulan atau verifikasi.


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau.

Rujukan:

Miles & Huberman, 1994, Qualitative Data Analysis (2nd Ed.). Thousand Oaks, Ca: Sage

Friday, 27 February 2015

Konsep Strategi Pengajaran dan Pembelajaran

Istilah strategi berasal daripada perkataan Greek iaitu strategia didefinisikan sebagai satu pelan atau kaedah kerja untuk mencapai satu matlamat (Freiberg & Driscoll, 2005). Menurut Schmeck (1988), istilah strategi telah digunakan dalam ketenteraan seperti yang telah dihuraikan oleh Grand Strategy (2011), iaitu sebagai peraturan-peraturan atau langkah-langkah dalam melaksanakan sesuatu rancangan operasi ketenteraan jika berlaku peperangan. Gulo (2002), menyatakan strategi ialah kegiatan yang dirancang untuk mencapai sesuatu. Secara umumnya, Kamus Dewan edisi keempat (2005), mendefinisikan strategi sebagai rancangan yang teratur untuk mencapai matlamat atau kejayaan.

Strategi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di sekolah dapat difahami dengan mengambil kira beberapa pendapat daripada tokoh-tokoh dalam bidang ilmu pedagogi. Kauchak & Eggen (2007), menyatakan strategi pengajaran sebagai satu tindakan pengajaran yang dirancang oleh guru untuk mencapai tujuan yang khusus. Menurut Shahabuddin Hashim et al. (2005), strategi P&P ialah satu perancangan, usaha mengenal pasti, memilih dan menentukan pendekatan, kaedah dan teknik yang bersesuaian dengan penuh bijaksana. Ee Ah Meng (1990), berpendapat strategi P&P digunakan oleh guru dalam pengajarannya agar pembelajaran para pelajar mencapai tahap yang maksimum. Noriati A. Rashid (2009), menyatakan bahawa strategi pengajaran sebagai suatu usaha kemahiran merancang dan mengurus kaedah dan teknik pengajaran untuk mencapai hasil pembelajaran. Pendapat Kauchak dan Eggen (2007), Shahabuddin Hashim et al. (2005) dan Ee Ah Meng (1990), adalah selari dengan definisi umum mengenai strategi oleh Kamus Dewan edisi keempat (2005), iaitu usaha guru untuk mengenal pasti, memilih, menentukan, merancang dan mengurus terhadap pendekatan, kaedah, teknik dan aktiviti akan memudahkan P&P di dalam kelas.

Menurut Aspaugh dan Ezel (1994), serta Mager (2009), strategi akan memudahkan P&P di dalam kelas. Aspaugh dan Ezel (1994), mendefinisikan strategi P&P sebagai pendekatan atau aktiviti yang bertujuan untuk memudahkan pembelajaran pelajar sehingga mencapai kefahaman isi pelajaran ke tahap yang maksimum. Tujuan pengajaran adalah untuk memudahkan pembelajaran supaya pelajar dapat belajar di dalam kelas (Mager, 2009). Menurut Koh Boh Boon dan Chua Tee Tee (1982), P&P di dalam kelas melibatkan dua pihak iaitu guru dan pelajar kerana guru yang mengajar dan pelajar yang belajar. Guru perlu memahami konsep pengajaran dalam melaksanakan P&P. Freiberg dan Driscoll (2005), menyatakan pengajaran sebagai satu tindakan menunjukkan, menjelaskan, mengarahkan dan membimbing. Menurut Mok Soon Sang (2009), pengajaran akan menyebabkan penyebaran ilmu pengetahuan dan kemahiran. Noriati A. Rashid et al. (2009), menyatakan pengajaran sebagai menyediakan pelajar-pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan. Menurut Shahabuddin Hashim et al. (2003), pengajaran sebagai aktiviti-aktiviti bermatlamat yang dirancang oleh guru secara sengaja dan disedari oleh pelajar.

Justeru, setelah merangkumkan pendapat Freiberg dan Driscoll (2005), Mok Soon Sang (2009), Noriati A. Rashid et al. (2009), dan Shahabuddin Hashim et al. (2003), pengajaran dapat difahami sebagai aktiviti-aktiviti bermatlamat yang dirancang oleh guru secara sengaja dan disedari oleh pelajar seperti tindakan menunjukkan, menjelaskan, mengarahkan dan membimbing yang menyebabkan penyebaran ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi tujuan menyediakan pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan. Bagi pihak pelajar, Lindgren (1972), menyatakan pelajar ialah individu atau kumpulan individu yang mewakili program pendidikan yang diwujudkan atau dijalankan. Hasil program pendidikan bagi pihak pelajar ialah pembelajaran. Menurut Gagne (2001), pembelajaran sebagai perubahan tingkah laku yang kekal akibat pengalaman atau latihan yang diteguhkan. Shahabuddin Hashim et al. (2006), menyatakan pembelajaran ialah proses pemerolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat, serta pembentukan sikap dan kepercayaan.

Menurut Schunk (1996), pembelajaran juga melibatkan proses-proses pengekodan, motivasi, tanggapan terhadap tugasan pembelajaran dan juga tanggapan terhadap kejayaan. Kolb (2007), memperihalkan pembelajaran sebagai proses menjana dan memindahkan ilmu pengetahuan melalui pengalaman. Pembelajaran dapat difahami sebagai proses menjana dan memindahkan ilmu pengetahuan seperti pemerolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat, serta pembentukan sikap dan kepercayaan, pengekodan, motivasi, tanggapan terhadap tugasan pembelajaran dan juga tanggapan terhadap kejayaan yang mana akan menyebabkan perubahan tingkah laku yang agak kekal dalam kalangan pelajar (Lindgren 1972, Gagne 2001, Shahabuddin Hashim et al. 2006, Schunk 1996, Kolb 2007).

Pendapat Aspaugh dan Ezel (1994), serta Mager (2009), yang mengatakan strategi sebagai memudahkan P&P di dalam kelas telah dipersetujui oleh Koh Boh Boon dan Chua Tee Tee (1982). Bagi memudahkan P&P, beberapa komponen utama dalam P&P haruslah bijak diaplikasikan di dalam pengajaran iaitu setelah guru mempunyai bahan dan idea tentang analogi dan contoh bagi menjelaskan isi kandungan yang akan diajar, guru perlu menetapkan bagaimana hendak menyampaikan isi kandungan tersebut kepada pelajar dengan merancang pengajaran pada peringkat awal dengan memilih metodologi yang sesuai. Guru harus menyediakan bahan pelajaran dan alat bantu mengajar. Guru juga perlu menyedari bahawa pemilihan aktiviti-aktiviti hendaklah selaras dengan objektif jangka pendek dan jangka panjang yang telah hendak dicapai dalam bentuk pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai (Shuki Osman & Rahmad Sukor Ab Samad 2009, Yap Yee Khiong et al. 1985, Ting Len Siong & Muhamad Sidek Said 2007, Mok Soon Sang 1992, Rahil Mahyuddin et al. 2000).


Oleh:
Johanes Bulot&Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPG Kampus Keningau


Rujukan:

Freiberg, H.J., & Driscoll, A. (2005). Universal Teaching Strategies. Boston: Pearson Education, Inc.

Grand Strategy. (2011). Encyclopedia Britannica Online. Didapatkan dari http://www.britannica.com/EBchecked/topic/241447/grand-strategy

Gulo W. (2002). Strategi Belajar Mengajar. Jakarta: Gramedia Widiasarana.

Schmeck, R. R. (1988). Strategies and Styles of learning. Dalam R. R. Schmeck (Ed.), Learning Strategies and Learning Style. New York: Plenum Press.

Kauchak, P.D., & Eggen, P.D. (2007). Learning and Teaching Research-Based Methods. Boston: Allyn And Bacon.

Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub & Mohd. Zohir Ahmad. (2005). Pedagogi Strategi Dan Teknik Mengajar Dengan Berkesan. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing.

Ee Ah Meng. (1990). Pedagogi Satu Pendekatan Bersepadu. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti.

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009). Murid dan Alam Belajar. Shah Alam: Oxford Fajar.

Kauchak, P.D., & Eggen, P.D. (2007). Learning and Teaching Research-Based Methods. Boston: Allyn And Bacon.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. Didapatkan Februari 26, 2011, daripada http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=strategi

Aspaugh, D.J. & Eze, L.G. (1994). Teaching Today's Health in Middle and Secondary School. New York: Macmillan Publishing Company.

Mager, R. F. (2009). Menyediakan objektif Pengajaran: Alat Penting Untuk Mengembangkan Pengajaran Dengan Berkesan. (Razman Man, Penterjemah) Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia dan Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Koh Boh Boon & Chua Tee Tee. (1982). Keadan-keadaan Bagi Pembelajaran. Dalam Asas-asas Dalam Amalan Pedagogi. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors .

Mok Soon Sang. (1992). Pedagogi 2: Strategi Pengajaran Pembelajaran Mikro. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.


Pemilihan Strategi Pengajaran dan pembelajaran Yang Efektif

Mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh KBSM, biasanya bilangan pelajar adalah antara 35 hingga 45 orang dalam sebuah kelas sahaja, akan tetapi di sesetengah sekolah bilangan pelajar dalam sesebuah kelas adalah lebih ramai lagi (Mohd. Salleh Abu & Tan Wee Chuen, 2001). Pelajar mempunyai latar belakang, sikap dan aras kecekapan yang berbeza-beza iaitu ada pelajar dapat menguasai apa yang diajar guru manakala ada sebilangan pelajar yang mungkin tidak dapat memahaminya dan memerlukan lebih banyak tunjuk ajar untuk mencapai perubahan tingkah laku yang diingini (Yap Yee Khiong at al., 1985). Sekiranya guru tidak mengambil tahu mengenai strategi P&P yang bermakna dan guru terus kepada aktiviti pengajaran sahaja akan menyebabkan pelajar menjadi kurang tumpuan dan suasana kelas akan menjadi tidak terkawal. Menurut Chua Yan Piaw dan Sharifah Md Nor (1999), pengajaran yang tidak mengambil kira strategi yang bermakna akan menghalang perkembangan potensi pelajar.

Justeru itu, sebelum guru seni memilih sesuatu strategi P&P, guru seni perlu mempunyai pertimbangan-pertimbangan tertentu tentang pelajar, kandungan pelajaran, objektif pelajaran dan persekitaran pelajar. Menurut Iberahim Hassan dan Roskang Jailani (2009), semua elemen itu penting dan amat mempengaruhi bagi menjayakan proses P&P yang berkesan di dalam kelas. Pertimbangan guru daripada pihak pelajar biasanya tentang aspek kesediaan pelajar dari segi kognitif, afektif, dan psikomotor. Ini selari dengan tuntutan Kementerian Pendidikan Malaysia (2000), iaitu jika guru seni memperkenalkan sesuatu projek hendaklah mengambil kira beberapa aspek penting seperti kesediaan, kemampuan, kebolehan, penumpuan, pengalaman dan pemerhatian pelajar.

Selain daripada kriteria-kriteria yang dinyatakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2000), di atas, Ornstein et al. (2005), menyenaraikan lima prinsip dalam pemilihan strategi P&P iaitu pengajaran yang bersifat fleksibel, proses penilaian yang berterusan, mewujudkan kepelbagaian aktiviti dalam kumpulan, aktiviti yang dirancang melibatkan semua pelajar dan pengajaran berbentuk kolaborasi antara pelajar dengan guru. Ee Ah Meng (1990), juga ada menyenaraikan beberapa kriteria dalam pemilihan strategi P&P yang efektif dengan mengambil kira faktor kesediaan pelajar, strategi yang menggalakkan pemindahan pembelajaran, strategi yang mewujudkan motivasi, strategi yang mengekalkan ingatan, strategi yang meningkatkan pengamatan dan penanggapan, strategi yang menggalakkan pemikiran dan strategi yang memupuk nilai serta sikap yang positif.

Pemilihan strategi P&P yang efektif dapat dilihat pada gaya pembelajaran pelajar. Menurut kajian Mitchell (2005), memahami tentang gaya pembelajaran pelajar dapat membantu guru untuk membina gaya pengajaran yang efektif. Pengajaran yang efektif dapat diwujudkan dengan mengambil kira pendekatan, kaedah, strategi dan teknik P&P secara amnya dan khususnya pengajaran efektif ke atas mata pelajaran PSV. Kriteria pemilihan strategi P&P memberikan petunjuk kepada kualiti dan kredibiliti P&P guru di dalam kelas. Ting Len Siong dan Muhamad Sidek Said (2007), menyatakan gabungan beberapa kaedah dan teknik P&P menunjukkan kepakaran guru dalam menguasai strategi P&P. Strategi P&P yang melibatkan pelajar secara aktif, memberi rangsangan dan menarik minat pelajar adalah menunjukkan aplikasi bahan bantu mengajar (BBM) yang disesuaikan dengan isi kandungan P&P. Penggunaan masa yang berkesan dalam P&P menunjukkan guru bijak menggunakan teknik penggunaan BBM. Strategi P&P yang mempunyai teknik komunikasi dan interaksi dua hala memberi petunjuk kepada sikap guru sebagai pembimbing. P&P yang berkesan menunjukkan pengetahuan guru terhadap perbezaan kecerdasan pelajar untuk dikategorikan dalam kumpulan-kumpulan kecil mengikut kecerdasan pelajar agar mencapai impak pembelajaran dalam masa yang ditetapkan (Ting Len Siong & Muhamad Sidek Said, 2007). Kesimpulannya terdapat beberapa faktor yang menentukan penggunaan strategi dan kaedah P&P yang berkesan, iaitu faktor guru, pelajar, sumber dan masa. Strategi yang baik ialah menggunakan masa, tenaga dan kos yang paling minimum tetapi menghasilkan kesan P&P di dalam kelas yang paling maksimum.


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau


Rujukan:

Mohd. Salleh Abu dan Tan Wee Chuen. (2001). Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Menangani Masalah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik. Jurnal Pendidikan UTM, 7, 100-108.

Yap Yee Khiong, Wan Chwee Seng & Ismail Abu Bakar. (1985). Pengukuran dan Penilaian dalam Pendidikan. Petaling Jaya: Longman Malaysia.

Chua Yan Piaw & Sharifah Md Nor. (1999). Penilaian Guru Pendidikan Seni Terhadap Kreativiti Catan Pelajar. Jurnal Kurikulum Pusat Perkembangan Kurikulum, 92-117.

Iberahim Hassan & Roskang Jailani. (2009). Pendidikan Seni Visual dan Peranannya Abad Ke-12. Dalam Mohd. Johari Ab. Hamid (Ed.), Pendidikan Seni Visual Dan Muzik (hlm. 1-20). Tanjong Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Ee Ah Meng. (1990). Pedagogi Satu Pendekatan Bersepadu. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti.

Mitchell, M. G. (2005). The Essentials Of Teaching in Secondary Classrooms A Basic Guide for New Teachers. New Jersey: Pearson Merril Prentice Hall.

Ting Len Siong & Muhamad Sidek Said. (2007). Ingin Menjadi Guru. Selangor: Ilmu Media Trade.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2002). Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.

Ornstein A. C., Lasley T.J. & Mindes G. (2005). Seondary and Middle School Methods. Boston: Allyn and Bacon.

Pengendalian Kajian kualitatif

salam sejahtera.

Berikut ini ialah contoh pengendalian kajian kualitatif yang pernah dilalui sendiri oleh penulis semasa menjalankan kajian di lapangan. Dalam kajian tindakan, pengendalian kajian perlu diorganisasikan dengan teracang dan teratur agar kajian anda mencapai sasaran kerja dan sasaran masa yang telah ditetapkan oleh anda sendiri. Pengendalian kajian amatlah penting untuk dinyatakan dengan jelas dalam penulisan agar pembaca atau penyelia anda tidak mengalami masalah memahami sebahagian besar perjalanan kajian anda di sekolah. Seterusnya perenggan di bawah ialah contoh pengandalian kajian oleh penulis sendiri.

Selamat membaca dan maju jaya.

Penyelidikan ini telah melalui tiga fasa penting dalam pengendalian kajian. Fasa pertama ialah penyelidik telah membuat permohonan kepada Education Planning and Research Department (EPRD) KPM setelah mendapat surat kebenaran daripada Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Setelah menerima surat kelulusan daripada EPRD, surat berkenaan telah dipanjangkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Selangor untuk memohon surat kebenaran menjalankan kajian di sekolah-sekolah yang dipilih dalam kajian ini. Surat kelulusan dari JPN telah dihantar kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk memperoleh surat kebenaran supaya kajian boleh dijalankan di sekolah-sekolah berkenaan.

Setelah selesai berurusan dengan pihak EPRD, JPN dan PPD, maka surat kelulusan menjalankan kajian telah dikemukakan kepada pengetua sekolah untuk mendapatkan kebenaran menjalankan kajian di sekolah berkenaan. Pemilihan dan penetapan peserta kajian akan ditentukan oleh penyelidik sendiri atas sebab peserta kajian dapat memenuhi tujuan dan persoalan penyelidikan ini. Peserta kajian telah diberikan penerangan yang jelas mengenai prinsip-prinsip etika penyelidikan. Penyelidik dan peserta kajian telah membuat perbincangan bagi menetapkan tarikh dan masa melaksanakan kajian supaya tiada sebarang gangguan berlaku ke atas aktiviti sekolah.

Fasa kedua ialah tindakan pungutan data ke atas P&P PSV semasa di lapangan. Perincian aktiviti semasa pungutan data di lapangan secara menyeluruh telah dibina seperti Jadual 3.2 di bawah.


Berdasarkan Jadual 3.2 merupakan jangka masa pungutan data-data primer semasa P&P PSV di sekolah iaitu mengambil masa selama sebulan bermula dari minggu pertama berakhir pada minggu keempat. Pada setiap minggu, pungutan data dua kali seminggu telah dijalankan pada hari Selesa dan Khamis atas faktor memberikan peserta kajian keselesaan persediaan P&P PSV dan tidak terganggu dengan kehadiran penyelidik. Analisis data secara komprehensif dan holistik telah dilakukan pada hari Rabu dan Khamis. Tidak ada aktiviti di lapangan pada hari Isnin kerana mengambil kira Jadual aktiviti hari pertama dalam minggu persekolahan yang padat dan pada hari Jumaat mengambil kira mod kerja peserta kajian.

Fasa ketiga ialah data-data mentah yang telah dikumpul melalui pemerhatian, sesi temu bual dan analisis dokumen yang masih mentah, bertindan tindih, tidak teratur dalam bentuk transkrip teks selama sebulan di lapangan telah dianalisis untuk difahami sepenuhnya iaitu melibatkan aplikasi strategi, pendekatan, kaedah dan teknik P&P PSV oleh peserta-peserta kajian dan seterusnya ke peringkat proses pelaporan data-data.


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPGK Keningau



Pengenalan Strategi Pengajaran dan pembelajaran PSV di bilik darjah.

Strategi P&P merupakan satu pendekatan atau aktiviti-aktiviti yang dirancang oleh guru bagi tujuan memudahkan pembelajaran para belajar di dalam kelas sehingga mencapai kefahaman isi pelajaran ke tahap yang maksimum (David J. Aspaugh & Gene Ezel, 1994). Menurut Koh Boh Boon dan Chua Tee Tee (1982) memudahkan pembelajaran para pelajar adalah tugas utama seorang guru. Bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran para pelajar di dalam kelas, Ting Len Siong dan Muhamad Sidek Said (2007) mengatakan sebelum mengajar guru harus menyediakan bahan pelajaran, menentukan objektif pelajaran, merancang ringkasan mengajar dan menyediakan alat bantu mengajar. Menurut Shuki Osman dan Rahmad Sukor Ab Samad (2009) setelah guru mempunyai bahan dan idea tentang analogi dan contoh bagi menjelaskan isi kandungan yang akan diajar, guru perlu menetapkan bagaimana hendak menyampaikan isi kandungan tersebut kepada pelajar, iaitu tentang strategi pengajaran, kaedah mengajar serta kemahiran mengajar yang akan digunakan. Guru perlu merangka rancangan pengajaran di peringkat awal dengan menentukan pendekatan, memilih kaedah, dan menetapkan teknik-teknik yang sesuai untuk pelajar dengan bijaksana (Shahabuddin Hashim et al., 2005).

Beberapa strategi P&P boleh diaplikasikan dalam pengajaran guru iaitu sama ada guru akan mengaplikasikan strategi pengajaran langsung atau pengajaran tidak langsung atau pendekatan interaktif atau belajar sendiri (independent study), atau pembelajaran menerusi pengalaman "experiential learning" (Shuki Osman & Rahmad Sukor Ab Samad, 2009). Jika guru memilih strategi pengajaran langsung, guru akan menggunakan kaedah kuliah, latih tubi, demonstrasi atau kaedah penyoalan guru. Jika guru memilih strategi tidak langsung, guru akan menggunakan kaedah inkuiri, kajian kes, pembelajaran konsep atau kaedah penyelesaian masalah. Sekiranya pendekatan interaktif dipilih, kaedah perbahasan, perbincangan, main peranan, sumbang saran atau kaedah pembelajaran koperatif akan digunakan. Jika guru memilih pendekatan pembelajaran kendiri, kaedah pengajaran akan berbantukan komputer, penulisan esei atau kerja rumah. Pembelajaran melalui pengalaman melibatkan sama ada kerja lapangan, lawatan sambil belajar, simulasi, mainan atau melakukan kajian.

Noriati A. Rashid et al. (2009) menyenaraikan beberapa strategi P&P yang berfokus kepada pendekatan, kaedah dan teknik. Pendekatan merangkumi pendekatan deduktif, induktif, eklektik dan tematik. Terdapat empat jenis strategi pengajaran iaitu strategi berpusatkan pelajar, berpusatkan guru, berpusatkan bahan atau sumber dan strategi berasaskan aktiviti atau tugasan. Pelbagai kaedah dan teknik pengajaran digunakan untuk menyampaikan pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar yang merangkumi teknik sumbang saran, bercerita, demonstrasi, perbincangan dan penyelesaian masalah.

Guru seni seringkali berhadapan dengan faktor pemilihan dari segi kesesuaian strategi yang akan digunakan dalam P&P PSV di sekolah. Sewaktu berhadapan dengan pelajar di dalam kelas atau bilik seni, guru seni mempunyai pelbagai pilihan strategi yang boleh digunakan. Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (2002) guru-guru seni hendaklah menggunakan strategi P&P PSV di sekolah dengan cara menyesuaikan isi kandungan pengajaran bagi tujuan memupuk minat pelajar. Pemilihan dan penentuan strategi P&P PSV hendaklah yang terdekat dengan para pelajar dari segi pengalaman, imaginasi, alat dan bahan serta mewujudkan kegiatan yang mencetus idea melalui aktiviti penerokaan sama ada secara manual atau berbantukan komputer. Jika guru seni memperkenalkan sesuatu projek menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (2002) hendaklah mengambil kira beberapa aspek penting dalam diri pelajar seperti kesediaan, kemampuan, kebolehan, penumpuan, pengalaman dan pemerhatian pelajar.

Pusat Perkembangan Kurikulum (2002) memperkenalkan strategi P&P PSV di sekolah selaras dengan visi dan misi pendidikan yang berhasrat untuk menyempurnakan falsafah pendidikan kebangsaan. Strategi P&P PSV di sekolah itu meliputi teori kecerdasan pelbagai, kajian masa depan, pembelajaran kontekstual, konstruktivisme, pembelajaran akses kendiri, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, belajar cara belajar, dan pembelajaran masteri.

Menurut Coombs (1995) dan Zol Azlan Hamidin (2000) tiada satu kaedah yang lebih baik digunakan berbanding kaedah yang lain walaupun pada keadaan tertentu penggunaan sesuatu kaedah mungkin mendatangkan hasil pembelajaran. Tiada bukti yang mengatakan hanya suatu pendekatan sahaja yang terbaik dan dapat menyelesaikan semua masalah pembelajaran (Shahabuddin Hashim et al., 2005). Menurut Coombs (1995) tugas guru adalah satu cabaran dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada para pelajar dan salah satu cabaran itu ialah guru perlu mengetahui secara mendalam segala langkah dan prosedur yang perlu diikuti dalam menetapkan strategi-strategi P&P di dalam kelas. Sesuatu pendekatan yang dipilih dan strategi dirancang mungkin tidak sesuai kepada semua pelajar, tetapi segolongan sahaja. Seharusnya strategi P&P yang dipilih adalah berpotensi merangsang para pelajar belajar secara aktif, mampu membantu menganalisis konsep atau idea dan berupaya menarik hati pelajar serta dapat menghasilkan pembelajaran ke tahap yang optimum (Jensen, 2009).


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPGK Keningau


Rujukan:

David J. Aspaugh & Gene Ezel. (1994). Teaching Today's Health in Middle and Secondary School. New York: Macmillan Publishing Company.

Ting Len Siong & Muhamad Sidek Said. (2007). Ingin Menjadi Guru. Puchong Selangor: Ilmu Media Trade.

Koh Boh Boon & Chua Tee Tee. (1982). Keadan-keadaan Bagi Pembelajaran. (dlm) Asas-asas Dalam Amalan Pedagogi. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Koh Boh Boon. (1982). Asas-asas Dalam Amalan Pedagogi. (I. H. Boon, Ed.) Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributor Sdn. Bhd.

Shuki Osman & Rahmad Sukor Ab Samad. (2009). Menterjemah Kurikulum Kepada Pengajaran dan Pembelajaran Bilik Darjah. In Pengajaran Dan Pembelajaran Teori Dan Praktis. Kuala Lumpur: McGraw Hill Education.

Pusat Perkembangan Kurikulum. (2002). Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Coombs, B. (1995). Successful Teaching. Jordan Hill Oxford: Heinmann Publishers.

Jensen, E. (2009). Super Teaching Over 1000 Practical Strategies. Sage: Thousand Oak, California.

Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub & Mohd. Zohir Ahmad. (2005). Pedagogi Strategi Dan Teknik Mengajar Dengan Berkesan. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Zol Azlan Hamidin. (2000). Strategi Pengajaran Pendekatan Sains Teknologi Masyarakat. Petaling Jaya: Prentice Hall.

Kaedah Pengumpulan Data Kualitatif

Salam Hormat kepada semua siswa siswi PISMP PSV IPGK Keningau.

Kali ini penulis paparkan bagaimana kaedah pengumpulan data kualitatif berdasarkan pengalaman penulis sendiri mengumpul data di lapangan. Pendedahan ini diharap dapat membantu para pelajar memahami dengan jelas bagaimana pungutan data di lapangan seterusnya disesuaikan ke dalam penyelidikan tindakan anda. Pelajar perlu ingat bahawa dalam kajian tindakan, anda akan menyelasaikan satu masalah yang anda dihadapi sendiri semasa melaksanakan amalan P&P PSV di dalam bilik darjah dan seterusnya memilih satu tindakan penyelasaian sebagai memperbaiki amalan P&P PSV di dalam bilik darjah itu. Langkah berikutnya ialah para pelajar akan membuat beberapa siri intervensi bagi membuktikan tindakan yang anda telah tetapkan benar-benar dapat menjawab persoalan kajian anda. 

Berbeza dengan konsep penyelidikan konvensional, penyelidik menguji satu teori dalam penyelidikan. Namun sesungguhnya kaedah pengumpulan data tetap mempunyai persamaan yang jelas. Cuma dalam kajian tindakan anda, pelajar hanya akan membuat pemerhatian pada peserta kajian iaitu murid-murid yang menerima kesan amalan P&P PSV di bilik darjah. Para pelajar akan mengumpul data melalui pemerhatian perubahan tingkahlaku murid, membuat temu bual pada beberapa orang murid seterusnya menganalisis hasil karya murid yang terpilih. Semua ini harus anda jayakan semasa para pelajar melaksanakan praktikum di sekolah kelak.

Berikut ini ialah contoh kaedah pengumpulan data semasa penulis menjalankan penyelidikan kualitatif.

Dalam kajian ini, penyelidik telah mengumpul sumber data dengan menggunakan teknik pemerhatian, temu bual dan analisis dokumen. Pengumpulan data melibatkan penyelidik berada di tempat kajian untuk membuat pemerhatian secara langsung, temu bual mendalam dan analisis dokumen (Othman Lebar, 2009). Data yang dipungut akan dapat menjawab persoalan kajian (Creswell, 2008).

Penyelidik telah membina satu jadual matriks yang menunjukkan sumber dan teknik pengumpulan data dalam penyelidikan ini seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3.1 di bawah yang mana  penyelidik telah mendapatkan data primer melalui dua sumber di lapangan iaitu guru seni dan pelajar.  Sumber data primer pertama telah diperoleh apabila guru melaksanakan P&P PSV dalam kalangan pelajar menengah rendah di sekolah. Sumber data primer kedua telah didapati melalui hasil-hasil karya yang diperlihatkan melalui penguasaan ASR dalam kalangan pelajar setelah tindakan P&P PSV selesai dilaksanakan oleh guru seni.


Perolehan data primer pertama daripada guru seni telah menggunakan empat teknik pengumpulan data iaitu pemerhatian, rakaman video, temu bual dan rakaman audio. Bagi teknik pengumpulan data pemerhatian, penyelidik telah membuat pemerhatian dari aspek strategi, pendekatan, kaedah, dan teknik yang telah diaplikasikan dalam P&P PSV di dalam kelas atau bilik seni. Penyelidik telah merekod apa yang diperhatikan dengan mengambil nota sepanjang P&P PSV berlangsung. Melalui pemerhatian dalam bilik darjah, maklumat yang lebih berobjektif dapat diperoleh berbanding pengakuan subjek semata-mata (Gay et al., 2006). Perolehan data primer pertama melalui teknik rakaman video telah diadakan untuk merekod secara digital P&P PSV di kelas atau bilik seni. Rakaman video digital ini adalah dokumentasi berteknologi tinggi sebagai sokongan kepada teknik pengumpulan data melalui pemerhatian. Selain dapat memberi gambaran secara menyeluruh dan terperinci proses P&P PSV kepada penyelidik apabila diulang tayang, rakaman video digital ini juga sebagai bahan rujukan penyelidik apabila timbul keraguan dan keciciran pada nota semasa pemerhatian dibuat ketika proses P&P PSV berlangsung.

Perolehan data primer pertama melalui teknik temu bual iaitu penyelidik telah mengadakan sesi temu bual jenis semi struktur. Penyelidik memilih temu bual semi struktur atas sifatnya yang fleksibel yang mana penyelidik telah menyoal berpandukan kepada skrip tetapi idea atau isu menarik boleh dibincangkan secara mendalam. Justeru, penyelidik mendapat maklumat lanjut daripada informan berkaitan dengan aplikasi strategi, pendekatan, kaedah dan teknik dalam P&P PSV. Sesi temu bual telah diadakan selepas guru selesai menjalankan P&P PSV di dalam kelas atau bilik seni  atas sebab kaedah ini menyediakan peluang kepada penyelidik untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada subjek (Stake, 1995). Perolehan data primer pertama melalui teknik rakaman audio telah digunakan serentak pada masa sesi temu bual dijalankan. Semasa sesi temu bual dengan guru berlangsung, penyelidik telah merakamkan perbualan antara penyelidik dengan informan menggunakan alat perakam. Dengan itu, semua perbualan dapat direkodkan dalam bentuk audio digital secara terperinci dan hasil rakaman telah ditranskripsikan ke dalam bentuk teks.

Berdasarkan Jadual 3.1, perolehan data primer kedua melalui hasil karya pelajar telah menggunakan dua teknik pengumpulan data iaitu analisis dokumen dan rakaman gambar. Bagi teknik pengumpulan data analisis dokumen, penyelidik telah membuat pungutan hasil-hasil karya pelajar dengan kebenaran guru dan pelajar setelah  P&P PSV selesai dilaksanakan. Tujuan analisis dokumen adalah untuk menyokong dapatan yang sedia ada. Data daripada dokumen telah diperoleh dengan menggunakan borang senarai semak yang mengandungi unsur-unsur seni yang terdiri daripada garisan, rupa, bentuk, jalinan, ruang dan warna. Maklumat yang diperoleh daripada dokumen-dokumen  tersebut dapat menambah dan menjelaskan data dan maklumat yang diperoleh dan yang dianalisis melalui pemerhatian dan temu bual (Othman Lebar, 2009). Teknik pengumpulan data pertama ini telah disusuli dengan teknik pungutan data kedua iaitu rakaman gambar digital semua rakaman gambar telah disimpan dalam folder internal hardisc komputer dalam bentuk file jpeg bagi tujuan analisis komprehensif  berkaitan penguasaan ASR dalam kalangan pelajar hasil proses P&P PSV oleh guru seni.


Oleh:
Johanes Bin Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik / Penyelaras Kajian Tindakan
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPGK Keningau


Rujukan:

Creswell, J. W. (1994). Research Design, Qualitative & Quantitative Approaches.Thousand Oaks, CA: Sage.

Creswell, J. W. (2003). Research Design: Qualitative, Quantitative, and Mixed Methods Approaches. Thousand Oaks, CA: Sage.

Creswell, J. W. (2008). Educational Research Planning, Conducting, and Evaluating Quantitative and Qualitative Research. Upper Saddle River, NJ: Pearson Education International.

Chua Yan Piaw. (2006). Kaedah dan Statistik Penyelidikan: Kaedah Penyelidikan Buku 1.Kuala Lumpur: McGraw-Hill ( Malaysia ) Sdn. Bhd.

Lofland, J & Lofland, L. H. (1995). Analyzing social settings (ed. 3rd ). Belmont, CA: Wadsworth.

Othman Lebar. (2009). Penyelidikan Kualitatif Pengenalan Kepada Teori dan Method.Tanjong Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Sabitha Marican. (2005). Kaedah Penyelidikan Sains Sosial. Petaling Jaya: Pearson Prentice Hall.

Miles, M.B & Huberman, A. M. (1994). Qualitative data analysis: An expanded sourcebook. Thousand Oaks, CA: Sage.

Gay, L. R., Mills, G. E. & Airasian, P. W. (2006). Educational Research: Competencies for Analysis and Applications (ed. 8). Upper Saddle River, NJ: Prentice Hall.

Patton, M. Q. (2002). Qualitative Research & Evaluation Method. London: Sage.

Merriam, S. B. (1998). Qualitative Research and Case Study Applications in Education.San Francisco: Jossey-Bass.

Stake, R. E. (1995). The Art of Case Study Research. Thousands Oaks, CA: Sage.

Thursday, 26 February 2015

Instrumen Kajian Dalam Penyelidikan Kualitatif

Salam Sejahtera kepada siswa siswi PISMP PSV IPGK Keningau.

Penulisan kali ini memfokuskan kepada apakah instrument kajian menurut kaedah penyelidikan kualitatif. Saya berharap para pelajar dapat memahami dengan jelas apakah persediaan instrument kajian apabila anda memilih metodologi kajian mengikut pradigma penyelidikan kualitatif. Semoga penulisan ini juga dapat membantu anda dalam menjayakan penyelidikan kajian tindakan anda dengan jayanya.

Menurut Creswell (1994) dalam kajian kualitatif penyelidik bertindak sebagai instrumen kajian. Dalam penyelidikan, penyelidik adalah instrumen utama yang bertindak untuk memungut data secara pemerhatian, temu bual dan analisis data di lapangan seterusnya menganalisis data. Justeru, penyelidik perlu berada dalam situasi yang dikaji, contohnya mendengar dan memerhati sendiri fenomena yang menjadi persoalan utama dalam kajian. Penyelidik mempunyai tanggungjawab menganalisis peristiwa-peristiwa yang berlaku di persekitaran ketika menjalankan kutipan data. Kutipan data dijalankan adalah secara berterusan.

Penyelidik menggunakan alat-alat bantu untuk mengumpulkan data seperti panduan pemerhatian, panduan temu bual, borang pemerhatian dan borang temu bual. Panduan pemerhatian digunakan agar penyelidik dapat melakukan penyelidikan sesuai dengan tujuan kajian. Panduan temu bual digunakan agar temu bual yang dilakukan tidak menyimpang dari tujuan penyelidikan ini. Panduan-panduan ini disusun berdasarkan tujuan penyelidikan. Borang pemerhatian dan borang temu bual digunakan untuk merekod hasil pemerhatian dan temu bual. Penyelidik juga menggunakan rakaman video digital, rakaman audio digital dan kamera digital. Penggunaan alat-alat bantu sangat penting untuk merakam peristiwa-peristiwa di persekitaran ketika menjalankan kutipan data agar dapat menjadi rujukan penting jika berlaku kekeliruan dan keciciran data ketika di lapangan (Chua Yan Piaw, 2006). Lofland & Lofland (1995) mencadangkan bahawa jika nota-nota lapangan diperlengkap dengan pita rakaman, penyelidik sepatutnya menyalin nota lapangan secepatnya agar lebih banyak masa ditumpukan kepada analisis data.

Menurut Othman Lebar (2009) dan Sabitha Marican (2005), penyelidik sebagai instrumen utama dalam penyelidikan ini memiliki beberapa kelebihan dan kelemahan. Antara kelebihannya ialah penyelidik dapat melihat, merasakan, dan mengalami apa yang terjadi pada subjek yang diselidiknya. Oleh itu, penyelidik akan memahami makna-makna realiti yang dilihat, dirasakan dan dialami. Penyelidik mampu menentukan bila penyimpulan data telah mencukupi, data telah jenuh dan penelitian dihentikan. Penyelidik dapat melakukan pengumpulan data, menganalisisnya, melakukan refleksi secara terus menerus dan membangun pemahaman yang menyeluruh tentang sesuatu fenomena yang dikaji (Miles & Huberman, 1994). Sementara beberapa kelemahan penyelidik sebagai instrumen ialah penyelidik secara tidak sedar mencampuradukkan antara data lapangan hasil tinjauan dengan pemikirannya sendiri. Penyelidik sangat dipengaruhi oleh kemampuan menyelidik dalam menulis, menganalisis, dan melaporkan hasil penelitian (Othman Lebar, 2009). Penyelidik juga harus memiliki kesabaran untuk mengikuti dan mencatat perubahan-perubahan yang terjadi pada subjek yang diselidiknya.


Penyelidik sebagai instrumen melalui proses pemerhatian adalah suatu proses mengumpul maklumat primer secara terbuka melalui pemerhatian individu di tempat kajian (Creswell, 2008). Menurut Merriam (1998) seorang pemerhati yang bertindak sebagai orang luar akan dapat mengesan sesuatu yang menjadi rutin kepada subjek dan perkara yang boleh membawa kepada pemahaman konteks. Pemerhatian mempunyai kelebihan untuk merekod maklumat sebenar tentang apa yang berlaku dalam persekitaran untuk mengkaji tingkah laku sebenar (Creswell, 2003). Penyelidik mencatat nota lapangan semasa pemerhatian kerana ia adalah cara terbaik untuk mengumpul dan mendokumentasikan perkara yang diperhatikan (Gay et al., 2006). Patton (2002) menyatakan terdapat tiga jenis teknik temu bual iaitu temu bual berstruktur, semi struktur dan tidak berstruktur. Dalam kajian ini, penyelidik telah menggunakan temu bual semi struktur.  Menurut Merriam (1998) dan Stake (1995), temu bual semi berstruktur menyediakan peluang untuk penyelidik mendapatkan maklumat lanjut daripada subjek. Tujuan penyelidik membuat analisis dokumen adalah untuk menyokong data yang diperoleh melalui pemerhatian dan temu bual (Othman Lebar, 2009). Menurut Lofland dan Lofland (1995), sumber data utama dalam penyelidikan kualitatif ialah kata-kata dan tindakan, selebihnya adalah data tambahan seperti dokumen dan lain-lain. 


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik / Penyelaras Kajian Tindakan
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPGK Keningau



Rujukan:

Creswell, J. W. (1994). Research Design, Qualitative & Quantitative Approaches. Thousand Oaks, CA: Sage.

Creswell, J. W. (2003). Research Design: Qualitative, Quantitative, and Mixed Methods Approaches. Thousand Oaks, CA: Sage.

Creswell, J. W. (2008). Educational Research Planning, Conducting, and Evaluating Quantitative and Qualitative Research. Upper Saddle River, NJ: Pearson Education International.

Chua Yan Piaw. (2006). Kaedah dan Statistik Penyelidikan: Kaedah Penyelidikan Buku 1. Kuala Lumpur: McGraw-Hill ( Malaysia ) Sdn. Bhd.

Lofland, J & Lofland, L. H. (1995). Analyzing social settings (ed. 3rd ). Belmont, CA: Wadsworth.

Othman Lebar. (2009). Penyelidikan Kualitatif Pengenalan Kepada Teori dan Method. Tanjong Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Sabitha Marican. (2005). Kaedah Penyelidikan Sains Sosial. Petaling Jaya: Pearson Prentice Hall.

Miles, M.B & Huberman, A. M. (1994). Qualitative data analysis: An expanded sourcebook. Thousand Oaks, CA: Sage.

Gay, L. R., Mills, G. E. & Airasian, P. W. (2006). Educational Research: Competencies for Analysis and Applications (ed. 8). Upper Saddle River, NJ: Prentice Hall.

Patton, M. Q. (2002). Qualitative Research & Evaluation Method. London: Sage.

Merriam, S. B. (1998). Qualitative Research and Case Study Applications in Education. San Francisco: Jossey-Bass.

Stake, R. E. (1995). The Art of Case Study Research. Thousands Oaks, CA: Sage.



Teori Perkembangan Artistik oleh Hurwitz dan Day

Hurwitz dan Day (2001) telah merumuskan peringkat perkembangan artis kanak-kanak kepada tiga bahagian utama. Peringkat-peringkat ini dikenali sebagai peringkat manipulatif, peringkat membuat simbol serta peringkat pra-remaja. Stages of artistic development are useful norms that can enlighten the teacher, but they should not be considered as goals for education (Hurwitz & Day, 2001).

Zaman Awal Kanak-kanak (2 hingga 4 Tahun)

Pada peringkat ini, kanak-kanak tidak mempunyai kawalan pada pergerakan tangan kerana usia mereka yang masih muda, selalunya di dalam lingkungan umur dua hingga lima tahun. Lukisan yang dihasilkan juga selalunya tidak terkawal dan banyak terdapat di dinding, di atas meja dan kertas lukisan dengan menggunakan pelbagai jenis bahan dan media seperti krayon, pensel serta bahan-bahan lain. Penghasilan karya pada usia ini tidak bersifat realistik dan banyak menggunakan lukisan garisan bagi menggambarkan sesuatu imej. Pada usia ini, kanak-kanak lebih gemar untuk mencuba dan membuat eksperimentasi dengan pelbagai jenis garisan yang boleh dihasilkan melalui pelbagai media. Secara umumnya terdapat empat peringkat contengan pada peringkat manipulatif iaitu contengan garisan tidak terkawal, contengan garisan terkawal, contengan rupa terkawal dan contengan rupa. Contengan garisan tidak terkawal berlaku kerana kanak-kanak tidak mempunyai daya kawalan dan garisan yang dihasilkan biasanya berulang-ulang. Di peringkat contengan garisan terkawal pula garisan yang dihasilkan lebih menampakkan kawalan yang matang dibandingkan dengan peringkat pertama. Sementara itu, contengan rupa terkawal memperlihatkan kebolehan kanak-kanak yang mula melukis rupa dan mengulanginya mengikut kehendak mereka. Akhir sekali adalah contengan rupa, di mana pada peringkat ini kanak-kanak berupaya mengenal pasti rupa dan menyebut rupa yang dihasilkan. Pada peringkat ini juga lukisan yang dihasilkan adalah lebih kepada kepuasan dan keseronokan kerana mereka diberi peluang untuk melukis dan menggunakan alatan melukis seperti pen dan pensel. Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah cara kanak-kanak memegang alatan untuk melukis. Pada usia ini alatan tulis yang dipegang adalah mengikut keupayaan cara dan gaya yang disukai oleh mereka. Keupayaan menconteng sangat bergantung kepada keupayaan otot dan keselarasan koordinasi di antara mata dan tangan. Fokus imej yang dihasilkan pada peringkat ini adalah lukisan garisan yang pelbagai.

Peringkat Membuat Simbol (6 hingga 9 Tahun)

Daripada peringkat lukisan contengan, kanak-kanak mula beralih ke peringkat menghasilkan simbol. Peringkat penghasilan simbol bermula pada umur empat sehingga kanak-kanak berumur lapan tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak sangat terpengaruh dengan keadaan sekelilingnya. Persekitaran memainkan pengaruh besar dan lukisan yang biasa dihasilkan adalah seperti rumah, kereta, bunga, alat permainan dan sebagainya. Imejan dalam lukisan figura merupakan imej yang paling dominan. Simbol dan imejan yang dilukis oleh kanak-kanak ini biasanya didahului dengan imej mereka sendiri, kemudian diikuti dengan keluarga terdekat seperti ibu bapa diikuti rakan-rakan. Pada peringkat ini juga, simbol yang dihasilkan oleh kanak-kanak mudah untuk dikenal pasti kerana kanak-kanak mempunyai kawalan yang seimbang dan teratur dari segi pergerakan tangan. Di peringkat awal penghasilan imej simbolisme, imej-imej yang dihasilkan melalui lukisan terdiri daripada pelbagai saiz. Umumnya, seseorang yang penting di dalam kehidupan kanak-kanak tersebut digambarkan lebih besar saiznya berbanding dengan imej figura yang lain. Sebagai contoh, bapa digambarkan lebih besar daripada imej ahli keluarga yang lain melambangkan kekuasaan dan kekuatan yang di miliki oleh bapa selaku ketua keluarga. Dalam sesetengah keadaan, imej diri kanak-kanak itu juga mempunyai saiz yang lebih besar berbanding dengan imej figura yang lain. Pada permulaan peringkat pertama simbolisme ini, penggunaan warna terhadap imej tidak menjadi fokus utama dan tidak ketara. Pada peringkat kedua pula, penggunaan warna ke atas imej mula diperlihatkan. Sebagai contoh, imej langit dikaitkan dengan warna biru, warna kuning untuk matahari dan warna hijau bagi menggambarkan rumput atau tumbuhan. Pada peringkat ketiga simbolisme, lukisan yang dihasilkan lebih menumpukan kepada imej yang konkrit iaitu imej yang dilihat berbanding dengan imej yang mereka tahu.

Pra-Remaja (10 hingga 13 Tahun)

Peringkat Pra-remaja dikatakan peringkat transisi zaman kanak-kanak ke zaman remaja. Terdapat percubaan untuk melukis figura dengan saiz yang betul. Lukisan figura pula mula dilukis dengan menitikberatkan daya saiz sebenar objek. Sebagai contoh, figura manusia mula dilukis dengan melihat kadar banding pada objek tersebut tanpa membuat penambahan. Lukisan pada peringkat ini dikatakan lebih rasional kerana selain daripada kedudukan dan saiz figura yang betul, mereka juga telah mula mementingkan warna yang tepat selain dari memasukkan bayang-bayang pada objek supaya imej yang dihasilkan seolah-olah nampak realistik. Pada peringkat ini juga, mereka mula menggunakan kaedah perspektif bagi membezakan saiz imej di mana mereka cuba memahami konsep ruang iaitu objek yang jauh bersaiz lebih kecil berbanding dengan objek yang lebih dekat.

Pernyataan terhadap teori perkembangan artistik kanak-kanak oleh Lowenfeld dan Britain (1982), serta Hurwitz dan Day (2001), mempunyai persamaan dalam kalangan kanak-kanak berkarya. Dilihat dari sudut penguasaan ASR kanak-kanak pada peringkat pseudo naturalistic dan pra remaja mula melukis dengan mengutamakan konsep kadar banding, konsep bayang, konsep mewarna dan konsep ruang yang betul agar lukisan mereka lebih realistik. Jika guru mengatur strategi dengan menerapkan ASR dalam proses artistik kanak-kanak semasa P&P PSV, kanak-kanak lebih yakin dengan hasil karya mereka terutama semasa melukis lukisan figura atau lukisan-lukisan yang lebih realistik. Menurut Koster (2001), kanak-kanak perlu dirangsang dengan aktiviti yang dirancang rapi dan tersusun supaya tindak balas semula jadi estetik yang dimiliki oleh kanak-kanak selari dengan peningkatan umur mereka. Bagaimana pun pengkaryaan dalam kalangan pelajar sekolah menegah rendah tertakluk kepada bidang penghasilan seni visual yang ditetapkan dalam sukatan pelajaran KBSM PSV. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2000), bidang penghasilan seni visual meliputi ASR, seni halus, komunikasi visual, reka bentuk dan kraf tradisional serta dimensi baru. Justeru, pelajar-pelajar akan menggarap karya mereka mengikut bidang penghasilan seni visual mengikut rancangan P&P PSV. 

Kajian Lowenfeld dan Britain (1982), dan Hurwitz dan Day (2001), terhad dalam bidang seni halus dan kurang fokus kepada bidang komunikasi visual, reka bentuk dan kraf tradisional dan dimensi baru. Implikasinya kepada guru permulaan akan kurang mendapat input awal terhadap proses artistik dalam kalangan pelajar menengah rendah di sekolah semasa mengaplikasikan strategi P&P PSV. Bagi guru yang sudah lama dalam profesion perguruan implikasi itu bukan menjadi halangan utama kerana pengalaman mereka mengatur strategi P&P PSV telah disokong oleh pengalaman lepas terhadap pemerhatian estetika dalam kalangan pelajar. Menurut Md. Nasir Ibrahim (2006), estetika adalah suatu cara melihat dan memikirkan fenomena tentang sesuatu perkara. Kesimpulannya PSV dapat difahami sebagai pendidikan yang memfokuskan kepada proses penghasilan karya seni dengan melibatkan aspek pemahaman, penghayatan dan kritikan mengenai perasaan estetik dan daya kreativiti melalui imaginasi dan konsepsi pelajar.


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Akademik
IPGK Keningau



Rujukan:

Hurwitz, A. & Day, M. (2001). Children and Their Art : Methods for the Elementary School (ed. 7th). Fort Worth, TX: Harcourt College Publishers.

Lowenfeld, V. & Brittain, W.L. (1982). Creative and Mental Growth (ed. 7th). New York: Macmillan.

Koster, J. B. (2001). Bringing Art into the Elementary Classroom. Belmont, CA: Wadsworth.

Md. Nasir Ibrahim. (2006). Estetika dalam Pendidikan Seni Visual "Sedikit-sedikit Lama-lama Menjadi Bukit". Dalam Metodologi Pendidikan Seni Visual. Tanjong Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Konsep Pendidikan Dalam Pendidikan Seni Visual

Pendidikan terancang dan sistematik bertujuan untuk menyampaikan ilmu pengetahuan, nilai, sikap dan kemahiran seterusnya mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Menurut Sufean Hussin (1996), pendidikan dapat didefinisikan dari segi semantik dan etimologi. Pendidikan dari segi semantik merangkumi didikan komponen intelek dan latihan gerak laku perbuatan. Pendidikan dari segi etimologi menggunakan perkataan Inggeris iaitu Education yang berasal daripada perkataan Latin Educare yang bermaksud to train. Makna pendidikan dapat difahami asas sebagai perihal mendidik, didikan, latihan dan ajaran (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005). Mengikut American Council on Education (1944), pendidikan ialah satu usaha sistematik yang disengajakan oleh sesuatu masyarakat untuk menyampaikan pengetahuan, nilai, sikap dan kemahiran kepada ahlinya. Dalam konteks P&P pendidikan adalah disiplin yang berhubung kait dengan kaedah P&P di sekolah dan persekitarannya (Education, 2011). Pendidikan dalam persepsi individu dapat difahami melalui hasil kajian Henderson-King dan Mitchell (2011), iaitu individu yang mempunyai aspirasi intrinsik yang tinggi cenderung melihat pendidikan sebagai persiapan untuk kerjaya, pengetahuan untuk masa depan, membangun hubungan sosial dan keterampilan diri. Namun secara amnya pendidikan di Malaysia adalah berasaskan kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang selaras dengan falsafah pendidikan negara sejak tahun 1989 (Sufean Hussin, 1996).

Bagi mencapai matlamat pendidikan iaitu menyampaikan pengetahuan, nilai, sikap dan kemahiran kepada ahlinya, PSV merupakan salah satu mata pelajaran yang diperkenalkan sejak zaman penjajahan British. Kewujudan PSV adalah seiring dengan perkembangan pendidikan negara kini. Dahulunya PSV dikenali sebagai subjek Lukisan dan Pertukangan Tangan kemudian ditukar menjadi mata pelajaran Pendidikan Seni (PS) dan seterusnya Pendidikan Seni Visual (PSV). Perubahan-perubahan yang dilakukan adalah atas kesedaran masyarakat terhadap kepentingan PSV dalam kehidupan (Iberahim Hassan, 2000). Kementerian Pendidikan Malaysia (2000), menyatakan PSV dalam KBSM ialah seni visual atau tampak sahaja dan merupakan salah satu bentuk seni yang wujud selain seni muzik, seni tari, seni drama dan seni bina. PSV peringkat sekolah menengah bermatlamat untuk membentuk keperibadian generasi Malaysia yang celik budaya, mempunyai nilai-nilai estetik yang tinggi, imaginatif, kritis, kreatif, inovatif dan inventif. Iberahim Hassan dan Roskang Jailani (2009), menyatakan bahawa PSV dalam konteks bersepadu bertujuan untuk membolehkan pelajar menyedari, memahami dan menghargai peranan seni sebagai satu keperluan dalam urusan hidup, hubungannya dengan kejadian alam, kaitannya dengan perkembangan sains dan teknologi, aplikasi seni dalam industri rekaan dan pembuatan.

Secara asasnya konsep seni dan ilmu seni yang diajar di sekolah mempunyai perbezaan yang jelas. Salah seorang tokoh ilmiah yang memperkatakan tentang perbezaan konsep seni dan ilmu seni ialah Jakob Sumardjo (2000). Menurut Jakob Sumardjo (2000), seni untuk dinikmati sementara ilmu seni untuk difahami. Hakikatnya dalam pendidikan di sekolah, seni dan ilmu seni saling berkait rapat dalam mencapai dan merealisasikan hasrat pendidikan negara. Menurut Zakaria Ali (1989), adalah sukar untuk memahami seni tanpa ilmu seni. Seni itu memerlukan penghayatan dan ilmu seni pula untuk membantu memahami karya-karya seni. Ahli-ahli dalam bidang ilmu kognitif berpendapat seni merupakan satu proses pemikiran yang lebih lanjut daripada seorang pengkarya kerana simbol-simbol yang diperlihatkan dalam hasil karyanya adalah hasil aktiviti otak mencerap, membuat interpretasi dan menghasilkan imaginasi terhadap alam persekitaran (Sousa, 2006). Sebab itu pemerhati mesti mengenali dan menghuraikan lambang dan corak lambang sebelum dia dapat memahami maksud sesuatu karya (Knobler, 1985). Pentingnya ilmu seni itu bukan saja kepada seorang pemerhati bahkan kepada pelajar-pelajar di sekolah. Dalam KBSM, ilmu seni dipelajari secara formal untuk membantu mereka memahami karya-karya seni. Ilmu seni itu juga membantu pelajar-pelajar  untuk menghasilkan karya-karya seni mengikut kesesuaian perkembangan kognitif, efektif dan psikomotor mereka (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2002). Menurut Ahmad Suhaimi Mohd. Noor (2000), pendedahan kepada makna dan simbol akan memberi ruang kepada pelajar untuk berfikir secara kritis dan kreatif. 


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik 
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau


Rujukan:

Sufean Hussin. (1996). Pendidikan di Malaysia Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. Didapatkan mei 31, 2011, daripada http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=pendidikan

American Council on Education. (1944). Objectives and Program of the American Education Fellowship. 22, 9. Didapatkan dari EBSCOhost

Iberahim Hassan & Roskang Jailani. (2009). Pendidikan Seni Visual dan Peranannya Abad Ke-12. Dalam Mohd. Johari Ab. Hamid (Ed.), Pendidikan Seni Visual Dan Muzik (hlm. 1-20). Tanjong Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Jakob Sumardjo. (2000). Filsafat Seni. Bandung: Penerbitan ITB.

Zakaria Ali. (1989). Pengertian Seni Halus. Dalam Seni dan Seniman Esei-esei Seni Halus (hlm. 3-11). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka & Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sousa, D. A. (2006). How The Brain Learns (ed. 3rd). Thousand Oaks, CA: Corwin Press.

Knobler, N. (1985). Dialog Seni Tampak. (Zakaria Ali, Penterjemah) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka Dengan Kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2002). Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.

Education. (2011). Encyclopedia Britannica Online. Didapatkan dari http://www.britannica.com/EBchecked/topic/179408/education

Iberahim Hassan. (2000). Pendidikan Seni Di Malaysia Dalam Arus Perkembangan Konsep Pembelajaran Seni. Dalam Kumpulan Esei Pendidikan Seni Dan Muzik (hlm. 31-45). Tanjong Malim: Penerbitan Sains Sosial dan Kesenian Universiti Pendidikan Sultan Idris.


Latar Belakang Strategi Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual Di Sekolah

Nadi kepada proses pendidikan ialah keteguhan kurikulum yang menjadi struktur, falsafah, kandungan dan tujuan untuk membawa perubahan kepada setiap insan yang bergelar pelajar. Keteguhan sesuatu kurikulum akan menyemarakkan lagi aliran pendidikan (Mat Desa Mat Rodzi, 2000). Bagi menyemarakkan aliran pendidikan dalam negara kita, salah satu mata pelajaran yang awal diperkenalkan ialah mata pelajaran seni. Ini dapat dibuktikan dengan pembukaan Penang Free School di Pulau Pinang pada tahun 1816 yang telah menjadikan seni sebagai salah satu mata pelajaran yang diajar. Dalam kurikulumnya, lukisan dan catan telah diperkenalkan kepada pelajar-pelajar melalui pengajaran formal di bilik darjah.

Kandungan kurikulum seni di peringkat awal ini dipengaruhi oleh sistem pendidikan barat. Menurut Shukor Hashim dan Solihin Osman (2000), pengaruh seni lukis barat dan nilai budayanya bermula apabila pengajaran seni secara formal di sekolah-sekolah di Malaysia yang diperkenalkan oleh penjajah Inggeris seperti Kitab Pedoman Guru Penggal I pada tahun 1928 (Dussek & Muhammad Hashim Talib, 1928), dan disusuli dengan Kitab Pedoman Guru Penggal II pada tahun 1929 (Dussek & Muhammad HashimTalib, 1929). Kedua-dua buku ini telah menggariskan beberapa kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dirancang daripada isi pelajaran yang mudah kepada yang lebih susah seperti langkah-langkah asas menggunakan pensel, pemadam dan pembaris diikuti oleh melakar bentuk-bentuk asas seperti bulat, empat segi, segi tiga dan seterusnya melakar objek bunga dan binatang berasaskan kepada bentuk-bentuk geometri. Ahmad Suhaimi Mohd. Noor (2007), mengatakan bahawa dunia visual negara sentiasa terikat dengan cara dan gaya dunia visual barat sama ada penulisan mahupun lukisan.

Pada awal kemerdekaan strategi P&P bagi mata pelajaran Pendidikan Seni (PS) di negara kita dinyatakan melalui Kurikulum Lama Sekolah Menengah (KLSM) dan menurut Michael (1983), pada peringkat awal strategi pengajaran seni banyak mengamalkan kaedah pengajaran yang tidak di struktur dan kaedah diktator. Kaedah yang tidak distrukturkan dikenali sebagai The Laisseiz-Faire Method dan kaedah diktator dikenali sebagai The Authoritarian-Dictatorial Method. Kaedah tidak distrukturkan menggalakkan P&P secara semula jadi yang mana guru memainkan peranan sebagai pembimbing kepada pelajar dalam kelas manakala kaedah diktator menitik beratkan kaedah penerangan dalam memberikan maklumat dan aktiviti P&P dikawal oleh guru (Michael, 1983).


Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik 
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPGK Keningau



Rujukan:

Mat Desa Mat Rodzi. (2000). Kurikulum Pendidikan Seni Visual Sekolah Menengah: Antara Perancangan, Pelaksanaan dan Harapan. Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Seni Visual (hlm. 56-68). Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Shukor Hashim & Solihin Osman. (2000). Model "Discipline and Multiple Discipline in Visual Art Education" Untuk Pengajaran dan Pembelajaran Seni Di Peringkat Institusi Pengajian Tinggi. Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Seni Visual (hlm. 51-55). Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dussek, O.T. & Muhammad Hashim Talib. (1928). Kitab Pedoman Guru Penggal yangPpertama : Bagi
Pergunaan Guru-guru di Sekolah-sekolah Melayu. (Pejabat Karang Mengarang Sultan Idris Training 
College, Penterjemah) Singapore: Malaya Publishing House.

Dussek, O.T. & Muhammad HashimTalib. (1929). Kitab Pedoman Guru : Penggal yang Kedua. (Pejabat Karang Mengarang Sultan Idris Training College, Penterjemah) Singapore: Malaya Publishing House. 

Ahmad Suhaimi Mohd. Noor. (2007). Sejarah Kesedaran Visual di Malaya. Tanjong Malim : Universiti 
Pendidikan Sultan Idris.